MsEn

Berita Kelantan

Sinar Harian: EDISI - Kelantan

19 Mac 2024

RSS Feed : EDISI - Kelantan
  • AKSB akan naik taraf LRA Manek Urai
    19 Mac 2024
    KOTA BHARU - Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Manek Urai bagi mengatasi masalah bekalan asas yang dihadapi penduduk di tiga kampung di Mukim Manjor, Kuala Krai. Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, langkah tersebut ialah antara perancangan pihaknya bagi penyelesaian jangka panjang masalah berkenaan. “Antara perancangan AKSB ialah menaik taraf LRA Manek Urai daripada enam juta liter sehari (JLH) kepada 20 JLH dan juga pembinaan Tangki Imbangan di Chucuh Puteri serta di Kampung Bukit Tebuk. “Perancangan jangka panjang naik taraf loji ini dijangka dimulakan pada tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Isnin. Sinar Harian sebelum ini melaporkan, 700 penduduk di Kampung Lela Jasa, Lebur dan Sungai Rek terpaksa menggunakan sumber air dari sungai dengan memasang sendiri paip sejauh lebih satu kilometer bersama pam berenjin sejak lebih setahun lalu. Izani berkata, gangguan bekalan air di kawasan tersebut adalah bersifat berkala dan sementara sahaja berikutan berlakunya gangguan teknikal di loji berkenaan. Menurut beliau, hanya 63 akaun aktif melibatkan kawasan itu dan menggunakan LRA Manek Urai sebagai sumber utama bekalan air bersih. “Jarak jajaran paip utama yang agak jauh iaitu kira-kira 13 kilometer dari LRA Manek Urai dan keadaan geografi kawasan yang berbukit antara faktor merencatkan bekalan air bersih untuk sampai ke rumah pengguna. “Apabila berlaku gangguan teknikal di LRA Manek Urai, akan mengambil masa melebihi 24 jam untuk bekalan air sampai ke kawasan tersebut,” katanya. Izani memberitahu AKSB bagaimanapun turut mengambil tindakan proaktif dengan menghantar lori tangki ke kawasan Sungai Rek dan menempatkan sebuah tangki statik berkapasiti 500 gelen di Kampung Lela Jasa untuk membantu penduduk terjejas. “AKSB juga ingin menasihatkan pengguna agar menyediakan tangki simpanan untuk menyimpan air bersih semasa bekalan air sampai ke rumah pengguna di luar waktu puncak,” katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • 'Saya minta maaf kepada pengguna air di Kelantan'
    19 Mac 2024
    KOTA BHARU - Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin memohon maaf kepada pengguna air di beberapa kawasan di Kelantan kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan air bersih. Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan program bersama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk melihat kawasan yang terkesan teruk bagi membolehkan tindakan segera dilakukan termasuk penghantaran lori tangki air. Dr Izani memberitahu, penggantian paip lama dan pembinaan loji rawatan mengambil masa agak lama untuk disiapkan dan banyak dalam proses disiapkan. "Saya mohon maaf kerana masih ada yang tidak sempat diselenggara dan siap sepenuhnya. Kita tidak menyalahkan sesiapa kerana pengurusan sebelum ini juga sudah melakukan yang terbaik," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Cabutan Kerja Undi JKR, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil 1/2024 pada Isnin. Dr Izani turut memberitahu, infrastruktur air dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028 dan kini banyak lagi loji dalam pembinaan sebelum rakyat menikmati sumber air yang lebih baik. Justeru, beliau mencadangkan pengguna yang terkesan dengan sumber air terutama ketika musim kemarau dan perayaan menyimpan air di dalam tangki untuk digunakan ketika kecemasan. Dalam pada itu, beliau berharap pembinaan kemudahan bekalan air melalui Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan atau migrasi air antara Kerajaan Persekutuan dan Kelantan dapat dipercepatkan. "Dalam tempoh itu, insya-ALLAH kita akan hantar lori dan menaik taraf loji supaya jumlah air meningkat untuk keperluan cuma mengambil masa," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28 @sinarharianonline Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin memohon maaf kepada pengguna air di beberapa kawasan di Kelantan kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan air bersih #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Edisi #Kelantan #Air #Maaf Spongebob Closing Theme Song Music - Ocean Floor Orchestra
  • Beg berisi barang kemas lebih RM10,000 tercicir semasa tarawih
    18 Mac 2024
    KOTA BHARU - Seorang warga emas menawarkan ganjaran kepada individu yang menjumpai beg berisi barangan kemas bernilai lebih RM10,000 selepas dipercayai tercicir ketika menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Kubang Kerian, di sini pada Sabtu lalu. Anak perempuan wanita itu yang dikenali sebagai Huda, 26, berkata, ibunya yang tinggal di Beris Kubur Besar, Bachok ke masjid tersebut setiap malam semasa Ramadan. Kata Huda, ibunya menyedari beg itu hilang selepas pulang dari tarawih pada hari berkenaan dan masih berada dalam keadaan bersedih kerana barangan kemas yang hilang itu memiliki nilai sentimental. “Saya nak minta tolong kalau ada yang terjumpa beg kecil berwarna biru muda berisi emas yang agak banyak kepunyaan ibu saya. “Dalam beg itu ada cincin perkahwinan, gelang, cincin pusaka arwah nenek dan banyak lagi. Sekarang ibu sedang bersedih dan sangat terkejut sebab jumlah kehilangan agak banyak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin. Huda berkata, dia tidak menolak kemungkinan beg tersebut tercicir di kawasan Bachok selain di masjid tersebut. Ujarnya, individu yang terjumpa beg tersebut boleh menghubunginya di talian 013-8125745 untuk dipulangkan. “Pada bulan Ramadan yang berkat ini dan kalau masih rezeki ibu saya, sesiapa yang terjumpa beg itu boleh hubungi kami segera. “Insya-ALLAH ganjaran akan diberikan kepada individu yang jumpa dan kembalikan beg serta barangan kemas itu,” katanya. Huda turut berkongsi tawaran itu di media sosial Facebook dan menerima reaksi orang ramai yang mendoakan semoga barangan kemas itu dijumpai semula. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Peruntukan meningkat, banyak lampu jalan boleh diselenggara
    18 Mac 2024
    KOTA BHARU - Peruntukan enam kali ganda yang diluluskan kerajaan Persekutuan membolehkan lebih banyak penyelenggaraan lampu jalan di jalan Persekutuan di seluruh negeri Kelantan dinaik taraf terutama di kawasan kemalangan. Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, tahun ini kerajaan negeri menerima sebanyak RM6.1 juta untuk tujuan berkenaan berbanding tahun lalu hanya lebih RM1 juta. Beliau berkata, kerajaan Persekutuan menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melaksanakan program pemasangan lampu di kawasan kemalangan dan kawasan berisiko kemalangan akibat jalan gelap. "Terima kasih kerana meluluskan peruntukan besar itu selepas JKR mengenal pasti jalan Persekutuan yang perlu diselenggara," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Cabutan Kerja Undi JKR, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil 1/2024 pada Isnin. Dr Izani memberitahu, seramai 40 daripada 143 kontraktor yang memenuhi syarat bertuah dalam cabutan undi berkenaan dan kesemua mereka akan dipantau oleh JKR. Jelasnya lagi, antara lokasi terbabit ialah Jalan Kubang Kerian-Bachok, Jalan Pasir Hor-Persimpangan Batu 4, Jalan Istana Negeri-Pasir Tumboh dan Jalan Kota Bharu-Gua Musang. Dalam pada itu beliau berharap kontraktor terpilih dapat melakukan kerja-kerja sebaik mungkin dan penuh integriti mengikut kontrak yang dipersetujui bersama. Tambah beliau, kerajaan negeri menyasarkan kesemua projek bernilai antara RM50,000 hingga RM200,000 itu dapat disiapkan secara berperingkat sehingga Julai depan. "Penyelenggaraan ini merupakan peringkat pertama dan selepas ini akan dikenal pasti lagi sebelum kita memohon bajet lain," katanya. Beliau juga mahu JKR dapat menjalankan tugas dengan baik dan memantau kerja-kerja dilakukan kontraktor supaya hasilnya sempurna. "Pembayaran pula perlu disegerakan selepas kerja-kerja siap bagi membantu kontraktor membuat pusingan modal untuk projek mereka seterusnya," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Gangguan air berkala, sementara - AKSB
    18 Mac 2024
    KOTA BHARU - Gangguan bekalan air di Gunung, Bachok khususnya di Taman Putri Saadong dan kawasan berhampiran di sini bersifat berkala dan sementara. Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan punca bekalan air terputus adalah kerana bekalan yang diterima daripada Loji Rawatan Air (LRA) Chicha menyusut berikutan penerobosan air masin di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumbuh sehingga menyebabkan kandungan klorida melebihi kadar dibenarkan. Menurut AKSB, hal itu menyebabkan pengambilan air mentah melalui telaga jejari Pasir Tumbuh yang membekalkan air mentah ke LRA Chicha terpaksa dikurangkan kepada 10 juta liter sehari (JLH) berbanding pengeluaran asal 15 JLH. "Kebiasaannya, LRA Chicha dapat membekalkan air kepada Jajahan Bachok sehingga lapan JLH. Bagi mengatasi masalah ini, AKSB telah mengambil tindakan proaktif dengan menggerakkan lori tangki bagi menghantar dan pengisian semula tangki-tangki statik ke kawasan terjejas," menurut kenyataan itu. AKSB memaklumkan sehingga kini, empat tangki statik sedang ditempatkan di kawasan terjejas iaitu di Pasar Gunong, Taman Puteri Saadong, Taman Hamidah dan Kampung Telaga Ara. AKSB turut melakukan penghantaran air melalui Lori Air Kontrak (LAK) dengan kekerapan setiap hari atau mengikut permintaan bermula 9 pagi sehingga 6 petang, selain dua LAK juga akan ditambah bagi membantu penduduk terjejas. Menurut AKSB perkembangan lanjut situasi itu boleh diketahui menerusi saluran komunikasi syarikat itu seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram, Tik Tok selain pengguna boleh hubungi PINTAS di talian 15777. - Bernama
  • Rumah dijadikan transit simpan minyak diesel
    18 Mac 2024
    TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyerbu sebuah rumah di Kampung Ketil Pengkalan Kubor, di sini pada Ahad selepas dipercayai menjadi transit simpanan minyak diesel sebelum diseludup ke negara jiran. Pengarahnya, Azman Ismail berkata, dalam serbuan jam 5.30 petang itu KPDN Kelantan berjaya menyita kira-kira 150 liter minyak diesel. "Terdahulu hasil maklumat pasukan risikan menyatakan rumah tersebut dijadikan transit simpanan sementara barang kawalan, disyaki akan dibawa ke pangkalan haram untuk diselewengkan. "Kesemua barang kawalan diisi dalam tong-tong jerikin dijumpai bersama sebuah lori jenis Mitsubishi Canter berhampiran rumah berkenaan dan disita pasukan operasi," katanya kepada pemberita pada Isnin. Menurut beliau, walau bagaimanapun tiada suspek dikesan di lokasi kejadian tersebut. Ujarnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Azman memberitahu, kejayaan ini hasil Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di sempadan negara. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Jala mas, bunga tanjung, tahi itik pilihan semasa Ramadan
    18 Mac 2024
