RSS Feed : EDISI - Kelantan
-
RM26.91 juta baik pulih, bina rumah rakyat miskin - Mohd Nassuruddin
02 November 2026
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan membelanjakan RM26.91 juta bagi membantu golongan kurang berkemampuan menerusi baik pulih dan bina rumah selain program-program pembelaan rakyat miskin.Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sebanyak RM10.86 juta disalurkan bagi 1,034 bantuan membaiki rumah dan penyediaan bahan binaan sepanjang 2024 hingga 2025.Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 473 bantuan bernilai RM5.04 juta diberikan pada 2024, manakala 561 bantuan berjumlah RM5.81 juta disalurkan pada 2025."Bantuan ini bertujuan membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan mendapatkan kediaman yang lebih selamat serta selesa," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (Nenggiri-Barisan Nasional) mengenai jumlah terkini rakyat Kelantan yang menerima bantuan membaiki rumah bagi tahun itu.Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM11.7 juta setahun bagi pembinaan 180 Rumah Dhuafa’ dengan kos RM65,000 bagi setiap unit.Katanya, program berkenaan menyediakan kediaman lebih selesa kepada golongan yang memerlukan.Selain itu, sebanyak RM4.35 juta diperuntukkan menerusi Program Pembelaan Rakyat Miskin bagi membantu keluarga miskin dan miskin tegar meningkatkan kualiti hidup."Bantuan yang disediakan merangkumi bantuan kewangan, barangan keperluan asas dan keperluan kediaman termasuk zink serta bahan asas rumah."Pelaksanaannya dibuat melalui Pejabat Tanah dan Jajahan berdasarkan kelayakan serta keperluan pemohon," katanya.
-
NRW Kelantan masih tinggi, lebih 4,000 kilometer paip lama perlu diganti
02 November 2026
KOTA BHARU – Kadar air tidak berhasil (NRW) di Kelantan masih tinggi iaitu 53 peratus meskipun kuantiti pengeluaran air terawat meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kadar itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding 55.2 peratus sebelum ini, namun masih belum mencapai sasaran 50 peratus yang ditetapkan bagi tahun ini.Menurutnya, kebocoran paip bawah tanah terutama paip simen asbestos berusia lebih 40 tahun menjadi antara punca utama kehilangan air selain meter tersumbat dan kegiatan mencuri air."Meter tersumbat ini ada kaitan dengan kualiti air. Apabila meter tersumbat, air masuk ke rumah pengguna tetapi meter tidak bergerak dan secara automatik dikira sebagai NRW."Kuantiti air di loji sudah mencukupi, cuma bekalan yang sampai kepada rakyat masih berdepan kekangan. Sebab itu kami akan lebih memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan NRW," katanya ketika menjawab soalan Nor Asilah Mohamed Zin (Pas-Limbongan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Ahad.Izani berkata, dalam usaha mengurangkan kehilangan air, kerja penggantian paip lama dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan kawasan yang mencatatkan kadar NRW tinggi."Lebih 4,000 kilometer paip lama perlu diganti, manakala pelaksanaan penukaran paip ketika ini melibatkan kira-kira 150 kilometer setahun, agak lambat."Kami bagaimanapun akan memberi keutamaan kepada kawasan yang mencatatkan NRW tinggi bagi melaksanakan kerja pengesanan kebocoran dan penggantian paip," kata beliau.Dalam perkembangan berkaitan, Izani memberitahu, kuantiti pengeluaran air Kelantan menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dan kerajaan negeri berpuas hati dengan perkembangan berkenaan.Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang, daripada kapasiti 45 juta liter sehari (JLH) kepada 70 JLH dengan kos RM11 juta."Projek yang mencapai kemajuan fizikal 94 peratus itu dijangka siap pada Januari tahun depan," kata Izani.Selain itu, pembinaan LRA Tok Bali berkapasiti 50 JLH dengan kos RM162.26 juta turut dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran air di kawasan berkenaan.Izani berkata, apabila semua projek loji yang dirancang siap menjelang 2031, Kelantan dijangka mempunyai lebihan kapasiti air untuk disalurkan kepada rakyat."Apabila semua loji ini siap, kami akan mempunyai lebihan air dan dapat membekalkan lebih banyak air kepada rakyat."Bagaimanapun, usaha mengatasi NRW perlu berjalan seiring supaya peningkatan kuantiti air itu dapat dinikmati pengguna," katanya.
-
Kelantan negeri sempadan antarabangsa, usaha banteras dadah perlu kerjasama semua pihak
01 November 2026
KOTA BHARU – Isu banteras dadah di Kelantan memerlukan kerjasama semua pihak kerana kedudukan negeri itu sebagai sempadan antarabangsa dan bukan meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan negeri semata-mata.Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri, Persekutuan dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing."Di Kuala Lumpur anak-anak muda terlibat dengan disko, maka di sana penggunaan ekstasi tinggi, lain pula di Kelantan tapi kami sebagai kerajaan ambil tanggungjawab."Ini tanggungjawab semua, tambah pula Kelantan negeri sempadan, jangan ambil sikap untuk mencari kelemahan ataupun sengaja nak menonjolkan kelemahan saja," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional-Galas) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Ahad.Beliau berkata, kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand menyebabkan negeri itu turut menerima kesan daripada pergerakan pelbagai kegiatan rentas sempadan."Antara masalah negeri sempadan ini, ada banyak benda baik yang bawa manfaat, begitu juga ada perkara tidak baik dan kita dapat dapat mudaratnya."Kadang-kadang dadah ini nak bawa ke tempat lain tetapi oleh sebab melalui negeri kita di sempadan, ditangkap di tempat kita, maka yang timbullah nama Kelantan," katanya.Beliau berkata, kerajaan negeri menggunakan pelbagai platform bagi memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk program Cakna Rakyat melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membantu menangani masalah dadah.Mengulas usaha pencegahan dadah menerusi program Desa Taqwa, Mohamed Fadzli berkata, sebanyak 101 Desa Taqwa diwujudkan secara berperingkat sejak diperkenalkan pada 1991 dengan 10 daripadanya dipilih sebagai projek perintis pemerkasaan semula."Jumlah 101 banyak, ada berjaya, ada yang kurang berjaya dan juga sudah tidak aktif pun."Jadi kami melihat mana-mana yang berpotensi, kami ambil hidupkan kembali," ujarnya.
-
Hampir semua permohonan pembangunan Kelantan dilulus Persekutuan
01 November 2026
KOTA BHARU – Hampir semua permohonan projek pembangunan dan infrastruktur oleh Kerajaan Kelantan diluluskan Persekutuan.Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu hasil hubungan dan kerjasama baik antara kedua-dua pihak yang mencapai kesepakatan melalui perbincangan.Menurutnya, antara perkembangan positif termasuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang antarabangsa dan persetujuan penyambungan termasuk cadangan menyambung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hingga ke Rantau Panjang."Dengan hubungan baik antara negeri dan Persekutuan, kami berbincang dan membuat permohonan."Hampir semua yang kita minta, kita dapat, termasuk Empangan Lebir pun diumumkan, saya ucap terima kasih dan apabila semua siap nanti peluang pekerjaan pun akan ada," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri, Saizol Ismail (Pas-Salor) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Ahad.Beliau mengulas, kerja-kerja pembinaan dan pemanjangan landasan lapangan terbang antarabangsa itu sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Disember tahun depan."Kerja pembinaan tambahan landasan kapal terbang itu perlu dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi penerbangan yang melibatkan kira-kira 42 pendaratan sehari," katanya.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, permohonan kerajaan negeri supaya jajaran ECRL dilanjutkan hingga ke Rantau Panjang berikutan kedudukan strategik kawasan itu yang bersempadan dengan selatan Thailand juga diluluskan."Permohonan ini mendapat respons yang baik dan Perdana Menteri sudah mengumumkan bahawa Persekutuan dah setuju untuk sambung ECRL sampai ke Rantau Panjang."Jadi, kita kena lihat Kelantan ini negeri yang bersempadan dengan negara, jangan pandang sebagai sebuah negeri saja," katanya.Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata, pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan juga penting bagi menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat."Pelabuhan antara faktor utama membolehkan kawasan perindustrian berkembang dan menarik minat syarikat untuk membuka kilang di Kelantan."Kerajaan negeri akan terus mengadakan perbincangan dengan Persekutuan bagi memastikan keperluan pembangunan negeri ini dapat dipenuhi," ujar beliau.Tambahnya, sebarang halangan pelaksanaan projek perlu dikenal pasti lebih awal dan diselesaikan menerusi perbincangan antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan supaya tindakan penyelesaian dapat dilakukan lebih berkesan.
-
Anwar tiba di Kelantan, hadiri beberapa program
01 November 2026
KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kelantan petang Sabtu bagi menghadiri beberapa program di negeri ini.Beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa pada jam 4.10 petang dan disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.Anwar kemudian merasmikan Skim Usahawan Bangkit di perkarangan pasar raya di Lembah Sireh sebelum mengunjungi Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubok Tapah di Pasir Mas.Pada sebelah malam, beliau dijadual menghadiri Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat.
-
Calon SPM berisiko banjir akan dipindahkan ke asrama
30 October 2026
TUMPAT – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berisiko terjejas banjir di Kelantan akan dipindahkan ke asrama bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan ketika Monsun Timur Laut (MTL).Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kekosongan asrama di beberapa sekolah untuk menempatkan calon terbabit lebih awal."Kami lakukan persiapan rapi, kumpulkan senarai kekosongan asrama supaya pelajar dapat ditempatkan dengan segera apabila diperlukan."Mereka ini mungkin akan dipindahkan sebelum ujian bertulis bermula," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan di Dewan Nahkoda Haji Wan Ali, di sini pada Jumaat.Turut hadir, Guru Besar Mohd Fadil Othman.Menurut Siti Norina, persediaan berdepan MTL itu turut mengambil kira pengalaman tahun-tahun lalu termasuk membabitkan pelajar dari Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah, Rantau Panjang, Pasir Mas dan SMUA Nurul Huda, Tumpat.Tambahnya, dari segi pengangkutan, beliau berkata, bas sekolah disediakan bagi membawa calon ke lokasi penempatan sementara berkenaan."JPN juga akan berkerjasama dengan agensi berkaitan termasuk bomba bagi memastikan urusan persediaan dan pemindahan pelajar berjalan lancar," katanya.Dalam pada itu, bagi sambutan ulang berkenaan turut mengiktirafan 10 tokoh alumni.Sambutan itu turut diserikan dengan pembukaan galeri yang mempamerkan pelbagai rekod dan bahan sejarah sekolah sejak penubuhannya.Galeri berkenaan menjadi ruang untuk warga sekolah dan pengunjung melihat kembali perjalanan serta perkembangan institusi pendidikan itu sepanjang satu abad.Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad juga bekas pelajar sekolah berkenaan merupakan antara tokoh alumni yang menerima anugerah atas sumbangan dan jasa beliau di negeri ini.
-
Sehari 10 PATI ditangkap di Kelantan, warga Myanmar paling ramai
30 October 2026
TUMPAT - Purata 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap setiap hari di Kelantan, dengan warga Myanmar menjadi kumpulan paling ramai ditahan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, seramai 4,873 PATI ditahan pelbagai agensi penguat kuasa dalam tempoh 10 bulan berkenaan, sekali gus melepasi jumlah tangkapan sepanjang tahun lalu.Menurut beliau, daripada jumlah itu, warga Myanmar mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 1,977 orang, diikuti Bangladesh (899), Indonesia (740) dan Thailand melebihi 600 orang."Kalau kita bahagi dengan 300 hari bagi tempoh 10 bulan ini, maknanya 10 orang sehari kita tangkap. Bukan kita tak tangkap, 10 orang sehari kita tangkap," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.Sebelum itu beliau melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di sini serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024.Beliau memberitahu, daripada keseluruhan tangkapan itu, Polis Kelantan merekodkan 3,299 tangkapan, diikuti Pasukan Gerakan Am (PGA) seramai 811 orang, Jabatan Imigresen Malaysia (358), Angkatan Tentera Malaysia (177) dan Pasukan Polis Marin (72), selain agensi lain.Menurutnya, operasi kawalan sempadan dilaksanakan secara berterusan menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi membanteras kemasukan PATI ke negeri ini.Ujar Mohd Yusoff, tangkapan di daerah yang bersempadan dengan Thailand, termasuk Kota Bharu, melebihi 3,100 orang.Beliau berkata, jumlah tangkapan PATI pada 2024 ialah 3,689 orang sebelum meningkat kepada 4,166 orang pada 2025."Sehingga Oktober tahun ini sahaja, jumlah tangkapan sudah melebihi keseluruhan tahun lalu," katanya.Mengulas mengenai warga Myanmar yang ditahan, menurut Mohd Yusoff, pihak polis tidak dapat mengesahkan kesemuanya etnik Rohingya kerana sebahagian mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.Jelasnya, individu yang dikenal pasti berasal dari Myanmar direkodkan mengikut negara berkenaan apabila status etnik mereka tidak dapat dipastikan.Beliau turut menjelaskan bahawa pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak boleh ditahan semata-mata kerana status pelarian, namun tindakan boleh diambil sekiranya mereka melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen atau jenayah.
