Berita Kelantan

Sinar Harian: EDISI - Kelantan

26 April 2024

RSS Feed : EDISI - Kelantan
  • Kelantan draf pindaan enakmen kawalan hiburan
    26 April 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedang menyediakan draf pindaan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, yang akan dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri nanti. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, perkara itu dilakukan bertujuan memperkasakan pematuhan kepada enakmen yang sedia ada. "Enakmen sedia ada ini sudah lama dikuatkuasakan sejak diwartakan pada 1998 dan dengan pindaan baharu ini sekali gus menjadikan kadar denda dan hukuman penjara akan dinaikkan," katanya ketika dihubungi pada Khamis. Beliau berkata, banyak klausa baharu perlu dimasukkan untuk disesuaikan dengan situasi semasa terutama mengenai tafsiran kepada hiburan dan aktiviti jualan tiket, tontonan serta promosi hiburan secara dalam talian. - Bernama
  • Pemuda berjalan guna tangan capai impian ke sekolah sukan
    26 April 2024
    KOTA BHARU - Ketabahan dan kesungguhan bermain takraw walaupun dalam keadaan kekurangan fizikal membuahkan hasil apabila impian untuk menjejakkan kaki ke Sekolah Sukan Bukit Jalil tercapai. Biarpun hanya lima hari, pengalaman dilalui Muhammad Fikri Che Mood, 27, menerusi program Petronas 50 Dreams itu akan menjadi detik paling berharga buatnya yang sekian lama menyimpan cita-cita menjadi atlet di sekolah sukan. Muhammad Fikri mempunyai masalah lutut sejak lahir dan tidak boleh berjalan seperti individu normal, namun mempunyai minat yang mendalam dalam sukan takraw. *media[2627370]** “Saya pernah menyimpan hasrat untuk memasuki sekolah sukan tetapi tidak merebut peluang ketika remaja dan sekarang sudah lebih had umur. “Saya juga menyimpan impian untuk pergi ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan impian itu tercapai melalui Petronas apabila membawa saya ke sana pada 12 hingga 16 Mac lalu dan saya sangat berterima kasih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Petronas Pantai Timur 2024 di sini pada Khamis. Turut hadir, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli. Menurut Muhammad Fikri, dia berkeadaan kurang upaya sejak lahir dan menggunakan tangan dan lutut untuk berjalan. Katanya, situasi itu bagaimanapun tidak pernah menjadi halangan untuknya bukan hanya aktif bersukan bahkan turut mempunyai pendapatan sendiri sebagai tukang gunting rambut. “Saya ada masalah lutut sejak lahir dan tak boleh berjalan seperti orang normal, awalnya memang murung tetapi saya sentiasa berdoa supaya ALLAH menguatkan semangat saya. “Sukan sepak takraw saya paling minat, mula-mula main memang susah tetapi tetap cuba dan berlatih bersungguh-sungguh, tidak lama kemudian boleh bermain dan saya juga mempunyai kedai gunting rambut di Pasir Puteh,“ katanya yang berasal dari Kampung Banggol Stol, Selising. Tambah Muhammad Fikri, selain dia yang juga anak bongsu daripada enam beradik itu, abangnya keempatnya turut mengalami nasib sama dan orang kurang upaya (OKU) sepertinya. “Abang juga tidak dapat berjalan dan tidak bekerja. “Tetapi kami masing-masing menerima RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu menyara kehidupan,” ujar lelaki yang masih bujang itu. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Pertanian Kelantan perlu penyelesaian holistik libat bekalan air
    26 April 2024
    KOTA BHARU - Pertanian di negeri Kelantan memerlukan satu penyelesaian yang holistik terutama dalam isu bekalan air. Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata, langkah itu penting dalam usaha meningkatkan keterjaminan dan bekalan makanan dalam negara. Katanya, kementerian itu juga kini dalam usaha membincangkan isu itu menerusi program Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (Pintar). “Pertanian di Kelantan bergantung sepenuhnya dari Sungai Kelantan dan sungai itu memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat, namun pada musim kemarau paras air cetek serta menyukarkan usaha kerajaan negeri mahu pun Persekutuan. “Menerusi Pintar, semua pihak termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan akan dapat berbincang serta bekerjasama bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Lundang, di sini, pada Khamis. Turut hadir, Pengerusi KADA, Muhammad Husin. Badrul Hisham dalam pada itu berkata, pihak melakukan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan fasiliti dan infrastruktur bagi memastikan sumber air dapat disalurkan ke saliran pertanian. Katanya, kementerian turut melihatnya sebagai cabaran dalam langkah mencukupkan bekalan makanan di Malaysia dan semakin berat. “Kami perlu memperkasakan kemampuan pengeluaran makanan dalam negara tetapi perlu selesaikan isu air dan masalah penggunaan tanah terlebih dahulu. “Di Kelantan pula sebanyak 92 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar adalah berasaskan pertanian dan sektor paling besar negeri Kelantan ini patut diberi tumpuan untuk berkembang,” katanya. Justeru, menurut beliau, melalui Pintar, akan dibincangkan langkah untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mencukupkan bekalan makanan di negeri Kelantan dahulu. “Juga mencari cara untuk melipatgandakan sumber ekonomi lain selain padi untuk meningkatkan pendapatan petani. “Di Kelantan tidak kurang 50,000 petani berdaftar yang memerlukan pembelaan dan bekalan makanan perlu dicukupkan kepada 1.8 juta rakyat Kelantan. "Jadi apa-apa jua keperluan pertanian terutama air dan tanah mesti mendapat sokongan semua pihak,” katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Kemajuan ECRL di Kelantan sudah siap 78.03 peratus
    23 April 2024
    KOTA BHARU - Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini sudah mencapai kemajuan sehingga 78.03 peratus setakat Mac lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, peningkatan pembinaan berkenaan hasil kerjasama daripada semua pihak dan kerja ini mengikut jadual yang ditetapkan. "Kerja-kerja pembinaan itu meningkat sebanyak tiga peratus berbanding 75 peratus pada Februari lalu," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di sini pada Selasa. Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Menurut beliau, kerja pemasangan landasan dari Gebeng, Pahang ke Dungun, Terengganu sudah siap sepenuhnya sepanjang 92 kilometer (km) manakala dari Gebeng ke Maran, Pahang sepanjang 97km sudah siap sebanyak 33km. "Selebihnya proses pembinaan dijangka siap mengikut masa yang ditetapkan," katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pemasangan sistem elektrifikasi pula ia akan bermula seawal Mei ini di kawasan Gebeng, Pahang. Kemudian, ia akan disusuli oleh kerja pemasangan semboyan. "Bagi pembinaan projek keseluruhan ECRL yang merangkumi empat negeri dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor sepanjang 665km sehingga Mac lalu adalah sebanyak 64.01 peratus dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Rumah terbakar, tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang
    23 April 2024
    RANTAU PANJANG - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dihuni sejak empat tahun lalu di Kampung Limau Purut, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Ahad. Noraini Mohammad, 32, berkata, semasa kejadian dia, suami, Mohd Solah Ismail, 42, serta lima anak berusia sembilan bulan hingga 16 tahun tiada di rumah ketika kejadian berlaku. "Kebetulan pada petang Sabtu kami sekeluarga terpaksa ke rumah mak di Kampung Parit Air kerana air telaga telah kering. "Saya sempat bawa baju sekolah anak-anak untuk dibasuh, namun kasut serta beg dan buku-buku mereka semua ada di rumah dan telah musnah dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Dia yang merupakan suri rumah berkata, kejadian itu disedari oleh abang dan kakak iparnya yang kebetulan rumah mereka terletak berhampiran. "Namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana air telaga kering, malah kejadian itu berlaku pada awal pagi. Noraini memberitahu, lebih menyedihkan apabila kelengkapan sekolah tiga anak yang berusia 10, 11 dan 16 tahun turut musnah dalam kejadian yang berlaku jam 1.20 pagi itu. "Selain kehilangan rumah, anak-anak paling terkesan kerana kelengkapan sekolah, baju serta kasut raya mereka juga terbakar. "Mereka asyik tanya mana baju, kasut raya mereka," katanya. Ujar dia, buat sementara waktu, mereka terpaksa menumpang di rumah ibunya. Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03072020999796 Noraini Mohammad. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Cuaca panas: Peniaga panik api cepat merebak depan rumah
    22 April 2024
    KOTA BHARU - Seorang peniaga panik melihat api merebak dengan cepat di kawasan padang bola kira-kira 300 meter di hadapan kediamannya di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang akibat cuaca panas terik. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi jam Khamis itu, Adrian Hakimi Mohd Don, 35, berkata, ketika itu dia sedang memantau pekerja membina rumahnya yang hanya beberapa meter dari padang terbabit. Menurutnya, tidak sampai satu jam, asap semakin tebal dan api merebak dengan cepat menyebabkan kawasan kebakaran menjadi lebih luas di padang berkenaan. "Pada mulanya api berada 300 meter dari rumah saya dan kemudian 'bergerak' dengan cepat sehingga beberapa meter dari rumah," katanya kepada Sinar Harian. Adrian Hakimi memberitahu, penduduk terus menghubungi bomba dan api berjaya dipadamkan beberapa minit kemudian. Bagaimanapun, dia tidak dapat mengenal pasti punca kebakaran tetapi sebelum itu terdengar bunyi letupan seperti bahan kimia aerosol dan kemudian keluar kepulan asap kecil. "Ada penduduk mengesyaki api daripada puntung rokok yang menjadi punca kebakaran dengan keadaan cuaca panas terik ketika itu menyebabkan kepulan asap semakin tebal dan api merebak dengan cepat," katanya lagi. Selepas keadaan tenang kira-kira jam 1.30 petang, Adrian Hakimi berkata, dia keluar untuk mengambil anaknya di sekolah tetapi beberapa minit kemudian jiran menghubunginya memaklumkan api merebak sehingga beberapa meter dari rumah. "Terkejut dengan keadaan itu, saya terus bergegas pulang dan mendapati asap tebal di belakang rumah sehingga terasa bahangnya selain sukar bernafas," katanya. Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tindakan segera penduduk memadamkan kebakaran menyelamatkan rumahnya. "Sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca panas kerana kebakaran cepat merebak terutama mereka yang tinggal di kawasan rumput dan tanah kering," katanya. Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan suhu antara 33 hingga 34 darjah celcius sepanjang minggu ini. Lapan kawasan di Semenanjung itu ialah Hulu Perak, Perak; Besut, Terengganu; Pendang dan Baling, Kedah; Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah serta Pasir Mas, Kelantan diramalkan antara lokasi yang berada pada tahap satu. Tahap berjaga-jaga bermaksud suhu maksimum harian berada pada 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
  • 'Saya nak kaki, rindu nak berjalan' - OKU kudung
    21 April 2024
