Accessibility Tools

Berita Kelantan

Sinar Harian: EDISI - Kelantan

RSS Feed : EDISI - Kelantan
  • Pelajar ada bukti nasi basi, ulat dalam makanan
    11 July 2025
    KOTA BHARU - Pelajar di sebuah kolej swasta di sini mendakwa ada nasi basi dan ulat dalam makanan yang menyebabkan 343 individu dilaporkan mengalami keracunan makanan.Menurut Mohd Irman Adly, 20-an, dakwaan itu berasas apabila pelajar terlibat mempunyai bukti."Saya bersyukur kerana tidak menjamah makanan yang dikatakan penyebab kepada masalah berkenaan."Selain pelajar, turut mengalami sakit yang sama adalah beberapa rakan tahun satu yang menjadi fasilitator," katanya kepada pemberita pada Khamis.Mohd Irman yang juga fasilitator program orientasi pelajar baru memberitahu, ramai yang sakit perut, muntah dan pening kepala terpaksa dibawa ke hospital atau klinik kesihatan.Ujarnya, situasi itu adalah pertama kali berlaku membabitkan lebih 100 pelajar hingga menyebabkan program orientasi terpaksa dihentikan.Sinar Harian Online melaporkan gara-gara gulai ayam seramai 343 individu dalam kalangan pelajar kemasukan baru, ahli jawatankuasa dan kakitangan orientasi sebuah kolej mengalami keracunan makanan pada Rabu.Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, mangsa menikmati hidangan tersebut semasa makan malam pada hari Selasa.Menurut beliau, organisma yang disyaki adalah Salmonella Spp dan makanan disediakan oleh katerer luar.
  • Gulai ayam disyaki punca 343 individu di sebuah kolej keracunan makanan
    10 July 2025
    KOTA BHARU - Gara-gara gulai ayam, seramai 343 individu dalam kalangan pelajar kemasukan baru, ahli jawatankuasa dan kakitangan orientasi sebuah kolej mengalami keracunan makanan pada Rabu.Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, mangsa menikmati hidangan tersebut semasa makan malam pada hari Selasa."Mengikut maklumat yang diperoleh, ia disediakan oleh katerer luar."Mereka mengalami gejala sakit perut (97.9 peratus), cirit-birit (82.2 peratus), pening (43.1 peratus), loya (35.8 peratus), muntah (9.6 peratus) dan demam (7.3 peratus)," katanya kepada pemberita pada Khamis.Menurut beliau, organisma yang disyaki adalah Salmonella Spp.Ujarnya, wabak diisytiharkan pada Rabu jam 3 petang setelah setelah proses verifikasi dilakukan.
  • Pendidikan akhlak benteng utama cegah hedonisme - MB Kelantan
    10 July 2025
    KOTA BHARU - Ancaman hedonisme yang serius dalam kalangan masyarakat dapat dicegah melalui pendidikan akhlak yang tinggi.Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, yakin gejala sosial itu dapat dipulihkan melalui kaedah berkenaan selain pendekatan kasih sayang."Perkembangan gejala sosial yang semakin meruncing kini menuntut satu kesedaran dan tindakan kita semua untuk meletakkan agama sebagai keutamaan," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2024 pada Rabu.Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan anugerah cemerlang kepada 1,301 pelajar yang membabitkan semua peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).Jelas beliau, anugerah dan wang tunai bernilai RM500 merupakan inisiatif kerajaan negeri sejak 19 tahun lalu yang telah memberi manfaat kepada 17,689 pelajar."Peruntukan keseluruhan bagi tempoh itu juga mencecah hampir RM9 juta," katanya.Mohd Nassuruddin memberitahu, anugerah itu bukan sekadar insentif tetapi simbolik penghargaan supaya menjadi inspirasi kepada pelajar lain.
  • Isu dadah: Kelantan tumpu kerjasama agensi, pendidikan awal
    09 July 2025
    KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan satu mesyuarat khas minggu lalu bagi menangani isu penagihan dan penyeludupan dadah yang semakin membimbangkan di negeri ini.Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, semua agensi berkaitan telah dipanggil bagi berkongsi strategi yang boleh dilaksanakan secara bersepadu untuk membanteras gejala itu.Menurutnya, antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta agensi berkaitan pendidikan."Pelbagai kaedah telah dikemukakan supaya semua peringkat masyarakat dapat bekerjasama dalam menangani masalah dadah termasuk di peringkat sekolah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2024, pada Rabu.Wan Roslan berkata, antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk aspek pendidikan awal, pemulihan, sokongan institusi keluarga serta intervensi perubatan, yang boleh menjadi faktor pengurangan terhadap kes jenayah berkaitan dadah."Kita percaya kebanyakan individu yang terlibat dalam isu ini ialah remaja yang datang daripada latar belakang keluarga yang bermasalah atau mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan," katanya.Media sebelum ini melaporkan bahawa polis menahan enam individu termasuk seorang wanita, dan merampas sebanyak 35.4 kilogram dadah yang dianggarkan bernilai RM5.04 juta.Kes berkenaan menjadi tular dan mencetuskan kebimbangan masyarakat di seluruh negara kerana dadah tersebut dikatakan untuk diedarkan kepada pelajar sekolah dan golongan remaja.
  • Tukar kata laluan secara berkala elak kena 'scam'
    09 July 2025
    KOTA BHARU - Perkongsian tiga maklumat utama membabitkan nama pengguna, kata laluan dan kod pin dengan pihak ketiga boleh menggalakkan penipuan perbankan dalam talian.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, pelbagai helah dilakukan oleh scammer yang sentiasa menunggu peluang mendapatkan maklumat peribadi pengguna.Menurut beliau, pihak bank sebenarnya menyediakan tahap keselamatan yang tinggi ketika urusan perbankan dalam talian terutama membabitkan telefon pintar."Memang akan ada cubaan scammer memberikan helah supaya pelanggan berkongsi maklumat dan kaedah terbaik ialah menukar kata laluan secara berkala," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bual Bicara Bank Islam 2025 di sini pada Selasa.Mohd Muazzam memberitahu, pelanggan bank juga perlu mempunyai kesedaran seiring kemajuan dalam perbankan digital bagi mengelak terjebak dengan penipuan.Jelas beliau, semua golongan diberi penekanan mengenai cara-cara memastikan penggunaan perbankan dalam talian yang lebih selamat."Kita juga mengenal pasti beberapa media sosial atau laman web palsu yang cuba mengelirukan pelanggan," katanya.
  • Kelantan tak pernah berlaku pergolakan kaum - Mohd Nassuruddin
    08 July 2025
    KOTA BHARU – Kelantan tidak pernah mengalami sebarang perbalahan atau rusuhan kaum dalam sejarahnya, menjadikan negeri itu antara contoh unik perpaduan sebenar di negara ini yang tidak dibentuk atas dasar retorik atau kempen semusim.Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, fakta ini menjadi bukti jelas bahawa keharmonian kaum yang terjalin di negeri itu adalah hasil budaya hidup rakyat Kelantan sendiri, bukan kerana paksaan dasar atau sekadar slogan perpaduan."Sejarah membuktikan bahawa tidak pernah berlaku perbalahan kaum di negeri ini."Alhamdulillah, ini kelebihan dan keistimewaan yang mesti dipertahankan serta dikekalkan di negeri Kelantan," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mesra Kaum 2025 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di sini pada Isnin.Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Pusat Integrasi Antara Kaum Negeri Kelantan, Lim Guan Seng, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kelantan, Datuk N. Subramaniam, serta komuniti Orang Asli.Mohd Nassuruddin menegaskan bahawa rakyat Kelantan membuktikan kehidupan harmoni antara kaum dapat dicapai tanpa perlu bergantung kepada polisi yang berat sebelah atau inisiatif retorik yang hanya muncul sempena musim tertentu."Di mana-mana pun, orang Kelantan tetap seperti adik-beradik."Jumpa Cina atau India Kelantan di Kuala Lumpur pun makan budu bersama, itu budaya kami," katanya.Beliau turut menekankan bahawa prinsip keadilan dalam Islam menjadi asas kukuh kepada perpaduan ini, sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW ketika memimpin masyarakat majmuk di Madinah melalui Piagam Madinah."Islam ajar kita berlaku adil kepada semua dan tidak menzalimi antara satu sama lain."Lihat bagaimana Rasulullah SAW memimpin Madinah, bangsa lain tidak ditindas malah dijamin hak mereka," katanya.Tambah beliau, asal-usul kejadian manusia yang dicipta daripada Nabi Adam AS dan Hawa merupakan asas untuk menolak perpecahan kaum."Tok nenek kita semuanya berasal daripada Nabi Adam dan Hawa. Selepas itu, ALLAH menjadikan kita berbilang bangsa serta bahasa."Walau apa jua bangsa kita, kita semua berasal daripada keturunan yang sama," tegasnya.  
  • 'Boleh ke Terengganu, terbang ke KL tonton wayang' - Mohd Amar
    08 July 2025
    KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa pembukaan pawagam atau panggung wayang di Kelantan bukan satu keutamaan kerana rakyat negeri itu masih berpeluang menonton filem di negeri jiran seperti Terengganu atau di ibu negara, Kuala Lumpur.Beliau berkata, rakyat Kelantan celik hiburan, tahu menilai dan berkemampuan membuat pilihan sendiri."Rakyat Kelantan sendiri tidak melihat pawagam sebagai satu keperluan mendesak. Bagi yang berhajat, ada yang ke Terengganu seisi keluarga."Ada juga yang terus terbang ke Kuala Lumpur, ke pawagam bertaraf premium atau lounge mewah. Itu bukan perkara luar biasa. Sama seperti mereka yang melancong ke Thailand untuk membeli-belah, bercuti atau menikmati makanan," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin malam.Menurut beliau, isu pawagam hanya kembali diperkatakan apabila filem Mat Kilau mencetuskan fenomena luar biasa dan segelintir pihak mengambil kesempatan meniup sentimen kononnya rakyat Kelantan dinafikan hak menonton filem di pawagam.Katanya, kebetulan isu itu timbul menjelang pilihan raya dan dijadikan bahan politik."Jika benar ada hasrat untuk melihat industri filem berkembang, tumpuannya sepatutnya diberikan kepada usaha menggandakan penghasilan filem yang berkualiti, patuh syariah dan sarat dengan nilai."Filem seperti Mat Kilau tidak seharusnya muncul sekali-sekala dalam tempoh dua tiga tahun. Kita perlu isi layar dengan karya berterusan, yang membina budaya dan mendidik masyarakat."Barulah pawagam, jika wujud sekalipun, menjadi tempat yang menyuburkan kefahaman – bukan sekadar hiburan kosong," katanya.Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu menegaskan bahawa panggung wayang bukan ukuran mutlak kepada kemajuan sesebuah negeri, apatah lagi dalam era digital dengan kewujudan pelantar penstriman atas talian (OTT) yang memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.Mengambil contoh dasar pengiklanan di Kelantan, Mohd Amar menjelaskan bahawa pendekatan patuh syariah dan penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan telah berjaya membentuk identiti budaya yang sopan dan kreatif tanpa menjejaskan keberkesanan penyampaian mesej.Tambah beliau, pendekatan Kelantan dalam isu hiburan bukan keputusan tergesa-gesa atau bersifat populis, sebaliknya melalui proses perbincangan panjang sejak era kepimpinan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat."Apa jua bentuk hiburan yang dibawa mesti tidak melalaikan, tidak merosakkan jiwa dan kekal dalam lingkungan nilai yang kita junjung bersama," katanya.
  • Lelaki OKU hilang sejak sembilan hari lalu
    07 July 2025
    PASIR PUTEH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dilaporkan hilang sejak sembilan hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Banggol Saman, Selising, di sini.Mangsa, Muhammad Haikal Mohd Saidie, 19, kali terakhir dilihat pada jam 9 pagi, 29 Jun lalu, sebelum gagal dikesan sehingga kini.Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria, berkata laporan kehilangan telah dibuat oleh ahli keluarga dan kes kini disiasat serta diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH)."Setakat ini, usaha mengesan Muhammad Haikal masih giat dijalankan dan kita mohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terlihat atau mengenali mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, lelaki OKU terbabit berkulit cerah.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh) di 09-7867222.