    KOTA BHARU - Permintaan tinggi kuih tradisional jala mas, bunga tanjung dan tahi itik ketika Ramadan mendorong seorang pengusaha meningkatkan pengeluaran kuih manisan itu dengan menggunakan 4,000 telur ayam sehari. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 66, berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding hari biasa yang hanya menggunakan 400 biji telur seminggu untuk menghasilkan kuih-muih tersebut. Menurutnya, jala mas, bunga tanjung dan tahi itik dihasilkan itu masih mengekalkan resipi warisan arwah isterinya, Nik Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia pada tahun 2017. “Saya sudah berniaga selama 20 tahun dan menggunakan telur gred AA walaupun harganya lebih mahal iaitu 55 sen sebiji bagi mendapatkan telur kuning berkualiti dengan warna lebih cantik. “Sebanyak 4,000 biji telur digunakan setiap hari dengan kuningnya diambil untuk menghasilkan jala mas dan bunga tanjung manakala telur putih pula digunakan untuk membuat tahi itik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tikat, di sini pada Isnin. Mohammed berkata, selain telur, bahan penting untuk menghasilkan jalan mas, bunga tanjung dan tahi itik ialah air gula. Ujarnya, pembuat kuih perlu mempunyai kemahiran untuk melarutkan air dan gula supaya tidak terlalu pekat atau terlalu cair sebelum mengirai jala mas dan merebus bunga tanjung. “Saya menggunakan acuan roti jala untuk mengirai jala mas dalam air gula yang memiliki kelikatan sederhana. “Air gula yang terlalu cair akan menyebabkan helaian jala mas melekat antara satu sama lain manakala jika air gula terlalu pekat akan menyebabkan jala mas menjadi putus dan tidak terbentuk dengan elok,” katanya. Tambah Mohammed, walaupun harga bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan kuih tradisional itu mahal, dia tetap mengekalkan harga jualan kuih-muih seperti tahun lalu. Kata Mohammed, kerja-kerja membuat kuih itu dimulakan pada jam 7 pagi setiap hari semasa bulan puasa dengan dibantu anak-anak serta 16 pekerja. “Saya tidak menaikkan harga kuih walaupun mengalami penyusutan untung kerana tidak tergamak bila memikirkan pelanggan tetap yang datang membeli. “Jala mas ini dijual RM13 sebekas manakala buah tanjung dan tahi itik ditawar pada harga RM6 sebekas melalui gerai yang dibuka di hadapan rumah sepanjang Ramadan,” katanya yang menerima pelanggan dari seluruh Kelantan termasuk Pasir Mas, Jeli, Rantau Panjang dan Tumpat. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Cuaca panas tidak jejaskan bekalan sayur di Kelantan
    18 Mac 2024
    KOTA BHARU - Cuaca panas yang sedang melanda negara tidak menjejaskan bekalan sayur-sayuran di negeri ini. Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu tersebut. "Kami tidak terima apa-apa aduan samaada melibatkan masalah pemasaran atau pun pengeluaran. "Di Kelantan, kita ada RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) yang menyediakan kemudahan dari segi pemasaran, pemborongan dan peruncitan untuk mereka memasarkan sendiri produk," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin. Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai Wangi Peserta Ladang Kontrak Projek Kampung Banggol, di sini. Media tempatan sebelum ini melaporkan pengeluaran hasil sayuran negara dijangka terjejas sehingga 40 peratus mulai bulan depan menyebabkan harganya di pasaran melambung susulan pengusaha tanaman menghadapi krisis tenaga kerja. Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata, ia berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini. Katanya, senario itu akan menyebabkan harga sayuran di pasaran meningkat mendadak apabila bekalan sayuran berkurangan dengan hasil sayuran tidak dapat dikeluarkan seperti biasa akibat kekurangan tenaga kerja. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • FAMA Kelantan bantu beli, pasarkan 170 tan metrik tembikai wangi
    18 Mac 2024
    KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan membantu membeli dan memasarkan 170 tan metrik tembikai wangi yang diusahakan oleh petani di Ladang Kontrak Projek Kampung Banggol, di sini pada Isnin. Pengarahnya, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, hasil keluaran itu akan dipasarkan ke Lembah Klang, Pahang dan Negeri Sembilan selain memenuhi permintaan tempatan. "Kita sedia maklum tembikai wangi Banggol merupakan paling manis yang ada di Malaysia. "Projek ini diusahakan oleh 31 petani di tanah seluas 24.3 hektar," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin. Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai Wangi Peserta Ladang Kontrak Projek Kampung Banggol, di sini. Menurut Wan Faizatul Aniza, selain itu tembikai wangi mendapat permintaan tinggi di pasaran lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Ujarnya, FAMA membeli buah tersebut dengan harga lantai RM1 sekilogram daripada petani. Beliau memberitahu, pembelian tersebut bermula 19 hingga 25 Mac ini. "Dengan cara ini FAMA dapat menjamin pendapatan pengeluar melalui kontrak pembelian dan memastikan hasil pengeluaran peserta dapat dipasarkan serta tiada lambakan berlaku," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Suri rumah hasilkan beg daripada karpet
    18 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kreativiti seorang suri rumah dari Kampung Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini, berjaya menghasilkan beg tote pelbagai corak menarik dan berwarna-warni dengan menggunakan karpet. Suriati Mohd Noor, 55, berkata, beg yang dihasilkan menggunakan karpet biasa dan karpet berbulu itu sangat laris ketika Ramadan kerana digunakan untuk meletakkan telekung ketika ke masjid untuk solat tarawih. “Kebiasaan beg akan cepat terkopak dan tercabut pada bahagian tali. Jadi, dengan menggunakan kemahiran asas menjahit yang ada, saya cuba menghasilkan beg daripada karpet yang lebih tahan lasak. "Tidak sangka mendapat sambutan hangat lebih-lebih lagi ketika bulan puasa sebab ramai yang ke masjid untuk solat tarawih,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad. Ibu 10 cahaya mata itu berkata, dalam sehari, dia mampu menjahit satu hingga dua beg dengan menggunakan benang nilon yang lebih mahal berbanding benang jenis biasa bagi memastikan jahitan beg tersebut tahan lama. “Pada hari-hari biasa, saya dapat menjual lima hingga enam beg dalam sehari manakala pada Ramadan jualan boleh mencapai 10 beg setiap hari dan akan semakin banyak menjelang Aidilfitri. “Selain berbulu, beg ini juga terdapat dalam pelbagai corak termasuk flora, abstrak dan batik serta pelbagai saiz boleh didapati hingga mampu memuatkan pakaian untuk dibawa ke mana-mana,” katanya. Tambah Suriati, dia juga menghasilkan dompet dan beg dengan tali yang lebih panjang mengikut kehendak pelanggan. Katanya, harga setiap beg dijual bermula RM15 sehingga RM60. “Saya mahu pelanggan saya memakai beg berkualiti seperti mana saya juga wanita yang mahukan beg-beg berkualiti dan lasak untuk digayakan, namun pada masa sama tetap cantik serta unik,” katanya yang membuka gerai perniagaan di pasar pagi di Medan Ilmu di sini setiap kali kuliah Jumaat sahaja. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Diuji mata buta 'dirempuh' haiwan terbang
    18 Mac 2024
    PASIR MAS - Seorang lelaki di Kampung Kubang Panjang di sini terpaksa bergantung kepada ibu bapa dan isterinya sejak dua tahun lalu selepas kedua-dua matanya buta akibat 'dirempuh' seekor haiwan yang terbang ketika menunggang motosikal. Mohd Razi Ibrahim, 36, yang mengalami kecacatan kekal berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam pada Mac 2022 itu, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah syarikat di Kota Bharu. "Sebaik tiba di satu lokasi di Kampung Salor, secara tiba-tiba mata kiri saya terasa seperti 'dirempuh' oleh seekor haiwan yang sedang terbang. "Saya tidak pasti sama ada kelawar atau burung kerana menunggang motosikal pada waktu malam tetapi mata tidak berdarah," katanya. Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan pada Program Ramadan Relief Serantau bersama Maybank Islamic anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) yang disampaikan oleh Presiden IAM, Zawahir Abdullah di Masjid Mukim Kubang Panjang di sini baru-baru ini. Bapa kepada seorang anak berusia lima tahun itu memberitahu, selepas kejadian tersebut, matanya terasa amat sakit, manakala saraf di bahagian itu membengkak dan kemerahan. Katanya, keadaannya semakin buruk apabila kesakitan itu merebak ke mata kanan. "Doktor berusaha dengan melakukan pembedahan pada Julai tahun lalu tetapi keadaan mata saya sudah serius dan tidak dapat diselamatkan," katanya. Bagaimanapun katanya, dia reda diuji dengan keadaan itu walaupun pada mulanya sukar untuk bergerak. Anak ke-10 daripada 12 beradik itu kini tinggal bersama ibu bapanya yang sudah uzur, Mek Embun Deraman, 75, dan Ibrahim Abdul Rahman, 84. Dia bersyukur kerana isterinya, Nastasya Farahanin Hassan, 30, banyak membantu walaupun keadaan kesihatan wanita itu tidak memuaskan kerana sering diserang asma selain sedang mengandungkan anak kedua mereka. Mohd Razi berkata, dia turut bersyukur kerana adik-beradik membantu meringankan beban keluarganya. Katanya, persiapan Ramadan tahun ini dibuat ala kadar kerana dia tidak mampu bekerja dan bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Bagaimanapun katanya, Program Ramadan Relief Serantau bersama Maybank Islamic anjuran IAM banyak membantunya menjimatkan belanja ketika Ramadan. Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0300 7410 0011 9882 atas nama Mohd Razi. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Tular kanak-kanak Indonesia sampaikan tazkirah di masjid di Kelantan
    17 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kanak-kanak berusia 11 tahun yang tular di media sosial pada Ahad selepas menyampaikan tazkirah Subuh di Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol di sini, tidak dijemput untuk tujuan kuliah berkenaan. Kanak-kanak itu, Ibrahim Khalilurrahman merupakan pelajar Maahad Tahfiz Darul Huffaz, Lampung, Sumatera dan datang ke negara ini bersama mudir maahad terbabit. Imam Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, Muhammad A'mmar Azlan berkata, Ibrahim menyampaikan tazkirah itu selepas diminta oleh mudirnya yang juga popular sebagai ahli panel sebuah rancangan agama di televisyen di negara ini pada 1990-an. "Video itu dirakam pada 10 Februari ketika mudir Nur Salam Abdul Mutalib dijemput hadir di masjid berkenaan untuk berkongsi ilmu berkaitan Israk dan Mikraj selepas solat Subuh," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad. Beliau memberitahu, pihak masjid memberi fokus untuk memotivasikan ramai kanak-kanak yang kebetulan mempunyai kelas al-Quran pada hari sama. "Ibrahim diharap dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak dan pendakwah cilik itu menyampaikan tazkirah berkaitan keistimewaan al-Quran," katanya. Bagaimanapun jelas beliau, Ibrahim bukan penyampai ceramah agama kepada jemaah dewasa tetapi pihak pengurusan masjid bersyukur kerana dia mampu menarik minat semua jemaah yang hadir. Sebelum ini tular di media sosial seorang kanak-kanak duduk di kerusi penceramah di sebuah masjid di Banggol. Kanak-kanak yang memakai jubah berwarna coklat dan berkopiah putih itu dengan tenang menyampaikan ceramah agama dalam bahasa Indonesia. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Balu Miji Cromok terima pencen penakat PERKESO
    17 Mac 2024
    PASIR MAS - Balu kepada Miji Cromok yang merupakan bekas pemain dram kumpulan thrash metal popular tanah air menerima pencen penakat menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Halijah Othman, 52, yang merupakan seorang suri rumah meluahkan rasa syukur selepas mendapat tahu dia layak menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM885. "Saya masih lagi mempunyai seorang anak yang sedang mengikuti pengajian di Politeknik Dungun. "Duit ini dapat digunakan untuk kelangsungan hidup selain dibantu oleh dua lagi anak yang sudah bekerja," katanya semasa menerima kunjungan daripada wakil Perkeso Kelantan di rumahnya di Kampung Cherang Hangus di sini pada Ahad. Dalam lawatan tersebut Halijah turut menerima bayaran faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000. Menurutnya, pencen tersebut diterima hasil daripada caruman majikan arwah suaminya sebelum ini iaitu EMI (MSIA) Sdn Bhd. Ujarnya, mereka sekeluarga mula menetap di Kelantan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP). Halijah memberitahu, mereka mempunyai tiga orang anak berusia 21 hingga 26 tahun. Pada 6 Mac lalu, bekas pemain dram kumpulan thrash metal tanah air, Tarmizi Mokhtar atau lebih dikenali Miji Cromok telah meninggal dunia. Berita mengenai pemergian Allahyarham itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook akaun KARL Cromok pada tengah malam Rabu. Sebelum itu, Karl menerusi siaran di Facebooknya, pernah berkongsikan keadaan Allahyarham yang menjalani rawatan di hospital akibat kanser hati tahap empat. Allahyarham dan Karl merupakan antara anggota asal Cromok yang sama-sama menubuhkan kumpulan tersebut pada 1987. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Muntah selepas makan martabak 'inti' lipas