    TUMPAT - “Saya nak kaki, rindu nak berjalan,”. Itu permintaan seorang warga emas kudung kaki kiri yang terpaksa dipotong akibat penyakit saraf empat tahun lalu. Ibu kepada lapan anak itu, Stewa Senik, 74, berkata, dia perlukan kaki palsu untuk kembali berjalan dan mencari daun pucuk nipah untuk dijual. Menurutnya, dia ketika ini hanya mampu mengesot dan duduk sambil melakukan kerja-kerja menyepat daun pucuk nipah untuk digunakan sebagai rokok tembakau. “Saya tidak boleh duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja dan cepat bosan lebih-lebih lagi bila sudah tak boleh berjalan. “Dulu, saya sendiri yang mendayung perahu menyeberangi sungai untuk mengutip daun nipah, tetapi kali ini hanya mendapatkan bantuan anak manakala saya hanya dapat menyepat daun nipah di beranda rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Joh pada Sabtu. Menurut wanita itu, dia mendapat hasil RM15 bagi jualan seikat daun nipah seberat kira-kira 200 gram dan mampu menyepat seharian dengan menggunakan sebelah kaki kanannya yang masih ada. “Saya rindu nak kembali berjalan, jika boleh pakai kaki palsu dan kembali berjalan, saya nak melawat ke rumah anak-anak. “Saya juga tidak mempunyai kerusi roda atau tongkat menyebabkan sukar untuk bergerak selain mata kanan buta kerana selaput,” katanya. Stewa bagaimanapun menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebanyak RM400 sebulan bagi menyara kehidupannya. Anak-anak Stewa berusia antara 29 hingga 53 tahun dan antaranya bekerja sebagai nelayan serta mencari lokan. Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Stewa Senik Bank Simpanan Nasional 0300841000107582. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Bizara Aidilfitri Showcase tonjol bakat istimewa anak OKU
    20 April 2024
    KOTA BHARU - 'Konsert kecil' sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri memberi peluang kepada ibu bapa 55 kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah pusat pendidikan OKU di sini melihat perkembangan positif anak-anak mereka. Majlis Bizara Aidilfitri Showcase ternyata membuktikan OKU dalam pelbagai kategori itu dapat mengubah tabiat dan tingkah laku mengikut suasana di sekeliling mereka. Penyelaras majlis berkenaan, Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 42, berkata, konsert lebih tiga jam itu menampilkan persembahan istimewa melibatkan kanak-kanak berkenaan termasuk sketsa, nyanyian, tarian dan ucapan hari raya. Beliau yang juga pengasas Bizara Care Centre memberitahu, seramai 24 tenaga pengajar berusaha memastikan semua kanak-kanak menyertai persembahan dengan teratur dan mampu membuktikan keistimewaan mereka. "Program kali kesembilan ini antara lain bertujuan mencungkil bakat anak-anak OKU berusia antara empat hingga 24 tahun," katanya. Lebih sepuluh lagu hari raya popular sepanjang zaman dipersembahkan termasuk Alamak, Raya Lagi, Selamat Hari Raya dan Satu Hari Di Hari Raya. Beliau tidak menafikan pada tahun pertama penganjuran berdepan masalah berikutan tingkah laku kanak-kanak yang sukar dikawal dan bertindak agresif. "Kini semuanya sudah teratur dan mereka memahami keadaan yang perlu dilalui manakala ibu bapa hanya duduk dan menikmati konsert ini," katanya. Jelas Wan Zakaria, antara OKU yang mendapat pendidikan di Bizara ialah autism, sindrom down, lembam dan masalah pertuturan. "Kesemua guru di sini juga sudah menganggap mereka sebagai ibu bapa kedua kepada OKU," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Pernah diberhentikan kerana pekak, OKU tak patah semangat
    20 April 2024
    TUMPAT - Pernah diberhentikan kerja kerana pekak tidak mematahkan semangat seorang bapa orang kurang upaya (OKU) untuk terus bekerja bagi menyara isteri dan lima anaknya. Mohd Azli Arahman, 47, cacat pendengaran sebelah kanan akibat kecederaan tercucuk lidi ke dalam organ itu ketika di usia remaja. Isterinya, Azlina Ripin, 43, berkata, Mohd Azli sempat bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum diberikan surat berhenti kerja kerana kekurangannya itu kira-kira tiga tahun lalu. “Mula-mula Mohd Azli diterima bekerja kerana majikan tidak mengetahui dia ada masalah pendengaran dan selepas enam bulan, majikan mula mengetahuinya kemudian Mohd Azli diberhentikan. “Kami bagaimanapun faham bahawa tindakan itu diambil kerana tuntutan tugas untuk menjaga keselamatan tidak boleh bagi orang pekak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Khidmat Komuniti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia Tumpat di Kampung Tanjung Che Mas pada Jumaat. Turut hadir Pengerusi PBSM Malaysia Tumpat, Ahmad Yusof yang mengagihkan bantuan makanan kepada lapan penerima. Menurut Azlina, Mohd Azli kemudiannya bekerja di sebuah kilang besi buruk di Kok Bedollah dengan pendapatan RM1,100 sebulan, namun kilang tersebut pula terbakar dalam kejadian tiga hari sebelum Aidilfitri. “Ketika ini, dia sedang menunggu perkembangan daripada majikan barunya itu kerana mahu kembali bekerja di kilang tersebut. “Buat masa ini, kami mengalami kesempitan wang memandangkan Mohd Azli tidak mendapat gaji kerana tidak bekerja akibat insiden kebakaran kilang tempat kerjanya itu,” ujarnya. Suri rumah itu berkata, buat sementara waktu, mereka hanya bergantung kepada bantuan RM450 sebulan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat selain menerima Sumbangan Asas Rahmah RM100 sebulan. “Cuma, sedikit sukar untuk kami sediakan wang saku persekolahan anak-anak berjumlah lebih RM20 sehari untuk empat anak masih bersekolah masing-masing seorang di Tingkatan Satu, Empat dan pasangan kembar di Tingkatan Tiga.“Anak sulung kami pula berusia 22 tahun baharu saja tamat pengajian Diploma Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masih belum mendapat kerja,” katanya. Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Mohd Azli Arahman Bank Islam 03148020244526. Sementara itu, Ahmad berkata, tahun ini setakat 19 April, sebanyak 250 penerima dibantu terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan OKU. “Kami memperuntukkan dana kira-kira RM10,000 yang disumbangkan oleh orang ramai dan mengagihkan dalam bentuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan. “Agihan ini akan bertambah sebanyak 10 penerima setiap bulan selepas di dan dilakukan di kawasan daerah Tumpat,” katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Hilang punca pendapatan, jatuh dari bumbung ketika bekerja
    19 April 2024
    TANAH MERAH - Empat sekeluarga hilang punca pendapatan berikutan ketua keluarga yang menjadi tulang belakang selama ini mencari nafkah tidak lagi dapat bergerak dan berjalan seperti biasa kerana tumit kaki hancur selepas terjatuh dari bumbung rumah ketika bekerja. Buruh kasar, Yahya Jaafar, 49, dari Kampung Batang Merbau dikatakan jatuh dari ketinggian 4.9 meter (m) apabila paku pada kayu yang dipijak tercabut ketika hendak turun selepas selesai membuat kerja di bahagian bumbung di sebuah rumah, di sini, pada 31 Mac lalu. Menurutnya, sejurus kejadian itu, dia dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan didapati mengalami kecederaan dalaman pada bahagian kedua-dua tumit. “Bahagian isi dalam tumit kaki saya hancur selain daging-daging itu beralih ke bahagian buku lali menyebabkan saya sudah tidak lagi dapat berpijak atau berjalan. “Saya hilang punca pendapatan kerana tiada upaya untuk melakukan kerja-kerja berat seperti pekerjaan buruh kasar yang sudah dilakukan selama 35 tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat. Yahya berkata, sebelum ini, pekerjaaan yang dilakukan itu memberi pendapatan tidak menentu kepadanya sekitar RM40 hingga RM60 sehari membolehkannya dia menyara seorang isteri, Orawan Dollah, 35, dan dua anak mereka yang berusia 13 serta lapan tahun. Kini, dirinya hanya mampu merintih dalam diam dan buntu memikirkan nasib keluarganya selain putus harapan kerana tidak cukup wang belanja bagi mengubati kecederaan tumit terbabit. “Walaupun ada pilihan untuk saya memasukkan besi ke dalam tumit ini seperti saranan doktor tetapi langkah itu hanya membolehkan berjalan sahaja sebaliknya tetap tidak dapat digunakan untuk bekerja. “Kos permulaan untuk memasukkan besi pula memerlukan RM4,000, mana saya ada duit,” katanya. Lelaki itu memberitahu, ketika ini, mereka sekeluarga masih bergantung kepada ihsan pemberian makanan seperti beras daripada saudara-mara, jiran-jiran dan ketua kampung yang prihatin terhadap nasib menimpanya. Seterusnya, selepas ini, dia sudah tidak mengetahui bagaimana cara untuknya mencari nafkah bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Bagi yang ingin membantu keluarga terbabit boleh salurkan ke akaun Yahya Jaafar, CIMB Bank Berhad 7026695990. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Harga jualan tembikai di ladang lebih RM1 sekilogram
    19 April 2024
    KOTA BHARU - Petani yang mengusahakan tanaman tembikai di negeri ini mendedahkan harga ladang buah tersebut tidak pernah mencecah serendah RM1 untuk sekilogram. Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata harga buah tembikai di sini dijual bermula antara RM1.20 sekilogram dan ke atas. Seorang petani dari Bunut Susu, Pasir Mas, Roslan Yusoff, 57, berkata, tahun lalu harga tembikai mencecah RM2 sekilogram. "Tahun ini hanya sekitar RM1.20 sekilogram, hal ini kerana semua hasil yang diusahakan oleh petani di beberapa kawasan Kelantan dan Terengganu dituai serentak. "Jadi situasi itu menyebabkan kejatuhan harga berlaku walaupun pada bulan Ramadan tahun ini namun ia tidak menjejaskan pendapatan kami," katanya. Menurutnya yang sudah 12 tahun mengusahakan tanaman tersebut, walaupun ada banyak lebihan tetapi permintaan tetap tinggi. Ujarnya, tembikai yang ditanam pada tanah seluas 1.2 hektar itu telah ditempah pemborong serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Sementara itu penanam tembikai di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Zulkifli Ismail, 52, memberitahu, pada awal Ramadan berlaku sedikit penurunan harga iaitu sekitar RM1.60 sekilogram. "Tembikai di sekitar kawasan Cherang Ruku, Tok Bali, Semerak dituai lebih awal disebabkan itu kami sempat merasa harga yang mahal, malah mencecah RM2 sekilogram pada harga ladang. "Kebanyakan pemborong datang dari Johor, Kuala Lumpur. Kami di sini hanya tanam setahun sekali iaitu awal Januari kerana cuaca pada waktu itu sesuai untuk penanaman buah tembikai," katanya. Menurutnya yang mengusahakan tembikai di tanah seluas 0.6 hektar untuk musim ini, semua 12 tan buah yang dihasilkan laris dijual. Ujarnya, kebetulan musim tuaian ialah semasa Ramadan, jadi permintaan sangat tinggi. Sementara itu, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, setakat ini tiada lambakan tembikai berlaku sehingga petani terpaksa menjual pada harga RM1 sekilogram. Ujar beliau, setakat ini harga ladang yang dibeli oleh FAMA sekitar RM1.20 hingga RM1.30 sekilogram. "Bagaimanapun, kejatuhan harga belian peringkat ladang sebanyak RM1 sekilogram berlaku untuk tempoh tiga hari menjelang hari raya. "Harga itu kembali meningkat kepada RM1.20-RM1.30 sekilogram di peringkat ladang dan kekal sehingga kini. Situasi ini berlaku kerana pengeluaran tembikai secara serentak bukan sahaja di Kelantan malahan di Pahang dan Terengganu," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini! Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Bajet untuk selenggara, baiki jalan sedia ada
    19 April 2024