  • 'Cuma RM2,689... impian masuk UIA hampir terkubur'
    07 July 2025
    KUALA KRAI – "Saya hanya perlukan RM2,689... tapi kerana jumlah itu, saya hampir lepaskan peluang keemasan untuk masuk ke universiti."Itu luahan sayu seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Che Nur Anis Che Azami, 18, dari Jalan Embung di sini apabila impiannya menyambung pengajian ke menara gading hampir terkubur disebabkan kekangan kewangan keluarga.Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra (1) itu memperoleh semua A dalam lapan mata pelajaran, namun kegembiraan menerima tawaran Asasi Bahasa Melayu Untuk Komunikasi Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pahang bertukar menjadi kegusaran."Bagi orang lain mungkin jumlah itu kecil, tapi bagi keluarga kami, ia amat besar. Saya cuba cari jalan... ayah kata dia sanggup buat apa sahaja untuk bayar yuran," katanya dengan nada sebak kepada Sinar Harian.Menurut Che Nur Anis yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik itu, bapanya hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, manakala ibunya tidak bekerja dan kini sedang sakit akibat ketumbuhan dalam perut."Ayah perlu bayar sewa rumah, beli barang dapur dan sara adik-beradik yang masih bersekolah."Saya mengambil inisiatif bekerja sambilan di sebuah kedai runcit dengan upah RM50 sehari dan telah berjaya mengumpulkan lebih RM1,000. Namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk membayar yuran pendaftaran dan membeli keperluan asas pengajian."Saya hampir putus asa. Tapi saya percaya, hanya pendidikan yang boleh ubah hidup keluarga kami. Jadi saya nekad," katanya.Sementara itu, Pengerusi Briged Negaraku Kelantan, Muhammad Arief Mohd Zain memberitahu, pihaknya terpanggil untuk membantu Che Nur Anis selepas mendengar kesungguhannya dan keadaan keluarga pelajar berkenaan.Menurut beliau, sumbangan berjumlah RM3,000 telah diserahkan untuk bayaran yuran dan kelengkapan belajar."Kami harap ia jadi permulaan kepada masa depan cerah buat Che Nur Anis yang kebetulan merupakan bekas pelajar saya semasa mengajar di SK Kuala Krai," katanya.Che Nur Anis akan mendaftarkan diri di UIAM pada Selasa dan dijangka akan dijemput oleh kenderaan universiti ditemani oleh kakak serta abangnya.Bagaimanapun, ibu bapanya tidak dapat turut serta kerana masalah kesihatan.Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Che Nur Anis (553029654798).
  • Dua individu dicekup rentas sempadan secara haram
    07 July 2025
    TUMPAT – Seorang lelaki dan wanita warga tempatan diberkas ketika cuba masuk ke negara ini secara haram menerusi pangkalan haram Tanjung di sini pada Sabtu.Kedua-dua suspek berusia 37 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa pasukan terbabit melakukan pemerhatian di kawasan berkenaan menerusi Op Taring Wawasan sekitar jam 6 petang.Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya tidak memiliki sebarang dokumen sah keluar atau masuk ke Malaysia.Menurut beliau, kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut."Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada pemberita pada Ahad.
  • JPJ Kelantan kutip RM205,290 hasil lelongan 102 kenderaan termasuk motosikal PATI
    06 July 2025
    KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan meraih kutipan sebanyak RM205,290 hasil lelongan 102 kenderaan, termasuk 74 motosikal yang sebahagian besarnya disita kerana digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, lebih 50 peratus motosikal berkenaan disita dalam operasi penguatkuasaan sejak 2022 apabila didapati digunakan oleh warga asing etnik Rohingya, antaranya sebagai pekerja ladang dan peniaga pasar malam."Kebanyakan kes melibatkan motosikal berdaftar atas nama rakyat tempatan tetapi digunakan oleh warga asing tanpa lesen atau cukai jalan."Apabila disita, kami beri tempoh dan hantar surat, namun pemilik enggan hadir menuntut, maka diteruskan proses lucut hak melalui mahkamah dan dilelong," katanya pada sidang akhbar selepas Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 di JPJ Kelantan di Panji pada Ahad.Mengulas lanjut, antara jenis motosikal yang lazim digunakan oleh PATI termasuk Modenas Kriss 110, Honda EX5 110 dan SYM Bonus 110 yang dijual murah di pasaran terpakai."Banyak juga kes melibatkan pemilik tempatan yang lepas tangan selepas meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing tanpa dokumen sah."Ada kes pemilik kata kenderaan dipinjamkan untuk beli makanan dan apabila disita, tidak mahu datang tuntut," katanya.Daripada keseluruhan kenderaan yang dilelong, 67 daripadanya boleh dilesenkan iaitu 13 kereta, 52 motosikal dan dua lori, manakala baki 35 adalah kenderaan berstatus scrap termasuk 22 motosikal."JPJ juga, buat kali pertama, melelong sebuah lori jenis Hino yang disita kerana membawa muatan berlebihan."Kutipan tertinggi pada sesi lelongan kali ini berjumlah RM51,000 bagi lori Hino berkenaan, manakala bidaan kedua tertinggi RM30,000 untuk lori Daihatsu Delta yang disita kerana kesalahan cukai jalan," ujarnya.Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 1,000 kenderaan sitaan kini masih berada di depoh JPJ seluruh Kelantan dan sedang melalui proses perundangan untuk dilucut hak."Sebahagian telah mendapat perintah lucut untuk sesi lelongan seterusnya, dan lokasi pusat lelongan sedang dipertimbangkan kerana ada stesen penguat kuasa yang sudah terlalu sesak," katanya.
  • Ambulans 'gagal' tampung lelaki obes 160kg, APM angkut guna lori
    06 July 2025
    PASIR PUTEH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh membantu memindahkan seorang pesakit lelaki yang mempunyai berat lebih 160 kilogram (kg) dari Hospital Tengku Anis (HTA) di sini ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, awal pagi Ahad.Pegawai APM Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1 pagi susulan kekangan ambulans hospital yang tidak dapat menampung berat pesakit berusia 36 tahun itu."Kami segera menggerakkan lima anggota termasuk seorang pegawai ke lokasi dan menggunakan lori bagi memastikan proses pemindahan pesakit dapat dilakukan dengan selamat serta efisien."Keputusan menggunakan lori dibuat berdasarkan keperluan logistik serta faktor keselamatan agar penghantaran ke HRPZ II dapat dijalankan tanpa sebarang risiko atau kelewatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.Menurut beliau, kerjasama antara APM dan pihak hospital turut membantu mempercepatkan urusan pemindahan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.Ujarnya, tindakan pantas dan profesionalisme anggota yang terlibat membuktikan komitmen APM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutama dalam situasi kecemasan.
  • Penguatkuasaan di sempadan negara perlu diperkasakan - Timbalan MB Kelantan
    06 July 2025
    KOTA BHARU - Penguatkuasaan di sempadan perlu diperkasakan menerusi penugasan anggota yang lebih ramai, penambahan aset keselamatan serta kerjasama bersepadu antara semua agensi terlibat.Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kewujudan puluhan laluan tidak sah di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand menimbulkan kebimbangan terhadap kawalan keselamatan negara.Beliau berkata, faktor geografi serta hubungan kekeluargaan di kedua-dua belah sempadan juga menjadikan kawasan tersebut lebih terdedah kepada risiko ancaman keselamatan."Kawalan yang lebih ketat amat diperlukan untuk memastikan sempadan negara tidak menjadi titik lemah yang mengundang ancaman kepada rakyat dan kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan di laman rasmi Facebooknya pada Sabtu.Beliau berkata, sempadan di negeri Kelantan merupakan sebahagian daripada sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand yang wajib dipertahankan dengan penuh ketegasan."Sempadan berkenaan meliputi jarak kira-kira 105 kilometer dengan sebahagian besarnya terdiri daripada aliran Sungai Golok yang memisahkan Kelantan dan wilayah Narathiwat di Thailand."Di negeri ini hanya terdapat tiga pintu masuk rasmi iaitu di Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor, bagaimanapun wujud puluhan laluan tidak sah di sebalik pintu masuk rasmi tersebut yang sering menjadi jalan bagi aktiviti rentas sempadan," katanyaMohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam memastikan sempadan negara sentiasa terpelihara."Ini adalah tanggungjawab bersama demi melindungi kedaulatan negara, keselamatan rakyat serta masa depan nusa dan bangsa," katanya. - Bernama
  • Kelantan perkasa pemantauan premis perniagaan, cegah aktiviti berkaitan dadah
    06 July 2025
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan di premis perniagaan bagi memastikan premis berkenaan bebas daripada sebarang aktiviti berkaitan dadah.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, walaupun lesen perniagaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, namun terdapat kerjasama erat dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan polis."Sekiranya kami menerima maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penggunaan dadah oleh pekerja di premis ini, kita akan segera bekerjasama dengan polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain yang berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Dunia Ke-7 Mengenai Senaman dan Perubatan Regeneratif (WCERM) di sini hari ini.Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sindiket dadah menggunakan perniagaan restoran untuk mencuci hasil haram.Pada Khamis, Bernama melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran 35.4 kilogram pil kuda (pil amfetamin) bernilai RM5.04 juta dalam enam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat.Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dilaporkan berkata, sindiket itu menggunakan hasil dadah berkenaan untuk membuka pelbagai perniagaan bagi mencuci pendapatan haram mereka.Antara yang dikenal pasti ialah restoran makanan laut di Tanah Merah, salun dan perusahaan dalam talian. - Bernama
  • Bibik 'pengotor' abai tanggungjawab, kerap buat 'live' TikTok
    04 July 2025
    KOTA BHARU – Sikap sebenar seorang pembantu rumah kepada seorang pengasas kosmetik di Kelantan terbongkar apabila wanita berkenaan melarikan diri bersama barangan berjenama milik majikannya dalam kejadian pada Selasa lalu.Mangsa, Nuramiera Mustapa, 28, berkata, pembantu rumah warga Indonesia yang dipanggil 'Bibik' itu bukan sahaja menghilangkan diri, malah turut membawa lari pakaian, beg tangan dan kasut berjenama miliknya yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000.Menurutnya, pembantu rumah berusia 40 tahun yang diambil daripada ejen sah itu telah menunjukkan sikap sambil lewa dalam menjalankan tugas sejak empat bulan lalu, termasuk membiarkan rumah dalam keadaan kotor, bersawang dan berhabuk."Saya pernah menegurnya kerana terlalu leka dengan telefon bimbit dan sering membuat 'live' di TikTok hampir setiap malam."Saya dapati dia lebih banyak habiskan masa dengan telefon daripada melakukan kerja rumah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.Tambah ibu kepada dua anak itu, pembantu rumah terbabit merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak dan dipercayai berasal dari Acheh Barat."Dia selalu berhubung dengan rakan senegara dan saya difahamkan dia juga mempunyai teman lelaki."Saya tak kisah jika dia ada kawan, malah saya benarkan dia buat panggilan video dengan keluarga dan saya sendiri pernah berbual dengan mereka."Tapi saya amat kecewa apabila dia tidak menggunakan kepercayaan itu dengan baik."Malah, bilik tidurnya dipenuhi sampah walaupun telah saya tegur berkali-kali supaya tidak makan dan minum di dalam bilik," jelas Nuramiera.Menurutnya, sebelum kejadian, wanita berkenaan juga pernah cuba menyembunyikan MyKad suaminya, Mohd Arif Mohd Satar, 34, namun perbuatannya sempat disedari.Walaupun kesal, Nuramiera tetap menghargai penjagaan anak-anak yang diberikan oleh wanita itu selama sembilan bulan berkhidmat bersama keluarganya."Kami tak pernah abaikan kebajikan bibik. Malah, saya dan suami pernah hadiahkan rantai dan cincin sebagai tanda penghargaan terhadap jasanya menjaga anak-anak kami yang ketika itu berusia enam tahun dan sembilan bulan."Tapi malangnya, kepercayaan itu dikhianati. Kami sedih dan terkilan kerana selama ini anggap dia seperti keluarga sendiri," katanya.Ditanya sama ada beliau telah membuat laporan polis, Nuramiera menjelaskan bahawa beliau memilih untuk tidak berbuat demikian."Saya anggap ini sebagai ujian hidup. Kami reda, dan doakan dia pulang ke keluarganya dengan selamat," katanya.Beliau dimaklumkan bahawa pembantu rumah berkenaan kini dipercayai berada di kampung halamannya di Acheh.