    17 Mac 2024
    KUALA KRAI - Seorang wanita memuntahkan kembali martabak yang dimakannya semasa sahur selepas mendapati ada seekor lipas dalam inti makanan itu pada Ahad. Ingin dikenali sebagai Azie, 30an, berkata, dia membeli lima biji martabak di sebuah gerai di Guchil di sini pada petang Sabtu. "Semasa mengunyah martabak saya merasa pelik kerana ianya rangup. Malah sangat terkejut apabila mendapati ianya seekor lipas. "Saya terus muntah dan hilang selera makan kerana terbayangkan lipas berada di dalam mulut. Sangat menggelikan," katanya kepada pemberita. Tambah Azie, dia tidak sempat merakam sebarang gambar kerana mengalami muntah yang teruk akibat terkejut. Menurut ibu kepada seorang anak itu, martabak tersebut dibeli dengan harga RM5 sebiji. Ujarnya, setiap kali Ramadan kedai tersebut sentiasa menjadi pilihan dia dan keluarga kerana martabaknya sedap sehingga popular dalam kalangan penduduk setempat. Azie memberitahu, dia tidak mempunyai perancangan untuk membuat aduan atau memaklumkan kepada tuan kedai. "Cukuplah saya memboikot kedai tersebut selepas ini. Namun sebagai pengguna saya berharap peniaga yang menjual makanan agar lebih berhati-hati dan menitip beratkan soal kebersihan," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Muhammad Zafran sambung warisan sebagai penenun songket
    17 Mac 2024
    KOTA BHARU - Seorang pemuda tidak menyangka akan menjadi penyambung warisan penenun songket dalam keluarganya yang mula diusahakan sebelum tahun1930-an. Muhammad Zafran Ariffin, 22, berkata, datuknya, Datuk Hussin Yusoff berkongsi perkara itu ketika dia menyambung pengajian Diploma Kraf tenunan, Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor tahun lalu. Menurut Muhammad Zafran, bacaan buku ilmiahnya mendapati ramai wanita di Kelantan merupakan penenun sehingga perang Jepun. "Saya terkejut apabila dimaklumkan moyang dahulu seorang penenun mahir malah boleh menenun kain punca potong yang kini disimpan kemas di rumah datuk," katanya. Menurut Muhammad Zafran, bakat dan minatnya mungkin turun temurun daripada nenek moyangnya yang ketika itu akfif menenun. Anak keempat daripada lima beradik itu sanggup mengumpul wang hasil bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membeli kek (mesin) tenun pada harga keseluruhan mencecah RM2,000. "Saya membeli kek tenun secara berasingan termasuk dari Kuala Terengganu bagi menghasilkan tenunan berkualiti dan kemas," katanya ketika ditemui di bengkel tenunnya di Kampung Pauh di sini pada Sabtu. Muhammad Zafran berkata, dia baharu sahaja mula menenun songket selepas tamat pengajian dan berhasrat menghasilkan tiga sampin songket dalam tempoh tiga bulan. Tambahnya, bagi mencapai impian itu, dia perlu bekerja selama 12 jam sehari untuk menyiapkan corak yang direka sendiri. Lebih kreatif, aplikasi permainan dalam talian diubah suai menjadi rekaan bunga untuk menghasilkan tenunan di sampin songketnya. "Antara corak yang saya hasilkan ialah bunga bintang, pagar istana, kendik tali dan air muleh berakar," katanya. Muhammad Zafran memberitahu, pembuatan tenunan kini tidak lagi popular di Kelantan berikutan ramai yang sudah 'menggantung' kek tenun mereka. "Saya dimaklumkan beberapa bekas penenun songket, bisnes tenun itu sebelum ini sangat bergantung kepada kerajaan dan kini pembuatannya semakin berkurang. "Mungkin saya akan mengambil masa yang lama untuk menghasilkan tenunan yang benar-benar berkualiti namun besar harapan supaya dapat menyambung warisan keluarga," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Kerajaan salur RM153.2 juta bangunkan Kelantan Selatan
    17 Mac 2024
    TANAH MERAH - Sejumlah RM153.2 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bermula 2021 hingga 2024 untuk membangunkan Kelantan Selatan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM36.47 juta telah diluluskan kerajaan merangkumi pelaksanaan 27 program dan projek pembangunan. "Peruntukan ini disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). "Sebanyak RM7.2 juta daripada jumlah tersebut telah diperuntukkan kepada rakyat Tanah Merah melalui projek pembangunan," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, di sini pada Sabtu. Menurut beliau yang juga Menteri KKDW, ia melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa yang memberi manfaat langsung kepada lebih 10,000 orang penduduk. Ahli Parlimen Bagan Datoh itu memberitahu, sebanyak RM42.5 juta telah diluluskan oleh kementerian lain melibatkan projek menaiktaraf jalan ke Kampung Kusial. Ujarnya, projek tersebut dijangka siap tahun 2026 sekali gus menyelesaikan isu jalan perhubungan yang terputus ke kampung berkenaan semasa banjir. Tambah Ahmad Zahid, dalam tempoh tiga tahun bermula 2021, Kesedar telah membina 35 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melibatkan kos sebanyak RM2.3 juta. "Pada masa sama, sebanyak RM1.5 juta telah disalurkan untuk kerja-kerja baik pulih 141 unit rumah. "Kerajaan Persekutuan akan terus memacu lebih banyak program-program pembangunan yang boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Tanah Merah dan kawasan Kelantan Selatan umumnya," ujarnya. Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM293,300 telah disalurkan oleh Kesedar kepada 475 masjid dan madrasah di kawasan Kelantan Selatan. Beliau memberitahu, belanja itu bertujuan menghidupkan bulan Ramadan serta melibatkan ceramah-ceramah agama, majlis berbuka puasa dan lain-lain "Sebanyak RM60,000 untuk bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar di Wilayah Kelantan Selatan," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Bina masjid RM7.5 juta di kawasan permainan masa kecil
    16 Mac 2024
    KOTA BHARU - Hasrat murni seorang lelaki membina sebuah masjid di kawasan permainannya sewaktu kecil akhirnya menjadi kenyataan selepas rumah ibadah bernilai RM7.5 juta itu telah siap dibina. Pembinaan Masjid Imanul Fa'izin atau Masjid Andalusia yang terletak di Kampung Padang Kala, di sini berjaya direalisasikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin. Reka bentuk yang berinspirasikan Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan. Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa'izin, Nik Saiful Adli Burhan, tapak masjid ini merupakan kawasan permainan pemiliknya semasa kanak-kanak sekali gus meninggalkan banyak memori indah kepada Ibrahim. "Bertitik-tolak dari situlah beliau (Ibrahim) berazam untuk membina sebuah masjid menggunakan wang miliknya sendiri. "Alhamdulillah masjid ini berjaya dibuka kepada orang ramai bermula satu Ramadan lalu. Malah lebih bermakna lagi apabila 2,000 jemaah hadir menunaikan solat sunat tarawih di sini pada hari pertama pembukaan," katanya kepada Sinar Harian. Menurut beliau, untuk menyiapkan masjid ini barangan pembinaan diterbangkan khas dari beberapa negara seperti Indonesia, Oman, Turkiye, Mesir, Madinah, Makkah dan beberapa negara lain lagi. Ujarnya, ketelitian menjadi keutamaan dalam pembinaan Masjid Imanul Fa'izin apabila pintu gerbang diubah sebanyak 21 kali bagi memastikan seni binanya tepat sebagai mana reka bentuk asal. Nik Saiful Adli memberitahu, Ibrahim yang menetap di Kuala Lumpur hanya memberikan gambar dari pelbagai sudut Masjid Sheikh Zayed kepada tukang untuk dijadikan sebagai panduan bagi memastikan binaannya sempurna. Tambahnya, Ibrahim amat menitikberatkan reka bentuk setiap inci binaan termasuk kubah, tiang mahupun pintu gerbang masjid agar secara luaran ia menyamai Masjid Sheikh Zayed. "Sebagai contoh lantai masjid adalah marmar yang sama digunakan di Masjidilharam. Apabila siang hari, lantai ini tidak panas. "Malah karpet yang digunakan adalah bercorak sama seperti di Raudhah, Masjid Nabawi, Madinah yang ditempah khas dari kilang sama. "Lebih istimewa, setiap kawasan di masjid ini boleh digunakan untuk solat kerana terdapat sekumpulan pekerja asing yang ditugaskan khas untuk mencuci kawasan setiap waktu solat," katanya. Menurut Nik Saiful Adli, uniknya suasana di sini apabila lantai akan dicuci, dimop dan karpet serta sejadah akan ditukar sebagaimana yang dilakukan di Masjidilharam, Makkah. Selain pintu gerbang, beliau berkata, kewujudan lebih 100 kubah besar dan kecil berwarna putih yang turut mencuri tumpuan orang ramai setiap kali berkunjung ke masjid berkenaan. Katanya, sebahagian daripada kubah itu ditempah dan dibeli dari Indonesia. Dalam pada itu, beliau memberitahu selain solat sunat tarawih, orang ramai juga boleh menyertai majlis berbuka puasa yang disediakan untuk sekitar 200 hingga 400 jemaah serta moreh. Ujarnya, selepas empat hari dibuka kepada orang ramai masjid tersebut tidak pernah lekang daripada menerima pengunjung. Nik Saiful Adli memberitahu, pengunjung serta jemaah datang dari pelbagai kawasan seperti Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang dan paling jauh setakat ini dari Besut, Terengganu. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Bazar Ramadan Kampung Lubok bawa pengunjung kembali ke era 50-an
    16 Mac 2024
    TANAH MERAH - Pasangan peniaga roti canai di Kampung Lubok, Tanah Merah mencipta kelainan dengan menganjurkan bazar Ramadan berkonsep klasik iaitu zaman 50-an. Fifi Nasuha Samoh, 26, berkata, konsep itu dipersetujui bersama suami Abdul Syukor Othman, 40, bertujuan memeriahkan Ramadan selain berkongsi rezeki dengan peniaga kecil di kampung berkenaan. Menurut beliau, idea itu wujud selepas melihat konsep berkenaan diperkenalkan di Kampung Selama di Perak ketika melawat kakaknya yang menetap di sana. "Kebetulan pula suami saya mempunyai tanah di hadapan kedai makan kami di kampung ini dan sesuai untuk dijadikan tapak bazar Ramadan," katanya. Justeru kata Fifi Nasuha, selepas perbincangan bersama, mereka bersetuju menganjurkan bazar dengan kadar sewa RM5 sehari pada hari berniaga sahaja. Jelasnya, bagi memeriahkan suasana bazar, peniaga dan pengunjung digalakkan memakai pakaian bertema klasik sesuai dengan konsep yang diketengahkan. Antara pakaian itu katanya, baju kurung Kedah, kain sarung dan selendang untuk wanita manakala lelaki pula perlu mengenakan busana seperti samping menggunakan kain pelikat, semutar kepala kain lepas atau bersongkok. Bagaimanapun menurut Fifi Nasuha, mereka tetap memaklumkan peniaga supaya menjaga kualiti makanan dan kebersihan di bazar itu. "Walaupun tema itu boleh menarik perhatian pelanggan namun peniaga perlu mengutamakan dua perkara itu supaya pelanggan gembira untuk kembali setiap hari di bazar ini," katanya lagi. Jelasnya lagi, bazar yang boleh memuatkan kira-kira 20 peniaga itu juga merupakan satu-satunya berada di dalam kampung berkenaan. "Bazar Ramadan ini juga membantu penduduk setempat menjimatkan masa kerana tidak perlu bersesak untuk keluar ke bandar Tanah Merah bagi mendapatkan juadah berbuka puasa," katanya. Fifi Nasuha memberitahu, antara juadah istimewa yang terdapat di bazar berkenaan ialah ondeh-ondeh yang dimasak panas, martabak, ayam percik serta pelbagai jenis kuih, lauk-pauk dan air. Sementara itu, pemandu lori, Mohd Adli Mat Kasim, 37, mengambil peluang untuk berniaga ikan bakar dan air balang sepanjang Ramadan. Katanya, konsep yang diketengahkan penganjur mendapat sambutan menggalakkan pengunjung dan jualannya juga laris bermula hari kedua. "Alhamdulillah, saya akan terus berniaga di sini sesuai dengan bayaran sewa tapak dan konsep baharu yang diperkenalkan penganjur," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Tindakan tegas ke atas pemilik kilang buang sisa ke sungai - Exco
    16 Mac 2024