    KOTA BHARU - Bajet untuk naik taraf atau selenggara jalan hanya akan digunakan untuk jalan sedia ada yang sudah dirancang dan belum ditumpukan kepada jalan alternatif. Mengulas perkara itu, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, naik taraf jalan memerlukan kira-kira RM150 juta tetapi bajet yang sedia ada antara RM40 juta hingga RM50 juta. Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan cuba memberi khidmat terbaik kepada rakyat bagi memastikan kemudahan itu lebih selesa terutama pada musim perayaan. "Tahniah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana banyak jalan sedia ada sudah ditambah baik dan tidak ada jalan rosak teruk sepanjang kepulangan perantau sempena Hari Raya Aidilfitri lalu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV. Pada sambutan Aidilfitri lalu, perantau dari Kelantan berdepan masalah kesesakan membabitkan laluan utama dan jalan alternatif. Dr Izani mengakui kesesakan yang berlaku dan masalah berkenaan katanya dijangka akan selesai apabila Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) siap sepenuhnya. "Kita masih berharap (kerajaan) Persekutuan menaikkan bajet untuk menyelesaikan masalah jalan rosak terutama kos penyelenggaraan yang tinggi," katanya. Menurut beliau, JKR juga mungkin ada perancangan untuk pembukaan jalan baharu tetapi semua itu bergantung kepada bajet. "Kita dari masa ke masa pula akan melihat keperluan rakyat insya-ALLAH kita akan cuba mohon lagi dengan Persekutuan atau negeri supaya pembinaan jalan dapat dilaksanakan," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • JKDM rampas kereta klon, motosikal kuasa tinggi dan RXZ
    19 April 2024
    KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas enam buah kereta klon, dua motosikal berkuasa tinggi dan tiga buah RXZ hasil operasi serta risikan selama dua bulan bermula 15 Februari hingga 15 April. Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, operasi tersebut tidak tertumpu di Kelantan sahaja tetapi meliputi negeri Selangor, Johor Bharu dan Kedah dengan anggaran nilai serta cukai semasa berjumlah RM579,418. "Bagi kenderaan klon ini ianya diseludup dari Singapura. "Kenderaan (motokar) diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian I, Butiran 3(2), Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. "Manakala motosikal diklasifikasikan sebagai barangan import yang tertakluk di bawah Jadual Kedua, Bahagian II, Butiran 7, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Khamis. Menurut beliau, kedua-dua kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1957. Dalam perkembangan sama, Wan Jamal Abdul Salam menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk membeli kenderaan serta motosikal yang menawarkan harga yang jauh lebih murah. Ujarnya, kebiasaan kenderaan atau motosikal ini dijual dengan harga yang lebih murah iaitu 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
  • Kelantan hargai kesediaan kerajaan Persekutuan bantu tangani krisis air
    18 April 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menghargai kesediaan Kerajaan Persekutuan dalam membantu menangani krisis bekalan air di negeri ini. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kesediaan itu dinyatakan dalam beberapa pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. "Dalam beberapa pertemuan sebelum ini memang kita ada bincang berkaitan masalah air ini. Kerajaan Persekutuan menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada kerajaan negeri. "Ia satu maklum balas yang sangat baik dan kita kerajaan negeri amat berterima kasih," katanya ringkas kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, pada Rabu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah yang akan diambil dalam mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri ini yang belum berkesudahan. Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri akan mengadakan solat sunat istisqa jika kemarau dan cuaca panas masih berlanjutan di negeri ini. Beliau berkata pendekatan itu telah dilakukan sebelum ini melalui penglibatan semua pihak dan hujan mulai turun di beberapa tempat bermula awal Syawal. "Sebelum ini, kita telah arahkan pemimpin masyarakat dan imam di masjid-masjid seluruh negeri mengadakan solat sunat istisqa bagi memohon pertolongan Allah menurunkan hujan. "Alhamdulillah, hujan mencurah-curah di beberapa daerah di Kelantan sebaik solat selesai," katanya. Ekoran itu, beliau menasihatkan rakyat agar mengurangkan aktiviti di luar terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Beliau berkata langkah itu perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada lagi nyawa yang terkorban selepas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia pada 1 April lepas kerana strok haba di Kelantan. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Padi NMR152 sudah ditanam di Kelantan
    18 April 2024
    KOTA BHARU - Varieti padi NMR152 atau lebih dikenali sebagai IS21 oleh pesawah sudah ditanam di Kelantan terutama di daerah Pasir Puteh dan Bachok. Pegawai Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Wan Nur Hasyila Wan Suleiman bagaimanapun berkata, varieti IS21 sukar diperoleh di pasaran kerana tidak banyak pengeluar yang mengeluarkan benih itu. Beliau memberitahu, benih jenis itu tidak seperti varieti MR297 yang boleh dikatakan dikeluarkan oleh semua pengeluar benih di negeri ini. "Varieti MR297 menjadi pilihan petani jika ada di pasaran kerana mempunyai daya tahan terhadap beberapa jenis penyakit, tahan kemarau serta mempunyai hasil yang agak tinggi," katanya kepada Sinar Harian. Wan Nur Hasyila memberitahu, dalam konteks kemarau, NMR152 mempunyai ketahanan berbanding jenis lain dan tempoh tuaian juga lebih singkat berbanding kebanyakan varieti biasa. Tambah beliau, padi berkenaan ditanam dua kali setahun sama seperti jenis lain. "Tuaian dilakukan antara April hingga Mei untuk musim kedua tahun lalu dan antara Oktober hingga November untuk musim pertama tahun ini," katanya. Sinar Harian sebelum ini melaporkan Perak dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kini dalam perancangan melaksanakan projek perintis tanaman padi di kawasan tanah terbiar, berkeluasan kira-kira lapan hektar di mukim Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kawasan tersebut akan ditanam dengan padi jenis NMR152, yang mampu mengeluarkan hasil sekitar lapan hingga 10 tan per hektar. Padi berkenaan dihasilkan oleh Agensi Nuklear Malaysia dan mengambil masa selama 110 hari untuk dituai serta tahan dalam keadaan cuaca ekstrem, serangan penyakit dan kurang menggunakan air. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Kemarau: Kelantan terus laksanakan solat sunat Istisqa', mohon hujan
    17 April 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan terus mengadakan solat sunat Istisqa' untuk memohon hujan jika keadaan kemarau di negeri ini berterusan. Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya sudah memberikan arahan kepada semua pimpinan masyarakat di seluruh negeri dengan dipimpin oleh imam-imam untuk mengadakan solat sunat Istisqa'. "Apabila berdepan dengan keadaan panas dan selain ketiadaan hujan, adalah disunatkan untuk mengadakan solat sunat Istisqa' bagi memohon supaya ALLAH SWT menurunkan hujan," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada sambutan Hari Raya di peringkat Kota Darulnaim di sini. Menurut beliau, sebelum ini 14 Parlimen di Kelantan sudah mengadakan solat sunat berkenaan mengikut Parlimen masing-masing susulan kemarau yang teruk. Beliau bersyukur selepas mengadakan solat sunat Istisqa' sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, hujan pada pagi hari raya pertama. Dalam perkembangan lain, Mohd Nassuruddin menasihatkan kepada semua rakyat supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah khususnya kanak-kanak. "Sekiranya tidak ada keperluan yang mendesak, tidak perlu keluar rumah disebabkan cuaca panas dan kita perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian strok haba. "Baru-baru ini berlaku satu kematian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Bachok akibat strok haba," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Risiko guna telaga tiub ada, tapi belum berlaku di Kelantan - Exco
    17 April 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak menolak risiko berlakunya mendapan tanah ekoran penggunaan telaga tiub yang berleluasa di negeri ini. Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin bagaimanapun berkata, setakat ini tidak berlaku lagi kejadian seumpama itu. "Dari segi teori ia boleh berlaku. Tetapi tidak berlaku lagi setakat ini. "Di peringkat Kelantan pun kita telah cuba menilai semula mengenai sumber air daripada telaga tiub serta sungai," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu. Sebelum itu, beliau bersama Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud meraikan sambutan hari raya di peringkat Kota Darulnaim di sini. Menurut Dr Izani, pihaknya juga sedang membuat kajian yang mana lebih jimat dan serta mudah untuk dirawat serta airnya tidak putus. Ujarnya, setakat ini telaga tiub menjadi pilihan, namun untuk jangka masa panjang pihaknya sedang berfikir untuk menilai balik kelebihan dan kelemahan perkhidmatan tersebut. Beliau memberitahu, setakat ini terdapat 42 biji telaga tiub yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan sumber air. Dr Izani berkata, kebanyakan punca air bawah tanah di negeri ini mempunyai kandungan semula jadi seperti ferum, magnesium dan klorin. Katanya, situasi itu menyebabkan kerajaan negeri berdepan dengan kos yang tinggi dalam merawat sumber air berkenaan. Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan melahirkan rasa kebimbangan terhadap fenomena penggalian telaga tiub di negeri ini yang dikhuatiri boleh mengundang risiko berlakunya mendapan tanah. Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, aktiviti tersebut juga boleh menyebabkan ketinggian tanah di negeri itu berada di bawah paras laut dan pelbagai lagi impak negatif. "Walaupun ianya menjamin sumber air kepada penduduk namun amat berbahaya kepada alam sekitar jika aktiviti penggalian telaga tiub tidak dikawal. "Hal ini berpandukan kepada laporan akhbar tempatan sebelum ini, lebih 50 peratus penduduk Kelantan bergantung dengan penggunaan air melalui telaga tiub kerana masalah bekalan air di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Elektrik punca gangguan bekalan air di Paloh 3 - AKSB
    17 April 2024
    KOTA BHARU - Masalah air yang berlaku di Paloh 3, Gua Musang di sini berpunca daripada gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Paloh. Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, masalah itu telah memberi kesan secara langsung kepada pengoperasian harian loji. "Sebanyak 100 daripada 371 akaun pengguna di kawasan itu telah terlibat. "LRA Paloh 3 yang berkapasiti mengeluarkan air bersih sebanyak 4 Juta Liter Sehari (JLH) tersebut dikesan mengalami gangguan bekalan elektrik selama hampir 18 jam sebagaimana rekod yang dicatat," katanya. Menurut kenyataan itu lagi, untuk perancangan jangka panjang AKSB akan menyediakan sebuah generator khusus untuk musim perayaan. Katanya, gangguan bekalan air yang berlaku di Gunong, Bachok, khususnya Taman Putri Saadong dan sekitar adalah bersifat berkala khususnya musim perayaan. AKSB memberitahu, permintaan bekalan air yang terlalu tinggi bukan sahaja di Bachok, malah seluruh negeri. "Punca bekalan air terputus adalah kerana bekalan air yang diterima daripada Loji Rawatan Air (LRA) Chicha telah menyusut berikutan penerobosan air masin di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumbuh. "Keadaan itu menyebabkan melebihi kadar yang dibenarkan iaitu melebihi 250 ppm (parts per million). Hal ini menyebabkan pengambilan air mentah melalui telaga jejari Pasir Tumbuh yang membekalkan air mentah ke LRA Chicha terpaksa dikurangkan kepada 10 JLH daripada pengeluaran asal 15 JLH," katanya. AKSB berkata, kebiasaannya, LRA Chicha dapat membekalkan air kepada Jajahan Bachok sehingga 12 JLH. Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengalaman mandi sunat Aidilfitri di sungai akan menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh anak-anak perantau yang pulang menyambut lebaran di Paloh 3, Gua Musang. Mana tidaknya, mereka terpaksa berbuat demikian selepas kawasan penempatan putus bekalan air sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun, penduduk di kawasan ini menarik nafas lega apabila hujan sekitar jam 2 petang yang ditadah bagi kegunaan mencuci pinggan dan mangkuk. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Akaun Facebook Pusat Khidmat DUN Kijang digodam