  • 700 durian 'belum masak' gugur dibadai ribut
    04 July 2025
    KOTA BHARU - Seorang pengusaha kebun durian kerugian kira-kira RM39,000 selepas 700 biji durian pelbagai jenis gugur sebelum waktunya akibat dibadai ribut dalam kejadian di Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah pada Selasa lalu.Menurut Muhammad Nasrullah Tarmizi, 27, kejadian berlaku sekitar jam 4 petang ketika beliau berada di dalam pondok di kebun seluas empat hektar miliknya."Saya hanya mampu berdoa dan melaungkan azan apabila melihat angin kencang melanda kawasan kebun."Saya sendiri menyaksikan dahan beberapa pokok durian seperti raja kunyit, durian kahwin dan anak kunyit patah serta buah yang hampir masak gugur."Paling menyedihkan, buah-buah tersebut sudah matang dan sepatutnya gugur dalam masa seminggu lagi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.Beliau berkata, selepas kejadian, buah yang luruh dikutip dan diasingkan mengikut tahap kesesuaian."Kami tidak mahu membazir. Ada buah yang masih elok digunakan untuk membuat kerepek, masak lemak atau digoreng celup tepung. Kami juga berkongsi dengan penduduk kampung," katanya.Beliau berkata, kebun durian itu diusahakan secara bersama dengan satu keluarga lain sejak lima tahun lalu.Tambahnya, tanaman durian di kebun berkenaan terdiri daripada pokok berusia hampir 30 tahun dan sebahagiannya merupakan baka durian berkualiti tinggi."Setiap tahun saya jual hasil durian di pekarangan rumah di Kampung Kuala Tiga."Jika musim mengizinkan, pendapatan boleh mencecah RM50,000, namun bergantung pada hasil dan ancaman seperti haiwan liar serta penyakit pokok," katanya.Beliau turut mengakui pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam usaha memastikan kualiti isi durian kekal terbaik, namun beliau tetap bersyukur kerana diberi rezeki yang baik melalui tanaman tersebut.
  • Baik pulih cerun LRA Bukit Remah dijangka siap tahun depan
    03 July 2025
    KOTA BHARU - Kerja-kerja baik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah kini dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan, Ir Nik Soh Yaacoub berkata, proses mereka bentuk dan kajian tanah di kawasan berkenaan kini sedang dilaksanakan dan dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan.Beliau memaklumkan bahawa kos keseluruhan pembaikan cerun tersebut dianggarkan berjumlah RM6 juta."Kita sudah menerima peruntukan dan berharap kerja-kerja pembaikan cerun itu dapat dilaksanakan sebelum musim tengkujuh tahun ini," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Asyura Perdana JKR 2025 pada Khamis.Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.6 juta bagi membaik pulih cerun berkenaan.Insiden tanah runtuh yang berlaku pada 26 November tahun lalu menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter serta kerosakan struktur cerucuk keping di LRA tersebut.Tanah runtuh itu turut mengakibatkan gangguan kepada paip air mentah dan terawat serta mengancam beberapa bangunan penting di kawasan sekitarnya.Dalam pada itu, Nik Soh turut memaklumkan bahawa pihaknya menyasarkan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) dan Central Spine Road (CSR) dapat disiapkan sebelum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028."Kita berharap kontraktor tidak menghadapi sebarang masalah. Mereka telah memulakan kerja-kerja pembinaan, namun terdapat perbezaan kerana ada yang bermula lebih awal," katanya.
  • 'Musang king RM20 sekilogram kurang sambutan'
    03 July 2025
    KOTA BHARU – Meskipun durian musang king dijual serendah RM20 sekilogram sejak lima tahun lalu, namun jualannya tahun ini dikatakan hambar dan tidak semeriah musim-musim terdahulu.Menurut peniaga, Ahmad Maher Safian, 30, yang juga imam sebuah masjid di sini, harga murah itu ditawarkan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat merasai keenakan ‘raja buah’ yang sinonim dengan julukan buah 'kayangan'."Walaupun harga masih kekal, tetapi sambutan tahun ini kurang memberangsangkan. Mungkin disebabkan faktor ekonomi yang tidak menentu," katanya ketika ditemui di tapak jualan di belakang Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian pada Khamis.Menurut beliau, situasi cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat dan ribut turut menjejaskan hasil musim kali ini.Ujarnya, beliau menjangkakan tempoh menikmati musang king tahun ini cuma sekitar tiga minggu sahaja.Tambah Ahmad Maher lagi, kemasukan durian dari negara jiran yang lebih awal ke pasaran turut menjadi saingan, apatah lagi dengan harga yang lebih rendah.Namun beliau memberi peringatan, durian import itu dipercayai mengandungi bahan kimia lebih tinggi berbanding buah tempatan.Ahmad Maher yang mendapatkan bekalan dari kebun milik keluarganya berkata, meskipun cuaca tidak menentu, hasil yang diperoleh dijangka sekitar tiga hingga empat tan seminggu sepanjang musim ini.
  • 'Kalau hafal Quran, semua subjek jadi senang' – Pelajar terbaik STPM Kebangsaan
    03 July 2025
    KOTA BHARU – Istiqamah menghafal al-Quran sejak Tingkatan 1 menjadi tunjang kejayaan seorang pelajar dari Kelantan meraih kelompok lapan terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 seluruh negara.Muhammad Irham Mazlan, 20, calon aliran Sains Sosial itu mencatat kecemerlangan dengan keputusan 5A dan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00."Kalau kita boleh ulang satu muka surat al-Quran sampai 40 kali, ulang kaji subjek akademik pun jadi lebih mudah."Hafazan melatih otak untuk fokus dan ingat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Bekas pelajar prauniversiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas itu mula menghafaz al-Quran ketika Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok, Bachok dan meneruskannya secara konsisten walaupun berpindah ke sekolah harian biasa semasa Tingkatan 6.Menguasai 26 juzuk al-Quran, Muhammad Irham mengaplikasikan kaedah hafazan yang sama untuk ulang kaji akademik dengan mengulang nota dan menjawab latihan secara berterusan.Dia dan rakan-rakan turut membentuk kumpulan belajar kecil serta mengambil inisiatif untuk terus belajar di surau, dewan seminar dan blok akademik di sekolahnya hingga jam 11 malam setiap hari."Saya tak tinggal di asrama dan berulang-alik. Kami minta kebenaran pengetua untuk belajar malam. Lelaki sampai 11 malam, perempuan sampai 7 malam."Kami buat sistem mentor-mentee, jawab soalan berulang-ulang," katanya yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti sekolah itu.Budaya pembelajaran di sekolahnya turut menyokong suasana pengajian berteraskan nilai Islam, walaupun bukan sekolah agama."Setiap pagi kami mulakan dengan bacaan Quran, solat sunat, tazkirah. Petang pula baca al-Waqiah."Ini amalan harian yang bantu tenangkan jiwa dan kuatkan semangat," jelasnya.Muhammad Irham menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).Sebelum memasuki sekolah menengah, dia sudah tiga kali khatam al-Quran secara tradisional bersama ustazah di kampung.Abangnya, Muhammad Izzat Mazlan, 25, juga seorang hafiz dan kini guru di Sekolah Kenangsaan Wangsa Jaya.Bapanya, Mazlan Ahmad, 59, ialah guru Sejarah juga Pengetua SMK Dato Biji Wangsa manakala ibunya, Sharifah Nuraini Syed Ab Kadir,53, Guru Kanan Sains Matematik di SMK Kutan.Kini Muhammad Irham turut aktif sebagai Naib Presiden Ikatan Legasi Mahasiswa Ulul Albab Nasional (ILMUAN), sebuah gerakan yang mempromosikan pendidikan Ulul Albab, gabungan hafazan al-Quran dengan penguasaan iImu sains dan teknologi."Kami nak lahirkan pelajar yang boleh jadi imam, jurutera, doktor, seperti tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam. Itu misi Ulul Albab," jelasnya.Beliau turut berpesan kepada anak muda agar terus meletakkan al-Quran sebagai asas dalam kehidupan."Kita boleh skor 4.00, tapi kalau tak beri manfaat kepada orang lain, itu bukan kejayaan sebenar. Al-Quran mesti jadi tunjang sepanjang hidup," tegasnya.Selain Muhammad Irham, tiga lagi pelajar dari Kelantan yang turut meraih CGPA 4.00 dalam aliran Sains Sosial ialah Nur Amalina Osman, Nurnajwa Syafina Mohd Redzuan (kedua-duanya dari SMK Tengku Panglima Raja) dan Ahmad Hakimi Shariffudin dari SMK Seri Aman, menjadikan Kelantan terbaik STPM seluruh negara.Turut cemerlang ialah Tengku Nurhanis Tengku Othman dari SMKA Naim Lilbanat yang dinobatkan sebagai calon berkeperluan khas kategori penglihatan, terbaik negeri.Bagi keputusan STAM pula, seramai tujuh pelajar dari institusi agama Kelantan memperoleh pangkat 10 Mumtaz iaitu dari Maahad Muhammadi Pasir Mas, Muhammad Hilmi Zulkifli dan Zakiah Madihah Mohd Azlan.Tuan Mohd Al-Syafie Tuan Mohd Saripudin dari Pusat Pengajian Pondok, Nur Ain Ariesya Ahmad Tarmizi (Maahad Muhammadi Pasir Pekan), dua dari Maahad Muhammadi Perempuan Farah Fadlhlina Ismail dan Nur Ain Aqilah Abdull Malek serta Tuan Amin Fawwaz Tuan Soh (Maahad Muhammadi Lelaki).  
  • Kelantan pantau tahap kandungan besi, mangan dalam air bawah tanah
    03 July 2025
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk melihat tahap bahaya kandungan besi (Fe) dan mangan (Mn) yang tinggi dalam air bawah tanah di negeri ini.Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya mengambil serius perkara itu jika ia memberikan kesan tidak baik pada kesihatan."Kalau ada benda tu (kandungan besi dan mangan) kita kena lihat sama ada merbahaya untuk kesihatan rakyat."Jika ada tindakan segera kena ambil dengan kerjasama pihak kesihatan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.Media tempatan sebelum ini melaporkan, kira-kira 600,000 penduduk Kelantan yang menggunakan air telaga dan telaga tiub berisiko menghadapi masalah kesihatan akibat kandungan Fe dan Mn yang tinggi dalam air bawah tanah.Kajian menunjukkan paras Fe di Bachok dan Kota Bharu mencecah 3.79 mg/L manakala Mn sebanyak 0.76 mg/L – jauh melebihi piawaian Kementerian Kesihatan iaitu masing-masing 0.3 mg/L dan 0.1 mg/L.Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah berusaha sebaik mungkin meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk kesejateraan rakyat."Setakat ini AKSB telah membuat pelbagai langkah untuk menaik taraf perkhidmatan."AKSB juga telah banyak capai kemajuan dan beberapa perkara masih lagi dalam tindakan," katanya.
  • 'Scammer bukan bodoh, tapi salah guna ilmu' - MB Kelantan
    02 July 2025
    KOTA BHARU – Golongan cerdik pandai yang berjaya dalam akademik tetapi gagal membentuk akhlak disifatkan berisiko menjadi perosak masyarakat, seperti scammer.Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, antara bukti nyata ialah kewujudan scammer atau penipu profesional yang semakin berani memperdaya pegawai kanan, tokoh korporat, malah pemimpin negara demi kepentingan diri.Beliau berkata, mereka ini bukan terdiri daripada kalangan yang lemah dari segi intelek, sebaliknya individu berilmu yang tersasar apabila tidak dibimbing dengan nilai moral serta akhlak Islam yang kukuh."Orang yang buat kerja scam ini orang cerdik, bukan orang bodoh."Sampai pegawai polis pun dia boleh tipu, pemimpin pun dia tipu. Maksudnya dia salah guna kecerdikan yang ada," katanya semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini pada Rabu.Pada majlis itu, 12 pelajar cemerlang termasuk empat penerima anugerah cemerlang peringkat kebangsaan bagi pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tujuh pelajar 10 Mumtaz Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024, menerima insentif RM1,000 setiap seorang.Menurut Mohd Nassuruddin, kejayaan akademik perlu diseimbangkan dengan pembinaan jati diri agar pelajar tidak hanyut apabila melangkah ke menara gading."Kalau di sekolah, ada peraturan, disiplin dan pakaian ditetapkan."Di universiti, ada kejutan budaya, lebih bebas, berkawan tanpa batasan. Di situ ramai mula hanyut," katanya.Beliau turut menekankan bahawa pelajar perlu diberi asas kukuh dalam amalan agama seperti menjaga solat, menghormati ibu bapa serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup."Gagal dalam aspek itu boleh membuka ruang kepada salah laku walaupun seseorang itu cemerlang."Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut peperiksaan tetapi menyalahgunakan kecerdikan itu untuk merosakkan masyarakat," tegasnya.Beliau meminta agar pelajar terus membina kecemerlangan, berakhlak dan berintegriti sehingga ke peringkat universiti, seterusnya menjadi aset penting negeri dan negara."Kerajaan negeri memberi sokongan penuh melalui pelbagai bantuan pendidikan termasuk pinjaman Yayasan Kelantan Darulnaim yang boleh ditukar menjadi biasiswa bagi pelajar cemerlang," katanya.