-
Lombong bijih besi diserbu, 30 PATI dicekup
30 October 2026
RANTAU PANJANG – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di sebuah lombong bijih besi di Kampung Gual Dalam, Lubok Setol di sini pada Khamis.Serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dijalankan oleh Cawangan Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas kira-kira jam 5 pagi.Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan membabitkan 16 lelaki warga Bangladesh serta 14 Indonesia terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.Menurut beliau, kesemua individu ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.Tambahnya, pemeriksaan dilakukan di beberapa kabin yang dijadikan tempat penginapan pekerja di kawasan lombong berkenaan."Pemeriksaan mendapati terdapat individu yang disyaki menyalahgunakan permit kerja, manakala sebahagian lagi disyaki tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah."Selain itu terdapat dokumen pasport yang mencurigakan atau disyaki sudah tamat tempoh, selain individu yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan untuk pemeriksaan," katanya.Ujar beliau, kesemua mereka dibawa ke BSJD IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.Katanya lagi, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan bagi mengesan dan membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya kesalahan imigresen serta penyalahgunaan permit kerja di kawasan sempadan.
-
Polis Kelantan gesa perolehan radar pengawasan laut dipercepat
30 October 2026
TUMPAT - Polis Kelantan menggesa proses perolehan sistem radar pengawasan laut di sempadan negara dipercepatkan bagi mengesan pergerakan bot penyeludup dan membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kemudahan itu membolehkan pihak berkuasa memantau pergerakan bot dari seberang sempadan Malaysia-Thailand dengan lebih berkesan, termasuk pada waktu malam.Menurutnya, maklumat mengenai saiz, kelajuan dan jenis bot dapat dikenal pasti menerusi radar sebelum tindakan penguatkuasaan digerakkan oleh pasukan keselamatan."Melalui radar ini, kita boleh berkongsi pemantauan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengesan apa jua pergerakan bot dari seberang yang mahu masuk ke negara kita."Apabila maklumat diperoleh melalui radar, anggota kita boleh bersiap sedia di pangkalan sebelum digerakkan ke lokasi sasaran," katanya pada sidang media Khamis.Terdahulu, beliau meninjau perairan Sungai Kelantan di Tumpat dan Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan PATI ke negara ini susulan penutupan sepenuhnya pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak 1 Disember 2024.Mohd Yusoff berkata, penggunaan teknologi itu penting kerana rondaan secara konvensional di laut, khususnya pada waktu malam berdepan kekangan penglihatan yang menyukarkan pengesanan bot mencurigakan.Ujarnya, keadaan menjadi lebih mencabar apabila bot penyeludup tidak memasang lampu ketika bergerak, sekali gus menyukarkan pasukan keselamatan mengesan pergerakan mereka di perairan sempadan."Kalau kita meronda di laut dalam keadaan gelap, kita tidak nampak apa-apa. Bot penyeludup pula tidak memasang lampu, jadi bagaimana anggota hendak mengesan mereka?"Sebab itulah sistem radar di sempadan ini sangat diperlukan," katanya.Beliau berkata, keperluan mendapatkan sistem radar berkenaan sudah diperjuangkannya sejak lebih 20 tahun lalu ketika berkhidmat dalam PPM.Katanya, keperluan memperkukuh pengawasan maritim itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Bilangan 2 Tahun 2026 ketika sesi bersama Panglima Briged Kelapan pada 23 September lalu.Menurutnya, perolehan sistem berkenaan perlu diberi perhatian bagi membolehkan pemantauan perairan sempadan dilaksanakan secara lebih sistematik dan tindakan terhadap kegiatan rentas sempadan dapat digerakkan dengan pantas."Pelaksanaan sistem itu dijangka memperkukuh keupayaan pengesanan awal pihak berkuasa, sekali gus membantu mengekang kemasukan PATI dan kegiatan penyeludupan melalui laluan laut yang sukar dipantau, terutama pada waktu malam," katanya.
-
Sungai Kelantan bakal digempur, basmi PATI
30 October 2026
TUMPAT - Sungai Kelantan yang menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan penutupan pangkalan haram di Sungai Golok bakal digempur menerusi operasi besar-besar dalam masa terdekat.Operasi itu akan digerakkan dengan penyelarasan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), susulan kejayaan projek rintis yang dilaksanakan sebelum ini.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi berkenaan akan diperluaskan dalam masa terdekat bagi menutup ruang kemasukan PATI melalui laluan sungai yang dikenal pasti menjadi antara laluan utama ke negeri ini.Menurut beliau, projek rintis yang dijalankan pada 7 Oktober lalu dari jam 7 malam hingga 7 pagi berjaya menyekat kemasukan melalui laluan berkenaan sepanjang tempoh operasi."Alhamdulillah, ketika kita membuat sekatan, tiada kemasukan dikesan pada waktu itu. Kita juga membuat tangkapan membabitkan dua kes dengan sembilan tangkapan, iaitu lapan PATI dan seorang tekong darat," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di sini serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024.Ujar beliau, operasi susulan akan menggunakan pendekatan penugasan mengikut sektor bagi memastikan laluan masuk dari perairan sempadan hingga ke kawasan pendaratan di darat dapat dikawal dengan lebih berkesan.Jelasnya, laluan utama yang diberi perhatian ialah Kuala Tumpat dan Kuala Besar, termasuk Sungai Kelantan yang menjadi laluan pergerakan bot ke kawasan penempatan penduduk di Tumpat, Kota Bharu dan sekitarnya."Di kawasan Teluk Renjuna, kita membuat sekatan atau 'cut-off' dengan menempatkan bot serta anggota bagi menghalang bot daripada meneruskan perjalanan masuk ke sungai."Kita sudah mengenal pasti modus operandi mereka, termasuk laluan yang digunakan dan kawasan pendaratan," katanya.Mohd Yusoff memberitahu, hasil mesyuarat Jawatankuasa Gerakan Penguatkuasaan Negeri (GPJN) pada 23 September lalu turut membawa kepada pelaksanaan projek rintis menerusi kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Maritim Malaysia.Beliau berkata, mesyuarat susulan yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan pada 20 Oktober lalu pula membabitkan perancangan operasi bersepadu dengan penglibatan agensi penguat kuasa di laut dan darat.Menurutnya, pembahagian kawasan operasi sudah dirancang bagi membolehkan setiap agensi memberi tumpuan kepada sektor masing-masing, manakala penempatan anggota polis di kawasan pendaratan turut disusun bagi menghalang kemasukan tanpa melalui pemeriksaan sah."Di darat, kita turut menyusun penempatan kenderaan peronda dan anggota di balai serta lokasi pendaratan yang dikenal pasti."Kita juga mahu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama polis di setiap sekatan jalan raya bagi mengesahkan ketulenan dokumen perjalanan kerana kepakaran itu ada pada pihak imigresen," katanya.Menurut beliau, operasi berkenaan akan diperkukuhkan lagi pada fasa seterusnya dengan penggunaan kapal lebih besar oleh PPM bersama Maritim Malaysia bagi melaksanakan sekatan di sepanjang perairan sempadan.Ujarnya, penggunaan sistem radar pengawasan laut juga perlu dipercepatkan bagi membolehkan pergerakan bot dikesan dari pusat pemantauan sebelum anggota digerakkan ke lokasi sasaran."Melalui radar, kita boleh mengetahui saiz bot, kelajuan dan jenisnya. Jadi, anggota tidak perlu meronda sepanjang malam tanpa dapat melihat pergerakan bot yang tidak memasang lampu."Apabila pergerakan dikesan di pejabat, kita boleh mengarahkan pasukan yang bersiap sedia di pangkalan untuk bertindak," katanya.
-
‘Jangan hanya viralkan jika diugut sindiket PATI, buat laporan polis’ - Ketua Polis Kelantan
30 October 2026
TUMPAT - Penduduk yang mendakwa menerima ugutan daripada sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan sempadan Kelantan diminta tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan penguatkuasaan dijalankan.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya memandang serius dakwaan ancaman terhadap penduduk tempatan, namun siasatan sukar dijalankan sekiranya mangsa tidak membuat laporan rasmi.Menurut beliau, tindakan mendedahkan ancaman melalui media sosial semata-mata tidak membantu polis mengenal pasti pelaku dan melaksanakan siasatan secara menyeluruh."Kalau mereka menerima ugutan dan sebagainya, perlu tampil kepada pihak polis untuk membuat laporan supaya kita boleh menjalankan siasatan, mengenal pasti pelaku dan seterusnya membuat tangkapan."Kalau hanya disebarkan melalui media sosial, bagaimana kita hendak menjalankan siasatan?," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan ke perairan di Sungai Kelantan di sini serta Kota Bharu yang dipercayai menjadi laluan baharu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup sepenuhnya sejak 1 Disember 2024.Media pada Rabu melaporkan penduduk di pesisir pantai Kelantan mendakwa diugut dengan senjata api oleh individu dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia bagi menghalang mereka mendedahkan kegiatan haram itu.Dakwaan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat apabila pendatang tanpa dokumen perjalanan yang sah dikatakan dibawa naik ke darat hampir setiap malam melalui sungai, jeti dan kawasan pantai terpencil.Mohd Yusoff memberitahu, penduduk tidak perlu terlalu bimbang untuk tampil memberikan maklumat kerana mereka akan dilindungi.Ujarnya, kemudahan di bawah Akta Perlindungan Saksi boleh membantu melindungi pemberi maklumat atau saksi dalam kes tertentu, termasuk sepanjang proses siasatan dan prosiding mahkamah.Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, penggunaan laluan laut dipercayai menjadi antara pendekatan baharu sindiket selepas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup dan dirobohkan.Jelasnya, keluasan perairan di sempadan Pengkalan Kubor yang berhadapan negara jiran menjadikan usaha mengesan pergerakan sindiket bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi dengan keterbatasan keupayaan peralatan pemantauan."Apabila kita melalui laut, kita dapat melihat sendiri betapa luasnya kawasan perairan ini. Kita hanya nampak laut dan langit, manakala penghujungnya pun tidak kelihatan."Bukan mudah untuk mengawal kawasan laut, tambahan pula peralatan yang ada mempunyai had keupayaan untuk mengesan pergerakan di perairan," katanya.Ujar beliau, pihak polis sebelum ini telah menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan, namun laporan khusus berhubung ugutan terhadap penduduk masih diperlukan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi supaya tindakan lebih berkesan dapat dilaksanakan terhadap sindiket terbabit.
-
Kelantan bongkar salah guna lesen eksplorasi untuk lombong emas haram
29 October 2026
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan membongkar kegiatan beberapa syarikat yang dikesan menyalahgunakan kebenaran eksplorasi untuk menjalankan perlombongan haram, sekali gus menyebabkan risiko ketirisan hasil sumber mineral negeri.Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kebenaran eksplorasi hanya membolehkan syarikat menjalankan aktiviti tertentu bagi menentukan kesesuaian sesuatu kawasan untuk dilombong serta menganggarkan potensi hasil galian, bukannya menjalankan perlombongan tanpa lesen sah."Bagaimanapun, kita dapati ada sesetengah syarikat yang hanya diberikan kebenaran untuk melakukan eksplorasi, tetapi apabila memasuki kawasan berkenaan, mereka menjalankan kegiatan perlombongan secara haram."Bagi kes berkenaan, kita sudah melakukan tangkapan dan rampasan membabitkan aset serta jentera syarikat terbabit," katanya pada sidang media selepas Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.Mohamed Fadzli berkata, sebanyak 100 kertas siasatan dibuka melibatkan kegiatan perlombongan sejak 2024 hingga kini.Menurutnya, kebanyakan kes yang disiasat membabitkan kegiatan perlombongan emas."Setakat ini 49 kes selesai, manakala selebihnya masih dalam siasatan. Kita telah sita 62 jengkaut yang dianggarkan bernilai RM15.8 juta menerusi operasi berkenaan."Apa yang paling penting, kita berjaya menyekat ketirisan dan kecurian," katanya.
-
Lombong REE di Kelantan beroperasi tahun depan - Timbalan Menteri Besar
29 October 2026
KOTA BHARU - Perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kelantan dijangka akan bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.Menurutnya, aktiviti berkenaan melibatkan kawasan di Gua Musang."Setakat ini dua syarikat tempatan dijangka menerima lesen bagi menjalankan aktiviti perlombongan mineral itu," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan sesekali membiarkan khazanah REE bernilai RM129.15 bilion di negeri itu dieksport mentah tanpa sebarang nilai tambah.Sebaliknya, kerajaan negeri menegaskan komitmen penuh untuk meneroka serta membangunkan ekosistem industri pertengahan dan hiliran secara kendiri dalam negara.Langkah strategik berani itu bertujuan memastikan setiap tan sumber mineral berharga yang ditemui di bumi Kelantan memberikan pulangan ekonomi berganda kepada kerajaan negeri serta rakyat tempatan.Menurut beliau, dua syarikat tempatan itu akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)."Kita sudah memasuki penyelarasan akhir untuk mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.Mohamed Fadzli memberitahu, isu perlombongan REE sering dilihat sebagai isu negeri sedangkan pada peringkat Persekutuan, perkara itu masih belum begitu jelas."Setakat ini, kebenaran yang diterima kerajaan Persekutuan hanya untuk tujuan pengujian dan bukannya untuk mengeksport mineral berkenaan. Jika dibawa balik pun, ia tidak boleh dieksport," ujarnya.Menurut beliau, butiran lanjut mengenai perkembangan perlombongan REE di Kelantan akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.Jelasnya, keutamaan ketika ini membina keupayaan domestik bagi mengasingkan, memproses dan menghasilkan produk akhir mineral berteknologi tinggi.