    KOTA BHARU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa mengambil tindakan tegas jika benar terdapat pemilik-pemilik kilang yang didapati membuang sisa-sisa bahan kimia berbahaya ke sungai-sungai di negeri ini hingga mengundang risiko penyakit kanser. Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, Sungai Alor B di Sungai Pancor yang direkodkan tercemar berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling (EQR) 2022 oleh JAS terletak di kawasan kilang perindustrtian Pengkalan Chepa, di sini. Menurut laporan itu, Indeks Kualiti Air (IKA) sungai terbabit ialah 59 dan termasuk dalam kelas tiga iaitu memerlukan rawatan tambahan jika dijadikan air minuman. “Melepaskan sisa buangan ke sungai menyalahi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh didenda sehingga RM500,000. “Perkara ini perlu dibendung segera kerana pembuangan sisa ke sungai kecil itu dikhuatiri akan membawa sisa buangan kilang ke saliran sungai utama seterusnya dibimbangi mencemarkan Sungai Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Jumaat. Mengulas lanjut Hilmi berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan gotong-royong dan kempen kesedaran secara berkala dalam memastikan tahap kebersihan sungai di Kelantan terjaga. Kerja-kerja dilakukan melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kelantan Utilities Mubarakan Holdings Sdn Bhd setiap tiga bulan selain kerjasama beberapa institusi awam dan swasta di negeri ini antaranya Universiti Malaysia Kelantan, Kolej Kosmopoint, UiTM yang bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO) Wira Sungai Malaysia. “Kami berkerjasama dengan semua pihak terutama penuntut universiti untuk membersihkan kawasan sungai-sungai kecil yang ada di Kelantan dan memberi pendidikan kepada orang ramai. “Kelantan tidak memandang ringan isu pencemaran sungai ini kerana sumber Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut diambil dari sungai-sungai di Kelantan,” katanya. Sebelum itu, Sinar Harian dalam laporan khas mendedahkan 11 sungai yang terkenal dalam kalangan kaki pancing dikesan mengandungi bahan kimia paling berbahaya iaitu kimia cap jari dan benzo(a) pirena daripada minyak hitam yang boleh memberi risiko penyakit kanser jika terdedah. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Serangan haiwan liar: Pekebun, penternak lega dapat pampasan
    15 Mac 2024
    GUA MUSANG - Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan oleh pekebun dan penternak kecuali rasa syukur apabila keluhan mereka selama ini mendapat perhatian kerajaan susulan peruntukan RM10 juta sebagai pampasan terhadap kemusnahan akibat serangan haiwan liar. Peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Meranto di sini, Kamarudin Yaakub, 65, berkata, dia gembira dengan berita baik itu kerana kesedihan akibat kemusnahan tanaman seperti pokok pisang, nanas dan sebagainya terubat dengan bantuan yang dihulurkan kerajaan. "Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan yang cakna dengan rintihan serta kesempitan hidup kami. "Pampasan ini dapat menyuntik semula semangat kami yang terkesan kerana pendapatan terjejas selepas hasil tanaman dimusnahkan haiwan liar seperti gajah," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat. Penternak dari RKT Kesedar Renok Baru di sini, Saadon Setaffa, 62, pula berharap pampasan yang diberikan itu nanti dapat diagihkan kepada semua golongan yang terkesan dengan adil tanpa dikenakan sebarang syarat. Menurutnya, sejak tahun lepas lebih 20 ekor kambing dan lembu ternakannya menjadi mangsa serangan harimau dengan kerugian dianggarkan lebih RM30,000. "Kami berasa lega dan gembira apabila aduan kami kepada pihak bertanggungjawab membuahkan hasil dan tindakan sewajarnya diambil. Saya harap proses permohonan pampasan juga bersifat mesra rakyat," katanya. Rabu lepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menerusi hantaran di Facebook miliknya memaklumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam meluluskan peruntukan RM10 juta sebagai pampasan kepada individu termasuk pekebun dan penternak yang menanggung kerugian fizikal dan harta benda akibat serangan haiwan liar. Beliau berkata tuntutan pampasan kehilangan atau kerosakan harta benda serta tanaman itu boleh dibuat dengan merujuk kepada pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan boleh berjumpa dengannya sendiri untuk keterangan lanjut. - Bernama Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Zon bebas cukai Rantau Panjang, Pengkalan Kubor pindah ke lokasi lebih strategik
    15 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bercadang untuk memindahkan dua lokasi beli-belah popular di negeri ini Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor ke lokasi yang lebih strategik. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, usaha itu termasuk dalam rancangan menaik taraf kedua-dua kawasan bebas cukai itu agar lebih sistematik. Menurutnya, ketika ini, kedudukan tempat beli-belah bebas cukai Rantau Panjang di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Tumpat itu berada dalam kawasan tempat tinggal penduduk dan ia perlu diubah. “Kami akan menaik taraf dan memindahkan lokasi bebas cukai di luar daripada kawasan yang ada sekarang. “Sekarang ini, ia dikelilingi rumah penduduk dan tidak begitu baik maka kita akan buat di tempat yang baharu tetapi masih lagi berdekatan dengan sempadan serta dalam proses mengenal pasti lokasi yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pemberita di Jamuan Berbuka Puasa Bersama Media Perdana Kota Bharu pada Khamis. Turut hadir, Pengurus Besar Perdana Kota Bharu, Mohd Iqmal Muslim. Kamarudin mengulas lanjut, kawasan bebas cukai tersebut akan dibuat dengan lebih teratur dengan bangunan yang sesuai sekali gus membantu merancakkan ekonomi peniaga. Selain itu, kata beliau, turut akan dilakukan ialah menghidupkan kembali perkhidmatan kereta api ke Rantau Panjang di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). “KTMB yang merancang perkara itu dan sudah memaklumkan kepada saya, kita tunggu KTM umumkan. “Selepas ini, mereka yang menaiki kereta api dari Kuala Lumpur boleh ke Pasir Mas dan terus ke Rantau Panjang,” katanya.
  • Bekas ADUN Nenggiri jual air nira, hasilkan lebih 100 botol sehari
    15 Mac 2024
    GUA MUSANG - Selepas bersara daripada dunia politik, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, 63, beralih menceburi bidang perniagaan dengan menghasilkan air nira lebih 100 botol sehari sempena bulan Ramadan tahun ini. Beliau berkata, permintaan air nira ini semakin meningkat berbanding tahun lepas kerana orang ramai sudah mengenali produk yang dihasilkannya sebelum ini yang terbukti berkualiti tinggi dan tahan lama. "Menyedari kekurangan pengusaha kelapa pandan di jajahan ini, saya cuba menggunakan peluang yang ada untuk jual air nira yang diproses segar dari kebun seluas 0.8 hektar dekat Kampung Lepan Jaya, di sini. "Air nira ini dijual pada harga RM5 sebotol dan menjadi tumpuan pembeli ketika bulan puasa, jadi saya dan pekerja akan bergilir-gilir setiap hari untuk menyadap air nira kelapa pandan," katanya kepada pemberita di Kampung Lepan Jaya, hari ini. Sementara itu bagi pekerja Abdullah Salleh, 72, pula berkata, proses menyadap dan mengutip nira dilakukan selama sejam setiap hari dan beberapa peringkat perlu dilakukan sebelum mendapat air tadahan nira yang banyak. "Seawal pukul 6 pagi saya akan mula menadah air nira dan mengutip air tadahan selepas 12 jam. "Mayang kelapa perlu ditarik menghala ke bawah dan diikat terlebih dahulu, sebelum hujung mayang disadap (dipotong) sedikit."Selepas seminggu barulah kita dapat menadah air nira ini," katanya. Beliau berkata, keratan kayu cengal yang diletakkan di dalam bekas tadahan nira kelapa turut dimasukkan sebagai bahan pengawet semula jadi untuk memastikan minuman itu tahan lebih lama dan tidak masam. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • 'Tak sampai hati nak naik harga' - Peniaga kuih
    15 Mac 2024
    KOTA BHARU - Perasaan prihatin dan tidak sampai hati untuk menaikkan harga juadah Ramadan kepada pelanggan menyebabkan seorang peniaga mengekalkan lebih 40 jenis harga kuih-muih yang dijualnya seperti tahun lalu. Harga kuih yang dikekalkan itu termasuklah sepotong puding gula hangus RM3, dua biji sekaya RM3, tiga potong agar-agar RM2, onde-onde 15 biji RM3, tiga biji kuih topi RM2 dan enam biji popia sira RM5. Peniaga itu, Nur Asmak Makhtar, 52, berkata, turut dikekalkan harga dan kuantiti yang sama dengan tahun lalu ialah kuih-muih tradisional seperti akok sebanyak lima biji dijual RM5, 20 biji kuih bunga tanjung juga RM5 dan enam keping mas jalan mas kekal RM10. “Saya tidak sampai hati nak naikkan harga walaupun kos bahan mentah yang digunakan untuk membuat kuih seperti majerin, telur dan tepung mahal. “Saya kekalkan harga kuih ini kerana ramai yang datang membeli di gerai saya adalah pelanggan tetap. "Mereka juga akan bertanya sekiranya harga dinaikkan selain saya sendiri bersimpati terhadap orang ramai yang mahu menikmati kuih-muih ketika berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di gerainya di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Khamis. Nur Asmak berkata, sebagai peniaga, dia mengakui terkesan apabila keuntungannya berkurangan, namun percaya dengan tidak menaikkan harga jualan tersebut juga salah satu ‘sedekah’ pada bulan Ramadan. Dia juga perlu membayar gaji tiga pekerja yang diupah untuk membantunya membuat kuih-muih serta berniaga di bazar berkenaan. “Saya juga bimbang kalau jual mahal takut nanti orang tak datang beli. “Jual harga sama ini, Insyallah ramai yang beli dan kami juga dapat mencari pahala serta keberkatan dalam Ramadan,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Empat negeri mahu bas pelancong Thailand dibenar masuk sempadan negara
    15 Mac 2024
    KOTA BHARU - Empat negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) agar membenarkan bas pelancong negara jiran itu masuk ke negeri-negeri berkenaan. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, langkah itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan merancakkan lagi ekonomi di negeri-negeri sempadan. Menurutnya, beliau menerima maklumat daripada agensi pelancongan di negara jiran tersebut yang berdepan masalah peraturan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkait larangan terhadap bas pelancong luar. “Mereka nak datang melancong ke Kelantan tetapi bas tak boleh masuk ke sini kerana larangan terhadap bas pelancong luar. “Larangan pada asalnya untuk memberi peluang kepada pengusaha bas tempatan tetapi bas kita sendiri tidak mencukupi, jadi kami bersepakat untuk membuat rayuan kepada APAD bagi memberi kelonggaran bas pelancong untuk masuk ke negeri-negeri berjiran dengan Thailand,” katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Jamuan Berbuka Puasa Bersama Media di Perdana Kota Bharu, di sini pada Khamis. Tambahnya, keempat-empat negeri tersebut akan membuat perjumpaan dan pembentangan kepada pihak MOT berkait rayuan itu dalam tempoh terdekat. “Kami masih lagi menunggu tarikh untuk mengadakan pertemuan itu. “Usaha ini penting kerana saya percaya pelancongan di Kelantan khususnya boleh meningkat 100 peratus jika bas pelancong dibenarkan masuk ke negeri-negeri sempadan,” katanya. Dalam pada itu, Kamarudin memberitahu, pihak kerajaan negeri itu juga dalam perancangan untuk menjadi Kelantan sebagai destinasi pilihan utama pelancong dan bukan sekadar transit sebelum mereka ke Hatyai, Thailand. “Kita menerima maklumat terdapat pelancong Thailand yang datang melancong dan membeli-belah di beberapa pasar raya yang ada di tempat kita. “Ramai juga orang kita yang melancong ke Thailand tetapi kita mahu mereka ini tinggal atau melancong lebih lama di Kelantan sebelum pergi ke Thailand,” katanya. Kerajaan Kelantan sebelum itu menyasarkan kedatangan 10 juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024) dan dijangka akan dicapai menerusi lebih 30 program yang sudah disusun dalam kalendar TMK2024.