  • Kelantan serah kepada Pusat tentukan pengganti Nik Nazmi
    02 July 2025
     KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Pusat untuk melantik pengganti Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan selepas Ahli Parlimen Setiawangsa itu melepaskan jawatan sebagai menteri sebelum ini. Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bagaimanapun beliau berharap kerajaan Pusat turut mengambil pandangan kerajaan negeri dalam pelantikan pengganti untuk jawatan tersebut. "Saya tidak boleh ulas panjang, cuma serahkan kepada Pusat. Besar harapan agar pandangan kerajaan negeri dapat diambil kira dalam pelantikan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim pada Rabu. Media pada Selasa melaporkan biarpun ada saranan yang memintanya untuk tidak meneruskan hasrat meletak jawatan, Nik Nazmi dikhabarkan kekal dengan pendiriannya untuk melepaskan tugas sebagai anggota Kabinet. Perkembangan itu hadir selepas beliau hari ini berkongsi di Instagram, dilihat menyampaikan ucapan pada satu majlis perpisahan, difahamkan berlangsung di kementeriannya di Putrajaya. Untuk rekod, peletakan jawatan Nik Nazmi itu akan berkuat kuasa Jumaat ini, yang mana ketika ini beliau masih dalam tempoh cuti. 
  • Kelantan, Singapura jalin kerjasama pembangunan Islam
    02 July 2025
    KOTA BHARU – Kelantan dan Singapura kini sedang meneroka kerjasama dua hala dalam aspek pembangunan serta hal ehwal masyarakat Islam yang melibatkan kedua-dua wilayah.Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara itu dibincangkan dalam satu kunjungan hormat kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura yang juga Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Negara, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim.Menurut beliau, pertemuan yang berlangsung selama sejam itu turut menyentuh lima bentuk kerjasama yang dikenali sebagai jalinan mahabbah antara Kelantan dan Singapura."Antaranya melibatkan pembangunan dan latihan kepimpinan pegawai agama, potensi pembangunan halal antara Kelantan dan Singapura, pembangunan keluarga serta sosial, pengurusan berkaitan al-Quran dan taranum serta pendidikan Islam termasuk pengurusan masjid."Alhamdulillah, semua cadangan ini mendapat perhatian dan maklum balas yang sangat positif, dan akan diteliti serta dipanjangkan secara pentadbiran oleh agensi berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Dr. Hasnan Ramli.
  • 34 pelajar Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi khatam al-Quran di puncak Gunung Stong
    01 July 2025
    KUALA KRAI – Seramai 34 pelajar Tingkatan Empat dari Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Nipah, Bachok khatam 30 juzuk al-Quran secara berkumpulan di puncak Gunung Stong setinggi 1,422 meter pada program Kem Mukhayyam Tarbawi 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 29 hingga 31 Mei lalu.Pengarah program merangkap Penolong Kanan Kokurikulum, Mohd Aris Farizal Abdul Halim berkata, program bertemakan "HANGAT – Hayati Alam, Ingat Tuhan" itu bukan sekadar aktiviti luar semata-mata, sebaliknya medan terbaik untuk membina jati diri dan semangat mujahadah dalam kalangan pelajar."Mukhayyam ini menguji fizikal dan mental, namun yang lebih utama adalah bagaimana ia mengukuhkan ukhuwwah dan menjentik rasa kekaguman terhadap ciptaan ALLAH. Setiap peluh yang menitis sepanjang pendakian membawa makna mujahadah yang mendalam," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Menurut beliau, program tahunan yang kini memasuki tahun ketujuh sejak mula diperkenalkan pada 2016 itu menjadi antara aktiviti paling dinanti-nantikan warga sekolah setiap tahun.Ujarnya, antara pengisian menarik sepanjang program termasuk aktiviti perkhemahan di Kem Baha, khatam al-Quran 30 juzuk secara berkumpulan, menikmati panorama matahari terbit dari viewpoint Gunung Stong serta mandi-manda di Telaga Tujuh Puteri yang terkenal dengan kejernihan airnya.Mohd Aris Farizal memberitahu, kemuncak program adalah pendakian mencabar selama hampir lima jam ke puncak Gunung Stong yang menyajikan pemandangan menakjubkan sebagai ganjaran atas usaha dan ketabahan para peserta.Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Muhamad Sharifuddin Noh berkata, pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah seperti ini penting dalam melahirkan huffaz yang seimbang dari aspek spiritual, fizikal dan intelektual."Kami tidak mahu hanya melahirkan pelajar yang menghafaz al-Quran semata-mata, tetapi juga memiliki kekuatan emosi dan jiwa kepimpinan. Di sinilah alam menjadi guru dan tarbiah secara langsung berlaku dalam keadaan paling asli," katanya.Menurut beliau, dalam usaha menyokong pembentukan generasi huffaz yang cemerlang, pihak sekolah turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai ke Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina yang digunakan bagi menjalankan pelbagai program akademik dan kecemerlangan pelajar.Ujarnya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut Bank Islam Malaysia Berhad 0301 8010 1890 64 (Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina).
  • Terima kasih Perdana Menteri beri Kelantan lebih RM6.6 juta - MB
    01 July 2025
    KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan lebih RM6.6 juta untuk kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, Tanah Merah di sini.Beliau berkata, kelulusan itu amat bermakna buat rakyat Kelantan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi dengan segera."Suara rakyat akan terus dibawa dengan semangat budaya politik matang dan sejahtera yang juga menzahirkan semangat federalisme yang tinggi antara kerajaan negeri dan Persekutuan demi kebaikan mereka (rakyat)."Kerajaan negeri telah bertindak pantas mengemukakan permohonan kepada Putrajaya bagi menangani insiden cerun runtuh, susulan hujan berterusan yang menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan mengakibatkan kerosakan struktur ‘sheet pile’ di LRA tersebut," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin malam.Mohd Nassuruddin memberitahu, selain itu pihaknya meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya iaitu Kajian Siasatan Tanah dan Kajian Ukur Terperinci di tapak LRA berkenaan."Inisiatif tersebut mendapat maklum balas positif apabila kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan peruntukan," katanya.Media tempatan pada 28 November tahun lalu melaporkan hujan lebat berterusan menyebabkan mendapan dan pergerakan tanah di kawasan LRA Bukit Remah dekat Tanah Merah.Kejadian itu menyebabkan paip air bersaiz 700 milimeter (mm) pecah sekali gus menjejaskan bekalan air kepada 13,766 akaun pengguna.Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi satu kenyataan, memaklumkan paip air mentah berkenaan pecah pagi tadi menyebabkan LRA Bukit Remah terpaksa dihenti tugas serta-merta.
  • Pemuda pulang buat kejutan selepas tujuh tahun di Australia
    01 July 2025
    KOTA BHARU - Demi mengubah nasib keluarga, seorang pemuda dari Kampung Kuala Balah, Jeli sanggup berhijrah ke Melbourne, Australia dan meninggalkan tanah air selama tujuh tahun.Mohamad Hilmi Muhd Shamsuddin, 33, nekad menjual topi keledar serta beberapa barangan kesayangannya sebagai modal awal untuk memulakan kehidupan baharu di negara itu pada usia 26 tahun.Menurut Mohamad Hilmi, hasil usahanya bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi turut membantunya mengumpul lebih RM10,000 sebagai persediaan meneruskan kehidupan di sana."Sebagai anak sulung daripada 12 beradik dan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya nekad mempertaruhkan kehidupan di sana untuk mencari pengalaman dan memperbaiki nasib keluarga."Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan kesungguhan diri, saya berjaya mendapat pekerjaan di Pasar Cranbourne di Melbourne," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Mohamad Hilmi berkata, pekerjaan tersebut cukup berbaloi untuk menimba pengalaman serta mencari rezeki, sambil merancang masa depan yang lebih baik."Saya bukan daripada keluarga berada dan perlu berusaha keras untuk mengubah kehidupan kami," ujarnya.Katanya, bapanya Mohd Shamsudin Hussin, 60, dan ibunya Rohani Zakaria, 55, menjual roti canai di kampung untuk menyara kehidupan dan membesarkan anak-anak.Jelasnya lagi, setiap hari dia perlu mengangkat dan menyusun buah-buahan yang dihantar ke pasar tersebut, namun berasa bersyukur kerana mendapat bantuan dan kerjasama daripada rakan-rakan di sana.Menceritakan keputusannya berhijrah ke negara kanggaru itu, Mohamad Hilmi berkata, pada mulanya beliau tidak mengenali sesiapa, tetapi gigih mendapatkan maklumat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.Mohamad Hilmi turut bersyukur kerana dapat membantu ibu bapa menyekolahkan adik-beradiknya, dan kini tiga daripada mereka sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).Tambahnya, sepanjang tujuh tahun berada di Australia, beliau tidak pernah pulang ke kampung demi menjimatkan perbelanjaan dan hanya menghubungi keluarganya melalui aplikasi WhatsApp.Beliau turut berpesan kepada mereka yang ingin berhijrah ke luar negara supaya berani, bertawakal dan sentiasa berdoa agar dikurniakan kekuatan.Dalam pada itu, Mohamad Hilmi kini sedang merancang untuk membuka perniagaan dalam bidang pertanian dan penternakan di tanah air."Saya tidak akan kembali lagi ke Australia selepas pulang pada 16 Jun lalu dan berharap mendapat rezeki yang lebih baik di bumi sendiri selepas ini," katanya.Kepulangan Mohamad Hilmi disambut meriah oleh adik-beradiknya yang lain, dan pemuda itu turut tampil memakai kostum arnab untuk membuat kejutan kepada kedua ibu bapanya.Hari istimewa itu turut dikongsikan oleh ahli keluarganya di media sosial dan menerima pelbagai ucapan tahniah daripada rakan-rakan.  
  • 4 ditahan guna pangkalan haram rentas sempadan
    01 July 2025
    RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat individu yang merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok di sini pada Jumaat dan Sabtu.Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan pertama dilakukan pada jam 6.20 petang Jumaat melibatkan seorang lelaki dan wanita tempatan di pangkalan haram Pohon Jambu semasa penugasan Op Taring Wawasan."Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen keluar masuk ke Malaysia yang sah."Mereka berusia 20 dan 21 tahun itu dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Isnin.Menurut beliau, suspek wanita didapati positif dadah jenis ketamine.Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.Nik Ros Azhan memberitahu, tangkapan kedua melibatkan lelaki dan wanita warganegara Thailand yang masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram Tanjung pada jam 6 petang Sabtu."Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek itu tidak mempunyai dokumen keluar masuk ke Malaysia yang sah."Mereka yang berusia 34 dan 40 tahun itu dibawa ke IPD Tumpat untuk tindakan selanjutnya," katanya.Menurut beliau, kes terbabit disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
  • Cubaan seludup kambing, biri-biri dari Thailand gagal
    01 July 2025
    JELI - Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup kambing dan biri-biri menggunakan sebuah treler di Kampung Pak Mud, di sini pada Sabtu.Dalam Op Taring Wawasan pada jam 11.45 malam itu, PGA turut menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang bertindak sebagai pemandu treler bagi membantu siasatan.Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua ternakan terbabit dipercayai diseludup dari Thailand dan dibawa masuk untuk pasaran tempatan."Semasa ditahan pemandu treler berkenaan telah menunjukkan dokumen berkaitan haiwan ternakan tersebut."Hasil pemeriksaan mendapati dokumen itu meragukan dan disyaki palsu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas treler itu telah menjumpai 166 ekor kambing dan 34 ekor biri-biri.Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua rampasan bernilai RM625,000 diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.  