-
Belanjawan Kelantan RM1.38 bilion, RM296 juta pacu pembangunan
29 October 2026
KOTA BHARU – Sebanyak RM1.38 bilion diperuntukkan menerusi Belanjawan Kelantan 2027 dengan RM296 juta disalurkan bagi pembangunan negeri, manakala kebajikan rakyat, pendidikan dan kemudahan awam terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri.Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, belanjawan bertemakan Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam itu dirangka bagi memastikan pengurusan kewangan negeri memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan kumpulan rentan.Menurut beliau, daripada keseluruhan peruntukan itu, RM1.087 bilion disediakan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM296 juta untuk perbelanjaan pembangunan."Bagaimanapun, kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM1.082 bilion, sekali gus menunjukkan kurangan RM4.31 juta berbanding perbelanjaan mengurus yang dirancang," katanya ketika Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.Mohd Nassuruddin memberitahu, kedudukan kewangan itu menuntut disiplin fiskal berterusan menerusi kawalan perbelanjaan, pengukuhan kutipan hasil dan penilaian semula projek yang kurang mendesak."Bagi kerajaan negeri, setiap ringgit wang awam ialah amanah. Pada setiap peruntukan ada harapan seorang rakyat, pada setiap keputusan ada tanggungjawab seorang pemimpin dan pada setiap pelaksanaan ada kewajipan yang mesti ditunaikan dengan jujur serta bersungguh-sungguh," katanya.Ujar beliau, dalam usaha memperkukuh kebajikan rakyat, kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta bagi Bantuan Am Bulanan al-Musa’adah, RM7.7 juta untuk Bantuan Beras al-It’am serta RM6.75 juta bagi Bantuan Armalah dan Anak Yatim.Jelasnya, sebanyak RM14.95 juta turut disediakan bagi Bantuan Rumah Dhuafa’, manakala RM14 juta diperuntukkan untuk Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK), termasuk pembangunan projek perumahan di Bunut Susu dan Meranti II.Tambah beliau, pendidikan dan pembangunan modal insan menerima RM167.83 juta, termasuk RM132 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi menyokong kelangsungan institusi pendidikan Islam negeri."Bagi kemudahan awam, sebanyak RM240.6 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan kampung, jalan negeri, jalan pihak berkuasa tempatan serta jalan pertanian."Kerajaan negeri turut menyediakan RM27 juta bagi pembangunan Madinatul Riyadhah Bukit Merbau dan RM5.24 juta untuk terminal serta fasiliti pengangkutan awam atau KB Sentral," katanya.Ujar beliau, dalam sektor ekonomi, RM3.8 juta diperuntukkan bagi program Usahawan Berdikari, RM3 juta untuk Skim Kredit Mikro Usahawan dan RM5.6 juta bagi pembangunan pelancongan serta kebudayaan.Sementara itu jelasnya, RM10 juta disediakan untuk program Kelantanku Bersih dan Keceriaan Bandar, selain RM4.6 juta bagi inisiatif teknologi hijau termasuk penyediaan 2,000 unit lampu solar."Belanjawan 2027 digerakkan menerusi empat teras utama iaitu pemerkasaan agama dan pembangunan modal insan, kesejahteraan sosial dan perlindungan rakyat, ekonomi progresif dan berdaya tahan serta kelestarian alam sekitar dan keindahan bandar," katanya.
-
Penjawat awam Kelantan terima bantuan khas RM1,500
29 October 2026
KOTA BHARU - Penjawat awam negeri Kelantan bakal menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan khidmat bakti mereka.Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan itu diberikan kepada semua penjawat awam negeri Gred Utama B dan ke bawah, termasuk kakitangan berstatus kontrak.Menurut beliau, pemberian berkenaan merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan penjawat awam yang menjadi antara tonggak penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri serta memenuhi keperluan rakyat."Sebagai tanda penghargaan atas segala komitmen, pengorbanan dan khidmat bakti penjawat awam, Kerajaan Kelantan dengan penuh keprihatinan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam negeri Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak," katanya semasa Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.Ujar beliau, bantuan itu turut dipanjangkan kepada lantikan politik, dengan kadar bayaran ditentukan oleh kerajaan negeri.Menurutnya, pembayaran bantuan berkenaan akan dilaksanakan dalam dua peringkat, iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan menjelang ambang Hari Kebangsaan."Bantuan khas itu membabitkan implikasi kewangan keseluruhan sebanyak RM7.13 juta," katanya.
-
DUN Kelantan: Projek LTU Seksyen 1B lewat, tarikh siap Disember 2028
29 October 2026
KOTA BHARU - Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 1B dari Kampung Sungai Peria ke Kampung Laloh di Kuala Krai sepanjang 14.75 kilometer (km) mengalami kelewatan apabila kemajuan fizikal semasa hanya 15.37 peratus, berbanding 16.81 peratus mengikut jadual.Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kelewatan itu menyebabkan tarikh siap projek berkenaan dianjakkan daripada sasaran asal Februari 2028 kepada 24 Disember tahun sama."Projek yang bermula pada 24 Februari 2025 itu kini mencatatkan kemajuan fizikal sebenar sebanyak 15.37 peratus berbanding 16.81 peratus mengikut jadual."Tarikh siap semasa ditetapkan pada 24 Disember 2028 berbanding sasaran asal pada Februari 2028," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.Menurut beliau, perkembangan itu berdasarkan laporan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (JPPK) bagi Projek LTU dan Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) Negeri Kelantan (Task Force) Bilangan 4 Tahun 2026 pada 20 September lalu.Terdahulu, media melaporkan projek LTU di Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, membabitkan jajaran sepanjang 107.41 km dari Kuala Krai hingga Gua Musang.Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, pelaksanaan projek berkenaan melibatkan 10 subpakej di Kelantan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.08 bilion.
-
100 kertas siasatan dibuka kes perlombongan haram di Kelantan
29 October 2026
KOTA BHARU – Sebanyak 100 kertas siasatan dibuka berhubung aktiviti perlombongan haram di Kelantan bagi tempoh 2024 hingga September lalu.Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes telah diselesaikan manakala baki 51 kes masih dalam siasatan.Menurut beliau, semua kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001."Pencapaian ini hasil 104 operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan agensi kerajaan negeri bersama pasukan keselamatan," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas-Chempaka) pada Persidangan Kali Ketiga Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.Mohamed Fadzli memberitahu, tindakan penguatkuasaan turut merangkumi penyitaan jentera dan tapak perlombongan serta pemusnahan peralatan yang digunakan untuk aktiviti mendulang haram.Menurut beliau, tindakan undang-undang juga diambil terhadap pihak yang menceroboh kawasan perlombongan, termasuk penahanan dan pendakwaan."Kadar denda dan kompaun turut ditingkatkan bagi kesalahan berulang sebagai langkah memberi pengajaran kepada pesalah."Selain itu, langkah pencegahan diperkukuh melalui pemasangan papan tanda amaran dan pemantauan udara menggunakan teknologi dron di kawasan berisiko tinggi," katanya.
-
'Jangan jual tanah, nanti hilang tempat berteduh'
29 October 2026
KOTA BHARU - "Kalau tiada tanah, kita nak duduk di mana?" Demikian peringatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kepada masyarakat Melayu supaya tidak sewenang-wenangnya menjual tanah milik mereka sehingga berisiko kehilangan aset penting untuk kelangsungan hidup generasi akan datang.Beliau berkata, tanah bukan sekadar harta untuk diwarisi, malah menjadi asas kepada pemilikan kediaman dan jaminan kehidupan yang perlu dipelihara demi kepentingan keluarga dalam jangka panjang.Ujarnya, Islam turut mengajar umatnya supaya menjaga harta, termasuk tanah dan rumah, agar kepentingan pemilikan dapat dikekalkan."Tanah ini aset yang sangat penting. Jangan jual tanah, nanti hilang tempat berteduh" katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai keluasan tanah rizab Melayu semasa Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.Mohd Nassuruddin memberitahu, kerajaan negeri mahu memastikan tanah milik orang Melayu bukan sahaja terus terpelihara, malah dapat dimanfaatkan untuk pembangunan yang memberikan nilai tambah kepada pemiliknya.Beliau berkata, penjualan tanah bukanlah sesuatu yang dilarang secara mutlak, terutama jika terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan.Bagaimanapun ujarnya, pemilik perlu mempertimbangkan dengan teliti keputusan menjual tanah dan memikirkan kepentingan memiliki tanah atau kediaman sebagai persediaan untuk masa hadapan.Beliau turut merujuk hadis Rasulullah SAW berkaitan keberkatan harta hasil jualan rumah atau tanah, khususnya apabila wang yang diperoleh tidak digunakan untuk mendapatkan rumah atau tanah lain.Menurutnya, perkara itu menjadi antara peringatan penting supaya masyarakat tidak memandang ringan kepentingan mengekalkan pemilikan tanah.Mohd Nassuruddin memberitahu, usaha kerajaan negeri memelihara tanah rizab Melayu bertujuan memastikan kepentingan pemilikan orang Melayu tidak terhakis, di samping membolehkan tanah berkenaan dibangunkan secara terancang.Beliau menegaskan, pembangunan dan pemeliharaan tanah perlu bergerak seiring supaya aset berkenaan terus memberikan manfaat ekonomi kepada pemilik Melayu, selain menjamin kepentingan generasi akan datang.
-
Poster konsert Wali tular, Kelantan sahkan tiada kelulusan
27 October 2026
KOTA BHARU – Poster promosi konsert kumpulan Wali yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV pada 27 Januari 2027 tular di media sosial, namun penganjur disahkan belum memperoleh sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa negeri setakat 26 Oktober lalu.Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, berkata semakan mendapati Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Perbendaharaan Negeri Kelantan belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi penganjuran program berkenaan.Menurut beliau, semakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima beberapa tangkap layar iklan penjualan tiket secara dalam talian menerusi pautan ILASSOTICKET.COM bagi program bertajuk "Wali (Semalam di Kelantan)"."Pihak MPKB-BRI selaku pegawai pelesen dan Perbendaharaan Negeri Kelantan mengesahkan tiada sebarang permohonan rasmi diterima setakat semalam (26 Oktober 2026) bagi program seperti yang tertera pada poster yang tular," katanya kepada pemberita pada Selasa.Beliau berkata, semakan dengan pihak pengurusan Stadium Sultan Muhammad IV bagaimanapun mengesahkan terdapat tempahan oleh sebuah syarikat untuk menggunakan stadium berkenaan pada tarikh yang dinyatakan dalam iklan tersebut.Namun, katanya, tempahan penggunaan stadium tidak bermaksud penganjuran acara hiburan dan penjualan tiket bagi program itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri."Pihak kerajaan negeri mengesahkan tiada kelulusan diberikan oleh MPKB-BRI dan Perbendaharaan Negeri Kelantan bagi penganjuran acara hiburan serta penjualan tiket dalam talian seperti yang dipaparkan dalam poster berkenaan," katanya.Hilmi turut mengingatkan penganjur supaya mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025, khususnya berkaitan larangan mengiklankan program hiburan atau menjual tiket sebelum lesen diluluskan."Menurut Seksyen 20 enakmen itu, mana-mana individu yang melanggar larangan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan."Sementara itu, Seksyen 21 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menjual, mengedar, menawarkan atau mempamerkan tiket tanpa kebenaran mengikut peruntukan yang ditetapkan," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua penganjur hiburan supaya mengemukakan permohonan mengikut prosedur serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan implikasi undang-undang.
-
Kelantan mahu KB Sentral diteruskan tanpa tunggu peruntukan RM250 juta
27 October 2026
RANTAU PANJANG - Kerajaan Kelantan tidak mahu pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) terus tertangguh walaupun Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM250 juta melalui Belanjawan 2027.Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, jika menunggu peruntukan, pihaknya bimbang pelaksanaannya turut tertunda."Hal ini kerana ia perlu melalui proses perbahasan dan kelulusan di Parlimen."Jadi saya berharap cadangan berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya," katanya ketika ditemui semasa meninjau perkembangan terkini PLSB berhampiran Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kalai, di sini pada Isnin.Hadir sama Pengarah JPS Kelantan, Datuk Siti Fairus Zakaria.Menurut beliau, proses itu akan diteruskan melalui kaedah bina, kendali dan serah (BOT).Katanya, proses pemilihan kontraktor bagi projek berkenaan sudah dilaksanakan dan kerajaan negeri menyasarkan pelantikan itu akan dibuat tahun ini."Jika proses penganugerahan projek dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut, kontraktor boleh menguruskan kelulusan perancangan sebelum memulakan kerja pembinaan pada 2027," katanya.Dr Izani memberitahu, kerajaan negeri mahu meneruskan proses yang ada dan berharap projek ini dapat dilaksanakan seperti dirancang.Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat bagi meneliti cadangan pembangunan yang dikemukakan sebelum keputusan mengenai pelaksanaan projek dibuat."Kos pembinaan bangunan stesen sahaja dianggarkan antara RM50 juta hingga RM70 juta, manakala komponen pembangunan lain perlu diteliti berdasarkan cadangan kontraktor dan potensi pulangan pelaburan," katanya.