    17 April 2024
    KOTA BHARU - Akaun Facebook Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang yang mempunyai 25,000 pengikut digodam oleh individu tidak bertanggungjawab. Hasil semakan Sinar Harian mendapati akaun tersebut dipenuhi dengan paparan imej dan video lucah. Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Taufiq Ramli ketika dihubungi mengesahkan akuan Facebook itu digodam pihak tidak bertanggungjawab. "Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati ia telah digodam oleh 'hackers' dari Vietnam," katanya. Menurut beliau, pihaknya sudah buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut. Ujarnya, satu akaun baharu telah diwujudkan menggunakan nama yang sama. Taufiq memberitahu, pihak pejabat Exco dan Pusat Khidmat DUN Kijang telah mengetatkan semua langkah keselamatan para pengendali media sosial. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Telaga tiub undang risiko mendapan tanah di Kelantan - ABIM
    16 April 2024
    KOTA BHARU - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan melahirkan rasa kebimbangan terhadap fenomena penggalian telaga tiub di negeri ini yang dikhuatiri boleh mengundang risiko berlakunya mendapan tanah. Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad berkata, aktiviti tersebut juga boleh menyebabkan ketinggian tanah di negeri itu berada di bawah paras laut dan pelbagai lagi impak negatif. "Walaupun ianya menjamin sumber air kepada penduduk namun amat berbahaya kepada alam sekitar jika aktiviti penggalian telaga tiub tidak dikawal. "Hal ini berpandukan kepada laporan akhbar tempatan sebelum ini, lebih 50 peratus penduduk Kelantan bergantung dengan penggunaan air melalui telaga tiub kerana masalah bekalan air di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Menurut beliau, kenyataan kerajaan negeri bahawa masalah bekalan air di Kelantan akan selesai menjelang tahun 2027, ianya dilihat satu tempoh yang begitu lama untuk diselesaikan. Ujarnya, kerajaan negeri harus bentangkan pelan penyelesaian air dan seeloknya diselesaikan lebih awal iaitu pada suku tahun pertama 2026. Mohd Syahiran memberitahu, ABIM Kelantan menggesa agar pelan tersebut dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap sesi agar proses pelan penyelesaian air di negeri ini dapat diketahui rakyat dari semasa ke semasa. "Dengan kesanggupan kerajaan Persekutuan dalam pemberian wang ihsan kepada Kelantan berjumlah RM58.6 juta untuk tujuan pembayaran gaji dan bonus kakitangan kerajaan negeri Kelantan sempena Aidilfitri pada awal April lalu. "Diharap kerajaan negeri juga boleh memohon wang ihsan dari Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan proses pemulihan air Kelantan. "Kami mencadangkan perkara tersebut kerana setakat pemerhatian, beberapa pertemuan antara Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri sudah berlaku beberapa kali, namun belum terlihat lagi sebarang kenyataan dari kerajaan negeri tentang perbincangan yang melibatkan penyelesaian air di negeri ini dengan Perdana Menteri," katanya. Beliau berharap cadangan ini diterima untuk diperhalusi oleh kerajaan negeri untuk kesejahteraan rakyat. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • ‘Kami tiada pilihan lain’
    16 April 2024
    KOTA BHARU - Penggunaan telaga tiub menjadi penyelesaian kepada penduduk di negeri ini selepas acap kali berdepan dengan masalah bekalan air bersih. Walaupun air dari telaga tiub jernih, namun penduduk perlu berdepan dengan masalah berbau, berminyak dan berkeladak. Penduduk di Kampung Teliar, Pasir Mas, Asiah Yunus, 71, berkata, dia dan keluarga menggunakan telaga tiub sejak 10 tahun lalu apabila sering berdepan dengan masalah air. “Kawasan rumah kami berhampiran dengan sawah padi, jadi air yang ada sangat jernih tetapi berbau lumpur. “Kadang kala kami perlu berdepan dengan masalah berkeladak sehingga menyebabkan lantai dan dinding bilik air kotor serta rosak,” katanya ketika ditemui pada Ahad. Ujar warga emas terbabit, dia terpaksa menggunakan air tersebut kerana tidak sanggup berdepan masalah gangguan. Bagaimanapun, air tersebut hanya digunakan untuk mandi dan mencuci kecuali pakaian. Asiah memberitahu, untuk air minuman dan memasak pula akan menggunakan air bersih sedia ada atau membeli air dalam botol jika perkhidmatan tersebut bermasalah. Bagi penduduk di Selising, Pasir Puteh, Kamarudin Che Hat, 59, air telaga tiub yang digunakan di kawasannya jernih, namun perlu berdepan dengan masalah berminyak serta berkeladak. Kamarudin yang menggunakan telaga tiub sejak empat tahun lalu berkata, oleh kerana air tersebut digunakan untuk mencuci pakaian, selang beberapa hari dia terpaksa mencuci saluran air pada mesin basuh untuk mengeluarkan keladak yang terkumpul. “Saya juga terpaksa mengeluarkan modal ribuan ringgit bukan sahaja untuk kos telaga tiub tetapi membeli penapis air. “Jika musim kemarau, kami perlu berjimat cermat kerana tekanan air telaga tiub akan rendah serta berkurangan,” katanya. Sementara itu, Mohamad Yunus, 52, dari Wakaf Bharu, Tumpat berkata, sudah 10 tahun dia bergantung hidup kepada sumber air dari telaga tiub. Ujarnya, setakat berbau dan berminyak, dia masih boleh bertahan lagi kerana ia jernih dan hanya itu pilihan yang ada. “Sumber air ini tidaklah sebaik air yang disediakan oleh kerajaan. “Sekurang-kurangnya ia mampu mengelakkan kami sekeluarga berdepan tekanan memikirkan masalah gangguan air,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Bekalan air di Felda Perasu terputus kerana gangguan elektrik - AKSB
    16 April 2024
    KOTA BHARU - Bekalan air bersih yang terputus di kawasan Felda Perasu, Gua Musang dan sekitarnya pada awal Aidilfitri adalah disebabkan gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Chiku, Gua Musang. Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan gangguan bekalan elektrik di bawah bidang kuasa Tenaga Nasional Berhad itu sekali gus menjejaskan proses penghantaran bekalan air ke Tangki Felda Perasu untuk disalurkan kepada penduduk. Menurut AKSB, gangguan bekalan elektrik di LRA Chiku juga memberi kesan secara langsung kepada pengoperasian harian loji dan sejumlah 353 akaun pengguna telah terlibat, manakala 60 akaun pengguna pula terdiri daripada kawasan premis. "Mengikut rekod, kekerapan gangguan bekalan elektrik berlaku hampir 23 jam dan 25 minit bagi tempoh lima hari iaitu pada 2, 21, 25 dan 26 Mac serta 11 April,” menurut kenyataan itu. AKSB memaklumkan pengeluaran air LRA Chiku beroperasi pada 7.5 juta liter sehari (JLH) dan pengeluaran air bersih dijangka beroperasi dengan kapasiti penuh hingga 12 JLH pada Mei ini. AKSB memaklumkan pasukan NRW (Non Revenue Water) AKSB jajahan Gua Musang sedang giat mencari kebocoran paip di sekitar Felda Perasu memandangkan jumlah pengeluaran air yang tinggi, namun ia tidak sampai ke rumah pengguna. "Permintaan tinggi berbanding pengeluaran di musim perayaan juga merupakan satu daripada faktor berlaku bekalan air bersih yang tidak mencukupi bukan sahaja di Felda Perasu, malah di seluruh Kelantan secara amnya," menurut kenyataan itu. AKSB memaklumkan waktu puncak penggunaan atau permintaan air yang tinggi bermula pada 8 hingga 13 April lepas. Pada masa sama, Pelan Kesiapsiagaan Bekalan Air merangkumi kesemua jajahan operasi, bagi memaksimumkan keupayaan proses pembekalan air bersih semasa musim perayaan Aidilfitri telah mula digerakkan sejak 6 April lepas. Pada Jumaat lepas, media tempatan melaporkan sambutan Aidilfitri penduduk Felda Perasu suram apabila terputus bekalan air bersih sejak 7 April lepas. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • 64 pelajar sekolah menengah dilantik duta TVET
    16 April 2024
    KOTA BHARU - Kolej Komuniti Kok Lanas melantik 64 pelajar dari empat sekolah menengah di negeri ini sebagai duta Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) institusi terbabit. Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas, Nik Ahmad Rizal Wan Ismail, berkata, duta projek perintis berkenaan terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, SMK Pangkal Kalong, SMK Mulong serta SMK Salor. Menurut beliau, mereka akan bertanggungjawab menyampaikan input berkaitan program dan pengkhususan yang ditawarkan di bawah TVET sebagai pilihan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Duta ini akan menyampaikan maklumat tepat dan memberikan dorongan yang diperlukan kepada pelajar peringkat menengah dan bakal melepasi SPM untuk mengambil langkah penting melanjutkan pendidikan mereka. “Duta juga perlu menyampaikan bahawa TVET berperanan dalam mempersiapkan pelajar dengan kemahiran pada masa depan sekali gus membuka peluang kerjaya yang luas serta berpotensi meningkatkan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Duta TVET @ KLCC 2024, di kolej terbabit, di sini, pada Isnin. Menurut beliau, lanjutan pengajian TVET di kolej komuniti juga mempunyai banyak kelebihan termasuk syarat kemasukan yang hanya perlu lulus SPM dan satu kredit selain disediakan Bantuan Kewangan Kolej Komuniti kepada pelajar kumpulan B40. “Misalnya di Kolej Komuniti Kok Lanas, lepasan SPM boleh memilih program-program utama yang ditawarkan iaitu Sijil Dandanan Rambut, Sijil Terapi Kecantikan dan Spa serta Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan dengan yuran serendah RM200 setiap semesta. “Bagi pelajar B40, diberi bantuan RM2,400 setiap semesta dan sejurus tamat dua tahun pengajian, mereka boleh menyambung ke peringkat diploma di politeknik-politeknik seterusnya ijazah di rangkaian universiti teknikal Malaysia,” katanya. Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembelajaran) Kota Bharu, Mohd Nazri Muhammad, berkata, Program Duta TVET terbabit mampu membuka minda pelajar berkaitan keistimewaan yang ditawarkan kolej komuniti. “Ada pelajar terutama di tahap sederhana tidak tahu saluran untuk mereka menyambung pengajian selepas tamat SPM. “TVET adalah peluang terbaik untuk mereka memperoleh sijil kemahiran bagi persediaan menghadapi kehendak dalam pasaran buruh masa kini,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Rumah terbuka Pas Kelantan, beraya sambil menderma pada Palestin
    15 April 2024
    KOTA BHARU - Pas Kelantan akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada Khamis ini sambil mengumpul derma kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan dengan peperangan. Majlis yang akan diadakan bermula jam 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV itu dijangka dihadiri lebih 50,000 pengunjung. Setiausaha Pas, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sambutan kali ini bukan sekadar untuk meraikan Aidilfitri tetapi memupuk rasa kasih serta prihatin rakyat Kelantan terhadap Palestin. "Dengan cara ini di samping kita bergembira, mereka di sana (Palestin) tetap dalam ingatan. "Sepanjang majlis berlangsung kami akan edarkan tabung kutipan derma untuk memudahkan pengunjung membuat sumbangan. Sumbangan ini bertujuan membolehkan mereka menikmati Aidilfitri," katanya semasa sidang akhbar di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Isnin. Mengulas mengenai sambutan rumah terbuka Pas Kelantan, Wan Roslan memberitahu, terdapat 36 gerai yang menyediakan pelbagai jenis makanan untuk pengunjung. Ujarnya, sambutan yang bertemakan Tahun Melawat Kelantan 2024 itu turut dimeriahkan dengan beberapa acara menarik seperti pertandingan teh tarik, pulut hijau, gerai cantik serta cabutan bertuah berupa motosikal elektrik. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Kelantan sedia bawa pulang pelajar di Jordan