  • Air Sungai Kelantan susut jejaskan sistem pengairan KADA
    15 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kemarau yang sedang melanda ketika ini menyebabkan paras air Sungai Kelantan menyusut sekali gus menjejaskan sistem pengairan milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Pengurus Besarnya, Mohd Faizul Mustafa berkata, situasi itu menyebabkan pam KADA di Kemubu tidak dapat mengairi keseluruhan bendang sekitar Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok, sejak hampir sebulan lalu. "Bagaimanapun, KADA tetap melipat gandakan usaha bagi memastikan kerja-kerja tanaman padi dibawah seliaan agensi itu tidak terjejas. "Untuk makluman, kerajaan telah memperuntukkan RM7 juta untuk membaik pulih pam di Rumah Pam Kemubu, pembinaan telaga tiub, menyediakan pam mudah alih, 'backwards pam' dan pengagihan diesel kepada petani terlibat sebagai usaha mengatasi masalah ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Menurut beliau, sehingga kini agensi itu telah menyediakan 32 pam khas di keseluruhan kawasan KADA bagi membantu mangairi 2,400 hektar sawah petani. Ujarnya, KADA turut menerima peruntukan berjumlah RM500,000 untuk pembinaan 100 unit telaga tiub. Mohd Faizul memberitahu, setakat ini sebanyak 26 unit telaga tiub sudah diwujudkan di seluruh kawasan KADA. "KADA turut menjalankan kerja-kerja membersihkan mendapan serta lumpur untuk memudahkan pengaliran air ke 16,000 hektar sawah di bawah selian kami. "Kami (KADA) berharap pesawah dapat mengikut arahan dan jadual penanaman padi yang dikeluarkan bagi mengelakkan kerugian dalam musim kemarau ini," katanya. Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil tindakan segera atasi masalah para pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka dan pengeluaran beras negara. Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, selain infrastruktur menjadi salah satu punca kemerosotan hasil padi di KADA, ada beberapa lagi faktor lain antaranya serangan serangga perosak. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Wajah baharu Pasar Siti Khadijah beri keselesaan kepada pengunjung
    14 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kerja-kerja penambahbaikan di Pasar Siti Khadijah di sini memberikan 'wajah baharu' buat bangunan ikonik itu yang sudah usang dimamah usia. Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah Ahmad Nazri Che Omar berkata ruang rehat yang terletak di antara medan makan dan jualan barangan kering di tingkat satu pasar itu dinaik taraf dua bulan lepas dan kini dilengkapi dekorasi moden selain kemudahan kerusi dan mesin air layan diri bagi keselesaan pengunjung. Beliau berkata penambahbaikan itu dilaksanakan melalui peruntukan khas RM50,000 daripada Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). Menurutnya sebuah surau baharu juga dibina ditingkat dua pasar itu melalui sumbangan sebuah bank. "Pasar Siti Khatijah yang dibina pada 1985 ini adalah antara ikon tarikan pelancong ke Kelantan, namun ia sudah agak usang dan perlu banyak penambahbaikan. "Apabila ada suntikan dana seperti ini, ia dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung dan membawa kelebihan kepada peniaga," katanya. Seorang peniaga serunding dan makanan kering Ab Hamid Ab Aziz, 56, berkata projek naik taraf itu membawa limpahan rezeki apabila lebih ramai pelanggan berkunjung ke lot kedainya yang terletak berdekatan ruang rehat tersebut. "Keadaan suram bertukar ceria dengan pemasangan jubin baharu berbanding lantai dan dinding simen sebelum ini, memang jauh berbeza suasananya,” katanya. Dalam pada itu, seorang pengunjung Hasnah Yusof, 48, berkata usaha menaik taraf pasar Siti Khadijah yang menawarkan produk tempatan itu sangat penting untuk menjadikannya sebagai lokasi ‘wajib’ singgah pelancong ke negeri itu. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • 21 kali ubah suai untuk bina pintu gerbang Masjid Imanul Fa'izin
    14 Mac 2024
    KOTA BHARU - Ketelitian menjadi keutamaan dalam pembinaan Masjid Imanul Fa'izin atau dikenali sebagai Masjid Andalusia di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, di sini hinggakan untuk pintu gerbang sahaja sebanyak 21 kali ubah suai dilakukan bagi mendapatkan reka bentuk yang tepat. Masjid yang tular kerana kecantikan dan keunikan reka bentuknya itu mula dibina pada 2020, inspirasi daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Pemilik masjid, Ibrahim Mat Sin, 68, berkata, sedari awal beliau amat menitikberatkan reka bentuk setiap binaan kubah, tiang mahupun pintu gerbang masjid agar secara luaran ia menyamai Masjid Sheikh Zayed. "Sewaktu masjid ini siap dibina ukuran pintu gerbangnya tidak sama, jadi saya minta tukang untuk baikinya dengan ukuran, had tinggi dan panjang pintu yang tepat mengikut reka bentuk pintu gerbang Masjid Sheikh Zayed. "Sebab itu tukang untuk pintu pintu gerbang ini terpaksa melakukan banyak kali kerja ketuk dan baiki semula hingga saya puas hati,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Ibrahim berkata, bagi memastikan pintu gerbang itu menepati spesifikasi yang ditetapkan, beliau memberikan banyak gambar Masjid Sheikh Zayed kepada tukang untuk mencontohi reka bentuk pintu gerbang serta binaan bahagian lain masjid itu. "Saya hantar gambar reka bentuk pintu Masjid Sheikh Zayed kepada tukang agar pintu gerbang Masjid Imanul Fa'izin ini hampir sama rekaannya, malah saya bimbing serta pantau perkembangan pembinaannya setiap hari menerusi WhatsApp kerana saya tinggal di Kuala Lumpur,” katanya. Ibrahim yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. berkata, setelah merasakan reka bentuk pintu gerbang tersebut hampir tepat barulah beliau bersedia membuka masjid itu kepada orang ramai. Menurutnya, Masjid Imanul Fa'izin dibuka pada hari pertama Ramadan bagi mengambil keberkatan bulan suci itu sekali gus menamatkan penantian orang ramai yang tertunggu-tunggu pembukaannya. "Alhamdulillah, apabila dibuka pada hari pertama Ramadan tempoh hari hampir 2,000 jemaah hadir menunaikan solat tarawih pertama di masjid ini,” katanya. Selain pintu gerbang, kehadiran lebih 100 kubah besar dan kecil berwarna putih yang sebahagiannya ditempah khas dan dibeli dari Medan, Indonesia, turut mencuri perhatian pengunjung masjid. "Terdapat lima kubah besar dan lebih 100 kubah kecil yang sebahagianya turut dihasilkan oleh tukang ukir dan pembuat bot fiber dari Besut, Terengganu, manakala ukiran seperti batu nisan pada bahagian bumbung sekelilling masjid ditempah daripada pengukir seni kayu tersohor dari Besut," katanya. Menurutnya, marmar pada lantai dan dinding masjid pula dibeli dari Turkiye, Mesir dan Oman, manakala karpet seperti corak karpet Raudhah di Masjid Nabawi pula ditempat daripada kilang di Madinah. Ibrahim berkata pembinaan masjid itu menelan belanja lebih RM7 juta dan idea pembinaannya tercetus hasil pengalaman beliau menziarahi banyak masjid luar negara termasuk masjid dimiliki Sultan Qabus Oman dan Masjid Biru di Turkiye yang terkenal. - Bernama Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Masalah teknologi, capaian internet halangan rakyat daftar PADU di Kelantan
    14 Mac 2024
    KOTA BAHRU - Masalah teknologi dan capaian internet terutama di kawasan pedalaman antara halangan yang menyebabkan rakyat di negeri ini masih belum mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU). Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, selain itu tidak pandai mengisi borang turut menjadi halangan kepada perkara tersebut selain sikap tunggu dan lihat. “Untuk itu JaPen telah bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan dalam usaha memperhebatkan lagi hebahan kepada orang ramai supaya melakukan pendaftaran PADU. "Hal ini kerana ia perlu dilakukan sebelum 31 Mac ini. Semua orang perlu tahu PADU akan membantu mereka untuk mendapatkan kemudahan dan bantuan daripada kerajaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra JaPen Kelantan bersama kepimpinan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), di sini pada malam Rabu. Menurut beliau, kerajaan telah memudahkan proses mengisi padu dengan menyediakan perkhidmatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi). Ujarnya, sehingga Isnin lalu seramai 284,977 rakyat Kelantan telah mendaftar dan mengemaskini PADU. Muhd Nor Aswadi memberitahu, usaha tersebut akan terus ditingkatkan bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini berbuat demikian. “Kita menjangkakan pendaftaran rakyat Kelantan terhadap PADU akan meningkat sebelum fasa 1 pendaftaran berakhir pada 31 Mac ini,” katanya. Menurut Muhd Nor Aswadi, pada masa sama JaPen turut masuk masuk ke kawasan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli bagi membuat hebahan. Tambah beliau, setakat ini Orang Asli memberikan sambutan hangat kepada usaha kerajaan itu.
  • Ramadan: Peniaga air tebu raih RM3,000
    14 Mac 2024
    KUALA KRAI - Bulan Ramadan memberi rezeki berganda kepada seorang peniaga air tebu apabila meraih hasil jualan hingga RM3,000 melalui 2,500 batang tebu yang diproses. Wan Mohd Zulhilmi Wan Mohd Noor, 43, berkata, jumlah itu diraih setiap kali bulan puasa sebelum ini sekali gus jauh berbeza berbanding RM700 sebulan yang biasa diperoleh melalui 300 tebu yang diproses menjadi air. Menurut Wan Mohd Zulhilmi, dia sudah lima tahun menjalankan perniagaan air tebu di Kampung Lela Jasa di sini untuk menyara kehidupan bersama isteri dan lima anak mereka selain pendapatan perniagaan kedai makan. “Setiap kali Ramadan, saya akan gandakan tempahan bekalan tebu yang diambil kerana air tebu mendapat sambutan yang sangat tinggi dalam kalangan penduduk setempat. “Saya akan mula berniaga air tebu pada jam 3 petang hingga habis dan akan memperoleh kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sebulan di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di Kampung Lela Jasa, di sini pada Khamis. Ujar Wan Mohd Zulhilmi, bekalan tebu diperoleh daripada penduduk kampung yang menanam tebu dan diambil secara berperingkat bagi memastikan kesegaran air tebu yang dijual kepada pelanggannya. Dia berkata, kerja-kerja memesin tebu turut dibantu isterinya Rohayati Jaaffar, 46. “Untuk menghasilkan air tebu yang manis perlu memilih tebu yang lebih tua atau matang kerana tebu muda tawar dan kurang air, manakala tebu juga perlu dibersihkan dahulu sebelum diproses menjadi air. “Setiap batang tebu ini berharga RM2 dan saya akan proses tebu ini menjadi air yang akan dijual RM2 atau RM3 satu plastik tanpa ais,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • 'Ramadan kami tanpa bayi'
    14 Mac 2024
    KOTA BHARU - Impian pasangan suami isteri untuk menyambut Ramadan bersama anak sulung mereka hanya tinggal kenangan apabila si kecil itu 'pergi' selepas tiga hari dilahirkan. Lebih menyedihkan, Mohammad Faez Juhari, 28, dan isteri Nur Amirah Radhiah Ahmad, 25, apabila bayi mereka tiba-tiba disahkan dijangkiti kuman sebaik sahaja dilahirkan dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Ampang, Selangor. Mohammad Faez memberitahu, sehingga kini mereka tidak boleh melihat semua pakaian dan keperluan bayi yang diberi nama Mohammad Faleeq Al-Fateh Bin Mohammad Faez kerana terlalu sedih dengan dugaan berkenaan. "Sebulan sebelum kelahiran Mohammad Faleeq Al-Fateh, kami teruja membelikan pakaiannya namun ALLAH SWT lebih sayangkan dia, walaupun besar harapan supaya anak dapat merasainya tetapi semua itu tidak kesampaian," katanya. Berkongsi cerita duka itu, Mohammad Faez Juhari berkata, isterinya mula sakit untuk bersalin pada 8 Februari lalu dan dia terus membawanya ke hospital berkenaan berikutan kedua-dua mereka bekerja di sana. Bagaimanapun beliau memberitahu, doktor memaklumkan isteri perlu bersalin melalui kaedah Czer kerana bimbang bayi dalam kandungan lemas dan terkena jangkitan kuman. "Saya kemudian menanti dengan penuh bimbang kerana isteri masih tidak bersalin dari jam 5.20 pagi pada 10 Februari dan sehingga jam 8 pagi doktor memberitahu jantung anak saya lemah dan isteri dibawa ke dewan pembedahan. "Pada jam 9.30 malam hari yang sama, isteri selamat melahirkan tetapi Mohammad Faleeq Al-Fateh terpaksa dimasukkan ke NICU. Luluh hati saya melihat seluruh badannya dipenuhi wayar kerana sebenarnya dia tidak perlu menghadapi situasi itu," katanya. Menurut beliau lagi, isterinya merupakan insan paling bahagia selepas kelahiran itu namun dia tidak sanggup menceritakan keadaan anaknya yang dirawat di wad berkenaan. "Selama tiga hari dirawat, dia akhirnya 'pergi' meninggalkan kami pada 13 Februari," katanya. "Memang pada mulanya kami tidak boleh menerima keadaan itu dan setiap hari isteri saya menangis dan kesihatannya juga tidak begitu memuaskan selepas saya menceritakan perkara yang berlaku ke atas anak kami," katanya. Jelasnya lagi, kini isterinya sedang berpantang di rumah keluarga di Kampung Sat Hilir Tanah Merah manakala bayi mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sat Hilir. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Kelantan mahu bina tugu Jepun dalam laut