-
Tangani banjir di Rantau Panjang, RM40 juta gali sungai baharu
26 October 2026
RANTAU PANJANG - Sungai baharu akan digali untuk mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan susulan pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di sini.Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan berjumlah RM40 juta dalam masa terdekat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan."Cadangan jajaran baharu itu menghubungkan Sungai Lemal-Lancang ke Sungai Meranti seterusnya masuk ke Sungai Alor mengkuang."Air dari Sungai Alor Mengkuang itu pula akan masuk ke Sungai Pengkalan Nangka di Tumpat seterusnya mengalir ke luar ke kawasan kuala," katanya ketika ditemui semasa meninjau perkembangan terkini PLSB berhampiran Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Kalai di sini pada Isnin.Hadir sama Pengarah JPS Kelantan, Datuk Siti Fairus Zakaria.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, cadangan itu merupakan langkah kekal dalam membantu mengurangkan impak banjir."Padangan saya kajian-kajian yang dibuat mengenai cadangan ini akan membantu mengurangkan risiko serta mempercepatkan aliran air keluar ke laut," katanya.Beliau juga akan membangkitkan perkara ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual berlangsung minggu depan.Dalam pada itu, Dr Izani memberitahu PLSB Sungai Golok fasa satu sudah mencapai kemajuan sebanyak 75 peratus dengan pembinaan benteng hampir siap."Selebihnya melibatkan baki kerja melibatkan rumah pam dan beberapa komponen tambahan yang dijangka mengikut jadual."Fasa 2 sedang dalam proses. Untuk fasa tiga pula telah mencapai kemajuan sebanyak 25 peratus. Alhamdullilah, semua kerja-kerja pengambilan tanah sudah selesai," katanya.Dr Izani memberitahu, pelaksanaan ketiga-tiga fasa itu merupakan antara usaha penting untuk memperkukuh sistem tebatan banjir, khususnya di kawasan yang berisiko menerima limpahan air Sungai Golok.Beliau berkata, PLSB Sungai Golok sepanjang 100 kilometer yang dilaksanakan dalam tiga fasa dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
-
[VIDEO] 'Saya rapat dengan mereka' - Wanita reda hilang anak sulung, bongsu sekali gus
26 October 2026
KUALA KRAI - "Saya reda."Demikian kata Seedah Arwae, 51, yang kehilangan anak sulung dan bongsu lelaki dalam satu kemalangan maut melibatkan tiga mangsa di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, Terengganu pada Ahad.Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Mohamad Zulkefli Ishak, 32, yang merupakan anak sulung daripada lima beradik dan isteri, Norshila Zali, 36, maut di lokasi kejadian.Adik bongsu, Muhammad Alif Syukri, 18, pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.Semasa kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas selesai menjemput Muhammad Alif Syukri yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang.Menurut Seedah, dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpa dua anaknya itu."Saya rapat dengan mereka. Dua anak sudah tiada, sekarang tinggal tiga orang sahaja," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Era di sini pada Isnin.Bagaimanapun katanya, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menguruskan jenazah kedua anaknya itu.Jenazah Mohamad Zulkefli dan Muhammad Alif Syukri dikebumikan dalam satu liang lahat pada jam 12.40 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Pasir Era.Sementara itu jenazah Norshila pula dikebumikan di kampung halamannya di Ketereh, Kota Bharu.Lebih 100 ahli keluarga, sahabat serta kenalan hadir pada hari pengkebumian berkenaan.Media pada Ahad melaporkan hasrat tiga sekeluarga untuk pulang ke Kelantan tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, Terengganu pada Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Zulkefli dan isterinya, Norshila disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.Muhammad Alif Syukri pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.
-
Cadangan bina empangan Sungai Lebir berpotensi jimat kos pengairan sawah
26 October 2026
KOTA BHARU – Cadangan pembinaan Empangan Sungai Lebir, Gua Musang yang berpotensi menangani masalah banjir di Kelantan turut dijangka berupaya mengurangkan kos operasi pengairan sawah padi.Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abd Samad berkata, berdasarkan kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan, empangan itu secara tidak langsung akan membolehkan air disalurkan ke kawasan sawah menggunakan aliran graviti."Apabila adanya empangan, air boleh dibekalkan menggunakan graviti sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pam elektrik."Sekarang, setiap hari KADA menggunakan pam untuk menyedut air dari sungai dan menyalurkannya ke kawasan sawah," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Intergriti 2026 dan Ikrar Bebas Rasuah KADA di Pejabat Kada Lundang, di sini pada Ahad.Majlis dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Yuswan Yunus dan turut dihadiri Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa.Menurut Khalid, KADA kini menanggung bil elektrik sebanyak RM1.2 juta sebulan bagi operasi pengairan sawah padi berbanding Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) jauh lebih rendah."Saya pernah ke MADA dan bil elektrik untuk setahun adalah RM500,000 yang membabitkan 120,000 hektar tanah."KADA hanya 25,000 hektar dan kos elektrik sebulan RM1.2 juta kerana setiap hari pam berjalan, air disedut dari sungai masuk ke bendang tapi di MADA, guna graviti untuk bekalkan air, tak payah pakai pam," katanya.
-
11,000 hektar padi berisiko banjir, KADA aktifkan tujuh pam saliran
26 October 2026
KOTA BHARU – Sebanyak 11,000 hektar tanaman padi di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berisiko terjejas akibat banjir mulai November ini susulan ramalan Monsun Timur Laut (MTL) di Kelantan.Pengerusi KADA, Khalid Abd Samad berkata, pihaknya bagaimanapun mengambil langkah kesiapsiagaan awal bagi mengurangkan kesan banjir terhadap tanaman padi."Kami selenggara saliran supaya aliran air lancar dan pastikan semua pintu air beroperasi dalam keadaan baik."Tujuh pam saliran diaktifkan bagi memastikan apabila paras air sungai meningkat, air dapat dipam keluar dari kawasan sawah," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Intergriti 2026 dan Ikrar Bebas Rasuah Kada di Pejabat KADA Lundang, di sini pada Ahad.Majlis dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Yuswan Yunus dan turut dihadiri Pengurus Besar Kada, Mohd Faizul Mustafa.MTL 2026/2027 dijangka bermula Selasa ini dan akan berterusan sehingga Mac tahun depan.Ketika fasa awal MTL dari November ini hingga Januari tahun depan, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.Menurut Khalid, jadual penanaman dan penuaian padi turut disusun berdasarkan ramalan cuaca bagi membolehkan kerja menuai diselesaikan sebelum banjir melanda.Beliau berkata, setakat ini sebanyak 14,000 hektar tanaman padi selesai dituai manakala 11,000 hektar berkenaan dijadualkan dituai pada awal November ini."Kami harap kerja menuai dapat diselesaikan sebelum berlakunya banjir," katanya.
-
Potongan padi Kelantan purata 23 peratus – KADA
25 October 2026
KOTA BHARU – Purata potongan timbangan padi di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) direkodkan sekitar 23 peratus setakat 18 Oktober lalu.Pengerusi KADA, Khalid Abd Samad, berkata kadar potongan berbeza mengikut kawasan dan ditentukan berdasarkan penilaian sampel padi."Proses penilaian dilakukan menggunakan mesin di kilang bagi menentukan kadar potongan berdasarkan keadaan padi."Ini termasuk kandungan air, habuk dan bendasing. Secara keseluruhannya, purata potongan ialah 23 peratus. Bagaimanapun, kadar itu berbeza mengikut kawasan dan kualiti padi," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Integriti 2026 dan Ikrar Bebas Rasuah Kada di Pejabat KADA Lundang di sini pada Ahad.Majlis itu dirasmikan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Yuswan Yunus, dan turut dihadiri Pengurus Besar Kada, Mohd Faizul Mustafa.Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa KPKM memperketat pemantauan terhadap kilang padi berlesen susulan kadar potongan timbangan padi yang dilaporkan mencecah sehingga 35 peratus di Kedah.Mengulas lanjut, Khalid berkata, potongan tertinggi yang direkodkan di kawasan Kada tahun ini ialah 28 peratus di Tumpat pada musim kedua, yang dipengaruhi keadaan padi basah ketika ditimbang.Menurutnya, kadar potongan tidak boleh ditetapkan pada satu peratusan yang sama kerana kualiti padi yang diterima adalah berbeza-beza."Jika ditetapkan potongan maksimum antara 10 hingga 15 peratus, tetapi hasil pemeriksaan sampel menunjukkan kadar potongan lebih tinggi, ia tidak boleh dilaksanakan kerana penilaian tetap perlu dibuat berdasarkan kualiti padi," katanya.Dalam pada itu, beliau menyarankan pesawah hadir sendiri ketika padi dihantar untuk ditimbang bagi menyaksikan proses penilaian serta mendapatkan penjelasan sekiranya tidak berpuas hati dengan kadar potongan yang dikenakan.Katanya, terdapat pesawah yang menyerahkan urusan penghantaran kepada pemandu lori, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat menyaksikan sendiri proses penilaian tersebut.Khalid berkata, KADA akan menjalankan siasatan sekiranya menerima laporan mengenai potongan padi yang terlalu tinggi.Menurutnya, pusat belian juga diwajibkan menyimpan sampel padi selama enam bulan selepas pembelian bagi membolehkan semakan dibuat sekiranya berlaku pertikaian.Beliau turut mengakui pernah berlaku kes potongan sehingga 60 peratus di Tumpat pada musim kedua tahun lalu yang dipercayai berpunca daripada keadaan hujan ketika padi dituai sehingga menyebabkan hasil berkenaan basah."Keadaan cuaca merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi kualiti padi dan seterusnya kadar potongan ketika proses penilaian di kilang," katanya.
-
Kelantan nantikan perbincangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang
24 October 2026
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menantikan perkembangan lanjut berhubung cadangan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang.Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat dasar dan memerlukan penelitian lanjut termasuk perbincangan dengan kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaannya."Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu perkembangan daripada kerajaan pusat sebelum sebarang perbincangan lanjut diadakan."Belum ada perjumpaan lagi, kita tunggu daripada kerajaan pusat," katanya ketika ditemui selepas Simposium Antarabangsa Penggunaan dan Kelangsungan Bahasa Melayu Nusantara 2026 di Tunjong di sini pada Sabtu.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan Malaysia dan China turut sepakat untuk menyambung laluan ECRL ke Rantau Panjang.Sambungan itu berpotensi membuka hubungan pengangkutan rel berhampiran Thailand sekali gus memberi peluang kepada Kelantan untuk memperluas aktiviti ekonomi dan perdagangan di kawasan sempadan.Cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang turut dinantikan peniaga di kawasan berkenaan yang berharap kemudahan pengangkutan itu dapat menarik lebih ramai pengunjung dan membantu merancakkan semula perniagaan di zon bebas cukai yang semakin suram.Mereka berharap usaha berkenaan dapat direalisasikan bagi membuka peluang kepada pemulihan aktiviti ekonomi setempat.Dalam perkembangan berkaitan, Kamarudin berkata, perancangan pembangunan bandar sempadan turut berada di peringkat perancangan dengan usaha berkenaan di bawah tanggungjawab Kementerian Ekonomi serta kerajaan Persekutuan."Perancangan bandar sempadan itu masih berjalan dan diharap dapat dilaksanakan untuk kembali meningkatkan ekonomi penduduk sempadan," katanya.