  • Pengunjung rayu bina pencawang rangkaian telefon di Lata Renyuk
    30 June 2025
    JELI - Lata Renyuk yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Bandar Jeli merupakan antara air terjun yang menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah namun sehingga hari ini kawasan terbabit tidak mempunyai kemudahan rangkaian telefon.Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati rungutan itu benar walaupun kedudukan lokasi tersebut tidaklah tersorok, sebaliknya berhampiran dengan kawasan perkampungan.Pengunjung, Idham Salleh, 37, dari Pasir Puteh berkata, ketiadaan rangkaian telefon menyebabkan mereka sukar untuk berhubung dengan dunia luar sepanjang berada di Lata Renyuk."Kebanyakan pengunjung akan menghabiskan masa sekitar tiga hingga empat jam berkelah dan mandi manda bersama keluarga."Sepanjang tempoh itu kami terputus hubungan. Bayangkan jika berlaku kecemasan sudah tentu sukar untuk kami menghubungi pihak berkuasa," katanya.Seorang lagi pengunjung dari Kota Bharu, Din Ahmad, 52, memberitahu, dia terkejut kawasan secantik itu tidak mempunyai rangkaian telefon.Ujarnya, lagi pun kedudukan tempat riadah itu tidak jauh dari penempatan penduduk."Rugi jika kawasan riadah seperti ini tidak dilengkapi dengan kemudahan tersebut," katanya.Sementara itu, Penghulu Mukim Reka, Abu Bakar Yazid berkata, beliau pernah mengemukakan cadangan kepada pihak berwajib termasuk mencadangkan lokasi untuk pembinaan pencawang."Namun sehingga kini tiada jawapan yang diberikan."Saya mewakili penduduk dan pengunjung Lata Renyuk merayu dan berharap pencawang rangkaian telefon dapat dibina segera bagi memberi kemudahan serta mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.
  • Kelantan sasar takluk SPM pula, perkasa tuisyen percuma luar bandar
    30 June 2025
    KOTA BHARU – Selepas mengungguli keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat kebangsaan tahun lalu, Kerajaan Negeri Kelantan kini menyasarkan gelaran negeri terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula.Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelbagai inisiatif telah dirangka termasuk memperkasa Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) Kelantan 2.0 dan memperkenalkan tuisyen percuma secara dalam talian sebagai kaedah pembelajaran alternatif untuk pelajar luar bandar."Sekarang ini, juara SPM ialah Terengganu, manakala juara STPM ialah Kelantan."Jadi, selepas ini kami nak rebut juara bagi kedua-dua peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran TRS 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Isnin.Menurut beliau, inisiatif tuisyen ini penting bagi memastikan pelajar negeri ini terus bersaing secara sihat dan berpeluang cemerlang dalam peperiksaan nasional walaupun berdepan kekangan lokasi dan ekonomi.Wan Roslan berkata, antara pembaharuan utama TRS tahun ini ialah pelaksanaan program e-Tuisyen Rakyat Sejahtera yang membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari rumah masing-masing."e-Tuisyen Rakyat Sejahtera dikhaskan untuk pelajar luar bandar yang tidak mampu ke pusat tuisyen swasta atau tinggal jauh dari sekolah."Ada juga pelajar yang tidak dibenarkan keluar pada waktu malam, jadi kita bawa tuisyen dalam talian kepada mereka secara percuma," katanya.Program tersebut, yang pertama kali diperkenalkan tahun ini, akan bermula pada bulan Julai melibatkan lebih 1,000 pelajar dan dikendalikan oleh Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK)."Modul e-Tuisyen ini lengkap merangkumi semua subjek, bukan sahaja Matematik dan Sejarah, tetapi juga Kimia, Fizik dan Bahasa Inggeris yang dilaksanakan melalui peruntukan RM97,200 daripada kerajaan negeri," katanya.Beliau berkata, pada peringkat awal, program ini dibuka kepada pelajar sekolah YIK memandangkan kerajaan negeri tidak dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)."Kalau ada sekolah KPM yang nak ikut serta, kami akan pertimbangkan dalam skop bidang kuasa yang dibenarkan," katanya.Mengulas TRS secara fizikal, beliau berkata, pelaksanaannya tahun ini diperluaskan ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan dua kelas (60 pelajar) setiap DUN, berbanding hanya satu kelas (30 pelajar) pada tahun lalu."Peruntukan tahun ini juga meningkat daripada RM10,000 kepada RM15,000 bagi setiap DUN."Secara keseluruhan, RM675,000 disalurkan untuk menjayakan program ini," katanya.Tambahnya, pencapaian TRS tahun lalu menunjukkan impak positif dengan peningkatan ketara prestasi pelajar, khususnya dalam subjek teras."YIK sahaja catat peningkatan empat peratus dalam keputusan SPM 2024 selain peningkatan menyeluruh dari segi pencapaian Matematik, Sejarah dan subjek teras lain," katanya.Selain itu, beliau turut memaklumkan, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) turut menubuhkan Pusat Tuisyen Rakyat Sejahtera di Kompleks YAKIN, di sini mulai Ogos ini dengan sasaran pelajar di kawasan bandar.Kelantan mencatatkan kejayaan membanggakan dalam keputusan STPM 2024 apabila muncul sebagai negeri terbaik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00, melepasi purata nasional 2.85.Seramai 123 calon dari negeri itu memperoleh PNGK 4.00, menjadikan Kelantan antara negeri paling cemerlang dalam pencapaian akademik peringkat prauniversiti.Sementara itu, negeri Terengganu kekal unggul dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.31, lebih baik daripada purata kebangsaan 4.49.Seramai 11 calon di Terengganu memperoleh semua A+, menunjukkan kekuatan akademik negeri itu dalam peperiksaan peringkat menengah.Pencapaian ini menjadikan kedua-dua negeri sering dibandingkan dari sudut prestasi pendidikan awam, dengan Kelantan mendahului STPM dan Terengganu mendominasi SPM.  
  • Pemuda lumpuh enam tahun, sahabat bantu pulihkan semangat
    30 June 2025
    SHAH ALAM - "Kalau Iwan tak bangkit, macam mana keadaan umi yang kandungkan Iwan."Itu kata-kata yang menusuk ke hati Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 33, ketika dia hampir putus asa selepas lebih enam tahun terlantar akibat Spinal cord injury (SCI) iaitu kecederaan saraf tulang belakang yang dialaminya sejak 2019.Kata semangat itu bukan sekadar nasihat, tetapi menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidupnya.Anak bongsu daripada empat beradik ini bukan asing dengan ujian.Kejadian pada tahun 2018, ketika dia terjatuh dari tangga sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah menjadi permulaan kepada kehidupan penuh cabaran.Tahun berikutnya, selepas menjalani pembedahan, Muhd Idzwan Syafiq kehilangan keupayaan untuk bergerak dan hanya mampu terbaring di atas katil.Menurut Muhd Idzwan Syafiq, kerusi roda pun tidak dapat digunakan kerana badannya terlalu lemah."Enam tahun saya tak pernah duduk, tak pernah pergi mana-mana apatah lagi menikmati alam dan mandi sungai."Jadi bila kawan-kawan bawa mandi sungai dan sanggup jaga saya, hati saya luluh, dalam masa sama syukur sangat."Sudah lama tidak menikmati rasa air sungai," katanya kepada Sinar Harian.Baru-baru ini, tular video yang memaparkan sekumpulan pemuda gigih mengangkat sahabat mereka untuk menikmati alam semula jadi di sungai menjadi simbol kekuatan persahabatan dan semangat kekitaan.Anak jati Kelantan itu memberitahu, di saat dunia seolah-olah menolaknya, muncul rakan-rakan baharu yang bukan sahaja memberi semangat, malah sedia memikul tubuhnya demi mengembalikan semangat yang hilang."Dulu saya rasa masyarakat tak boleh terima saya. Pernah rasa dihina, dipandang rendah, sampai dua tahun alami kemurungan."Tapi ALLAH gantikan dengan sahabat baharu yang sentiasa ada, mereka tak jemu bagi kata semangat."Tanpa ihsan mereka, mungkin saya masih terbaring dan gelap harapan," jelasnya.Selain SCI, Muhd Idzwan Syafiq turut menghidap lima lagi penyakit termasuk gout dan kecederaan berpanjangan pada tulang belakang.Walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia nekad untuk memulakan perniagaan bersama kawan agar cita-citanya untuk membawa ibu menunaikan umrah akan tercapai."Saya sedar keadaan kesihatan tidak membenarkan untuk bekerja sepenuh masa namun bukan penghalang untuk terus berusaha."Saya cuma nak tengok umi bahagia. Kalau ada rezeki, saya nak bawa umi ke Makkah, nak minta maaf, nak ucap terima kasih sebab umi tak pernah tinggal saya."Yang jahat bukan dunia, tapi hati dan perasaan kita bila kita tak dapat terima takdir."Dunia ini luas dan kalau buka hati, pasti akan nampak ramai lagi yang sudi bantu dan sayang kita," jelasnya  
  • Rumah 200 tahun jadi warisan cinta, seni ukiran Melayu
    29 June 2025
    KOTA BHARU – Rumah tradisional Melayu berusia lebih 200 tahun di Kampung Kandis, Bachok kini menjadi kenangan paling berharga buat Rosnawati Othman, 65, bersama arwah suaminya, Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein.Rumah kayu yang dibeli pada harga RM15,000 daripada seorang pemilik di Kampung Ladang, Kuala Terengganu lebih 27 tahun lalu itu dibina menggunakan kayu cengal dan mempunyai tiga ruang utama.Menurut Rosnawati, meskipun proses membawa pulang rumah berkenaan ke Kelantan agak sukar, namun usaha gigih bersama arwah suami akhirnya membuahkan hasil."Rumah ini dipindahkan dengan ‘air mata’ kerana proses membawanya dari Terengganu ke Kelantan bukanlah mudah dan memerlukan 20 tukang mahir untuk mencabut setiap pasaknya yang mengambil masa seminggu."Jumlah kos keseluruhan termasuk upah mencabut, memasang dan pembaikan semula hampir mencecah RM300,000. Alhamdulillah, selepas dua tahun proses itu berjaya disiapkan dengan rumah ini dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di rumah tersebut.Bekas pensyarah seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai itu berkata, arwah suaminya amat meminati seni ukiran dan banyak menimba ilmu termasuk di luar negara seperti Indonesia dan Thailand."Kami membeli rumah ini kerana mahu mengimbau kembali nostalgia tinggal di rumah kayu seperti zaman dahulu," katanya.Namun, Rosnawati tidak menyangka rumah berkenaan menjadi tarikan generasi muda yang teruja untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman tinggal dalam rumah tradisional Melayu.Jelasnya, ramai pihak menyatakan minat untuk memiliki rumah tersebut namun beliau tidak bersedia menjualnya. Rumah itu hanya dibuka bagi tujuan kajian dan lawatan sahaja.Berkongsi mengenai pemilik asal rumah berkenaan, beliau percaya individu tersebut kemungkinan seorang pedagang kaya memandangkan setiap ukiran yang terdapat pada rumah itu berasal dari Jawa dan menggunakan material kayu jati."Pada ketika itu, kayu jati tidak didapati di negara ini dan proses ukiran juga memerlukan pengukir mahir dengan upah yang tinggi," ujarnya.Tambahnya, bagi memastikan rumah itu kekal kukuh dan tidak mudah rosak, kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan secara berkala bergantung kepada tahap kerosakan."Biasanya, anai-anai merupakan ancaman utama terhadap struktur kayu seperti ini, selain air hujan yang boleh meresap masuk ke rongga kayu."Saya akan pastikan rawatan dilakukan untuk elak kayu dimakan anai-anai dan membaiki sebarang kerosakan akibat air," katanya.Rosnawati turut memaklumkan bahawa arwah suaminya yang juga pengukir tersohor Kelantan amat berusaha mempertahankan warisan seni budaya Melayu, termasuk pemeliharaan rumah berkenaan."Arwah bukan sahaja mahir dalam seni ukiran keris, malah turut menghasilkan ukiran pada bangunan bersejarah. Beliau juga adalah individu yang membina pagar Istana Balai Besar, Kota Bharu pada tahun 1985," katanya.Tambahnya lagi, selepas suaminya meninggal dunia akibat penyakit kanser pada tahun 2002 ketika berusia 47 tahun, beliau bersama anak-anak meneruskan usaha menjaga dan memelihara rumah itu."Saya bersyukur kerana rumah ini masih teguh dan menjadi medium untuk saya berkongsi dengan generasi baharu mengenai keunikan ukiran serta hasil kerja tangan masyarakat Melayu lebih dua abad lalu," katanya.