    15 April 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan untuk membawa pulang pelajarnya yang sedang mengikuti pengajian di lebih enam buah universiti di Jordan jika konflik di Asia Barat makin meruncing susulan serangan balas Iran terhadap Israel. Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Wan Roslan Wan Hamat berkata, tindakan itu bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada perkembangan situasi semasa. "Kita sudah ada pengalaman sebelum ini semasa berlaku krisis di Mesir. "Ketika itu kita panggil balik semua pelajar Kelantan di negara berkenaan," katanya semasa sidang akhbar di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Isnin. Menurut beliau, kerajaan Kelantan sentiasa berhubung dengan pegawai kebajikan di Timur Tengah untuk mendapatkan perkembangan terkini keadaan pelajar mereka di negara berkenaan. Ujarnya, kesemua 267 pelajar Kelantan di sana diingatkan supaya peka dengan perkembangan dan situasi terkini krisis Asia Barat itu termasuk arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Jordan. "Kesemua pelajar itu sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, ekonomi dan sebagainya. “Setakat ini keadaan mereka selamat dan terkawal. Bagaimanapun kita sentiasa mengikut perkembangan dari semasa ke semasa," katanya. Sebelum ini media antarabangsa melaporkan Iran melancarkan lebih 200 dron, peluru berpandu jelajah dan peluru berpandu balistik terhadap Israel, kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu. Bagaimanapun, sistem pertahanan Israel dan sekutunya di rantau itu berjaya memintas ‘sebahagian besar’ peluru berpandu dan dron serta ditembak jatuh di luar wilayah Israel. Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari berkata, bunyi siren amaran dan letupan kuat kedengaran di semua lokasi yang terancam dan pertahanan negara itu bersedia menanganinya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Wan Zahiruddin pakar baiki sofa, perabot lama
    15 April 2024
    KOTA BHARU - Membaiki perabot atau kerusi mewah mungkin dianggap mudah oleh individu tertentu kerana sudah mempunyai struktur dan tidak menggunakan banyak bahan. Bagaimanapun, tukang kerusi dan perabot, Wan Mohd Zahiruddin Wan Sidik, 27, menafikan anggapan itu kerana ia bergantung keadaan kerosakan dan permintaan pelanggan. Katanya, antara perkara paling sukar ialah teknik mengukur dan pemotongan kain gantian pada perabot atau sofa yang dibaiki. “Kesilapan kecil mengukur menyebabkan jahitan tidak sekata dengan bentuk perabot atau sofa,” katanya. Menurut bapa kepada dua anak itu, pengalaman bekerja selama empat tahun dengan bapa mertua di Melaka membuka peluang rezeki dalam bidang itu walaupun pada mulanya agak sukar memulakannya. Jelasnya, kepulangannya di Kampung Kubang Laka, Peringat kira-kira tiga tahun lalu hanya untuk mencari pekerjaan lain yang boleh memberi rezeki namun gagal dan akhirnya terpaksa memilih membaiki perabot untuk menyara anak dan isteri. “Alhamdulillah saya pada mulanya hanya baiki sofa yang rosak di rumah ibu dan berkongsi kegembiraan di media sosial. “Selepas itu ada saudara dan rakan-rakan terdekat yang meminta saya membaiki kerusi atau sofa mereka,” katanya. Berkongsi pengalamannya membaiki sofa, kata Wan Mohd Zahiruddin, ada perabot yang hanya menggunakan lebihan span, perca kain atau fiber yang langsung tidak berkualiti. Jelasnya lagi, biasanya lebihan itu ditemui dalam sofa yang berharga murah. Katanya, membaiki sofa atau kerusi sebenarnya menjadikannya lebih tahan lama kerana pemiliknya boleh memilih lebih banyak material gantian. “Jika ada bajet lebih, mereka boleh menambah kayu lapis atau spring tahan lasak selain kain berkualiti tinggi. Semua itu boleh tahan sekurang-kurangnya sepuluh tahun,” katanya. Anak kedua daripada lapan beradik itu memberitahu, material gantian seperti kain dan span yang digunakan dibeli dari kilang di Shah Alam, Johor dan Pulau Pinang. “Banyak material boleh diganti termasuk kain baldu, bercorak atau anti cakar,” katanya. Tambah Wan Mohd Zahiruddin, harga baik pulih berdasarkan pada gred bahan berkenaan selain tambahan besi, kayu dan span. “Buat masa ini, saya hanya mempunyai seorang pembantu, tetapi mempunyai impian untuk membuka kilang yang dilengkapi mesin lebih besar,” katanya lagi. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Tiga jam redah kesesakan tak halang khidmat trak tunda percuma
    15 April 2024
    KUALA KRAI - Meredah kesesakan lalu lintas selama tiga jam dari Kuala Krai ke Kota Bharu tidak menghalang Skuad Perantau di sini daripada melakukan kerja amal dengan menawarkan trak tunda percuma kepada anak perantau yang pulang berhari raya di Kelantan. Wakilnya, Muhammad Afnan Hilmi Kamaluddin, 25, berkata, perkhidmatan percuma yang diberikan selama dua hari semasa sambutan Aidilfitri itu sangat mencabar disebabkan oleh pergerakan kenderaan perlahan selain jumlah meningkat berkali ganda berbanding hari biasa. "Bayangkan untuk sebuah kereta kami perlu hadap tiga jam kesesakan lalu lintas dari Kuala Krai ke Kota Bharu. "Dengan cuaca panas dan beberapa rintangan lain lagi. Namun kami puas dapat membantu perantau yang memerlukan bantuan," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Menurutnya, paling terkesan apabila ramai perantau yang pulang beraya menaiki kenderaan yang uzur dan lama sehingga mereka berdepan dengan pelbagai masalah. Ujarnya, disebabkan semangat ingin pulang beraya di kampung halaman mereka gigihkan jua menaiki kenderaan tersebut. Muhammad Afnan Hilmi memberitahu, walaupun hanya dua hari perkhidmatan percuma itu ditawarkan, namun mereka tidak menang tangan serta menerima panggilan telefon tidak henti. "Sepanjang tempoh itu, saya menerima 10 kes melibatkan kereta rosak yang perlu dibantu. Melihat kegembiraan di wajah perantau, saya dan rakan-rakan yang lain puas dapat membantu walaupun serba kekurangan. "Kami merancang untuk melakukannya lagi di masa akan datang," katanya. Sinar Harian pada 29 Mac lalu melaporkan sekumpulan anak muda dari Skuad Perantau menawarkan trak tunda percuma kepada anak perantau yang pulang berhari raya di Kelantan. Perkhidmatan percuma tersebut akan diberikan selama dua hari sehingga ke pagi raya melibatkan sembilan buah trak tunda bermula dari Kuala Krai ke Kota Bharu. Pengerusi Skuad Perantau, Mohd Zafran Yasoa, 43, berkata, idea itu terhasil apabila melihat keperitan anak-anak perantau yang ingin pulang beraya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • 757 kebakaran hutan, terbuka di Kelantan
    14 April 2024
    KOTA BHARU - Kelantan mencatat sejumlah 757 kebakaran hutan dan terbuka pada tahun ini setakat 13 April. Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Wildan Azhari, berkata, jumlah itu merangkumi kebakaran kebun atau ladang sebanyak 13 kes, hutan (48) dan hutan gambut (13). “Tahun ini sehingga 13 April, kebakaran melibatkan belukar dan lalang paling tinggi iaitu 582 kes diikuti sampah 101 kes. “Jumlah kebakaran juga tinggi dalam tempoh cuaca panas dan kemarau apabila mencatatkan keseluruhan 239 kes kebakaran hutan dan terbuka hanya dalam tempoh lapan hari bermula 4 hingga 11 April,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Ahad. Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti sebanyak 39 lokasi panas kebakaran terbuka di seluruh negeri ini membabitkan 12 lokasi di Pasir Puteh, Bachok (8) dan masing-masing enam di Pasir Mas, Kota Bharu serta Gua Musang. Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 1,113 panggilan kecemasan kebakaran diterima dan pihak bomba sentiasa bersiap siaga termasuk memastikan jentera, peralatan dalam keadaan baik serta bersedia untuk digunakan. “Bomba melakukan rondaan di lokasi panas, memberi nasihat kepada orang awam dan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk maklumat serta penguatkuasaan undang-undang. “Kami juga mengawal cuti anggota dan memastikan kesihatan serta kebajikan mereka terjaga semasa bertugas dalam pemadaman kebakaran terbuka,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Aliran trafik di Gua Musang sesak, perantau mula pulang
    14 April 2024
    GUA MUSANG - Aliran trafik di Jalan Jeli-Gua Musang, Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang sesak ekoran perantau mula pulang ke destinasi masing-masing selepas berakhir cuti sempena Aidilfitri. Tiga laluan terbabit mengalami kesesakan terutama di beberapa lokasi seperti lorong masuk ke laluan sempit berhadapan Stesen Petronas Persiaran Raya, Bulatan Tanah Puteh dan di persimpangan berhadapan R&R Mutiara di Tanah Puteh. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya melakukan beberapa penyuraian trafik sebagai langkah mitigasi dalam mengurangkan kesesakan di pintu keluar utama negeri ini. Beliau berkata, pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang telah melakukan langkah penyuraian di kawasan R&R Mutiara, Tanah Puteh, dan di Persiaran Bendahara berhadapan bangunan Kemudi Timur di bandar Gua Musang. "Penyuraian dilakukan secara berperingkat dengan kaedah menutup laluan bertentangan yang tidak sesak dalam jarak lima kilometer bagi memberi ruang kepada jalan yang sesak menjadi dua lorong,” katanya kepada Bernama pada Ahad. Choon Foo menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan serta tidak mementingkan diri sendiri apabila menghadapi kesesakan lalu lintas kerana proses penyuraian memakan masa antara 10 hingga 20 minit setiap kali dijalankan. Sementara itu, Mariati Abdullah, 42, yang dalam perjalanan pulang ke Cheras, Kuala Lumpur berkata dia sekeluarga ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan sebelum memasuki daerah ini. "Kami bertolak pada jam 6.30 petang semalam setelah selesai menghantar anak ke asrama sekolah di Pasir Mas dan mengalami kesesakan jalan raya yang teruk di Tanah Merah dan Machang, sebelum tiba, di sini, pada jam 5.30 pagi tadi. "Tempoh perjalanan biasanya hanya memakan masa kira-kira empat jam dari Pasir Mas ke Gua Musang tetapi masa cuti raya kali ini kami terpaksa menempuh hingga 11 jam,” katanya. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Penduduk Kuala Pertang agih air percuma kepada perantau
    14 April 2024
    KUALA KRAI - Penduduk di Kuala Pertang di sini berkongsi rezeki dengan mengagihkan air minuman percuma kepada perantau yang melalui jalan kampung tersebut untuk pulang ke ibu kota selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri. Menariknya, air kotak dan botol itu hasil derma daripada penduduk untuk meraikan perantau Penghulu Mukim Kuala Pertang, Mat Ropi Abdullah berkata, laluan kampung tersebut merupakan jalan alternatif yang menjadi pilihan perantau dari Kota Bharu ke Gua Musang untuk pulang ke ibu kota. "Sepanjang laluan itu, anak-anak muda akan menunggu di kawasan persimpangan untuk mengagihkan minuman kepada perantau. "Melalui laluan ini mereka boleh tembus ke Laloh tanpa perlu berhadapan dengan kesesakan lalu lintas di jalan utama," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Dalam perkembangan lain, beliau berpesan kepada perantau supaya tidak memandu laju apabila melalui kawasan kampung. Ini kerana katanya, sepanjang musim perayaan ini sudah berlaku beberapa kemalangan disebabkan kecuaian. "Antaranya ialah terlanggar pokok kelapa sawit, terbabas dan sebagainya. "Kami berharap perantau selamat sampai ke destinasi yang dituju," katanya. Selain itu, penduduk di kawasan Telekong turut berkongsi rezeki dengan mengagihkan minuman kepada anak-anak perantau. Situasi tersebut turut berlaku di Batu Gajah, Tanah Merah.