-
[VIDEO] Lebih 100 penoreh getah di Kuala Krai ‘gantung’ pisau gara-gara pak belang
23 October 2026
KUALA KRAI – Kemunculan seekor ibu harimau belang bersama anaknya di beberapa kampung di sini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan penduduk, malah menjejaskan sumber pendapatan lebih 100 penoreh getah yang terpaksa menghentikan rutin harian mereka sejak hampir dua minggu lalu.Lebih membimbangkan, haiwan pemangsa itu dipercayai berkeliaran di kebun getah dan semakin menghampiri kawasan penempatan penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk serta haiwan ternakan.Empat kampung yang terjejas ialah Kampung Nara, Kampung Bukit Pacat, Kampung Gajah Mati dan Kampung Slow Temiang yang mempunyai lebih 500 penduduk.Penoreh getah, Mansor Deraman, 78, berkata, dia terpaksa melupakan buat sementara waktu pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan utamanya selepas beberapa kali terdengar bunyi ngauman harimau dari kawasan kebunnya.Menurutnya, kebiasaannya dia keluar menoreh seawal jam 8 pagi di kawasan Gajah Mati, namun keadaan semasa menyebabkan dia tidak lagi berani memasuki kebun getah."Kalau menoreh, saya boleh dapat kira-kira RM70 sehari. Saya mengusahakan kebun getah sendiri seluas 2.4 hektar, tetapi sekarang terpaksa berhenti menoreh sekejap kerana takut."Sudah dua hingga tiga kali saya terdengar bunyi ngauman harimau di dalam kebun getah. Apabila memikirkan soal keselamatan diri, saya tidak berani lagi masuk ke kebun," katanya ketika ditemui pada Jumaat.Seorang lagi penoreh, Sukarman Ibrahim, 59, berkata, dia turut menghentikan kerja menoreh selepas menemui kesan tapak kaki yang dipercayai milik harimau di kebun getahnya lebih seminggu lalu.Katanya, penemuan dua kesan tapak kaki dengan saiz berbeza menguatkan kepercayaan penduduk bahawa seekor ibu harimau dan anaknya sedang berkeliaran di kawasan berkenaan."Pendapatan saya hanya bergantung kepada menoreh getah sahaja. Sekarang saya tidak tahu bila boleh kembali bekerja kerana bimbang terserempak dengan haiwan liar berkenaan," katanya.Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Mengkuang, Zulkifli Sulaiman berkata, kelibat harimau belang itu mula dikesan kira-kira 15 hari lalu dengan golongan penoreh getah dan pekebun kecil menjadi antara pihak yang paling terkesan.Menurutnya, kebimbangan penduduk semakin memuncak apabila haiwan terbabit dilaporkan mengganggu ternakan di Kampung Nara, manakala penduduk Kampung Gajah Mati pula mendengar bunyi ngauman serta menemui kesan tapak kaki di kebun getah.Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah mengambil tindakan segera dengan memasang kamera pemantauan dan perangkap di dua lokasi iaitu Kampung Nara dan Kampung Gajah Mati menggunakan kambing sebagai umpan.Bagaimanapun, setakat ini usaha tersebut masih belum berjaya menangkap haiwan berkenaan."Penduduk memang trauma dan takut. Selepas Maghrib, mereka tidak lagi keluar rumah menyebabkan suasana kampung menjadi sunyi."Kami berterima kasih kepada Perhilitan kerana bertindak pantas, namun penduduk berharap masalah ini dapat diselesaikan supaya mereka boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.Zulkifli berkata, sepanjang 17 tahun berkhidmat sebagai penghulu mukim, ini merupakan kali pertama beliau berdepan situasi melibatkan harimau belang.Menurutnya, sebelum ini penduduk lebih biasa berhadapan dengan kemunculan gajah, beruang dan tapir, namun kehadiran pak belang kali ini menimbulkan kebimbangan yang jauh lebih besar kerana risikonya terhadap keselamatan penduduk yang bekerja di kebun.
-
Kelantan arah ketua jajahan kumpul data etnik Rohingya di semua daerah
21 October 2026
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengarahkan semua ketua jajahan mengumpulkan data etnik Rohingya di seluruh daerah di negeri ini.Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, langkah itu bagi mendapatkan gambaran jumlah sebenar kumpulan terbabit dan sebagai langkah persediaan atau penguatkuasaan dalam menangani sebarang isu membabitkan mereka."Setakat ini, data yang ada pada kami ialah di Tanah Merah dengan terdapat kira-kira 80 keluarga membabitkan lebih 300 etnik Rohingya tinggal di daerah itu."Kami bermesyuarat dan arahkan semua ketua jajahan di Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mengumpulkan data jumlah Roghinya di setiap daerah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.Sebelum ini, polis Kelantan melaporkan seramai 8,021 etnik Rohingya berada di negeri ini dan sentiasa dikawal bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.Hilmi berkata, operasi juga dibuat secara berkala bagi mengesan kesalahan yang membabitkan kumpulan itu di bawah bidang kuasa mereka.Sebelum ini juga ladang sireh seluas lebih dua hektar yang didakwa diusahakan etnik Rohingya di Kampung Padang Guchil, Tanah Merah sejak beberapa tahun lalu disita pihaknya.Ladang dipercayai disewa daripada pemilik tanah yang berada di luar Kelantan pada kadar RM600 hingga RM1,000 bagi setiap hektar dan melanggar syarat.Dalam pada itu, beliau menegaskan, tidak wajar meletakkan isu Rohingya sebagai beban kepada kerajaan negeri semata-mata kerana isu berkenaan adalah isu kenegaraan yang membabitkan status dan pengurusan pelarian."Pihak kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menangani isu, kuasa kami tertakluk antaranya pelanggaran syarat tanah, binaan tanpa kelulusan serta pematuhan lesen perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan."Oleh itu, isu ini perlu ditangani secara bersama selaras dengan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing," katanya.
-
Pengawal keselamatan maut dihempap pokok tumbang
21 October 2026
KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya dihempap pokok tumbang di Jalan Air Lanas menghala ke Gemang, Jeli pagi tadi.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.05 pagi sebelum sembilan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan tiba 13 minit kemudian."Mangsa dikenali sebagai Mohd Alia Sabri Mat Repin, 40, yang menunggang motosikal Honda EX5, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.Mohd Adni berkata, anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok berkenaan bagi mengeluarkan mangsa dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.Operasi mengeluarkan mangsa selesai pada jam 8.21 pagi.Sementara itu, seorang saksi Dr Qistina Hannan Johan berkata, ketika kejadian beliau sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Klinik Batu Melintang dan keretanya berada kira-kira lima meter di belakang motosikal mangsa."Mujurlah saya sempat menekan brek untuk mengelak daripada terlanggar pokok yang tumbang itu dan segera menghubungi pihak bomba," katanya.Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selepas topi keledar yang dipakainya tercabut dan terpelanting ke belakang. - Bernama
-
AKSB nafi dakwaan langgar prosedur potong bekalan air di Tanah Merah
21 October 2026
KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan bahawa proses pemotongan bekalan air dan pengurusan permohonan semula sambungan di sebuah premis di Tanah Merah dilakukan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.AKSB menerusi Jabatan Korporatnya memaklumkan semua rekod berkaitan premis berkenaan direkodkan dalam sistem syarikat, termasuk proses pemotongan bekalan air dan penarikan semula deposit yang dilaksanakan pada 26 Julai lalu.Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan dibuat selepas pemilik premis didapati mempunyai bil tertunggak dalam tempoh yang panjang."Pemilik ini mempunyai bil tertunggak selama 14 bulan dengan tarikh akhir pembayaran bil yang direkodkan adalah pada 12 Mei tahun lalu. Tunggakan ini sudah pun dijelaskan."AKSB menepati prosedur standard sebelum membuat pemotongan bekalan di mana-mana premis pengguna," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular di Facebook pada Selasa mengenai luahan seorang pelanggan yang mendakwa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan AKSB.Antara aduan yang dibangkitkan ialah sistem pengurusan aduan yang didakwa ketinggalan dan lambat, selain masalah bekalan air yang didakwa kotor serta bercampur angin di premis berkenaan.Menurut AKSB, pemilik premis hadir ke Pejabat AKSB Jajahan Tanah Merah pada 18 Oktober lalu bagi menjelaskan tunggakan bil serta menguruskan perkara berkaitan deposit yang telah ditarik balik.Katanya, bagi urusan pendaftaran semula akaun yang telah dipotong dan deposit dibatalkan, pengguna perlu mengemukakan beberapa dokumen seperti borang permohonan lengkap, salinan geran tanah, salinan kad pengenalan serta gambar premis."Perkara itu telah dimaklumkan kepada pengguna pada 19 Oktober lalu dan lawatan tapak ke premis berkenaan turut dilakukan pada hari yang sama."Malangnya, pengguna masih belum menghantar dokumen bagi tujuan pendaftaran sambungan semula sehingga kini," menurut kenyataan itu.Mengulas dakwaan berkaitan panggilan aduan, AKSB berkata semakan terperinci yang dibuat melalui Pintas Careline 15777 mendapati tiada rekod aduan berkaitan bekalan atau kualiti air daripada pengadu sebelum ini.Sementara itu, berhubung isu kualiti air, AKSB memaklumkan pemeriksaan di lokasi aduan pada 21 Oktober lalu mendapati tiada sebarang masalah berkaitan bekalan daripada Loji Rawatan Air Batu Gajah mahupun kualiti air di kawasan terbabit.
-
PDRM mohon radar pengawasan laut Kelantan dipercepat
20 October 2026
KOTA BHARU – Polis Kelantan berharap pemasangan sistem radar pengawasan laut dipercepatkan bagi meningkatkan keberkesanan operasi membanteras penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan negeri ini.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keluasan kawasan perairan sempadan negara menyukarkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan, terutama tanpa sokongan teknologi pengawasan yang lebih canggih."Kalau sekarang ini kita hanya menggunakan radar bot, ia terhad jika dibandingkan dengan kawasan laut yang luas, terutama pada waktu malam."Sebab itu kita perlukan radar yang canggih supaya dapat mengesan secara terperinci termasuk jenis bot dan kelajuannya sebelum tindakan diambil," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa.Sebelum ini, pembinaan sistem radar pengawasan Remote Sensored Site (RSS) di bawah Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di Pulau Tengkorak, Tumpat dicadangkan sebagai benteng bagi mematahkan aktiviti penyeludupan termasuk rokok dan PATI di sempadan Malaysia–Thailand.Mohd Yusoff berkata, penggunaan radar juga dapat membantu pihak berkuasa mengesan pergerakan bot dengan lebih tepat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada rondaan secara rawak yang menggunakan masa dan sumber operasi.Katanya, permohonan pemasangan sistem radar berkenaan sudah dikemukakan kepada pihak kementerian dengan Tumpat dicadangkan sebagai lokasi pemasangan.Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis Kelantan memperkemas pelan strategi membanteras dadah yang dilaksanakan menerusi projek rintis selama 100 hari bermula 15 Julai lalu.Menurutnya, sebanyak 2,481 penagih ditahan oleh ketua balai dan unit kereta peronda sepanjang tempoh tiga bulan pelaksanaan strategi berkenaan."Semalam kami adakan mesyuarat bersama semua ketua balai bagi memperkemas pelan strategi dalam menangani isu dadah."Selepas ini, ketua polis daerah akan menentukan sasaran tangkapan penagih bagi setiap balai berdasarkan jumlah penduduk di kawasan masing-masing," katanya.Beliau berkata, pendekatan itu mengambil kira perbezaan kepadatan penduduk antara kawasan termasuk balai yang mempunyai kawasan tanggungjawab dengan hanya kira-kira 4,000 penduduk.Katanya, tiada tindakan diambil terhadap ketua balai yang gagal memenuhi sasaran tangkapan sepanjang tempoh percubaan, namun penilaian dan tindakan susulan akan dibuat selepas tempoh 100 hari sekiranya masih terdapat kelemahan.
-
'Aktivis perlu akur undang-undang' -Ketua Polis Kelantan
20 October 2026
KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Aktivis media sosial diingatkan supaya memahami undang-undang dan bukannya bertindak sendiri terhadap etnik Rohingya termasuk menyerbu kawasan atau premis persendirian.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebarang dakwaan salah laku perlu disalurkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat bukannya ditangani sendiri sehingga mencetuskan masalah lain."Ini isu tidak faham undang-undang."Bukan senang kita nak halau, ke mana nak halau mereka pergi? Myanmar tidak terima, ke Bangladesh pun tidak iktiraf sebagai rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa.Pada Sabtu, seramai 15 individu bersama aktivis Abbe Hae ditahan untuk diambil keterangan selepas menganjurkan aktiviti gempur Rohingya di sekitar Kota Bharu.Mohd Yusoff berkata, lima laporan polis iaitu tiga di Kota Bharu dan dua di Tanah Merah diterima terhadap kumpulan aktivis berkenaan termasuk membabitkan pencerobohan, pecah rumah serta samun.Katanya, siasatan terhadap kumpulan itu dijalankan mengikut prosedur standard bagi membantu polis mendapatkan maklumat dan melengkapkan kertas siasatan berdasarkan laporan yang diterima."Ini prosedur biasa termasuk merampas telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat, proses kawad cam, pengambilan cap jari itu semua tindakan untuk melengkapkan kertas siasatan."Ada satu kes membabitkan mangsa wanita warga Bangladesh yang kerugian rantai emas bernilai kira-kira RM1,000, kami siasat sebagai kes samun," katanya.Menurutnya, penganjur juga perlu bertanggungjawab terhadap aktiviti yang dianjurkan terutama apabila kehadiran orang ramai meningkat sehingga sukar dikawal.Katanya, hebahan melalui media sosial boleh menyebabkan lebih ramai individu hadir, termasuk mereka yang tidak diketahui latar belakang atau tujuan sebenar."Ini yang berlaku, ada dalam kumpulan mereka itu, datang dari mana-mana, lakukan samun dan sebagainya sewaktu kononnya menyerbu Roghinya," ujar beliau.Beliau menjelaskan isu pelarian Rohingya tidak boleh diselesaikan secara mudah dengan menghalau mereka keluar dari Malaysia kerana perkara itu turut membabitkan persoalan penerimaan negara asal dan pengurusan pelarian oleh kerajaan.Katanya, masyarakat perlu memberi ruang kepada kerajaan menguruskan isu berkenaan, termasuk cadangan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian yang melibatkan pendaftaran biometrik bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu sekiranya berlaku jenayah.