  • Warga emas nekad pandu bot baharu dari Dungun ke Kelantan melalui laut
    27 June 2025
    KOTA BHARU - Tindakan seorang warga emas mengemudi bot fiber yang baharu dibeli di sebuah kedai di Dungun, Terengganu dan membawanya pulang melalui laluan laut ke Kelantan mencuri perhatian warganet sejak Rabu.Lelaki berusia 61 tahun itu dikatakan telah selamat mendarat di Bachok pada petang Khamis dan dijangka pulang ke rumah Jumaat.Menurut hantaran Khairol Fiberglass Bot di Facebook miliknya, hampir dua jam dia memujuk lelaki yang berasal dari Melor itu untuk membawa bot 3.6 meter, enjin berkuasa empat kuda yang dibeli menggunakan kenderaan secara percuma namun ditolak.Warga emas yang menaiki motosikal ke Dungun itu dikatakan nekad untuk membawa pulang bot fiber yang baharu dibeli menggunakan laluan laut.Berdasarkan hantaran tersebut Khairol Fiberglass Bot sempat menyediakan pendayung dan jaket keselamatan untuk digunakan lelaki berkenaan sepanjang perjalanannya."Terima kasih semua orang baik-baik. Ramai mesej kepada 'admin' maklum pak cik banyak kali juga langgar pukat orang."Ada yang dia hulur duit, tapi orang tak ambil....ada juga yang tolong beli minyak, tolong belanja makan," antara hantaran yang dibuat di media sosial tersebut.Sementara itu motosikal lelaki terbabit dikatakan dibawa bersama menaiki bot namun kemudian ditinggalkan di Pulau Kerengga semasa berhenti seketika kerana kehabisan minyak.Menurut anak saudara kepada warga emas terbabit yang enggan dikenali, bapa saudaranya suka mencuba perkara baharu."Bot tersebut dibeli kerana kawasan rumah pakcik sering dilanda banjir. Rumah pakcik juga terletak berhampiran sungai."Pakcik seorang yang tidak bergaul dengan orang ramai dan hanya tinggal di rumah sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Sinar Harian berusaha ke rumah warga emas tersebut di Melor namun warga emas terbabit difahamkan masih belum pulang.
  • MoU KIAS-Tahfiz Ribat buka peluang huffaz ke Universiti Al-Azhar
    27 June 2025
    KOTA BHARU – Pelajar yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran di Pusat Pengajian Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie kini berpeluang melanjutkan pengajian secara sistematik ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), sebelum ke Universiti Al-Azhar, Mesir.Pengerusi Pusat Pengajian Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Datuk Mohd Arif Ismail Al Yamani berkata, laluan akademik lanjutan dalam bidang al-Quran dan Qiraat itu diperoleh hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara pihak tahfiz dan KIAS, di sini pada Isnin lalu.Menurutnya, dua pelajar kumpulan pertama telah mula mendaftar dan mengikuti pengajian di KIAS bermula minggu lepas."Mereka akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia secara laluan khas selama setahun dan kemudian menyambung ke peringkat diploma dalam bidang berkaitan al-Quran di KIAS."Selepas itu, mereka berpeluang dihantar ke Universiti Al-Azhar dalam bidang al-Quran dan Qiraat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.MoU tersebut ditandatangani antara Mohd Arif dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan KIAS, Dr Nurul Akma Mohamed.Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Penasihat Pusat Pengajian Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf.Tambah Mohd Arif, langkah tersebut penting sebagai kesinambungan pendidikan formal selepas pelajar menamatkan hafazan, selain memberi hala tuju yang lebih tersusun dan bertauliah kepada para huffaz.Beliau berkata, pelajar mula mengikuti pendidikan di pusat itu seawal usia 12 tahun dan mengambil masa sekitar lima tahun untuk menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran."Selesai hafazan, mereka diberi peluang mendalami kitab turath di Kompleks Tahfiz Ribat Assyafie di Lubok Jong, Rantau Panjang, Kelantan yang merupakan cawangan ketiga Tahfiz Ribat Assyafie," katanya.
  • PGA gagalkan cubaan seludup hampir 9 tan karkas babi dari Thailand
    27 June 2025
    RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 8,910 kilogram (kg) karkas babi dipercayai dari Thailand selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bukit Tandak, di sini, pada Rabu.Rampasan yang dilakukan kira-kira jam 4 petang semasa penugasan Op Taring Wawasan itu membabitkan nilai keseluruhan RM595,000 termasuk kenderaan yang digunakan.Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati karkas babi berkenaan berada di bahagian belakang lori tersebut."Ketika ditahan, pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan barangan tersebut."Pemandu serta kelindan lori masing-masing berusia 37 dan 43 tahun dipercayai menjadi penghantar karkas babi itu ke pasaran tempatan," katanya kepada pemberita pada Khamis.Menurut beliau, semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
  • Orang Asli terima internet, 5GB data percuma setiap bulan
    27 June 2025
    GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Kampung Bering Baru di sini kini menikmati akses internet dan 5GB data percuma setiap bulan.Inisiatif diperoleh hasil proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar kolektif menggunakan teknologi Broadband Wireless Access (BWA) di kawasan terbabit.Menurut kenyataan Komunikasi Korporat SKMM, setiap penduduk kampung yang berdaftar layak menerima 5GB data percuma terbabit, selain boleh mendapatkan data tambahan melalui ejen terpilih yang dilantik.Kata kenyataan itu lagi, langkah tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi kepada komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman."Penduduk kampung boleh mengakses internet dan WiFi secara percuma menerusi kemudahan BWA yang telah disediakan," katanya.Kampung Bering Baru adalah salah satu daripada 18 lokasi kampung Orang Asli di daerah Gua Musang yang terlibat dalam penambahbaikan liputan bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).Bagi penyelesaian jangka panjang, SKMM turut mengenal pasti lokasi berhampiran kampung berkenaan bagi pembinaan menara telekomunikasi baharu, yang telah dimasukkan dalam perancangan pembangunan infrastruktur pelan akan datang."SKMM akan terus memantau dan memastikan liputan komunikasi di kawasan ini berada dalam keadaan optimum demi keselesaan penduduk," menurut kenyataan itu.  
  • Kelantan tunggu arahan Wisma Putra bawa pulang pelajar di Jordan, Iran
    26 June 2025
    KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa sebarang langkah untuk membawa pulang lebih 200 pelajar negeri itu yang sedang menuntut di Jordan dan sebilangan kecil di Iran hanya akan dilakukan setelah menerima arahan rasmi daripada Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, buat masa ini semua pelajar Kelantan dilaporkan selamat dan masih meneruskan pengajian seperti biasa walaupun terdapat penutupan ruang udara di beberapa lokasi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat."Kerajaan negeri mengikut sepenuhnya keputusan Persekutuan."Kalau Putrajaya arahkan bawa balik, kami sedia bantu, seperti mana kami pernah buat ketika krisis Timur Tengah dahulu," katanya.Beliau berkata demikian selepas Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) 2024 di Kompleks Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong di sini, pada Khamis.Menurutnya, selain Jordan, antara negara yang menempatkan pelajar Kelantan ialah 30 pelajar di Madinah, lebih 20 pelajar di Riyadh dan empat hingga lima pelajar di Makkah manakala lebih ramai berada di Mesir."Di Jordan tiada masalah keselamatan, cuma ruang udara ditutup kerana negara itu terletak di antara Iran dan Israel."Mana-mana pelajar yang berada di luar juga tidak dapat pulang semula ke Jordan kerana sekatan udara," katanya.Beliau menegaskan bahawa pembelajaran pelajar tidak tergendala dan pihaknya berhubung secara langsung dengan pegawai kementerian di negara-negara terbabit."Pelajar kita masih boleh meneruskan pengajian."Semua selamat, cuma ada kekangan logistik seperti laluan keluar-masuk," katanya.Ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang semakin meruncing sejak April lalu susulan serangan balas antara Iran dan Israel turut menjejaskan laluan penerbangan komersial di rantau itu, termasuk ke Jordan, Iraq dan Arab Saudi.Beberapa negara menutup ruang udara masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga, manakala syarikat penerbangan utama mengubah laluan bagi mengelakkan kawasan konflik.
  • Keputusan SMU, SMTQ 2024 menurun 4.98 peratus
    26 June 2025
    KOTA BHARU – Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) 2024 mencatatkan penurunan 4.98 peratus dengan hanya 4,952 calon atau 92.18 peratus lulus, berbanding 97.16 peratus pada tahun sebelumnya.Daripada keseluruhan 5,402 calon yang menduduki tiga peperiksaan awam kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), seramai 5,278 calon menduduki peperiksaan SMU, 94 calon SMTQ dan 30 calon bagi Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP).Sebanyak 625 calon memperoleh Mumtaz, berbanding 907 calon 2023, manakala bilangan pelajar yang cemerlang atau semua Mumtaz dalam semua mata pelajaran turut merosot kepada 90 berbanding 128 calon pada tahun sebelumnya.Sementara itu, bagi STUP, hanya 26 calon lulus daripada 30 orang dengan peratus kelulusan menurun kepada 86.67 peratus berbanding 91.84 peratus pada 2023.Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, antara faktor utama penurunan mendadak prestasi itu berikutan pertukaran sukatan pelajaran baharu Kurikulum Bersepadu Dini (KBD)."Kami sendiri memang terasa dengan penurunan mendadak pelajar lulus."Ini ada kaitan isu teknikal dan akhirnya buku teks serta format soalan yang baharu, diterima lewat kira-kira lapan bulan sebelum diedarkan kepada pelajar," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU, SMTQ dan STUP 2024 di Kompleks Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Tunjong di sini pada Khamis.Turut hadir, Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman.Menurut Wan Roslan, kelewatan itu menyebabkan pelajar tidak dapat membuat persediaan secukupnya menjelang peperiksaan.Mengulas lanjut, beliau memberitahu, prestasi peperiksaan YIK sebelum ini sentiasa menunjukkan peningkatan, namun buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, keputusan tahun lalu menunjukkan penurunan ketara."Setiap tahun kita meningkat. Tahun ini agak mengejutkan, apabila berlaku penurunan hingga 4.98 peratus."Tapi kami yakin prestasi akan kembali meningkat tahun ini kerana semua sekolah sudah mula bersedia awal dengan silibus baharu," katanya. 
  • [VIDEO] Kelantan bakal sumbang 108 tan metrik bawang untuk keperluan negara
    26 June 2025
    BACHOK - Kelantan dijangka menyumbang 108 tan metrik bawang bagi menampung keperluan negara, kata Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.Menurutnya, bekalan yang bakal dituai pada pertengahan Ogos ini dihasilkan menerusi projek tanaman bawang melibatkan 51 peserta dari tujuh daerah."Tanaman seluas 27 hektar di 37 lokasi ini melibatkan peruntukan kira-kira RM1.4 juta, dan Bachok mencatatkan keluasan terbesar iaitu 4.6 hektar."Hasil tuaian bawang yang mengambil masa 75 hari itu dijangka membawa keuntungan lebih RM700,000 kepada penanam," katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, di sini, pada Khamis.Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria.Mohd Nassuruddin berkata, Kelantan merupakan salah satu daripada enam negeri terpilih bersama Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang dan Pahang untuk menjadi peneraju projek tanaman bawang."Projek ini dijangka menyumbang hingga 30 peratus bekalan bawang negara menjelang 2030."Pada 2022, Malaysia mengimport 685,400 tan metrik bawang bernilai RM1.58 bilion dan ketika ini, 100 peratus keperluan bawang negara diimport dari India dan China," katanya.Tambahnya lagi, projek itu diharap menarik lebih ramai penglibatan orang ramai dalam sektor pertanian sekali gus menjadikan Kelantan sebagai negeri pertanian utama.