    14 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berhasrat untuk membina tugu pendaratan Jepun di dalam laut di Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa di sini, sebagai usaha memelihara kesan sejarah dunia. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, hasrat pembinaan tugu tersebut bagi memperingati titik permulaan sebenar pendaratan Jepun ke negara ini pada 8 Disember 1941. Menurut beliau, tugu sedia ada di daratan di kawasan pantai itu bukanlah berada pada titik permulaan pendaratan Jepun pada waktu tersebut. “Tempat betul-betul Jepun mendarat sudah tenggelam dan berada jauh di dalam laut, sebab itu tugu perlu dibina di tengah-tengah lautan di kawasan pantai tersebut. “Pembinaan tugu itu dijangka menelan kos yang tinggi tetapi perlu dilaksanakan untuk memastikan kesan sejarah kita terus terpelihara,” katanya selepas Program Manis Ramadan dengan agihan 400 bekas bubur pulut hitam sempena Ramadan oleh Jewels Hotel di sini pada Rabu. Turut hadir, Pengurus Jewels Hotel, Muhammad Azrin Zainal Abidin. Kamarudin berkata, cadangan pembinaan tugu itu bagaimanapun perlu melalui beberapa proses pelaksanaan yang cukup rumit termasuk perlu mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Jepun. Ujar beliau, pihaknya juga akan cuba mengesan nama batalion tentera yang terlibat dan waris-waris mereka dalam usaha mendapatkan sumbangan dana bagi memahat sejarah semasa Perang Dunia Kedua itu. “Kami perlu bermula dengan usaha untuk mencari maklumat serta mengenali batalion tentera Jepun yang mendarat di Pantai Kuala Pak Amat pada tahun 1941. “Usaha akan disusuli dengan langkah menjejaki waris-waris anggota tentera Jepun terlibat yang tentunya memerlukan bantuan serta kerjasama daripada kerajaan Jepun,” katanya. Memetik laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), penjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera Darat Ke-25 Jepun menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 dengan melancarkan serangan amfibi (amphibious assault) di pantai di Kota Bharu. Pendaratan serentak dilakukan di Pattani dan Songkla di Thailand iaitu mereka bergerak ke selatan melalui jalan darat menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand untuk menyerang sebelah barat Tanah Melayu. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • 10,175kg minyak masak peket stok Ramadan cuba diseludup
    13 Mac 2024
    KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 10,175 kilogram (kg) minyak masak peket yang cuba diseludup ke negara jiran dipercayai untuk stok Ramadan selepas menahan sebuah lori berhampiran jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat, pada Selasa. Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Saman Wan Long berkata, lori tersebut ditahan pada jam 4 pagi hasil maklumat intipan. "Pada masa sama kita turut menahan pemandu dan kelindan masing-masing berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan. "Pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori itu membawa kepada penemuan 10,175 kg minyak masak peket yang dianggarkan berjumlah RM20,350," katanya semasa sidang akhbar bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pada Rabu. Menurut beliau, hasil soal siasat yang dilakukan mendapati minyak masak tersebut dibawa dari Ipoh, Perak. Ujarnya, kedua-dua suspek mengaku menerima upah sebanyak RM300 untuk satu trip penghantaran. Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, modus operandi yang digunakan ialah dengan membawa masuk minyak masak peket bersubsidi tempatan untuk dihantar ke negara jiran melaui pangkalan haram menggunakan pelbagai jenis kenderaan. "Kes ini telah diserahkan kepada KPDN Kelantan untuk tindakan lanjut. "Ia disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
  • Dibayar RM100,000 mengaji al-Quran di media sosial
    13 Mac 2024
    KOTA BHARU - Madrasah pengajian Islam digital pertama di Malaysia, BeDaie memperuntukkan bayaran lumayan RM100,000 kepada 10 individu untuk mengaji al-Quran di platform media sosialnya sepanjang Ramadan ini. Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani berkata, inisiatif itu tercetus dalam usaha menggalakkan orang ramai untuk membaca al-Quran dan terus meraih pahala sepanjang bulan yang mulia. Katanya, peserta akan melalui tapisan dan dipilih BeDaie sendiri serta menerima RM10,000 setiap seorang melalui keseluruhan peruntukan yang disediakan. “Kami mahu dalam keadaan teknologi masa kini, umat Islam tidak meninggalkan al-Quran dan sebab itu akan diadakan secara langsung bacaan al-Quran secara berterusan sepanjang Ramadan di medium Tiktok. “Dalam tempoh itu, dijangka ada beberapa kali khatam al-Quran sebelum tamatnya Ramadan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu. Menurut beliau, 10 individu terpilih akan membaca al-Quran secara bergilir-gilir selama sebulan dan masih terdapat kekosongan kepada sesiapa sahaja yang tahu membaca al-Quran dengan betul serta sedap didengar untuk diisi dalam kesemua slot selama sebulan. Katanya, langkah tersebut pertama kali dilaksanakan dan dijangka diteruskan pada masa hadapan. “Sebelum ini, BeDaie juga menyediakan perkhidmatan Satu Daie Satu Rumah untuk mengajar orang ramai membaca al-Quran secara bersemuka bersama tenaga pengajar di kediaman masing-masing. “Menjadi salah satu misi BeDaie agar tiada sesiapa pun yang terlepas pandang daripada pembelajaran agama dan dijamin dapat membawa perubahan positif kepada diri sendiri, ahli keluarga serta kehidupan seharian,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • [VIDEO] Jual ikan selayang 70 sen sekilogram
    12 Mac 2024
    GUA MUSANG - Seorang peniaga di sini berkongsi rezeki dengan menjual ikan selayang pada harga 70 sen sekilogram. Zuhairi Hashim, 35, berkata, tindakan tersebut bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan untuk menyambut Ramadan. "Sebanyak 6,000 kilogram (kg) ikan selayang disediakan untuk dijual kepada orang ramai. "Jika hari biasa saya tetap berkongsi rezeki dengan menjual ikan selayang pada harga RM3 sekilogram, lebih rendah dari harga pasaran," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Menurut beliau yang berasal dari Semerak, Pasir Puteh, selain selayang terdapat lebih 20 jenis ikan lain yang turut dijual di kedainya dengan harga bawah RM10 untuk setiap kilogram. Ujarnya, ikan tersebut ialah tenggiri, selar, selar kuning, merah dan banyak lagi. Zuhairi yang sudah 14 tahun menetap di Gua Musang memberitahu, jualan murah tersebut mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat dan menyifatkan harga yang ditawarkan jauh lebih murah. "Saya berharap lebih ramai peniaga akan turut sama berbuat demikian dimasa akan datang," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • 700 penduduk dakwa tiada bekalan air bersih sejak setahun lalu
    12 Mac 2024
    KUALA KRAI - Kira-kira 700 penduduk di tiga kampung di Mukim Manjor, di sini mengalami masalah bekalan air bersih sejak lebih setahun lalu. Keadaan melibatkan Kampung Lela Jasa, Lebur dan Sungai Rek itu berlarutan sehingga mereka terpaksa menyambut Ramadan tahun ini dalam keadaan kesukaran kerana ketiadaan bekalan air bersih. Penoreh getah, Mukhtar Ibrahim, 50, berkata, ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan dia terpaksa menyedut air dari Sungai Rek yang terletak satu kilometer dari rumahnya untuk kegunaan harian bagi membasuh pakaian dan mandi manakala bagi mereka yang jauh dari sungai akan memunggah air dari rumah saudara-mara yang terdekat. Katanya, menyukarkan lagi keadaan itu apabila anak-anaknya masih kecil dan bersekolah selain terpaksa membeli air botol minuman untuk kegunaan memasak atau minum. “Kampung kami tiada air bersih untuk digunakan dan amat sukar lebih-lebih lagi ketika sedang berpuasa di bulan Ramadan sekarang ini. “Saya terpaksa bina sendiri paip getah sejauh satu kilometer untuk mengepam air dari Sungai Rek menggunakan pam enjin yang dibeli dengan harga RM400 bagi kegunaan di rumah,” katanya ketika ditemui di Sungai Rek di sini, pada Isnin. Peniaga kedai makan, Yazid Yaacob, 62, berkata, dia sukar untuk menjalankan perniagaan dan kehidupan seharian tanpa bekalan air bersih sejak Ogos tahun lalu itu. Katanya, penduduk sendiri cuba menyelesaikan masalah itu denganberkongsi wang membina satu telaga tiub yang menelan kos sekitar RM15,000 kerana kedalaman lebih 50 meter yang perlu digali untuk mendapatkan sumber air di kawasan itu. “Kami hanya mampu bina satu telaga tiub untuk dikongsi seramai 40 penduduk namun air dari telaga tiub itu juga tidak mencukupi selain kering pada musim panas dan kemarau. “Sebab itu saya terpaksa ambil air dari telaga tiub di masjid yang terletak bersebelahan rumah dan membayar RM20 setiap kali mengisi kira-kira 200 gelen air dalam tangki,” ujarnya. Seorang suri rumah, Rohaya Che Soh, 53, berkata, keadaan air Sungai Lebir yang digunakan keluarganya lebih keruh berbanding di Sungai Rek menyebabkan cucu-cucunya yang masih kecil mengalami kegatalan kulit. Katanya, pam yang digunakan beberapa kali rosak dan perlu diganti dengan baharu selepas meletup akibat kelodak tebal dan berharap pihak berwajib mengambil perhatian untuk menyelesaikan masalah itu. “Sudah beberapa aduan dibuat tetapi masalah ini belum selesai dan kami terus bersusah payah serta sengsara sendiri untuk mendapatkan bekalan air termasuk menadah air hujan semasa musim tengkujuh selain bil elektrik melambung dua kali ganda kerana penggunaan kuasa pam enjin. “Kami berharap pihak kerajaan dapat membantu membekalkan bekalan air bersih ke kampung ini bagi kegunaan semua penduduk,” katanya. Sinar Harian dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan berhubung masalah ini. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Jambatan zaman British lebih 100 tahun dikhuatiri roboh bila-bila masa
    12 Mac 2024
    KUALA KRAI - Jambatan Gantung Sultan Ismail di sini yang dibina sekitar 1920-an, menghubungkan Kuala Krai dengan Kota Bharu, pernah menjadi nadi pengangkutan darat untuk rakyat melakukan urusan harian. Meskipun tidak digunakan lagi sejak 1986 setelah jambatan baharu dibina bersebelahan, tetapi jambatan yang turut dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal oleh masyarakat setempat itu masih gah berdiri sebagai mercu tanda warisan kebanggaan rakyat Kelantan. Namun, selepas lebih 100 tahun, jambatan dengan seni bina Eropah dan dibangunkan semasa penjajahan British itu, mungkin tidak bertahan lama kerana dikhuatiri akan runtuh bila-bila masa. Tinjauan Bernama di jambatan sepanjang 21 meter dan lebar sembilan meter itu, mendapati terdapat beberapa kesan retakan pada struktur binaan dan berlaku hakisan tanah di kawasan berhampiran. Penduduk Siti Faezah Ab Manaf, 33, berkata, sekiranya tiada langkah segera untuk membaik pulih jambatan yang merentangi Sungai Nal itu, kemungkinan besar akan berlaku perkara yang tidak diingini sekali gus melenyapkan satu daripada peninggalan warisan sejarah di Kelantan. "Semestinya kita rasa bimbang dan takut jika jambatan ini runtuh sebab ia adalah antara lambang seni bina zaman British di negeri ini. "Pihak bertanggungjawab perlu segera ambil langkah sewajarnya untuk pastikan jambatan gantung ini terus dipelihara dan dilindungi supaya generasi akan datang tahu mengenai kewujudan jambatan bersejarah ini," katanya kepada Bernama pada Isnin. Bagi Mohamad Harithah Zuhal, 32, yang menetap di Selangor, setiap kali pulang bercuti ke kampungnya di Tumpat, beliau selalu menggunakan jalan bersebelahan jambatan itu yang menurutnya melahirkan rasa bangga apabila melihat khazanah negara itu masih tersergam indah. "Bagaimanapun, pada minggu lalu ketika saya melalui jalan terbabit, saya dapati beberapa bahagian struktur binaan jambatan itu sudah retak dan seolah-olah seperti mahu runtuh. "Jika benar berlaku retakan atau hakisan tanah di kawasan terbabit, pihak berwajib perlu segera ambil tindakan supaya jambatan ini tidak lenyap dalam lipatan sejarah negeri," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, perbincangan bersama pegawai Majlis Daerah Kuala Krai sudah dilakukan sejak empat bulan lepas untuk membaik pulih jambatan berkenaan. "Kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak Majlis Daerah Kuala Krai untuk mengetahui punca dan kos yang diperlukan untuk baik pulih jambatan ini. "Kami akan pastikan jambatan berusia lebih 100 tahun ini terus dipelihara dan menjadi antara kawasan daya tarikan untuk dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara ke negeri Kelantan," katanya. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Pakai gelang, cincin kesalahan tertinggi di bazar Ramadan Kelantan
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mendedahkan pemakaian aksesori di tangan seperti cincin dan gelang menjadi kesalahan paling tinggi direkodkan dalam kalangan peniaga di bazar Ramadan di negeri ini. Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, selain itu kegagalan peniaga memakai apron juga turut banyak dikesan serta tidak menutup makanan dengan betul. "Ramadan tahun lepas sebanyak 216 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. "Turut diambil ialah 200 sampel namun tiada kes keracunan makanan dicatatkan di bazar Ramadan setakat ini," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin. Sebelum itu beliau merasmikan program tanggungjawab korporat (CSR) bubuk lambuk semarak Ramadan 2024 kolaborasi bersama Ibis Styles Kota Bharu dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK. Menurut Dr Zaini, hasil pemeriksaan bazar tahun lepas telah mencatatkan tahap kebersihan 96.2 peratus. Ujarnya, pada tahun ini sebanyak 66 bazar Ramadan yang akan beroperasi melibatkan 3,824 tapak niaga di seluruh negeri. Dalam perkembangan lain beliau berkata, sempena menjelang Ramadan melalui program CSR tersebut sebanyak 500 pek bubur lambut diagihkan kepada orang ramai. "Ia bertemakan sambut Ramadan dengan budaya 3M yang merupakan mekanisme untuk diamalkan oleh peniaga bagi memastikan makanan bersih serta selamat. "Kami menyeru kepada semua pengusaha makanan dan pengguna mengambil cakna serta membudayakan amalan pengendalian makanan yang bersih, selamat untuk semua," katanya. Menurut beliau, JKNK akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik yang berkepentingan untuk membudayakan makanan bersih dan selamat.