  • Rumah terbakar, ibu tunggal tangguh hantar anak ke UiTM
    14 April 2024
    KOTA BHARU - Aidilfitri dua beradik termasuk seorang ibu tunggal suram apabila rumah mereka di Kamoung Baung hangus 100 peratus dalam kejadian Jumaat lalu. Lebih menyedihkan apabila peralatan dan pakaian anak kedua-dua mereka yang sepatutnya mendaftar di pusat pengajian tinggi kini hanya tinggal debu. Ibu tunggal, Rosniza Yusof, 45, berkata, dia terpaksa menangguhkan pendaftaran anaknya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang berikutan kediamannya hangus dalam kejadian yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Baung pada Jumaat. Menurut Rosniza, anaknya, Nurul Adlin Asyiqin, 20, sepatutnya mendaftar semester kedua Ijazah Sarjana Muda Muamalat pada Sabtu (semalam). Turut musnah dalam kejadian itu ialah kediaman kakaknya, Rosnani Yusof, 49, yang hanya beberapa meter sahaja mengakibatkan kesemua ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang. "Peralatan belajar termasuk komputer riba dan pakaian anak kakak saya, Nur Syamila Azmi, 20, yang sepatutnya mendaftar di Kolej Politech Mara (KPTM) pada 20 April ini juga musnah semuanya," katanya ketika ditemui di kediamannya. Menceritakan kejadian berkenaan, Rosniza memberitahu, dia sedang tidur di dalam bilik kira-kira jam 12 tengah hari dan terdengar letupan kecil yang disangka kanak-kanak membakar mercun. Jelasnya, beberapa minit kemudian, dia terdengar suara Rosnani menjerit memaklumkan api keluar dari atas bumbung rumah dan terus bergegas ke sebuah bilik di tingkat atas rumah itu. "Sebaik membuka pintu bilik itu, api terus menyambar lengan kiri saya mengakibatkan luka melecur dan saya terus keluar selepas mengambil semua dokumen penting. "Ketika itu saya mengarahkan semua anak-anak keluar rumah berikutan api merebak dengan cepat," katanya. Rosniza yang juga pembantu kedai runcit memberitahu, rumah pusaka berusia lebih 40 tahun itu dibina 100 peratus daripada kayu. Dalam kebakaran itu juga, seorang anak saudaranya, Muhd Harith Hakimi, 13, turut cedera di tapak tangan sebelah kiri dan pergelangan tangan kanan ketika berusaha masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang. Menurut Rosniza mereka kini menumpang di rumah ibu saudara yang berada di kampung sama. Mereka menganggarkan jumlah kerugian akibat kebakaran ialah sebanyak RM250,000. Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban Rosniza boleh berbuat demikian melalui Maybank di akaun 152059026448 atas nama Rosniza Yusof.
  • 'Buang rasa benci, anggap mereka seperti ibu bapa sendiri'
    14 April 2024
    KOTA BHARU - Menjaga warga emas terutama yang sudah berusia lebih 60 tahun tidak semudah yang disangka kerana memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi kerenah mereka. Bagi memastikan benar-benar ikhlas mengambil tanggungjawab ahli keluarga warga emas, penjaga perlu menganggap mereka sebagai ibu atau bapa sendiri. Penjaga warga emas atau pembantu penyelia di Mesra Homecare, Mohd Irham Daniel Abdullah, 25, menolak ke tepi semua cabaran ketika bertugas dan setiap hari ‘bergembira’ dengan warga emas di bawah jagaannya. Menurut Mohd Irham Daniel, pengalamannya bekerja di bawah syarikat pembersihan di sebuah hospital di sini menjadikannya lebih sabar dan profesional. “Ia penting kerana saya perlu mengurus pelbagai kerenah mereka yang mungkin tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui di rumah jagaan itu. Bagaimanapun jelas Mohd Irham Daniel, kaedah ‘berlembut’ menjadi keutamaan selain sentiasa mengingatkan warga emas terbabit kerana ada di antaranya menghidap dimensia. Berkongsi pengalamannya, Mohd Irham memberitahu, warga emas terbabit boleh bersikap agresif secara tiba-tiba seperti membuang lampin pakai buang yang dipakai. “Itu bukan masalah bagi saya. Kami di sini sudah dilatih supaya bersikap profesional dan kadang-kadang perlu ada ‘tipu-tipu’ bagi mengelakkan mereka lebih agresif terutama warga emas yang penuh harapan mahu pulang ke pangkuan anak-anak. “Kita juga tidak mahu warga emas itu terus gelisah dan aktiviti hariannya terganggu,” katanya. Anak sulung daripada tiga beradik itu juga mengakui tidak kisah mencuci najis dan menukar lampin pakai buang lebih sepuluh orang tua di bawah jagaannya. “Keadaan mungkin lebih sukar jika mereka mengalami cirit-birit tetapi itu semua saya hadapi dengan hati tenang,” katanya. Bagi penyelia rumah warga emas itu, Hakina Che Mohamad, 28, menjaga arwah neneknya beberapa tahun lalu sebagai pengalaman untuk berbakti kepada warga emas di Mesra Homecare. Hakina yang memulakan tugas sejak September tahun lalu mengambil berat semua warga emas dengan melaksanakan rutin harian seperti memastikan kebersihan tempat tidur, makan serta minum secara teratur. “Setiap hari saya perlu mengatur jadual penghantaran mereka ke hospital jika ada janji temu dan waktu makan ubat yang ditetapkan,” katanya. Hakina yang pernah bekerja di Hospital Umra Shah Alam, Selangor juga memberitahu, kebersihan paling utama kerana mereka mudah sensitif dengan keadaan persekitaran. “Kita sendiri juga perlu bersih kerana golongan ini mudah diserang penyakit dan selalu tidak sihat,” katanya. Sementara itu, pemilik empat cawangan Mesra Homecare di sekitar Kota Bharu, Mariam Marina Musa, 50, berkata, pembukaan pusat jagaan warga emas itu bertujuan membantu keluarga bermasalah yang mungkin tidak diketahui masyarakat. Beliau mengakui bertuah kerana mempunyai pekerja dan pembantu yang bertanggungjawab serta boleh dipercayai untuk menjaga warga emas di pusat jagaan berkenaan. “Saya memberi sepenuh kepercayaan kepada semua pekerja kerana tahu kebolehan mereka selain komunikasi yang baik dengan warga emas,” katanya.
  • Rakam gambar Aidilfitri di rumah usang nenek
    14 April 2024
    KOTA BHARU - Seorang pekerja swasta di Besut, Terengganu tidak melepaskan peluang mengambil gambar di rumah usang neneknya di Kampung Jambu Merah, Melor di sini setiap kali sambutan Aidilfitri. Mohd Naizul Mat Zain, 38, melakukan perkara itu sejak tiga tahun lalu kerana mula menganggap rumah berusia lebih 70 tahun itu sangat istimewa selain banyak nostalgia indah yang terakam sepanjang hidupnya. Mohd Naizul turut berkongsi gambar berkenaan di satu 'page' di Facebook dan turut mendapat respons ahlinya bahawa rumah lama menyimpan banyak kenangan. Menurutnya, rumah itu kini sudah tidak berpenghuni kerana neneknya, Minah Saleh, 90-an, berpindah dan tinggal bersama salah seorang bapa saudaranya, beberapa meter dari rumah berkenaan. "Selepas nenek berpindah, saya tidak pernah melepaskan peluang bergambar di kawasan rumah itu kerana kami pernah melakar kenangan bersama di sini. "Apabila sudah tiada penghuni, semua kenangan masa kecil bersama keluarga kembali diingati," katanya kepada Sinar Harian. Kongsinya lagi, rumah kayu tiga bilik itu berada di kawasan yang luas dan pemandangannya juga sangat cantik kerana dikelilingi sawah padi manakala di hadapannya pula ialah tali air. "Saya dan sepupu sangat suka menangkap ikan dan kami pastinya bermain di sawah, menangkap belalang dan mandi air perigi di rumah nenek," katanya. Mohd Naizul memberitahu, ibunya, Karimah Jusoh, 65, dibesarkan di rumah berkenaan dan mengikut bapanya, Mat Zain Jusoh, 69, berpindah ke Besut selepas berkahwin namun tetap pulang ke kampung untuk bersama keluarga jika ada kelapangan atau sambutan hari raya. Jelasnya lagi, ketika awal 90-an mereka menaiki bas 'lompat' yang mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke rumah neneknya dan tinggal beberapa hari di sana. Bagaimanapun kata Mohd Naizul, rumah itu kini sudah uzur dan setakat ini tiada perancangan untuk membaikinya kerana masing-masing mempunyai kediaman sendiri. Bapa kepada empat anak itu memberitahu, setiap tahun menjadi satu kewajipannya bersama isteri Nurul Husna Mohd, 37, pulang beraya bersama keluarga di Melor. "Insya-ALLAH saya akan terus mengambil gambar rumah itu selagi ia masih 'berdiri' kerana itulah antara kenangan indah dalam hidup saya bersama keluarga," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • 396 tangki air statik, 39 lori tangki disedia seminggu sebelum Aidilfitri
    13 April 2024
    KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menyediakan sebanyak 396 tangki air statik bagi menampung keperluan bekalan air di beberapa daerah selepas pertambahan isi rumah berikutan kepulangan perantau di negeri ini sempena Aidilfitri. Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, selain itu syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) juga menggerakkan sebanyak 39 lori tangki air ke kawasan terlibat. Menurut beliau, kemudahan itu sudah disediakan di beberapa kawasan seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memudahkan pengguna menyediakan keperluan perayaan berkenaan. "Bagaimanapun, kita akui masalah air bertambah merudum dalam cuaca panas ditambah penggunaan maksimum isi rumah kerana ramai yang pulang untuk bersama keluarga pada hari raya," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1445 Hijrah Pas Kawasan Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu. Dr Izani memberitahu, penggunaan lori tangki juga berterusan tanpa henti dan penugasan penghantaran air dilaksanakan di semua kawasan walaupun pada hari raya. "Saya minta maaf tetapi sudah mencuba yang terbaik dan sentiasa ada penambahbaikan. Insya-ALLAH masalah ini akan reda apabila perantau sudah beransur pulang ke luar Kelantan," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang menjelaskan, bagi kawasan terjejas teruk seperti daerah Gua Musang dan Pasir Puteh, pihaknya juga berusaha dengan melakukan pembaikan termasuk menambah loji baharu untuk tambahan kepada 42 loji sedia ada. Menurut beliau lagi, kerajaan kini sedang membina beberapa buah loji air termasuk satu di Gua Musang yang dijangka boleh beroperasi pada 2028. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kekurangan air di Merbau Chondong, Machang disebabkan tapak takungan air terlalu rendah mengakibatkan kapasiti kenaikan air berkurangan ditambah faktor kemarau. "Saya nasihatkan pengguna supaya berjimat cermat menggunakan air untuk aktiviti harian terutama pada musim panas ini," katanya. Sinar Harian sebelum ini melaporkan perantau di Gua Musang terpaksa mandi sunat Hari Raya Aidilfitri di sungai berikutan masalah ketiadaan air di kediaman mereka. Selain itu, 300 keluarga di Mukim Telipot Pasir Puteh terpaksa menyambut hari raya secara ala kadar berikutan gangguan bekalan air sejak Selasa. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Sambutan Aidilfitri suram, 300 keluarga berdepan masalah air
    13 April 2024