-
Enam kes buli libat pelajar direkodkan di Kelantan
20 October 2026
KOTA BHARU – Enam kes buli direkodkan di Kelantan tahun ini bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah berusia antara tujuh hingga 18 tahun."Daripada jumlah enam itu, satu kes sudah dituduh di mahkamah, tiga masih dalam siasatan manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini pada Selasa.Beliau berkata, isu buli dan keganasan dalam kalangan pelajar perlu diberikan perhatian serius susulan 5,681 kes buli dilaporkan di sekolah seluruh negara bagi tempoh sama.Menurutnya, kematian Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril di Negeri Sembilan dan Allahyarham Irene Sofiya di Johor menjadi peringatan bahawa keganasan dalam kalangan golongan muda tidak boleh dipandang ringan."Kita perlu mengambil iktibar dan memperkukuh usaha pencegahan agar tragedi seumpama ini tidak berulang," katanya.Dalam pada itu, ujar beliau, semua Ketua Polis Daerah dan pegawai perhubungan sekolah perlu mempererat kerjasama dengan pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara."Setiap aduan perlu diberikan perhatian dan setiap tindakan mesti dilaksanakan secara profesional. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak."Pastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk anak-anak menimba ilmu, membina impian dan membesar tanpa ketakutan," katanya.Beliau menegaskan, usaha melindungi generasi muda perlu diperkukuh bagi memastikan pelajar dapat menuntut ilmu dalam persekitaran yang selamat.
-
JKM teliti penjagaan jangka panjang dua anak Allahyarham Norhazwani
20 October 2026
TUMPAT - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan sedang meneliti urusan penjagaan jangka panjang dua anak perempuan Allahyarham Norhazwani Ibrahim, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang dipercayai dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan, 15 Oktober lepas.Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, kedua-dua kanak-kanak berusia lima dan enam tahun itu, berpotensi diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka daripada keluarga sebelah arwah, berdasarkan hasil tinjauan menerusi program Siri Ziarah Kasih JKM Kelantan.Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira kesepakatan ahli keluarga, yang bersetuju dengan penempatan berkenaan, selain kesediaan abang sulung Allahyarham untuk membantu memenuhi keperluan kedua-dua beradik itu."JKM akan membawa perkara itu ke mesyuarat bagi menilai pihak yang paling layak dan sesuai, sebelum urusan penjagaan dikemukakan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah sewajarnya," katanya selepas mengadakan kunjungan ke rumah keluarga arwah di Kampung Telaga Lanas, dekat Pengkalan Kubor di sini pada Isnin.Che Samsuzuki berkata, JKM Kelantan turut menyalurkan bantuan segera RM300 menerusi JKM Tumpat, serta menyumbangkan barangan keperluan asas dan peralatan kanak-kanak bagi meringankan beban keluarga.Pasukan kaunselor jabatan itu juga menyediakan sokongan psikososial dan akan terus memantau keadaan keluarga, bagi memastikan keperluan emosi serta kebajikan kanak-kanak terbabit terpelihara.Beliau berkata, kedua-duanya, turut akan dinilai bagi kelayakan menerima bantuan anak pelihara sebanyak RM250 sebulan seorang, selepas urusan penjagaan mendapat perintah mahkamah.Pada Khamis lepas, Norhazwani ditemukan maut selepas disyaki ditikam suaminya di Nilai, dipercayai akibat perselisihan faham.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian pada 9.30 malam, selepas suami mangsa berusia dalam lingkungan 30-an menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor memaklumkan kematian itu.Lelaki itu kini direman hingga 22 Oktober, bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BernamaARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam maut dipercayai dibunuh suamiPolis sahkan pegawai AKPS maut dipercayai dibunuh suamiPegawai kerajaan mati dipercayai dibunuh suami dalam proses cerai - Abang mangsaPerselisihan rumah tangga dipercayai punca pegawai AKPS maut ditikam suami - PolisPegawai AKPS maut: Suami serah diri ke balai polis selepas tikam isteri, pisau dirampasPegawai AKPS maut: Suspek sempat telefon abang ipar beritahu isterinya sudah tiadaPegawai AKPS dibunuh: Dua anak mangsa minta buat panggilan video, mahu bercakap dengan ibu mereka - Kakak
-
Jangan runtuhkan RUU Kesalahan Syariah 2026 – Timbalan Menteri Besar Kelantan
20 October 2026
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak cuba meruntuhkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026.Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan itu terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memperkemas peruntukan undang-undang berkenaan secara berperingkat."Kami memahami keprihatinan pelbagai pihak terhadap usaha memperkukuh perundangan syariah negeri dan mengalu-alukan teguran yang boleh membantu menambah baik RUU berkenaan."Berikan teguran, jangan runtuhkan," katanya ketika berucap pada Persidangan Syariah dan Perundangan Peringkat Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini pada Isnin.RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 12 Ogos lalu.RUU itu menggantikan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada 2024.Beliau berkata, pandangan yang dikemukakan boleh dibincangkan bersama pengamal undang-undang syariah dan sivil, ahli akademik serta hakim bagi meneliti ruang penambahbaikan yang bersesuaian."Usaha menggubal undang-undang bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan penelitian teliti."Justeru sebarang kelemahan perlu dikenal pasti dan diperbaiki tanpa perlu meruntuhkan keseluruhan kerangka yang dibina," ujarnya.Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, usaha memperkukuh dan melaksanakan undang-undang syariah juga perlu mengambil kira pembahagian bidang kuasa antara kerajaan negeri dengan Persekutuan seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan.Katanya, kuasa negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan hal ehwal Islam tertakluk kepada batas Perlembagaan dan setiap peruntukan perlu diteliti supaya mempunyai asas perundangan yang jelas dan dapat dilaksanakan dengan berkesan."Pengukuhan undang-undang syariah tidak hanya bergantung pada penggubalan peruntukan, tetapi turut memerlukan institusi berkaitan diperkasa dengan kepakaran dan keupayaan untuk melaksanakan undang-undang secara profesional serta adil," katanya.
-
Kota Bharu tidak boleh jadi kawasan niaga warga asing - ADUN
20 October 2026
KOTA BHARU - Pusat bandar Kota Bharu tidak boleh dibiarkan menjadi kawasan niaga warga asing dan lokasi mereka berkembang, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.Dr Hafidzah berkata, keresahan penduduk tempatan berhubung kehadiran kumpulan itu yang semakin ketara di pusat bandar itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.Menurutnya, beliau sendiri pernah membangkitkan isu berkenaan serta kebimbangan masyarakat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini."Saya tidak mahu pusat bandar Kota Bharu menjadi kawasan yang kegiatan perniagaan dan kehidupan masyarakatnya berkembang."Perlu ada pemantauan serta penguatkuasaan yang berkesan, lebih-lebih lagi jika melibatkan PATI dan aktiviti perniagaan yang tidak mematuhi peraturan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata demikian ketika mengulas isu membabitkan aktivis, Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan bersama 15 individu lain yang terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kerana dipanggil memberi keterangan berhubung tindakan menyerbu sebuah kedai yang didakwa menggaji warga asing.Dr Hafidzah berkata, pada masa sama, beliau memahami tanggungjawab polis untuk menyiasat aduan yang diterima serta memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.Justeru, beliau berharap siasatan berhubung isu berkenaan dilaksanakan secara profesional, adil dan telus dengan menghormati hak semua pihak."Keresahan rakyat tidak boleh dipandang ringan namun undang-undang juga tidak boleh diketepikan," katanya.Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan.Dr Hafidzah juga mengingatkan masyarakat supaya melihat isu berkenaan secara rasional dan objektif agar kemarahan terhadap sesuatu kejadian tidak menjejaskan kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan atau mencetuskan kebencian terhadap sesuatu komuniti."Rakyat berhak menyuarakan kebimbangan, pihak berkuasa bertanggungjawab mendengar dan bertindak tapi setiap orang tertakluk kepada undang-undang."Sebagai ADUN, saya akan terus membawa suara dan kebimbangan penduduk kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan Kota Bharu kekal selamat, teratur dan sejahtera untuk penduduknya," katanya.
-
Tanaman sireh, kediaman etnik Rohingya di Tanah Merah disita
19 October 2026
TANAH MERAH – Kawasan tanaman sireh serta penempatan etnik Rohingya yang dipercayai beroperasi selama kira-kira dua tahun dengan kadar sewaan RM2,000 setahun di atas tanah pertanian di Kampung Padang Guchil, di sini telah disita pada Khamis.Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, siasatan mendapati tanah milik persendirian itu membabitkan tiga lot iaitu Lot 367, 368 dan 369 di Mukim Tanah Merah yang syarat nyata kegunaannya ditetapkan untuk tanaman getah dan dusun.Menurut beliau, pemeriksaan awal Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM) pada Selasa lalu mendapati terdapat struktur binaan serta aktiviti penempatan yang digunakan sebagai kediaman dan kawasan tanaman sireh di atas tanah berkenaan."Pada hari sama, pasukan penguat kuasa PTJTM turun ke lokasi kira-kira jam 2 petang bagi menjalankan siasatan susulan maklumat yang diterima berhubung isu tular di media sosial."Hasil pemeriksaan mendapati empat warga Rohingya berada di lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Ujar beliau, daripada jumlah itu, seorang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala tiga lagi tidak mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dijalankan.Jelasnya, hasil temu bual mendapati mereka menyewa premis berkenaan daripada seorang individu yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti, pada kadar RM2,000 setahun."Berdasarkan maklumat yang diperoleh semasa siasatan, aktiviti pendudukan warga Rohingya di kawasan itu dipercayai telah berlangsung selama kira-kira dua tahun," katanya.Menurut Hilmi, hasil siasatan awal PTJTM kemudian dimaklumkan kepada Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa pihak berkenaan.Kata beliau, pasukan MDTM membabitkan Bahagian Perancang dan Bahagian Penguat Kuasa turut menjalankan lawatan ke lokasi bagi tujuan pemeriksaan serta tindakan susulan.Tambahnya, hasil pemeriksaan itu menyaksikan beberapa notis dikeluarkan berhubung kesalahan berkaitan pembinaan tanpa kebenaran dan ketiadaan permit kerja tanah.
-
Serangan di Arab Saudi: Penuntut Kelantan selamat, kuliah tidak terganggu - Exco
19 October 2026
KOTA BHARU – Lebih 1,000 penuntut Kelantan yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan menjalani kuliah seperti biasa susulan insiden letupan di negara itu.Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum perkembangan semasa penuntut di negara berkenaan menerusi komunikasi dengan pihak berkaitan.Menurut beliau, penuntut turut diminta sentiasa berhubung dengan kedutaan Malaysia bagi mendapatkan maklumat sahih serta mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa."Setakat ini mereka selamat dan pembelajaran tidak terganggu. Keadaan masih terkawal, insya-ALLAH," katanya semasa sidang akhbar sempena Sambutan 36 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) Tahun 2026 di Kota Darulnaim pada Ahad.Terdahulu, media melaporkan seramai 19 orang maut dan 364 lagi cedera dalam serangan kumpulan Houthi Yaman ke atas lapangan terbang Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha.Bagaimanapun, Malaysia Airlines dilaporkan menyambung semula operasi penerbangan berjadual dari negara itu ke Jeddah serta Madinah, Arab Saudi bermula Sabtu, selepas penilaian keselamatan dan risiko selesai.Wan Roslan memberitahu, kerajaan negeri mengambil iktibar daripada pengalaman menguruskan penuntut Kelantan ketika krisis di Mesir sebelum ini, termasuk tindakan membawa pulang penuntut apabila diarahkan kerajaan.Ujar beliau, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa serta memastikan kebajikan penuntut Kelantan di luar negara diberikan perhatian.Dalam perkembangan berkaitan, katanya, jumlah penuntut Kelantan yang melanjutkan pengajian di luar negara kini melebihi 1,000 orang, termasuk di Arab Saudi, Mesir dan Jordan.Tambah beliau, pertambahan seramai 147 penuntut direkodkan bagi tahun ini yang mana 107 daripadanya merupakan penuntut baharu semester pertama."Antara lokasi pengajian penuntut Kelantan ialah Jordan yang menempatkan kira-kira 200 penuntut, selain Mesir dan beberapa negara lain."Kerajaan negeri turut mempunyai tiga kakitangan yang menguruskan hal ehwal penuntut di luar negara bagi membantu menyelaras kebajikan serta keperluan mereka," katanya.Sehubungan itu beliau berkata, penuntut diingatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan mematuhi nasihat keselamatan pihak berkuasa sepanjang berada di luar negara.