  • Banduan jadi penoreh getah di Kelantan
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Penjara Kelantan bakal melahirkan lebih ramai penoreh getah profesional dalam kalangan banduan melalui latihan di bawah Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan parol bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) cawangan Kelantan. Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaakob berkata, usaha itu juga bagi membolehkan penghuni penjara yang sudah bebas mengusahakan ladang getah terbiar di negeri ini. Menurut Mat, jabatan berkenaan juga perlu menyediakan seramai 750 banduan yang akan dilatih sebagai penoreh getah profesional tahun ini dan menerima sijil daripada LGM. "Semalam (Ahad) kita melepaskan seramai 93 penghuni penjara secara PBSL untuk bekerja di ladang di Kuala Krai dan Tanah Merah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Penjara ke-234 Peringkat Penjara Negeri Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa pada Isnin. Mat turut memberitahu, kolaboratif itu membolehkan mereka mengusahakan lebih banyak ladang getah yang ada di negeri ini dan sasaran terbaharu ialah di Gua Musang sebelum diperluaskan ke seluruh negeri. Selain itu, beliau turut memaklumkan, sebanyak 99.9 peratus banduan di Kelantan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka dibebaskan. Menurut Mat lagi, kerjasama dengan kira-kira 48 majikan turut membantu banduan dilatih dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk perladangan, perkilangan, pembuatan, runcit dan makanan. "PBSL terbukti membantu banduan hidup lebih baik dalam masyarakat dan di Kelantan hanya 0.24 peratus yang kembali semula ke penjara. "Kita turut berharap mereka akan kembali kepada masyarakat sebagai rakyat yang normal dan selepas tamat hukuman ditawarkan bekerja di syarikat korporat," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Harga sewa tapak bazar Ramadan RM10,000 itu 'ali baba' - Exco Kelantan
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyifatkan sewa tapak bazar Ramadan bernilai RM10,000 yang dikenakan sepanjang tempoh sebulan itu bersifat 'ali baba'. Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, hal ini kerana bayaran sewa tapak kepada peniaga di negeri ini hanya sekitar RM10 hingga RM20 sehari sahaja. "Menjadikan ia mahal apabila kita keluarkan lesen kepada sesetengah pihak dan kemudian mereka sewakan pada orang lain. "Sebab itulah sehingga mencecah ribuan ringgit. Sedangkan kami bukan penganjur bazar Ramadan tetapi hanya keluarkan lesen," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin. Sebelum itu beliau meluangkan masa membuat tinjauan persiapan awal Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini. Menurut beliau, bagaimanapun pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan melakukan pemantauan terhadap peniaga di bazar Ramadan. Ujarnya, jika tertangkap pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen yang diberikan. Hilmi memberitahu, tindakan itu supaya individu terlibat sedar akan kesilapan yang dilakukan. Katanya, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima aduan lagi berkenaan perkara tersebut. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang Ramadan ini dianggarkan hampir 200 bazar dibuka di seluruh negeri. "Peniaga diingatkan supaya sentiasa peka dengan menjaga kebersihan premis serta makanan sepanjang tempoh berkenaan," katanya.
  • Imam tarawih dari Thailand jadi rebutan, dibayar lima angka
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Pelajar tahfiz atau pondok dari sekitar Selatan Thailand menjadi rebutan masjid-masjid di Malaysia termasuk golongan kenamaan untuk bertugas sebagai imam tarawih sepanjang Ramadan. Perkara itu diakui sendiri oleh Ahli Jawatankuasa Kecil Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Sobri Ahmad apabila beliau dimaklumkan ada pelajar-pelajar tahfiz dan pondok di sini menerima bayaran lumayan sehingga mencecah lima angka. "Setiap tahun pelajar-pelajar tahfiz dari negara ini akan dijemput untuk menjadi imam tarawih di Malaysia. "Kebanyakan mereka ini akan bertugas di seluruh Semenanjung Malaysia terutama pantai barat," katanya semasa dihubungi pada Isnin. Menurut beliau, rakyat Malaysia tidak berkira soal bayaran kepada imam-imam tersebut kerana sumbangan yang dihulurkan dengan niat bersedekah. Ujarnya, selain itu kebanyakan individu menjadi imam ini merupakan pelajar tahfiz. Sobri memberitahu, bayaran tersebut merupakan satu bentuk penghargaan kepada pelajar-pelajar tersebut yang bertungkus-lumus mempelajari al-Quran. Sementara itu, Pengarah Muzium Warisan Budaya Islam dan Pusat Pembelajaran al-Quran Narathiwat, Lutfi Saman berkata, ada dalam kalangan pelajarnya bertugas sebagai imam tarawih di rumah-rumah orang kenamaan di Kuala Lumpur. "Biasanya mereka akan tinggal selama sebulan di rumah orang-orang kenamaan tersebut. "Ini merupakan salah satu usaha orang kenamaan untuk mengimarahkan lagi Ramadan," katanya. Menurut beliau, perkara tersebut sudah menjadi sebahagian daripada rutin pelajar-pelajarnya sepanjang Ramadan. Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bayaran imam bagi solat tarawih sepanjang tempoh sebulan Ramadan yang mencecah lima angka sudah menjadi kebiasaan di Kelantan. Perkara itu diakui sendiri oleh Imam Satu Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai, Ahmad Maher Safiain, 30, yang menyifatkan perkara tersebut tidak didedahkan kepada umum sebelum ini. "Sepertimana kami menawarkan RM6,000 kepada imam tarawih untuk Ramadan kali ini. "Di masjid kami, sepanjang 30 Ramadan akan ada dua imam yang bertugas dan bayarannya mencecah RM12,000 untuk sebulan," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • SMUDA 60 tahun jadi pilihan pelajar luar Kelantan
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Sekolah Menengah Ugama Darul Anuar (SMUDA), Pulau Melaka merupakan sebuah sekolah agama yang menggabungkan kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Kurikulum Azhari dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan yang terbaru Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Kementerian Pendidikan Malaysia. Sekolah yang diasaskan sejak 60 tahun lalu di tanah waqaf Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menyediakan pengajian untuk pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Zaimah Mohamed, pelajar sekolah itu bukan sahaja dari Kelantan malah mendapat perhatian ibu bapa dari beberapa negeri lain. "Kemudahan asrama putera dan puteri yang selesa serta lokasinya yang hampir dengan stesen bas ekspres dan lapangan terbang antara faktor mereka menempatkan anak mereka di sini," katanya kepada Sinar Harian. Jelasnya, sekolah itu hanya terletak sembilan kilometer (km) dari pusat bandar Kota Bharu dan 11 km dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra serta tiga minit ke stesen bas Ekspres Perdana Teluk Mesira. Zaimah memberitahu, SMUDA masih membuka peluang kepada 48 pelajar Tingkatan Satu berikutan kapasitinya seramai 120 orang. "Pihak sekolah mengalu-alukan ibu bapa yang berminat menghantar anak mereka ke SMUDA termasuk di Tingkatan Dua, Tiga, Empat dan Lima kerana masih terdapat kekosongan. Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi pejabat SMUDA di talian 09-7654848 dan 0164347848. "Kita bersyukur kerana dapat mencapai keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu," katanya. Antara pelajar terbaik SPM SMUDA ialah Haris Rashdan (9A), Najihah Sles (8A), Wan Tarbawy Wan Darzikshfi (6A), Nik Ahmad Azim bin Nik Azmin (6A), Najidah Sles (6A) dan beberapa pelajar yang lain. Tambah beliau, YIK juga telah menempatkan dua guru luar negara berkelulusan sarjana bagi memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar selain terlibat dalam menjayakan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang telah dirangka khusus oleh pihak YIK. "Antara program Pembinaan Insan Melalui Tarbiyah (Pintar) seperti usrah, qiamullail, dan tadarus al-Quran setiap pagi, selain kokurikulum dan sukan," katanya. SMUDA turut aktif dalam aktiviti badan berunifom, persatuan dan kelab, ko-akademik serta sukan dari peringkat sekolah sehingga peringkat negeri.
  • Tersalah baca timbangan, peniaga jejaki semula pelanggan
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Kejujuran seorang peniaga tembikai di Jalan Pasir Tumbuh di sini mendapat pujian ramai apabila dia mencari semula pelanggannya selepas terkhilaf membaca timbangan ketika berniaga buah berkenaan. Afah Che Asea, 35, turut mengakui silap membaca angka di penimbang yang dipinjamkan seorang rakan peniaga kepadanya. Afah yang baru sahaja mula berniaga tembikai menerima buah itu daripada pemborong pada 2 Mac lalu kira-kira jam 3 petang di tempat dia berniaga di Koperasi Sekolah Menengah Long Ghaffar 2. "Selepas itu ada beberapa pelanggan yang mahu membeli tembikai sebelum saya menutup gerai pada jam 6 petang dan mereka termasuk dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan," katanya. Pada keesokan harinya, kata Afah lagi, seorang peniaga lain di sebelah gerainya terfikir harga buah yang ditimbang tidak masuk akal sebelum memintanya mengambil sepeket gula untuk ditimbang. Ibu kepada lima anak itu memaklumkan, dia sangat terkejut kerana silap membaca nombor pada penimbang dan terus memuat naik status serta berkongsi gambar kedainya di satu kumpulan Facebook. "Pelanggan pula menerima sahaja tanpa sebarang komen menyebabkan saya rasa tembikai yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram itu ditimbang dengan betul. "Saya harap pelanggan yang nampak status itu datang ke gerai supaya dapat ditambah dengan tembikai lain atau menggantikan semula wang mereka. "Saya tidak sengaja tetapi rasa sangat bersalah dan tidak senang hati untuk berniaga kerana memikirkan tiada keberkatan," katanya lagi. Jelas Afah, sehingga kini masih belum ada pelanggan terbabit yang datang kembali ke gerai buahnya, namun dia lega kerana menerima beberapa komen 'menghalalkan' wang yang diberikan. Bagaimanapun, wanita itu lebih gembira jika pelanggan menghubunginya kerana mahu meminta maaf dan menggantikan kerugian mereka. "Saya masih ingat dalam tempoh kurang lapan jam berniaga, tidak sampai 10 pelanggan datang membeli tembikai. "Mereka boleh hubungi saya di talian 0133904119," jelasnya. Afah turut memberitahu, suaminya menyokong dan bersetuju dengan tindakannya untuk mencari pelanggan yang mungkin tidak dapat datang kerana jarak yang jauh. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Roboh pangkalan haram Khamis, Sabtu kembali beroperasi
    11 Mac 2024
    TUMPAT - Pangkalan haram di Pengkalan Kubor di sini, yang dirobohkan pihak berkuasa menerusi operasi bersepadu pada Khamis lepas kembali beroperasi pada Sabtu. Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati orang ramai masih menggunakan pangkalan tersebut untuk ke negara jiran dengan menaiki bot enjin galah. Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Sa, 56, berkata, tindakan merobohkan pangkalan haram bukan langkah bijak kerana ia boleh dibangunkan semula pada bila-bila masa. "Kerajaan kena ambil alih tanah yang menjadi tapak pangkalan haram ini. "Ini kerana kebanyakan pangkalan haram dibangunkan atas tanah persendirian. Jadi bila atas tanah persendirian tugas menghapuskan pangkalan haram tersebut menjadi sukar dilaksanakan," katanya. Menurutnya, sebaik sahaja pengambilalihan tanah dilakukan dan pemilik mendapat pampasan kerajaan boleh memulakan kerja pembinaan tembok kekal. Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan perlu meneliti perkara itu secara lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia boleh memberi impak besar kepada kawasan sempadan. Bagi Yeh, 35, pula, dia melihat sempadan 'terbuka' antara dua negara sejak zaman berzaman telah memberikan kesukaran kepada usaha kerajaan itu kerana Sungai Golok mempunyai banyak laluan tikus. "Jika satu ditutup, banyak tempat lagi akan dibuka penduduk di sempadan. Jadi jangan terkejut. "Hubungan keluarga yang terjalin sejak puluhan tahun lalu membabitkan penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini memberikan kesukaran kepada usaha penutupan pangkalan haram itu," katanya. Tambah Yeh, dia berharap kerajaan dapat membuat kajian sebelum mengambil sebarang keputusan. Sinar Harian pada Selasa melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi membincangkan isu penghapusan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan. Pada Jumaat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak KDN bagi membincangkan isu tersebut dan sedia bekerjasama dalam usaha membanteras sebarang penyeludupan melibatkan Malaysia dan Thailand. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Kadar zakat fitrah di Kelantan RM7