  • Restoran guna logo halal tanpa kelulusan diserbu
    26 June 2025
    KOTA BHARU – Taktik sebuah restoran di sini yang menggunakan logo halal tanpa kelulusan sah untuk mengelirukan pelanggan terbongkar apabila premis itu diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Khamis.Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, operasi yang dijalankan pada jam 11 pagi itu turut melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI)."Pemeriksaan mendapati premis terbabit mempamerkan logo halal tanpa sijil pengesahan yang sah. Turut dirampas ialah salinan lesen SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), lesen PBT (pihak berkuasa tempatan), pelekat dan kain rentang yang tertera logo perbahasan halal," katanya ketika dihubungi pada Khamis.Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan telah melanggar Perintah 8(a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
  • Bawang jadi taruhan baru petani Kelantan
    26 June 2025
    BACHOK – "Kami teruja hendak tanam bawang kerana ia kurang serangan penyakit dan tidak perlukan banyak air berbanding tanaman lain."Demikian perkongsian Mohd Fauzi Abu Bakar, 43, salah seorang daripada 51 peserta Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan.Menurutnya yang berpengalaman dalam tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, kali pertama mencuba tanaman bawang, hasil yang diperoleh adalah sekitar 500 kilogram (kg).Katanya, tanaman bawang tidak rumit kerana hanya memerlukan 25 peratus kelembapan sahaja."Untuk hasil tanaman pertama, saya berjaya menjual pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram kepada penduduk setempat dan sambutannya sangat menggalakkan."Permintaan sentiasa ada, disebabkan itu saya sudah tidak sabar untuk memulakan tanaman pada skala besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa perasmian Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, di sini, pada Khamis.Sementara itu, peserta dari Pasir Puteh, Mohd Sabri Mahmod, 36, berkata keputusan mengusahakan tanaman bawang dibuat selepas melihat potensi besar bahan mentah tersebut.Ujarnya, penjagaan yang mudah dan tidak menggunakan racun kimia serta serangga membangkitkan semangat untuk lebih serius mengusahakan tanaman bawang."Berpandukan kepada cuaca setempat, bawang sesuai diusahakan pada bulan Mac hingga September."Sebagai pengusaha tembikai, selesai sahaja menuai hasil tanaman tersebut, saya boleh terus beralih kepada tanaman bawang," katanya.Peserta dari Jeli, Mohamad Rashidi, 25, pula berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan menambahkan lagi keyakinannya untuk lebih serius."Ini merupakan salah satu usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan import bawang dari luar negara."Melihat kepada situasi itu, saya yakin tanaman ini mampu memberi pulangan lumayan," katanya yang mengusahakan projek tersebut bersama pelajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di samping mengkaji potensi bahan mentah tersebut di negara ini.
  • Rakyat Kelantan makan 100,000 ayam sehari
    26 June 2025
    PASIR MAS – Rakyat Kelantan dianggarkan memakan lebih 100,000 ekor ayam setiap hari, menjadikan keperluan bekalan ayam antara cabaran utama dalam usaha memperkukuhkan keterjaminan makanan negeri.Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sebahagian bekalan ayam di negeri itu masih bergantung kepada import dari Perak dan Thailand.Sehubungan itu, kerajaan negeri melaksanakan inisiatif membangunkan reban ayam pedaging automatik bernilai RM1.4 juta yang pertama di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) di kawasan Agrovalley Rong Chenok, di sini.Menurut beliau, reban berkapasiti 25,000 ekor itu memulakan fasa ternakan pertama bulan ini dan dijangka menghasilkan enam pusingan ternakan setahun."Kalau ikut keperluan, ayam ini cukup penting kerana rakyat kita memang pemakan ayam, termasuk di asrama dan kantin sekolah. "Kita perlukan lebih 100,000 ekor sehari, sedangkan kapasiti pengeluaran tempatan masih tak mencukupi."Ini baru permulaan, kita sasarkan reban ini boleh hasilkan sekurang-kurangnya 150,000 ayam setahun, dengan kadar kematian yang rendah dan penggunaan teknologi tinggi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan tapak reban ayam automatik berkenaan di sini pada Rabu.Beliau memberitahu, reban kedua pula seterusnya akan dibina dengan peruntukan RM2 juta dalam usaha terus memperkukuhkan keterjaminan makanan, mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar dan memastikan harga ayam lebih stabil untuk pengguna.Tambah beliau, reban itu menggunakan sistem tertutup sepenuhnya dengan kawalan suhu, pemakanan dan minuman ayam secara automatik hanya melalui satu suis, menjadikan kos tenaga kerja lebih rendah dan kawalan penyakit lebih berkesan.Projek dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pembiayaan tambahan daripada kerajaan negeri."Tapak ternakan ini seluas lebih empat hektar daripada keseluruhan 202.34 hektar kawasan Agrovalley."Kami masih ada ruang dan potensi besar untuk dikembangkan," katanya.Sementara itu, kawasan Agrovalley Rong Chenok turut membangunkan projek pembenihan ikan air tawar melibatkan keli dan tilapia merah, dengan sasaran pengeluaran tahunan mencecah 1.5 juta benih ikan.Di samping itu, sektor tanaman juga diberi perhatian melalui penanaman lada, sawi, salad, selain projek tebu untuk pasaran eksport ke Singapura yang kini sedang dibangunkan secara berperingkat dengan sokongan teknologi fertigasi dan rumah hijau.
  • Harga emas menjunam, rakyat Kelantan tak lepaskan peluang tambah aset
    26 June 2025
    KOTA BHARU – Harga emas dunia mencatatkan penurunan ketara dalam tempoh dua minggu ini susulan gencatan senjata antara Iran dan Israel sekali gus menyebabkan kedai emas di sekitar bandar Kota Bharu diserbu orang ramai yang ingin mendapatkan barangan kemas.Perkara itu diakui oleh peniaga kedai emas Mah Kampong Kito, Azuwadi Aman Razali, 39, yang memaklumkan bahawa harga emas mula menunjukkan penurunan sejak Ahad lalu."Boleh dikatakan setiap hari harga emas turun. Untuk hari ini sahaja, satu gram berharga RM432.35."Sepanjang Jun ini, harga emas paling murah dicatatkan ialah RM428.67 satu gram ketika bermulanya gencatan senjata antara Iran dan Israel," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Menurut beliau, harga tertinggi yang direkodkan sepanjang Jun adalah RM447.42 satu gram.Tambahnya, orang ramai mengambil kesempatan ke atas situasi ini untuk menambah aset masing-masing."Ketika harga emas melonjak sebelum ini, ramai penduduk Kelantan sudah mula melakukan pembelian panik kerana bimbang harganya terus meningkat."Sekarang apabila harga semakin murah, mereka berebut mendapatkan barangan kemas sama ada untuk dijadikan perhiasan mahupun simpanan aset."Di kedai kami, pelanggan bukan sahaja dari Kelantan tetapi juga dari seluruh negara, terutama ketika musim perayaan dan cuti umum," ujarnya.Sementara itu, peniaga kedai emas Raffiya Gold, Asmaq Abdul Karim, 35, turut mengesahkan bahawa harga emas mula menunjukkan penurunan minggu ini namun, harga paling tinggi yang dicatatkan sepanjang Jun adalah sekitar RM450 satu gram."Orang Kelantan mempunyai trend yang unik, apabila harga emas naik, mereka lebih banyak membeli."Semasa harga emas tinggi sekitar bulan Mac hingga Mei, ramai membuat pembelian panik."Selepas Hari Raya Aidiladha, jual beli emas menjadi perlahan sedikit, namun dengan penurunan harga terkini, kami menjangkakan pembeli akan kembali berbelanja," katanya.Sementara itu, Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn Bhd, Nur Akmal Ahmad Tajuddin memaklumkan bahawa harga emas mula turun pada Rabu kesan langsung daripada gencatan senjata antara Israel dan Iran."Harga emas turun sebanyak RM6 satu gram. Semalam RM469, hari ini RM463."Saya tidak dapat menjangka situasi ini akan bertahan berapa lama kerana semuanya bergantung kepada geopolitik dunia hari ini," katanya.Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa harga emas dunia mencatatkan penurunan mendadak susulan pengumuman gencatan senjata antara Iran dan Israel yang mengurangkan permintaan terhadap logam berharga itu sebagai aset selamat.Menurut Reuters, harga emas spot susut sebanyak 1.9 peratus kepada AS$3,303.93 (RM15,527) seauns selepas menyentuh paras terendah sejak 11 Jun.Niaga hadapan emas AS turut merosot sebanyak 2.2 peratus kepada AS$3,318.90 (RM15,598) seauns.Naib Presiden dan Pakar Strategi Logam Kanan di Zanier Metals, Peter Grant, berkata ketegangan yang berkurangan di Asia Barat memainkan peranan besar dalam menekan harga emas dunia.
  • Kelantan bangunkan Harum Manis Al-Falah ganti tembakau di Bachok
    25 June 2025
    PASIR MAS – Kerajaan Kelantan sedang membangunkan tanaman mempelam harum manis secara besar-besaran di kawasan bekas penanaman tembakau di Bachok sebagai sebahagian daripada usaha menjadikannya tanaman bernilai tinggi dan berdaya saing untuk rakyat negeri ini.Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu dijenamakan sebagai Harum Manis Al-Falah bagi membezakannya daripada Harumanis Perlis yang mempunyai hak cap dagangan tersendiri.Menurutnya, tanaman harum manis mula diusahakan di kawasan Melawi, Bachok melibatkan peserta-peserta ladang dengan keluasan permulaan sekitar 8.09 hektar dan kini dalam fasa peluasan kepada 20.23 hektar."Di Bachok, kami mula dengan sepuluh peserta tahun lepas. Tahun ini, tambah lagi sepuluh peserta. Setiap peserta diberi tanah 0.4 hektar dengan kira-kira 40 pokok harum manis boleh ditanam."Kawasan itu dikenal pasti melalui kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Jabatan Pertanian sebagai sesuai kerana cuaca panas dan tanah berpasir hitam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Projek Pembinaan Reban Ayam Tertutup Automatik di Agrovalley Rong Chenok, di sini, pada Rabu.Tambah beliau, hasil satu pokok harum manis boleh mencecah pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 setahun sekiranya dijaga rapi dan menghasilkan buah berkualiti gred A."Kalau satu pokok berbuah antara 100 hingga 200 biji dan dijual pada harga premium, peserta boleh memperoleh sehingga RM40,000 hingga RM50,000 setahun untuk sehektar."Di Perlis, kita lihat pokok-pokok harum manis yang dijaga baik mampu menghasilkan pulangan luar biasa."Kami yakin potensi sama boleh berlaku di Kelantan," katanya.Menurut beliau, tanaman harum manis dijadikan alternatif utama bagi menggantikan tembakau yang semakin berkurangan nilai komersialnya, selain selari dengan dasar pertanian moden negeri."Ini sebahagian pelan tanaman gantian. Kami galakkan bekas penanam tembakau untuk beralih kepada tanaman bermusim yang berimpak tinggi."Kalau Harum Manis Al-Falah ini berjaya, ia boleh menggantikan nilai tembakau yang selama ini menjadi punca pendapatan utama sesetengah keluarga di Bachok, Melawi dan kawasan sekitar," katanya.Tambah beliau, kerajaan negeri akan menyediakan bajet permulaan termasuk anak benih dan sokongan teknikal kepada peserta, manakala mereka akan diberi tanggungjawab mengurus kebun sepenuhnya.Sehingga kini, sebanyak 2,500 pokok harum manis telah ditanam di kawasan Bachok sahaja, selain beberapa daerah lain termasuk Pasir Mas yang turut terlibat dalam fasa percubaan."Tahun lepas kami sudah mula menuai, dan tahun ini memasuki musim kedua."Kami sedang mengenal pasti kawasan tambahan termasuk di tanah-tanah pertanian lama yang kurang digunakan," katanya.