-
'Kami hanya buat liputan, bukan mahu cetuskan provokasi' - Abbe Hae
18 October 2026
KOTA BHARU - "Kami hanya buat liputan, bukan mahu mencetuskan provokasi."Demikian penegasan aktivis masyarakat, Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan yang menjelaskan tujuan beliau bersama beberapa rakan turun ke bandar ini pada Jumaat lalu bagi meninjau kehadiran warga asing termasuk etnik Rohingya.Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu berkata, tinjauan berkenaan dilakukan secara berjalan kaki di beberapa lokasi sekitar bandar ini, termasuk Jalan Dato Pati dan Pasar Pokok Pinang.Menurutnya, sebelum memulakan tinjauan di Dataran Masjid Jamek Muhammadi, beliau terlebih dahulu memberi penerangan kepada rakan-rakan yang menyertainya supaya tidak melakukan provokasi atau menyentuh mana-mana individu."Tujuan kita adalah untuk membuat liputan tentang kebanjiran warga asing termasuk etnik Rohingya."Saya sudah ingatkan rakan-rakan supaya tidak membuat sebarang provokasi dan tidak menyentuh sesiapa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Sebelum ini, Abbe Hae mendakwa beliau bersama 15 individu lain ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu.Beliau mendakwa, mereka turut menjalani proses kawad cam dan pengambilan cap jari sebelum dibebaskan pada Ahad.Abbe Hae memberitahu, ketika menjalankan tinjauan di Jalan Dato Pati, beliau mendakwa ternampak seorang pekerja yang sedang menebar roti canai di sebuah kedai melarikan diri selepas melihat kumpulan mereka.Katanya, pekerja itu meninggalkan tempat memasak tanpa memadamkan api dapur, sebelum beliau masuk ke premis berkenaan untuk bertanyakan perkara itu kepada pemilik kedai."Wanita itu memaklumkan kepada saya bahawa pekerjanya ialah warga Rohingya. Saya menasihatinya supaya mengambil pekerja tempatan dan bukannya warga Rohingya."Saya bercakap dengan baik, tidak menggunakan bahasa kasar. Saya juga menunjukkan akta berkaitan untuk memaklumkan bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke Pasar Pokok Pinang dan mendakwa melihat ramai warga asing meninggalkan kawasan berkenaan ketika kumpulannya tiba, manakala beberapa yang lain masih berada di situ untuk membeli-belah.Abbe Hae turut mendakwa terdapat longgokan barangan perniagaan yang ditinggalkan di sekitar lorong pasar berkenaan, sebelum beliau bertegur sapa dengan beberapa peniaga tempatan.Dalam tinjauan sama, beliau berkata, turut menegur beberapa lelaki yang dipercayai warga Bangladesh di sebuah premis terbuka berhampiran pasar itu.Beliau turut menasihati mereka supaya bekerja dengan baik dan mencari rezeki untuk menyara keluarga di negara asal, selain mengingatkan supaya tidak menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia."Saya berpesan kepada mereka supaya bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Saya yakin mereka mempunyai permit kerana mereka tidak melarikan diri ketika ditegur," katanya.Abbe Hae turut mendakwa menegur seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai berhampiran berhubung perbezaan antara papan tanda premis dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan.Katanya, beliau memaklumkan perkara itu secara baik dan mengingatkan wanita berkenaan bahawa perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang sebelum beredar untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Merah.
-
Abbe Hae, 15 individu 'bermalam' di lokap selepas hadir ke IPD Kota Bharu
18 October 2026
KOTA BHARU – Niat membantu masyarakat bertukar menjadi pengalaman bermalam di lokap apabila aktivis masyarakat, Abbe Hae mendakwa beliau bersama 15 individu lain ditahan selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini pada Sabtu.Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan yang juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan mendakwa, beliau dan 15 individu berkenaan turut menjalani proses kawad cam serta pengambilan cap jari sebelum dibebaskan pada Ahad.Menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Ahad, beliau berkata, kejadian itu berlaku selepas mereka hadir ke IPD Kota Bharu kira-kira jam 3 petang Sabtu bagi memberikan keterangan berhubung satu laporan polis yang menurutnya dibuat oleh tiga individu yang didakwanya menggajikan warga asing."Petang semalam selesai saja abbe meraikan tiga anak anak angkat abbe dari Machang yang berjaya memperolehi MyKid, abbe dan yang lain lain bergegas ke IPD Kota Bharu kerana dipanggil untuk memberi keterangan. Abbe sampai di IPD KB jam 3 petang."Selepas diambil keterangan abbe sepatutnya ke Jalan PCB (Pantai Cahaya Bulan) untuk membantu seorang warga tua yang hidupnya berteduh disebuah pondok yang sangat kecil yang tidak berdinding," katanya.Bagaimanapun, beliau mendakwa terpaksa bermalam di lokap bersama individu lain yang turut dipanggil memberi keterangan.Abbe Hae memberitahu, antara individu yang bersamanya ialah Datuk Mizan daripada I Sejahtera Malaysia, Tengku Harith yang menguruskan pengurusan jenazah di Pasir Puteh serta pengasas Pusat Pemulihan Akhlak dan Dadah Manzilu Rahmah, Ayahanda Paduka Abe Aziz.Beliau mendakwa, proses kawad cam dilakukan di sebalik cermin, manakala mereka beratur untuk dikenal pasti.Abbe Hae meluahkan rasa terkilan dengan pengalaman itu, namun menegaskan beliau tidak menyalahkan pegawai polis yang menjalankan tugas.Sebaliknya, beliau merakamkan penghargaan kepada pegawai bahagian jenayah IPD Kota Bharu atas layanan baik sepanjang berada di situ.Beliau juga meminta orang ramai tidak mengecam pegawai polis yang bertugas kerana, menurutnya, mereka hanya menjalankan arahan diberikan.
-
10.9 peratus kanak-kanak Kelantan bantut, terutama Orang Asli - JKNK
18 October 2026
KOTA BHARU – Dianggarkan 10.9 peratus kanak-kanak di negeri ini mengalami masalah bantut terutama melibatkan Orang Asli.Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Kasuadi Hussin berkata, rekod tersebut diperolehi hasil daripada saringan yang dilakukan terhadap 2,688 kanak-kanak di 12 pasar raya di 10 daerah di negeri ini dari 15 Ogos hingga 15 September lalu.Menurut beliau, masalah itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia bukan sekadar berkaitan ketinggian fizikal, malah boleh menjejaskan perkembangan otak, keupayaan pembelajaran dan kesihatan kanak-kanak dalam jangka panjang.Ujarnya, masalah bantut lazimnya berkait rapat dengan pemakanan tidak seimbang yang berterusan dalam tempoh lama, selain faktor sosioekonomi keluarga."Bantut ini bukan semata-mata disebabkan faktor keturunan. Kebanyakannya lebih kepada pemakanan, walaupun faktor genetik juga boleh memainkan peranan."Pemakanan yang tidak mencukupi dan tidak seimbang dalam tempoh lama boleh menjejaskan tumbesaran kanak-kanak," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Karnival Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Sambutan Hari Kesihatan Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 di sini.Tambah beliau, masalah itu turut berkemungkinan berkait dengan keadaan keluarga berpendapatan rendah yang berdepan kekangan menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak.Jelasnya, selain itu komuniti Orang Asli juga antara kumpulan yang perlu diberikan perhatian, namun data khusus mengenai kadar bantut dalam kalangan komuniti berkenaan belum dapat dipastikan tanpa kajian terperinci.Dalam perkembangan sama, Dr Kasuadi memberitahu, hasil saringan berkenaan turut mendapati 769 kanak-kanak atau 28.6 peratus daripada keseluruhan yang diperiksa mempunyai isu kesihatan yang dikenal pasti."Selain bantut, daripada jumlah itu, sebanyak 9.8 peratus mengalami masalah kurang berat badan dan susut (4.9 peratus) manakala 9.6 peratus pula dikenal pasti tidak menerima penyusuan susu ibu secara eksklusif."Hanya 0.3 peratus daripada kanak-kanak yang disaring didapati tidak melengkapkan imunisasi," katanya.
-
Karpet masjid dicurah air selut busuk, serpihan tulang: Pemandu direman empat hari
18 October 2026
TUMPAT – Seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes khianat dan mencemarkan Masjid Al-Aziz Al-Hadi di Kota SPP Warisan di sini susulan kejadian karpet masjid dicurah air selut berbau busuk.Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan pada 5 Oktober lalu.Menurut beliau, lelaki terbabit direman bermula Sabtu hingga Selasa ini."Kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.Terdahulu jemaah sebuah masjid di Kampung Berangan di sini dikejutkan dengan perbuatan khianat apabila karpet ruang solat dicemari air selut berbau busuk dan bercampur serpihan tulang serta bulu pada pagi Isnin.Kejadian itu disedari pihak Masjid Al-Aziz Al-Hadi Kota SPP Warisan pada jam 6.30 pagi sebelum kontraktor pembersihan dipanggil untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.Mohd Khairi memberitahu, pihaknya memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesucian rumah ibadat.Ujarnya, sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih."Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu juga diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
-
Sanggup 'redah' kawat berduri demi masuk Malaysia selepas bercuti di Thailand
18 October 2026
RANTAU PANJANG – Gara-gara mahu pulang ke Malaysia selepas bercuti di Thailand dan melawat keluarga yang sakit, dua lelaki sanggup membuka kawat berduri di pangkalan haram Sungai Golok sebelum tindakan mereka dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.Kedua-dua lelaki berusia 56 dan 61 tahun itu ditahan dalam dua operasi berasingan menerusi Op Taring Wawasan di pangkalan haram Azizah dan Pok Su Rani di sini, masing-masing pada jam 6.50 petang dan 7.10 malam.Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan anggota Strike Force Sektor A Rantau Panjang, Kompeni C Batalion 9 PGA dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.Menurut beliau, dalam kejadian pertama, anggota bertugas yang melakukan pemerhatian di pangkalan haram Azizah mengesan seorang lelaki membuka kawat berduri untuk memasuki Malaysia dari arah Thailand."Anggota kemudian menghampiri tebing sungai berkenaan sebelum menahan lelaki terbabit dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa."Pemandu perahu yang membawanya dari Thailand melarikan diri menuju ke negara itu sebaik menyedari kehadiran pihak polis," katanya kepada pemberita pada Ahad.Ujar beliau, lelaki berkenaan yang berasal dari Jerteh, Terengganu, memaklumkan bahawa dia pergi ke Thailand untuk bercuti sebelum memasuki Malaysia melalui pangkalan haram berkenaan.Menurutnya, dalam kejadian kedua kira-kira 20 minit kemudian, anggota PGA mengesan perbuatan sama di pangkalan haram Pok Su Rani.Kata Ahmad Radzi, lelaki yang ditahan dalam operasi itu berasal dari Kota Bharu dan memaklumkan bahawa dia ke Thailand untuk melawat ahli keluarga yang sakit sebelum pulang ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan berkenaan."Kedua-dua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.
-
Raudhatul Ummah perkasa budaya tadabbur al-Quran
18 October 2026
TANAH MERAH – Usaha membudayakan amalan membaca dan memahami al-Quran dalam kehidupan seharian menjadi matlamat penubuhan Raudhatul Ummah yang dilancarkan di sini pada Jumaat.Pengasasnya, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, inisiatif itu dicetuskan bagi menggalakkan masyarakat setempat mendekati al-Quran melalui pembacaan dan tadabbur, sekali gus memperkukuh penghayatan terhadap kitab suci itu."Harapan saya agar Raudhatul Ummah dapat menjadi platform untuk masyarakat mendekati al-Quran, bukan sahaja melalui pembacaan, tetapi juga dengan memahami dan menghayati isi kandungannya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.Majlis pelancaran Raudhatul Ummah itu dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Ulama UMNO, Amran Arffin dan dihadiri kira-kira 300 orang.Menurut Wan Rakemi, Raudhatul Ummah terbuka kepada masyarakat umum sebagai ruang untuk menyemarakkan amalan berteraskan al-Quran serta mengeratkan hubungan sesama komuniti."Inisiatif ini turut bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi keilmuan Islam dengan masyarakat, selain menyemarakkan kerjasama dalam usaha membangunkan ummah berteraskan nilai Islam."Penubuhan ini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak, seterusnya menggalakkan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian," katanya.
-
Trend suntikan filler payudara meningkat, ancam nyawa
17 October 2026
KOTA BHARU – Trend suntikan bahan pengisi (filler) bagi mendapatkan saiz payudara yang lebih besar dan montok dalam kalangan wanita muda semakin membimbangkan apabila dikaitkan dengan komplikasi serius sehingga boleh mengancam nyawa.Peningkatan kes komplikasi akibat prosedur tersebut dikesan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, termasuk tiga pesakit yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan, selain dua kematian direkodkan dalam tempoh 10 tahun di negara ini.Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, beliau menerima antara empat hingga lima kes komplikasi suntikan filler payudara setiap tahun, namun angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana terdapat wanita yang malu untuk mendapatkan rawatan.Lebih membimbangkan, katanya, terdapat wanita yang menjalani prosedur tersebut walaupun mempunyai payudara normal, malah ada yang mengakui berbuat demikian atas permintaan pasangan."Wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun merupakan antara golongan yang mendapatkan suntikan filler termasuk mereka yang bekerjaya, berpendidikan tinggi dan pempengaruh media sosial yang mahu meningkatkan penampilan diri."Mereka tidak mengetahui risiko sebenar. Apabila berlaku jangkitan, payudara boleh bernanah dan terpaksa dibuang, malah kuman boleh merebak ke otak sehingga menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita selepas program Pink Walk 2026 di Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Sabtu.Menurut beliau, kebanyakan individu yang menawarkan perkhidmatan suntikan filler payudara bukan dalam kalangan doktor bertauliah, sebaliknya individu yang mendakwa diri mereka sebagai jururunding kecantikan dengan latihan yang sangat terhad."Mereka mempromosikan perkhidmatan melalui iklan dalam talian sebelum mengatur temu janji dengan pelanggan untuk suntikan yang berharga antara RM1,000 hingga RM10,000."Suntikan dilakukan di lokasi seperti bilik hotel dan kesan buruknya lazimnya mula dirasai selepas beberapa tahun," katanya.Dr Imi Sairi yang juga Ketua Perkhidmatan Kebangsaan Pembedahan Payudara dan Endokrin berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila bahan filler yang disuntik bercampur dengan tisu payudara sehingga sukar atau mustahil untuk dikeluarkan sepenuhnya.Menurutnya, pesakit yang mendapatkan rawatan pada peringkat awal masih boleh dibantu melalui rawatan antibiotik bagi mengawal jangkitan, namun dalam banyak kes payudara tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dibuang.Beliau turut menjelaskan bahawa suntikan filler boleh menyebabkan proses pengesanan kanser payudara menjadi lebih sukar menerusi pemeriksaan mamogram dan ultrabunyi."Saya mempunyai empat kes pesakit kanser payudara yang tidak dapat dikesan lebih awal dan hanya mendapatkan rawatan ketika penyakit sudah berada pada tahap empat."Bahan filler itu menutupi keseluruhan struktur payudara sehingga menyukarkan pengesanan sel kanser," katanya.Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperketat penguatkuasaan terhadap penggunaan suntikan filler payudara, khususnya yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah.Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penjualan bahan filler dari luar negara menerusi platform dalam talian yang membolehkan produk tersebut diperoleh dengan mudah.Sementara itu, Dr Imi Sairi berkata, seramai 2,500 peserta menyertai program Pink Walk 2026 anjuran YKKK yang turut disertai Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan isteri, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.Program berkenaan melibatkan aktiviti berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer bagi meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara."Kira-kira 200 pesakit kanser payudara turut menyertai program ini."Ia sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara serta memberi semangat kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan atau dalam proses pemulihan," katanya.