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri ini sebanyak RM7. Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun rakyat Kelantan diberikan pilihan untuk membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan harga beras yang digunakan. "Penetapan itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. "Kadar nisab zakat harta bagi negeri Kelantan tahun ini ialah sebanyak RM23,831," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Menurut beliau, pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi portal MAIK di zakat.e-maik.my. Ujarnya, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan ini. "Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Daging lembu tempatan menu sahur pilihan di Kelantan
    11 Mac 2024
    KOTA BHARU - Tradisi orang Kelantan yang memilih daging lembu tempatan untuk dijadikan menu sahur setiap kali menjelang Ramadan memberi kelebihan kepada seorang penjual daging apabila lembu sembelihannya 'licin' hanya dalam tempoh empat jam. Peniaga Mohd Shahrulrazi Fauzi, 31, berkata, sejak semalam permintaan daging lembu tempatan di gerainya yang terletak di Kampung Chica di sini meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa. Beliau berkata, gerainya diserbu orang ramai sejak beberapa lepas dan semalam daging daripada dua ekor lembu tempatan berharga RM10,000 seekor, habis dijual kira-kira pada 12.30 tengah hari. "Hari ini kita mungkin akan jual (daging) melebihi dua ekor lembu memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan manakala untuk hari 'mege poso' (hari pertama puasa) kita akan sembelih empat ekor lembu untuk dijual. "Sepanjang Ramadan ini saya mengupah sepupu untuk membantu saya di gerai kerana memang setiap tahun sambutan terhadap jualan daging lembu tempatan sangat memberangsangkan," katanya ketika ditemui di Kampung Chica, di sini, hari ini. Mohd Shahrulrazi yang sudah lebih 15 tahun berniaga daging lembu tempatan itu berkata, 'daging musim' atau daging batang pinang menjadi rebutan utama pelanggan walaupun dijual lebih mahal iaitu RM34 sekilogram berbanding bahagian lain RM32. Selain daging katanya, pelanggan juga membeli tulang, hati dan perut lembu untuk dijadikan lauk bersahur. Anak sulung daripada tujuh beradik itu memberitahu lembu tempatan termahal setakat ini yang pernah beliau sembelih untuk jualan berharga RM15,000 dengan berat hampir satu tan metrik. "Walaupun harga belian lembu tempatan agak mahal, namun saya rasa ia sangat berbaloi kerana ia sangat laris dan menguntungkan," katanya. Sementara itu pelanggan, Azma Ismail, 53, berkata, beliau memilih daging lembu tempatan kerana rasanya yang lebih enak dan lembut berbanding daging import selain mampu membuka selera tiga anaknya untuk bersahur. "Hari pertama sahur, biasanya anak-anak kurang berselera. Kalau ada daging goreng kunyit atau singgang tulang bolehlah buka selera mereka untuk bersahur. "Lagipun daging lembu tempatan boleh disimpan lama dalam peti dan masih lembut untuk dimasak," katanya. - Bernama
  • YaPEIM-Maybank Islamic bangunkan usahawan asnaf
    10 Mac 2024
    PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berusaha membantu lebih ramai asnaf di negeri ini mengubah status mereka melalui pembangunan usahawan. Ketua Pegawai Eksekutif, Ameer Ali Vali Mohamed berkata, terkini, mereka memilih 100 peserta membabitkan 50 wanita mengusahakan produk ikan lunak manakala selebihnya terlibat dengan ayam kampung kacuk. Beliau memberitahu, melalui program berkenaan, terdapat beberapa orang kurang upaya (OKU) yang turut dipilih bagi membantu mereka menjana pendapatan. "YaPEIM dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad menyalurkan bantuan berjumlah RM1 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Asnaf di Kelantan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Inspirasipreneur Community Maybank-YaPEIM) pada Ahad. Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk Dr Razli Che Razak dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman. Ameer Ali berkata, bagi menggalakkan semua asnaf meneruskan usaha berkenaan, mereka turut mendapat kerjasama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Majlis Pemulihan Negeri Kelantan (MPNK) serta Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita). "Kita mahu mereka terus mampu bersaing dan jika sebelum ini sebagai penerima zakat tetapi selepas ini akan menjadi sebahagian daripada pembayar zakat," katanya lagi. Jelas beliau, program itu dijangka bukan sahaja mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta melalui latihan yang diterima malah mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan. Beliau juga memaklumkan usaha yang digerakkan sejak tahun 2021 itu antara inisiatif melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan asnaf. "Sehingga kini kita menerima maklum balas positif kerana ramai yang sudah keluar daripada status kemiskinan," katanya. Tambah beliau, YaPEIM turut memberi latihan kepada usahawan untuk mendapatkan sijil halal yang diiktiraf. "Banyak program yang kami sediakan untuk memberi kefahaman bahawa pentingnya sijil halal untuk memajukan perniagaan mereka," katanya. Sementara itu, YaPEIM turut mengagihkan sumbangan bantuan 'food bank' berupa barangan keperluan asas kepada 342 individu yang telah dikenal pasti dengan nilai keseluruhan berjumlah RM32,400. Sejak 1985 sehingga 31 Januari 2024, YaPEIM telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM696 juta kepada 8.9 juta penerima manfaat di seluruh negara. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Murid Tahun Satu naik kereta mainan ke sekolah
    10 Mac 2024
    KOTA BHARU - Gelagat seorang murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1 di sini, menaiki kereta mainan ke sekolah menjadi perhatian ramai. Kereta kecil berwarna biru yang ditolak menggunakan kaki itu merupakan kenderaan khas bagi memudahkan pergerakan Abdul Hakim Saifuddin Zulkifli, 7, mengikuti pembelajaran. Hal ini kerana, anak bongsu daripada lima beradik itu merupakan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kecacatan fizikal iaitu Cerebral Palsy. Ibunya yang juga guru di sekolah tersebut, Siti Fatimah Nurul Naim Hussin berkata, Abdul Hakim Saifuddin sangat teruja untuk hadir ke sekolah pada pagi ini. "Dia bangun seawal jam 3 pagi lagi, siap mandi. Sehinggakan saya minta dia untuk tidur kembali. "Walaupun dia berbeza daripada murid-murid Tahun Satu yang lain, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk ke sekolah," katanya ketika ditemui pada Ahad. Menurut Siti Fatimah Nurul Naim, sejak dari kecil lagi dia telah memberikan kata-kata semangat tanpa putus kepada Abdul Hakim Saifuddin. Ujarnya, anak bongsunya itu sangat suka ke sekolah sehinggakan semasa tadika walaupun demam dia tetap enggan ponteng. "Alhamdulillah saya berterima kasih kepada pihak sekolah kerana prihatin terhadap pelajar istimewa apabila beberapa kemudahan mesra OKU telah disediakan. "Antaranya sinki rendah di kantin, tempat pemegang di tandas dan beberapa kemudahan lain," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Wakil JPN ke rumah jika seminggu 'ponteng' sekolah
    10 Mac 2024
    KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan ke rumah pelajar yang gagal hadir selepas seminggu sesi akademik 2024/2025 yang bermula pada Ahad melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah. Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan maklumat sebenar berkait dengan masalah keciciran pelajar di negeri ini. "Dari segi kehadiran atau keciciran kita telah arah pihak sekolah melalui mesyuarat sebelum pembukaan sesi baharu supaya mereka memantau secara harian. "Kita ada sistem. Cuma kebiasaannya pada minggu pertama persekolahan kita melihat dari segi bilangan yang telah ada pada tahun sebelumnya," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad. Sebelum itu beliau melakukan tinjauan hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1 di sini. Hadir sama ialah Guru Besarnya, Mohd Fauzi Ismail. Menurut Mohd Zamri, pada masa itu pihaknya akan melihat balik keperluan dari segi pelajar yang tidak hadir. Ujarnya, daripada ketidak hadiran itu pihaknya boleh mengesan keciciran yang berlaku. Beliau memberitahu, kalau tidak hadir hari pertama pelajar mungkin ada masalah. "Kalau seminggu, pihak sekolah akan ambil tindakan segera dengan kerjasama PPD akan ke rumah pelajar. "Ini yang selalu kita buat sebelum ini. Untuk tahun 2024 belum ada data lagi dan ia akan diambil tindakan segera oleh sekolah. "Kebiasaannya keciciran pelajar adalah melibatkan masalah ekonomi, kesihatan dan sebagainya," katanya. Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohd Zamri memberitahu, untuk pembukaan sekolah sesi akademik kali ini ia melibatkan 251,185 pelajar di seluruh Kelantan. Ujar beliau, kesemua pelajar tersebut ditempatkan di 595 buah sekolah seluruh negeri melibatkan sekolah rendah (418) dan menengah (177). Tambahnya, guru yang terlibat ialah 28,645 orang. "Untuk tahun ini kita menerima pendaftaran murid darjah satu seramai 28,964 orang. "Jumlah tertinggi di PPD Kota Bharu iaitu 9,053 orang, diikuti Pasir Mas (3,230), Kuala Krai (2,960), Tumpat (2,872), Bachok (2,590), Pasir Puteh (2,092), Tanah Merah (1,971), Gua Musang (1,904), Machang (1,460) dan Jeli (832)," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Ancaman harimau: Murid Orang Asli takut ke sekolah
    10 Mac 2024
    KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mendedahkan ancaman harimau yang berlaku di Gua Musang menyebabkan segelintir murid Orang Asli tercicir dalam pembelajaran. Pengarahnya, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, situasi itu menyebabkan hampir 20 hingga 30 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar dan Bihai gagal hadir ke sekolah atas faktor keselamatan. "Pihak kami dengan kerjasama Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli), polis serta Tok Batin telah turun padang ke kawasan terlibat. "Alhamdulillah hasil perbincangan, kita (JPN) telah berhasil memujuk seramai 17 pelajar Orang Asli untuk kembali sekolah," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad. Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1 di sini. Hadir sama, guru besarnya, Mohd Fauzi Ismail. Menurut Mohd Zamri, langkah tersebut akan dibuat secara berkala dengan kerjasama semua pihak terbabit bagi memastikan keciciran melibatkan pelajar Orang Asli di Kelantan dapat dikurangkan malah dikosongkan. Ujarnya, selain itu faktor lain yang menyebabkan keciciran pelajar Orang Asli ialah melibatkan adat-adat mereka serta cuaca. Beliau memberitahu, bagaimanapun mereka yang bersekolah ditempatkan di asrama. "Jadi dengan cara tersebut isu keciciran dapat kita kurangkan. "Cuma yang penting ialah menjaga hubungan komunikasi antara pihak kita (JPN) bersama pemimpin tempatan seperti tok batin dan penduduk supaya sebarang isu dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • [VIDEO] Ditawar RM25,000 untuk jual ayam serama Yellow MG
    10 Mac 2024
    PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Seekor ayam serama yang berusia setahun ditawar untuk dibeli dengan nilai RM25,000. Tawaran beberapa kali untuk memiliki ayam serama bernama Yellow MG dari Terengganu itu bagaimanapun ditolak oleh pemiliknya, Nasarudin Mat Ali, 37, kerana terlalu sayang akan binatang peliharaan tersebut. Joki ayam itu, Mohd Hilmi Mohd Ali, 38, berkata, Yellow MG diibaratkan ayam serama satu dalam seribu kerana memiliki ‘perangai’ yang memukau sekali gus menjadi rebutan peminat. “Cara ayam ini beraksi seperti mengibas-ngibaskan kepak dan mendada hingga tidak kelihatan lehernya menyebabkan sesiapa pun yang melihat akan berasa terhibur. “Yellow MG juga sudah menjuarai lebih 30 pertandingan sejak tahun 2023 sekali gus mengalahkan ayam serama dari negeri-negeri lain termasuk Kelantan, Johor serta Thailand,” katanya ketika ditemui di Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama Piala Ketua Polis Kelantan 2024 di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, di sini pada Sabtu. Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun. Pertandingan itu disertai 972 peserta dalam negara selain turut melibatkan pencinta burung candik dan ayam serama dari Loas serta Thailand. Pada pertandingan itu juga, Yellow MG menyandang juara Kategori Dewasa A mengalahkan 31 ayam serama lain. Kata Mohd Hilmi, hobi memelihara dan ‘bermain’ ayam serama juga boleh menjana pendapatan apabila peminat haiwan itu sanggup meletakkan harga yang tinggi untuk memiliki ayam serama terbaik. “Bukan semua ayam serama sehebat Yellow MG kerana mampu beraksi dengan gaya tersendiri hingga dinobatkan sebagai Ayam Serama Terbaik seluruh Malaysia bagi tahun 2023 dan 2024. “Menjaga ayam serama, mudah sahaja dengan kos dedak makanan sekitar RM30 sebulan, tetapi sangat penting ‘belaian’ dan kasih sayang barulah ayam itu menjadi cantik dan boleh mencecah nilai antara RM3,500 hingga RM25,000 bahkan lebih tinggi lagi,” katanya yang turut memberitahu jangka hayat binatang tersebut adalah antara lima hingga enam tahun. Tambah Mohd Hilmi, ayam serama yang dijaga dengan baik bukan sahaja boleh menaikkan nilainya tetapi juga memanjangkan jangka hayat ayam hingga 10 tahun.

  • Kemaskini Terakhir: Selasa 19 Mac 2024, 19:44:03.
© Hakcipta Terpelihara {2022} Pejabat Tanah Dan Jajahan Kota Bharu

Data Permohonan dan Penyelesaian Urusan Tanah di Pejabat Tanah dan Jajahan Seluruh Negeri Kelantan
KELGOV PPST