    PASIR PUTEH - Kira-kira 300 keluarga di Mukim Telipot di sini terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan 'suram' dan ala kadar berikutan gangguan bekalan air sejak Selasa lepas iaitu sehari sebelum lebaran. Penghulu Muhd Zali Mat Daud, 57, berkata, rata-rata penduduk tidak dapat menyediakan juadah raya seperti sebelum ini kerana bekalan air yang disimpan hanya mencukupi untuk mandi dan keperluan penting sahaja. Beliau berkata, anak-anak yang pulang dari perantauan untuk berhari raya bersama keluarga turut menanggung keperitan ketiadaan bekalan air. "Masalah bekalan air di kampung ini memang sering berlaku, namun sehari sebelum hari raya hingga sekarang kami masih berdepan dengan masalah gangguan air. "Oleh itu, semua persiapan raya banyak tergendala terutama untuk memasak juadah raya, malah tetamu yang hadir dihidangkan kudapan serta biskut raya yang dibeli sahaja dan rumah terbuka juga tidak dapat diadakan," katanya di sini hari ini. Muhd Zali berkata, Mukim Telipot merupakan kawasan yang agak tinggi menyebabkan kos untuk membina telaga tiub mencecah RM8,000 dengan anggaran kedalaman 25 meter. Penduduk Kampung Chengal Pulas, Saufi Ariffin, 60, pula berkata, beliau menyediakan kira-kira 20 tong hitam dan baldi bagi menyimpan bekalan air untuk kegunaan keluarga sepanjang Ramadan dan Syawal. Beliau berkata, semasa bulan puasa bekalan air diperoleh antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi sahaja. "Masalah air ini sangat membebankan kami, bukan hanya terpaksa sediakan bekas simpanan tetapi terpaksa berjaga malam mendapatkan bekalan air untuk kegunaan keluarga," katanya. Sementara itu, Shahrul Hisyam Mahadi, 33, dari Kampung Wakaf Tukup berkata akibat bekalan air daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) selalu mengalami gangguan, kebanyakan penduduk terpaksa mandi dan membasuh pakaian di Sungai Tengah terutama mereka yang tidak mempunyai telaga di rumah. "Walaupun sungai semakin cetek kerana cuaca panas dan bimbang tahap kebersihannya tetapi itu sahaja alternatif yang kami ada setakat ini dan kami harap masalah bekalan air ini dapat ditangani dengan segera," katanya. Sebelum ini, AKSB dalam kenyataan memaklumkan beberapa pelan tindakan kesiapsiagaan bagi menjamin kelangsungan bekalan air di negeri itu agar tidak terjejas pada musim perayaan Aidilfitri. - Bernama Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Ubah suai pembakar lemang
    12 April 2024
    KOTA BHARU - Permintaan lemang yang diterima setiap hari sepanjang Ramadan sehingga kini menyukarkan pembuat lemang di Kampung Bunut Payong di sini untuk menolak tempahan pelanggan. Ahmad Hishamudin Md Ghani, 32, juga masih membakar lemang pada hari raya pertama sehingga hari ini (hari raya ketiga) sebelum menghantarnya sendiri kepada pelanggan. Mujurnya, Ahmad Hishamudin mempunyai dua pembakar lemang yang diinovasi sendiri dengan menggunakan tong besar dan gas sehingga boleh membakar lebih 1,000 lemang yang ditempah dalam tempoh itu. "Saya tidak kisah masih membakar lemang walaupun pada hari raya pertama dan sehingga kini masih memenuhi permintaan pelanggan. "Lemang kini menjadi antara juadah kegemaran dan bukan sahaja dihidangkan pada hari raya pertama malah setiap hari sepanjang Syawal terutama ketika rumah terbuka," katanya ketika ditemui di rumahnya. Ahmad Hishamudin yang mula membuat lemang kira-kira tiga tahun lalu memberitahu, idea inovasi pembakar lemang itu dilakukan selepas memikirkan ruang yang diperlukan serta kesukaran secara tradisional. "Saya menggunakan dua buah tong besar setinggi kira-kira 65 sentimeter (cm) dan membuat penutup bagi membolehkan lemang masak dengan sempurna serta rasa sama dengan lemang yang dibakar," katanya. Menurutnya lagi, tong berkenaan dilengkapi dengan besi yang dibuat sebanyak 32 lubang untuk meletakkan buluh lemang sekali gus memudahkan proses membakar. Jelasnya, inovasi itu lebih mudah kerana tidak perlu menjaga jarak antara api dan lemang selain kurang tahap kepanasan haba tetapi tempoh masak hampir sama dengan kaedah tradisional iaitu kira-kira dua jam. "Cara tradisional memerlukan kita menjaga nyalaan api dan mungkin ada yang mudah hangus jika saiz buluh lemang tidak sekata," katanya. Bapa kepada dua anak itu mula mencari buluh di kawasan pinggir hutan di Kampung Tualang Banggu di sini beberapa hari sebelum sambutan hari raya. Ahmad Hishamudin yang mempunyai tujuh pembantu turut menerima tempahan untuk rumah terbuka Aidilfitri. "Alhamdulillah permintaan semakin meningkat dan percubaan saya sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil kerana ramai pelanggan menyukai rasa lemang yang dibakar cara moden," katanya. Menurutnya lagi, sebatang lemang dijual pada harga RM12 untuk tahun ini berikutan ada beberapa bahan yang digunakan sudah dinaikkan harga.
  • Nikmati kehijauan di Teratak Rimba
    12 April 2024
    KUALA KRAI - Perasaan cinta yang begitu mendalam kepada alam semula jadi memberi inspirasi kepada seorang usahawan mengusahakan pusat peranginan dikenali sebagai Teratak Rimba Resort Abam Peah. Terletak di kawasan Sungai Pas di sini, Azli Mohd Noor atau mesra disapa Abam Peah tidak menolak dan terus membuat bayaran sejurus ditawarkan tanah berkeluasan 2.4 hektar itu. Melihat kepada potensi dan kecantikan alam yang ada di kawasan itu serta kedudukan berhampiran anak sungai membuatkan Abam Peah sanggup mengeluarkan duit poket sendiri demi memajukan lokasi tersebut. “Perasaan cinta dan sayang saya kepada alam sekitar tidak boleh dipisahkan. Alam sekitar adalah 'jiwa', sebab itulah saya nekad bangunkan kawasan ini. “Alhamdulillah walaupun pembinaannya baru siap 20 peratus, namun kawasan ini telah berjaya menarik orang ramai untuk berkunjung dan berkelah di sini. “Semuanya gara-gara keindahan lokasi ini yang tular dalam kalangan penduduk setempat membuatkan saya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini. Beliau berkata, disebabkan semuanya dibina sendiri, resort berkenaan baharu sahaja dilengkapi 10 pondok khas untuk bermalam dengan harga serendah RM100 hingga RM300. Abam Peah memberitahu, terdapat beberapa kemudahan lain seperti tempat berkelah, mandi-manda serta barbeku dan aktiviti mandi bersama santuari kelah. Katanya, kedudukan kawasan tersebut yang hanya terletak satu kilometer dari jalan besar menyebabkan ia mudah dikunjungi. Beliau menambah, selain dapat menikmati kesejukan air yang mengalir dari Sungai Pahi, pengunjung dapat menikmati kehijauan kawasan sekitar seperti Lata Berangin, Y dan Papan. Pada Ramadan lalu, menurut beliau, Teratak Rimba Resort Abam Peah telah dibuka kepada pengunjung untuk merasai suasana berbuka puasa di dalam air. “Kami hanya menyediakan kemudahan tempat duduk dengan kadar sewa sebanyak RM30. ”Hanya pengunjung perlu membawa makanan sendiri kerana di sini belum lagi menyediakan kafe mahu pun kedai makan,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Limpahan cahaya memukau di Gua Neon
    12 April 2024
    GUA MUSANG - Bermula dengan lokasi yang hanya dikenali oleh kaki hiking, Gua Chiku 2 yang terletak tengah-tengah laluan menuju bandar Gua Musang kini menjadi tarikan ramai untuk merasai sendiri keunikan berada di gua yang dilimpahi cahaya lampu warna-warni. Ratusan lampu neon yang memancar dan menerangi struktur batuan kapurnya menjadikan gua itu juga sebagai Gua Neon yang pertama di negeri Kelantan. Mereka yang mengunjunginya sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar kenangan sambil menikmati ketenangan alam semula jadi. Pengerusi Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Chiku 2, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, gua itu terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan Felda Chiku 2 dan kira-kira satu kilometer dari Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Menurutnya, pengunjung yang ingin merasai pengalaman beriadah di dalam gua akan mengambil masa selama satu hingga satu jam setengah perjalanan untuk sampai ke puncaknya yang berketinggian 300 kaki. “Trek gua ini tidaklah terlalu sukar dan sesuai menjadi tempat beriadah keluarga yang mempunyai anak-anak kecil. “Menerokai keindahan gua berusia ratusan tahun itu sangat mengujakan kerana terdapat tujuh tingkat atau aras yang menyimpan pelbagai keunikan dan khazanah alam semula jadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini. Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, memasuki pintu gua sahaja akan terus terpukau dengan struktur bentuk batu yang cantik, unik dan mempesonakan. “Di aras pertama Gua Chiku 2 ini terdapat pelbagai binatang dan batu-batuan pelbagai bentuk selain anak sungai. “Antaranya ialah batu yang menyerupai gajah, ikan, katak, ular, cicak, burung helang, buaya, orang tidur, mahkota, kasut, saji selain adanya air terjun tujuh tingkat,” katanya. Tambahnya, KAF sebelum ini melaksanakan inisiatif melalui peruntukan RM100,000 menaik taraf termasuk membersihkan, membina titian dan menghiasi gua itu dengan lampu neon sekali gus dapat menarik ramai penunjung terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan. “Kerja-kerja menaik taraf gua dilakukan hasil usahasama antara Kaf dan penduduk Felda 2 bermula pada tahun 2020 bertujuan menaikkan lagi pelancongan setempat. “Gua ini turut mendapat pengiktirafan sebagai Gua Neon pertama di Kelantan oleh Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri dan menjadi destinasi pelancongan terbaharu di negeri ini,” katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Daging rusa goreng menu istimewa rumah terbuka MB Kelantan
    11 April 2024
    PASIR MAS - Daging rusa goreng antara menu istimewa yang dihidangkan kepada tetamu sempena Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidifitri 1445/2024 Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada Khamis. Beliau memberitahu, sebanyak lima ekor rusa peliharaannya disembelih untuk orang ramai yang menghadiri majllis rumah terbuka yang diadakan bermula jam 11 pagi itu. "Selain daging rusa, menu yang dihidangkan untuk semua tetamu ialah gulai lembu dan biri-biri," katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan. Menurut Mohd Nassuruddin, beliau memilih beberapa ekor rusa yang kurang jinak kerana sebahagiannya boleh dilepaskan pada waktu pagi dan akan pulang sendiri ke kandang pada waktu petang. Jelasnya lagi, kesemua menu itu disediakan oleh penduduk kampung secara bergotong-royong seperti tradisi sebelum ini. Rumah terbuka itu diadakan di Maahad Tahfiz Daril Ulum, Pasir Mas yang hanya bersebelahan di kediamannya di sini. "Kita jemput semua rakyat Kelantan untuk bersama-sama menikmati juadah hari raya di samping bertemu mata, bertanya khabar dan bermaaf-maafan," katanya. Antara menu hari raya lain yang disediakan untuk tetamu ialah sate, ketupat, kambing golek dan pelbagai kuih-muih. Mohd Nassuruddin yang berhari raya buat kali pertama sebagai Menteri Besar Kelantan selepas mengangkat sumpah jawatan itu 15 Ogos tahun lalu.