-
Pendidikan 5.0 perlu seimbang teknologi, nilai
17 October 2026
KOTA BHARU, 15 Okt. – Kemajuan teknologi dalam pendidikan perlu diseimbangkan dengan penerapan nilai, etika dan kemanusiaan bagi memastikan pembangunan generasi masa hadapan lebih holistik.Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zahari Aziz, berkata keseimbangan itu penting bagi membangunkan sistem pendidikan yang mampan dan tidak hanya tertumpu kepada penguasaan digital."Apabila kita bergerak menuju Pendidikan 5.0, tumpuan kita tidak boleh terhad kepada kemajuan teknologi semata-mata."Teknologi dan inovasi perlu dipandu oleh nilai, etika dan kemanusiaan bagi melahirkan individu yang berkeupayaan intelektual, bertanggungjawab kepada masyarakat serta mempunyai jati diri yang kukuh," katanya.Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperluas perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik bagi menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan.Perkara itu antara fokus Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kali Ke-4 (ICTE’26) yang berlangsung di Grand Riverview Hotel di sini, pada 14 dan 15 Oktober lalu.Persidangan bertemakan Transforming Educators for Education 5.0: Bridging Technology, Innovations and Values itu menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.Sebanyak 718 kumpulan turut menyertai pertandingan inovasi digital yang mengetengahkan elemen kecerdasan buatan (AI), integriti dan kelestarian dalam pendidikan.Empat Diamond Award diberikan mengikut kategori Professional Innovator, Ace Innovator, Pioneer Innovator dan Novice Innovator. Fahmi Odeni dari KPTM Alor Setar memenangi kategori Professional Innovator menerusi i-Integriti 2.0.Rembayung Jawi Pro dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan memenangi kategori Ace Innovator, manakala Muhammad Thaqif Darwisy Izani dari Maahad Sains Tok Guru meraih kategori Pioneer Innovator menerusi AddMathEZ.HABAGO dari Sekolah Rendah Islam Al Amin Keramat pula memenangi kategori Novice Innovator.Bagi anugerah khas, Dr. Hanzalah Mohamed Nor dari IPG Kampus Kota Bharu menerima Best Educational Impact Award menerusi HAN’S-CRiTAI, manakala FORMAT’nGo oleh TS Dr. Sabri Ahmad Hisham dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah memenangi Best Technology Integration Award.TOMA.Ai menerima Best Sustainable Innovation Award, HIJRALLE meraih Most Promising Innovation Award, manakala Light Dependent Safety Power Socket (LD-SPS) memenangi Best Practical Innovation Award.Dalam kategori penyelidikan, tiga kertas terbaik menerima Gold Award bagi kajian berkaitan motivasi penulisan Bahasa Inggeris, penglibatan industri dalam Sistem Latihan Dual Nasional serta integrasi AI dalam reka bentuk pengajaran Sains.Kajian berkenaan membabitkan penyelidik dari Malaysia, China dan Indonesia.Lima penerima turut diiktiraf menerusi Anugerah Poster Terbaik ICTE’26, termasuk wakil KPTM Ipoh, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Universiti Malaya.Ketua Pegawai Eksekutif KPTM Sdn. Bhd., Radzuan Razali, berkata perkongsian ilmu dan pembentukan jaringan kerjasama merupakan antara manfaat utama yang perlu dibawa pulang peserta.ICTE’26 dianjurkan KPTM Kota Bharu bersama institusi pendidikan di Kelantan dan Terengganu serta rakan kolaborasi tempatan dan antarabangsa.KPTM Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada 1983 di bawah MARA Corporation Sdn. Bhd., menawarkan 55 program pengajian menerusi tujuh cawangan, termasuk Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
-
‘Saya hanya mahukan susu untuk ibu'
14 October 2026
BACHOK – "Saya hanya mahukan susu untuk ibu. Itu sahaja yang saya fikirkan setiap hari."Begitulah luahan Nik Aliza Nik Soh, 53, yang sudah tiga tahun mengetepikan pekerjaan demi menjaga ibunya, Hasnah Ismail, 76, yang terlantar sakit akibat demensia tahap tujuh.Bekas juruwang di sebuah stesen minyak itu kini berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan harian ibunya, terutama susu khas yang menjadi antara keperluan utama wanita warga emas berkenaan.Nik Aliza berkata, dengan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 serta sumbangan adik-beradik, dia perlu mencari jalan untuk menampung perbelanjaan penjagaan ibunya yang jauh melebihi kemampuan kewangannya.Menurutnya, satu tin susu berjenama Apeton berharga kira-kira RM130 hanya mampu bertahan selama tiga hari.Ini bermakna, dia memerlukan kira-kira 10 tin susu sebulan dengan anggaran perbelanjaan mencecah RM1,300, belum termasuk lampin pakai buang, tisu basah, pelapik tilam dan ubat-ubatan."Duit bantuan JKM memang tidak cukup untuk menampung semua keperluan ibu. Susu sahaja sudah menelan belanja yang besar, belum lagi barang-barang lain yang diperlukan setiap hari."Saya bukan tidak mahu bekerja, tetapi siapa yang hendak menjaga ibu kalau saya keluar bekerja? Ibu memerlukan perhatian dan penjagaan sepanjang masa," katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Badak di sini.Nik Aliza, anak keempat daripada 13 beradik berkata, adik-beradiknya yang terdiri daripada lima perempuan dan lapan lelaki turut mempunyai tanggungan keluarga masing-masing serta bekerja dengan pendapatan yang tidak seberapa.Katanya, sumbangan adik-beradik yang diterima setakat ini hanya mampu membantu meringankan sebahagian beban, sedangkan keperluan ibunya perlu dipenuhi secara berterusan.Ujarnya, dia kini menunggu kelulusan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan sokongan bagi menampung keperluan ibunya.Selain keperluan harian, ibunya juga perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Psikiatri di Berek 12, Kota Bharu, yang memerlukan mereka berulang-alik setiap dua bulan.Bagi Nik Aliza, tanggungjawab menjaga ibu bukan sesuatu yang mahu dilepaskan, biarpun terpaksa mengorbankan sumber pendapatan sendiri demi memastikan wanita yang melahirkannya itu terus mendapat penjagaan sewajarnya.Namun, di sebalik kesungguhannya menjaga ibu yang semakin uzur, dia sentiasa memikirkan bagaimana mahu memastikan bekalan susu dan keperluan asas wanita itu tidak terputus.Dia tidak mengharapkan kemewahan, sebaliknya hanya berharap ada jalan untuk memastikan keperluan ibunya terus tersedia setiap hari.Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban Nik Aliza boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB Bank bernombor 7630289449.
-
Suami juga boleh jadi mangsa keganasan rumah tangga - JKM Kelantan
14 October 2026
KOTA BHARU - Keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan suami terhadap isteri, malah boleh berlaku terhadap suami oleh isteri atau ahli keluarga lain, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh.Beliau berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana keganasan dalam institusi keluarga boleh mengakibatkan kecederaan parah, kematian atau membawa kepada perlakuan jenayah lain sekiranya tidak dibendung."Kadangkala, individu yang berdepan tekanan mungkin mencari ruang untuk melepaskan tekanan itu, namun ia tidak sepatutnya dilakukan dengan menggunakan kekerasan terhadap pasangan atau ahli keluarga," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara JKM Negeri Kelantan Tahun 2026, di sini, hari ini.Che Samsuzuki berkata, sebanyak 32 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Kelantan setakat tahun ini, termasuk kejadian terbaharu membabitkan seorang wanita yang cedera parah selepas ditikam suaminya di Kampung Padang Lepai, Kadok, pada 5 Oktober.Sehubungan dengan itu, beliau berkata, JKM akan terus bekerjasama dengan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga serta saluran bantuan yang tersedia kepada mangsa.Che Samsuzuki berkata, mangsa yang mengalami keganasan, digesa tampil mendapatkan bantuan daripada JKM atau Pejabat Pembangunan Wanita, selain membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan perubatan sekiranya mengalami kecederaan."Jangan berdiam diri atau menganggap perkara itu sebagai masalah keluarga semata-mata."Mangsa perlu mendapatkan bantuan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan keselamatan mereka terjamin," katanya.- Bernama
-
Cubaan seludup 3,200kg beras gagal, PGA sita tiga kenderaan
11 October 2026
TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,200 kilogram (kg) beras yang dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok menggunakan pangkalan haram dalam tiga serbuan bersaingan di Kampung Kok Seraya, di sini pada Sabtu.Operasi bermula jam 7 malam itu dilaksanakan anggota Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menerusi Op Taring Wawasan apabila ketiga-tiga kenderaan ditinggalkan pemandu selepas menyedari kehadiran anggota dalam tiga serbuan berasingan.Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan pertama dilakukan kira-kira jam 7 malam apabila anggota mengesan sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di sekitar Pengkalan Kubor."Pemandu kenderaan itu memecut sebelum berhenti di bahu jalan dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran selepas menyedari diekori anggota."Pemeriksaan menemukan 1,100kg beras dalam guni putih di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan ruang bonet," katanya kepada pemberita pada Ahad.Ujar beliau, dua lagi rampasan dilakukan di kawasan sama apabila anggota mengesan sebuah Proton Wira dan Iswara yang turut membawa muatan beras.Ujarnya, dalam kedua-dua kejadian itu, pemandu masing-masing bertindak meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan semak selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa."Pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan masing-masing menemukan 1,050 kg beras."Anggota menunggu kira-kira 30 minit selepas setiap rampasan, namun tiada individu tampil menuntut kenderaan dan muatan berkenaan."Kesemua rampasan membabitkan tiga kenderaan dan 3,200kg beras dengan anggaran nilai keseluruhan RM37,800," katanya.Menurut beliau, nilai itu merangkumi tiga kenderaan yang dianggarkan RM25,000 dan beras bernilai RM12,800.Jelasnya, kes diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras Negara 1994.
-
Lubang benam: JKR pasang jambatan Bailey di Jalan Gua Musang-Kota Bharu
11 October 2026
GUA MUSANG - Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang Jambatan Bailey di Jalan Gua Musang-Kota Bharu (FT08) berhampiran Taman Rekreasi Etnobotani Kesedar, di sini yang ditutup akibat kejadian lubang benam pada Sabtu.JKR memaklumkan, pemasangan itu bertujuan memulihkan akses di kawasan berkenaan."Kerja pemasangan jambatan itu dijangka bermula pada 14 Oktober ini dan disiapkan dalam tempoh kira-kira seminggu," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook JKR Gua Musang Kelantan pada Ahad.Terdahulu media melaporkan kejadian lubang benam di FT08 jajaran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Jalan Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Taman Rekreasi Kesedar, di sini menyebabkan jalan itu ditutup kepada semua kenderaan pada Sabtu.Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dan Roadcare (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi kejadian membabitkan laluan FT08 di Seksyen 205.556 hingga 205.564 di jajaran projek LTU Pakej 3B dan 3C.Menurut kenyataan itu, bagaimanapun kerja-kerja itu tertakluk kepada kestabilan tanah serta keadaan keselamatan di tapak.Katanya, JKR akan terus memantau keadaan di lokasi dan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang pelaksanaan kerja.JKR menerusi kenyataan itu berkata, orang ramai turut diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan penutupan jalan serta menggunakan laluan alternatif yang disediakan."JKR memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna jalan raya akibat penutupan berkenaan."Jalan ini ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan kejadian lubang benam kira-kira jam 9.05 pagi pada Sabtu," katanya.Menurut JKR, penutupan bermula Sabtu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya."Sehubungan itu, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu melalui Gua Musang dan arah bertentangan dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui FT2747, Jalan Pulai-Bandar Baru Gua Musang."Pengguna juga diminta mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan yang dipasang di lokasi terjejas," katanya.