  • Lebih 40 kubur berusia ratusan tahun lenyap akibat hakisan
    25 June 2025
    JERANTUT– Lebih 40 kubur lama dipercayai berusia ratusan tahun di Kampung Gintong di sini lenyap dihanyutkan arus Sungai Pahang akibat hakisan tebing yang semakin kritikal sejak beberapa dekad lalu.Fenomena itu yang berlarutan sejak tahun 1980-an semakin meruncing saban tahun terutama ketika musim tengkujuh, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk kampung terhadap nasib tanah perkuburan serta jalan utama kampung yang terletak berhampiran tebing sungai.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gintong, Shahrul Nizam Harun, 46, berkata, beliau menyaksikan sendiri kejadian runtuhan tebing paling dahsyat pada tahun 1986 ketika beliau masih di bangku sekolah rendah."Sejak dari itu setiap kali musim banjir, air sungai akan melimpah dan menghakis tebing sedikit demi sedikit."Kini tinggal kira-kira 40 hingga 50 kaki sahaja jaraknya dari sungai ke kawasan kubur sedia ada," katanya.Beliau berkata, lebih membimbangkan tanah perkuburan itu adalah tapak lama yang sudah wujud sebelum generasi kini dilahirkan.Ujarnya, ramai waris tidak sempat mengenal pasti kedudukan sebenar kubur nenek moyang mereka kerana telah dihanyutkan arus sungai.Seorang lagi penduduk, Razak Daud, 64, turut menyuarakan kebimbangan kerana tapak perkuburan itu menempatkan kubur kedua ibu bapanya dan ahli keluarga lain."Setiap tahun, hakisan berlaku dan semakin menghampiri kubur keluarga kami. Kalau tiada tindakan diambil, saya tidak menolak kemungkinan kubur yang masih ada pun akan hilang dalam masa 10 ke 15 tahun lagi," ujarnya.Jelasnya, sepanjang hampir 1,000 meter tebing sungai di kampung itu telah menunjukkan kesan hakisan dan keadaan semakin teruk sejak banjir besar melanda kawasan itu pada 2014."Pihak berkuasa perlu mengambil langkah segera termasuk membina benteng penahan atau menambak semula tebing yang terhakis bagi menyelamatkan kawasan tersebut," tambahnya.Seorang lagi penduduk, Zulkifli Mahmud, 58, berkata, ia bukan sahaja menempatkan kubur lama malah menjadi laluan utama penduduk kampung.Jelasnya, jika dibiarkan bukan sahaja tanah perkuburan lenyap, jalan pun boleh terputus."Struktur tanah yang lembut dan berpasir menyebabkan tebing mudah runtuh terutama apabila air naik mendadak."Kami hanya harapkan satu agar ada tindakan segera. Tambak dengan batu besar pun sudah cukup membantu. Kalau terus tunggu, mungkin bukan saja sejarah, tapi warisan orang lama pun akan lenyap selamanya," katanya.
  • Kelantan tanam cip lembu sejak 2021
    25 June 2025
    PASIR MAS – Kerajaan Kelantan melaksanakan pemakaian cip pada lembu sejak tiga tahun lalu bagi memperkemas pengurusan data ternakan ruminan selain mengekang penyeludupan.Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah dilaksanakan bagi memudahkan pengurusan maklumat lebih 100,000 lembu ternakan di negeri ini sekali gus mengukuhkan jaminan makanan negeri.Menurut beliau, setakat ini lebih 30,000 lembu didaftarkan melalui sistem pengenalan haiwan secara digital e-Ternak di negeri itu bermula 2021."Selepas daftar ada dua cara kenal pasti lembu. Pertama kaedah sekian lama digunakan iaitu tag telinga atau nombor yang popular kerana kos hanya RM5."Kedua pula bermula tiga tahun lepas, sebahagian lembu guna cip yang ditanam dalam badan dan kosnya lebih mahal berharga RM30 serta diguna pada baka premium seperti charolais untuk elak rosak telinga," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke ladang lembu charolais Agrovalley Rong Chenok di sini pada Rabu.Menurut beliau, kedua-dua kaedah berkenaan menyimpan maklumat penting seperti umur, baka, sejarah vaksinasi dan rekod pembiakan seterusnya memudahkan pemantauan kesihatan serta kawalan penyakit ternakan bagaimanapun masih ada ternakan berdaftar tetapi tidak memakai cip atau tag telinga.Tuan Saripudin berkata, penggunaan cip dan tag ini juga berperanan besar dalam mengenal pasti pemilik haiwan yang berkeliaran, terutama dalam kes kemalangan atau kerosakan harta benda awam."Apabila ada cip, kita boleh imbas guna pengimbas, terus tahu siapa tuan lembu."Ini penting kalau berlaku kemalangan atau nak pantau ketika haiwan sakit, perlu divaksin atau melahirkan anak," katanya.Sebelum ini kerajaan Terengganu akan menggubal enakmen baharu bagi mewajibkan pemilik ternakan mendaftar dan memasang kod QR pada haiwan sebagai langkah mengatasi isu ternakan berkeliaran yang berlarutan sejak sekian lama.Tambah beliau, Kerajaan Kelantan kini sedang memuktamadkan kaedah pelaksanaan di bawah Enakmen Ternakan Ruminan 2024 yang akan mewajibkan semua pemilik mendaftarkan haiwan ternakan secara berperingkat."Kami perluaskan juga terhadap kuda, kambing dan biri-biri. Mereka diberi pilihan, ikut kemampuan sama ada guna cip atau tag telinga, yang penting haiwan didaftarkan dan dikenal pasti."Kami sasarkan pelaksanaan enakmen itu selewat-lewatnya pada hujung tahun ini," katanya. 
  • Rakyat Thailand di Kelantan disaran berdaftar dengan Konsulat Jeneral
    25 June 2025
     KOTA BHARU - Rakyat Thailand yang berada di Kelantan disarankan untuk mendaftarkan diri mereka dengan pejabat Konsulat Jeneral Diraja Thailand di negeri ini. Konsulat Jeneral Thailand di Kelantan, Phasit Chudabuddhi berkata, langkah itu bertujuan memudahkan pihaknya memberikan bantuan jika mereka berdepan masalah. "Setakat ini pihak kami tidak mempunyai maklumat lengkap namun dianggarkan sekitar 300 rakyat Thailand mendaftarkan diri mereka dengan pihak kami," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Memasak Makanan Thai 2025 di Pejabat Konsulat Jeneral Thailand di sini pada Rabu. Menurut beliau, perkara tersebut tidak termaktub dalam undang-undang Thailand namun langkah itu amat dialu-alukan. Ujarnya, ia memudahkan Konsulat Jeneral mengetahui jumlah sebenar rakyat Thailand tinggal di negeri ini serta memudahkan urusan memberikan bantuan jika berlaku sesuatu. Beliau berkata, pihak konsulat sentiasa mengingatkan rakyat Thailand di negeri ini supaya kekal patuh kepada undang-undang Malaysia. "Perkara tersebut sentiasa dihebahkan melalui siaran radio di Thailand dan menggunakan media sosial seperti Facebook," katanya. 
  • STPM 2024: Pelajar SMKA Naim Lilbanat cacat penglihatan raih PNGK 4.0
    25 June 2025
    KOTA BHARU – Kekurangan diri akibat cacat penglihatan sebelah kiri tidak menjadi penghalang kepada Tengku Nurhanis Tengku Othman, 20, untuk berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.Calon STPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat itu memperoleh keputusan 4A dan 1A- dalam lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.Berkongsi keadaannya, Tengku Nurhanis memaklumkan bahawa beliau didiagnosis menghidap kanser retinoblastoma pada usia dua tahun sehingga menyebabkan mata kirinya terpaksa dibuang bagi mengelakkan jangkitan merebak ke sebelah kanan."Saya juga terpaksa menggunakan mata palsu sejak usia tiga tahun dan sudah tiga kali menukar mata palsu mengikut kesesuaian usia," katanya.Tengku Nurhanis ditemui pemberita selepas Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 di sekolah berkenaan yang disampaikan oleh Pengetua, Ab Raishan Ab Rashid.Bercerita mengenai kejayaannya, anak kepada pasangan peniaga, Tengku Othman Tuan Yahya, 63, dan pesara guru, Gayah Yazid, 61, mengakui bahawa beliau hanya seorang pelajar biasa di sekolah dan tidak pernah menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang.Beliau memberitahu, keadaan matanya menyebabkan beliau mengalami sakit kepala sekiranya terlalu lama memberi tumpuan ketika menelaah buku atau nota.Namun, beliau bersyukur kerana diberi masa tambahan selama setengah jam untuk menjawab soalan dalam peperiksaan."Kadang-kadang saya perlu mengambil ubat untuk mengurangkan kesakitan dan berehat sebelum menyambung ulang kaji."Bagaimanapun saya tidak pernah menganggap kecacatan yang dialami sebagai satu keburukan, malah saya berusaha untuk mencapai cita-cita saya," katanya.Anak ketujuh daripada lapan beradik itu bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan tahfiz dan qiraat serta berhasrat menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Selangor.
  • [VIDDEO] Pelajar autisme raih PNGK 4.0, cemerlang STPM 2024 di SMK Machang
    24 June 2025
    MACHANG - Siapa sangka anak ketiga daripada enam beradik yang dilahirkan dengan autisme, sebelum ini sering mengoyak buku dan hanya pandai membaca pada usia 10 tahun, berjaya memperoleh semua A serta Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Selasa.Daripada 78 calon STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, Alam Haikal Jansari Anuar, 20, dari Kampung Air Berlaga di sini muncul sebagai pelajar cemerlang sekolah tersebut walaupun merupakan calon tunggal kategori orang kurang upaya (OKU).Bercita-cita menjadi seorang guru, dia memperoleh A bagi subjek Pengajian Am, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah, Pengajian Perniagaan dan A- bagi Bahasa Melayu.Menurutnya, pencapaian cemerlang tersebut di luar jangkaannya kerana hanya mensasarkan PNGK 3.5.Alam Haikal memberitahu bahawa setiap hari dia meluangkan masa enam jam untuk mengulangkaji pelajaran iaitu bermula jam 4 hingga 7 petang dan 3 hingga 6 pagi."Saya juga tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajud dan menjadikan amalan membaca al-Quran setiap hari."Selain itu, untuk memahami sesuatu subjek, saya menggunakan teknik belajar yang berbeza-beza dan hanya fokus kepada satu mata pelajaran sahaja bagi satu hari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Machang pada Selasa.Menurut anak kepada pesara tentera itu, kekurangan yang ada pada dirinya bukanlah penghalang untuk bersaing dengan pelajar normal lain.Ujarnya, yang bercita-cita menjadi seorang guru, apa yang penting adalah fokus, usaha dan doa.Sementara itu, ibunya, Norlaila Ismail, 54, seorang suri rumah memberitahu bahawa jika Alam Haikal berjaya memasuki universiti, dia merupakan anak pertama dalam keluarga yang akan ke menara gading."Sebagai ibu, saya serta ayahnya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Alam Haikal."Kami mempunyai tiga anak OKU termasuk Alam Haikal. Ini tidak mematahkan semangat kami untuk melihat anak-anak berjaya," katanya.
  • Projek Terminal KB Sentral bernilai RM64 juta bermula Julai
    24 June 2025
    KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Pembinaan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong di sini yang tertangguh hampir dua tahun sebelum ini akan bermula bulan depan. Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Saizol Ismail berkata, kerajaan Kelantan yang mengambil alih pengurusan projek itu sepenuhnya melantik syarikat China Harbour Engineering Company (CHEC) Construction sebagai kontraktor utama yang dibuat secara rasmi minggu lalu. Menurut beliau, CHEC Construction juga ialau anak syarikat China Communications Construction Co Ltd juga ialah syarikat kontraktor sama yang terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini. "Surat pelantikan telah ditandatangani minggu lepas dan CHEC Construction bersetuju untuk melaksanakan projek ini. "Mereka mempunyai keupayaan aset dan kepakaran teknikal seperti mana termasuk dalam projek ECRL," katanya selepas lawatan ke tapak naik taraf sistem perparitan Kampung Angkat Madani di Kampung Kota pada Selasa.Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Kelantan, Ir Nik Soh Yaacoub. Menurut Saizol, pembinaan KB Sentral dijadual bermula pada Julai ini dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun, dengan fasa awal melibatkan kerja-kerja rawatan tanah yang memakan masa hampir setahun."Kerja awal agak mencabar kerana kawasan tapak rendah, tanah sawah dan memerlukan rawatan tanah mendalam sebelum binaan boleh dimulakan. "Kami sasarkan terminal ini siap sepenuhnya menjelang 2028 atau sebelum Sukan Malaysia Kelantan," katanya.Untuk rekod, projek KB Sentral sebelum ini diuruskan oleh Perak Transit Berhad (PTB) yang dilantik sebagai pengurus projek serta syarikat konsesi perkhidmatan. Bagaimanapun, berlaku beberapa isu kelewatan dan pertindihan fungsi pengurusan, termasuk ketidakselarasan antara pihak swasta dan agensi teknikal kerajaan negeri.Saizol berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan menghentikan kerjasama dengan PTB dan melantik CHEC yang juga mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan pembinaan berimpak tinggi."Kita perlu bergerak ke depan dan masalah pengurusan dulu sudah selesai. "Sekarang kita fokus pastikan projek ini berjalan lancar demi manfaat rakyat," katanya.