  • PM jamin Kelantan sentiasa dalam perhatian Persekutuan - MB
    11 April 2024
    PASIR MAS - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi jaminan bahawa Kelantan dalam perhatian kerajaan Persekutuan. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, Perdana Menteri bukan sahaja menjaga keperluan wang ihsan untuk negeri ini malah perkara lain yang diperlukan. Menurut beliau, wang ihsan sebenarnya bertujuan meringankan sebahagian tanggungan kerajaan negeri untuk pembayaran gaji penjawat awam iaitu sebanyak RM33 juta sebulan secara keseluruhannya. "Justeru wang itu dapat membantu mengurangkan beban kerajaan negeri," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidifitri 1445/2024 di sini pada Khamis. Tambah beliau, wang ihsan biasanya diberi sebanyak dua kali setahun iaitu pada April dan akhir tahun. Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kelantan merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang menyalurkan wang berkenaan berjumlah RM58.6 juta minggu lalu. Mohd Nassuruddin turut memberitahu, hubungan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan juga erat sejak dahulu dan mengakui semua perkara boleh dibincangkan bersama. Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan negeri akan meminta rakyat meneruskan solat sunat istisqa jika kemarau berpanjangan. "Apabila kemarau berpanjangan Rasulullah mengajar supaya kita menganjurkan solat istisqa bertujuan memohon kepada ALLAH SWT supaya diturunkan hujan. "Alhamdulillah, beberapa hari lalu, doa kita semua dimakbulkan apabila seluruh negeri memohon kepada ALLAH SWT dan kita harap hujan akan turun dalam keadaan berkala dan tanaman boleh hidup subur, padi juga kembali segar," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Raya tanpa air: Penggali telaga tiub terima 50 panggilan sehari
    11 April 2024
    KUALA KRAI - Masalah air yang sering membelenggu rakyat di negeri ini terutamanya pada musim perayaan menyebabkan ramai terpaksa mencari alternatif dengan menggali telaga tiub untuk mendapatkan sumber bekalan. Kaedah tersebut dilihat mampu menghilangkan kegusaran disaat nenyambut kepulangan insan tersayang pada hari lebaran. Permintaan luar biasa rakyat Kelantan untuk mendapatkan bekalan air sempena Aidilfitri kali ini ditambah lagi dengan keadaan cuaca kemarau bagaikan durian runtuh buat seorang penggali telaga tiub, Mohd Jamil Yaacob, 35, apabila dia dan sembilan pekerjanya tidak menang tangan memenuhi kehendak pelanggan. "Setiap hari sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri saya menerima lebih 50 panggilan untuk kerja-kerja menggali telaga tiub. "Namun disebabkan kekurangan tenaga kerja dan kekangan masa serta peralatan saya terpaksa menolak pekerjaan tersebut," katanya ketika ditemui di Kampung Bechah Salak, Guchil di sini. Beliau yang popular dengan gelaran Raja Air Boring memberitahu, permintaan 'luar biasa' itu disebabkan oleh orang ramai tidak sanggup menyambut lebaran tanpa air bersih. Ujarnya, bekalan air bersih yang disediakan oleh kerajaan negeri tidak mampu menampung permintaan pengguna sepanjang tempoh tersebut. "Mengikut kata pelanggan mereka tidak sanggup untuk beraya tanpa bekalan air. "Syawal tanpa bekalan air sempurna amat perit untuk dilalui, lebih-lebih lagi apabila semua ahli keluarga berkumpul. "Hari raya kali ini kami hanya sempat bercuti beberapa hari sahaja, selebihnya bekerja untuk menyiapkan telaga tiub secepat mungkin mengikut kehendak pelanggan," katanya. Menurut Mohd Jamil, ada dalam kalangan pelanggan sanggup membayar lebih jika kerja-kerja menggali telaga tiub itu dapat disempurnakan sebelum Syawal. Beliau berkata, bagaimanapun setiap hari dia hanya mampu melakukan 10 kerja-kerja menggali telaga tiub sahaja. Ujarnya, kebiasaan kerja-kerja tersebut mengambil masa antara satu hingga tiga hari bergantung kepada lokasi telaga tersebut. Anak kelahiran Kampung Kubang Golok, Bachok itu memberitahu, beliau menawarkan perkhidmatan menggali telaga tiub bermula pada harga serendah RM1,000 dan ke atas bergantung kepada keadaan bentuk muka bumi. "Paling mahal caj menggali telaga ini boleh mencecah sehingga RM200,000 bergantung kepada lokasi dan kedalamannya terutama apabila melibatkan kawasan berbatu," katanya. "Saya boleh katakan 40 peratus rakyat di negeri ini menggunakan telaga tiub untuk mendapatkan sumber air akibat masalah bekalan," katanya. Bapa kepada lima orang anak itu memberitahu, tugas menggali telaga tiub tidak hanya tertumpu di seluruh Kelantan sahaja malah seluruh Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Aidilfitri: 'Demi tugas kepada negara, semua itu terpaksa dilupakan'
    11 April 2024
    PASIR PUTEH - Mendengar takbir raya bergema di tengah lautan biru semasa Hari Raya Aidilfitri membuatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Muhammad Shahrul Rizal Zamri, 36, teringat-ingat dan merindui air tangan ibunya untuk dijamah pada 1 Syawal. Mana tidaknya, ini merupakan tahun kelima anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu tidak pulang berhari raya bersama keluarga tercinta. "Biasanya pada 1 Syawal ibu akan masak burasak dan coto makassar. Ini merupakan makanan kegemaran saya. "Tetapi apakan daya demi tugas kepada negara, semua itu terpaksa dilupakan," katanya yang merupakan anak sulung daripada lima beradik. Lebih memilukan hati apabila Aidilfitri tahun ini beliau tidak dapat berada di sisi isteri yang dijangka bersalin anak kedua pada awal Syawal. Muhammad Shahrul Rizal memberitahu, dia hanya mampu menitipkan doa buat isteri tercinta yang berada di Pasir Mas kerana sepanjang musim perayaan ini beliau terpaksa berlayar demi menjaga keselamatan negara. Bagi Ketua Jurutera Maritim Malaysia Kelantan, Mohamad Norazlee Ekhwan, 48, beraya di atas kapal merupakan rutin baginya dan ahli keluarga terutama isteri serta empat anaknya di Johor sudah memahami. "Bila dikenangkan memang sedih tetapi apakan daya ini tuntutan kerja. "Untuk mengubat kerinduan dari jauh saya dan anggota yang lain akan memakai baju Melayu setiap kali 1 Syawal. "Kami di atas kapal juga akan menikmati juadah raya seperti nasi impit kuah kacang, lemang dan sebagainya. Semua ini dimasak bersama-sama bagi menghilangkan rasa sedih dan menceriakan sambutan hari raya di perantauan," katanya. Sementara itu anggota navigasi, Haziq Aiman Abdul Aziz, 26, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan pula walaupun masih bujang tetapi hati tetap meronta-ronta untuk menyambut raya bersama keluarga. Namun katanya, rakan-rakan setugas sepanjang pelayaran banyak membantunya menghilangkan rasa sedih setiap kali perlu bertugas di Aidilfitri. Ujar beliau, beraya dengan keluarga dan rakan-rakan sangat berbeza tetapi bagi mengubati hati pelbagai cara yang dilakukan antaranya mereka pernah terjun ke dalam laut dengan berpakaian lengkap baju Melayu. "Setakat ini hati masih kental. Selain kerinduan terhadap keluarga, kami yang bertugas di lautan perlu berdepan dengan cabaran mabuk laut serta cepat dahaga kerana berpuasa di sini tidak sama seperti di daratan," katanya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • 17 cedera main mercun sejak 19 Mac sehingga semalam - JKNK
    10 April 2024
    KOTA BHARU - Sebanyak 17 kes kecederaan akibat bermain mercun dan bunga api dicatatkan di Kelantan sejak 19 Mac sehingga semalam. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dua daripada mangsa yang cedera itu ialah perempuan. Menurutnya, sebanyak 12 kes dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, tiga kes lagi menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai manakala dua kes dirawat di Hospital Pasir Mas. "Kesemua mangsa berusia antara empat hingga 40 tahun namun kebanyakan mangsa berusia tujuh hingga 16 tahun dan paling ramai berusia antara sembilan hingga 12 tahun. "Empat daripada mangsa yang cedera dimasukkan ke wad manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata antara kecederaan yang dialami mangsa di bahagian tangan, muka dan mata. - Bernama Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Hampir 6,000 pengguna di Kuala Krai alami gangguan bekalan air
    10 April 2024
    KUALA KRAI - Persiapan Aidilfitri hampir 6,000 pengguna melibatkan kira-kira 11 buah kampung di sekitar Kuala Krai terjejas ekoran gangguan bekalan air berikutan paip pecah di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai hari ini. Pengguna Hisyabuddin Rosli, 38, dari Kampung Batu Balai berkata, segala persiapan sedikit terganggu dan terpaksa menggunakan bekalan air yang disimpan sebelum ini untuk membersih serta mencuci barangan basah seperti ayam, ikan dan daging. "Air tiba-tiba tak ada sejak tengah hari tadi jadi saya tak sempat untuk tadah air, mujur ada bekalan air yang disimpan sebelum ini bolehlah digunakan," katanya ketika ditemui hari ini. Asriyah Rejab, 35, pula berharap masalah itu dapat diatasi segera supaya penduduk terjejas dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan selesa. Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan memaklumkan satu kes kecemasan paip pecah berlaku di hadapan MRSM Kuala Krai dan kerja pembaikan sedang giat dilakukan. "Bekalan air akan pulih secara berperingkat dan dijangka selesai pada esok (10 April) pukul 2 pagi. Tempoh pemulihan bekalan ialah 24 jam bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," menurut kenyataan itu. Antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Telekong, Bukit Sireh, Staponal, Batu Jong, Taman Damai, Bukit Acheh, Batu Balai, Belukar Tebu, Perisa Wira Sg Durian, Chenulang, Kampung 10 dan kawasan sekitar. - Bernama Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • 10 kanak-kanak dapat basikal, subuh berjemaah sepanjang Ramadan
    09 April 2024
    PASIR MAS - Masjid As Solihin Mukim Bechah Semak di sini menghadiahkan basikal kepada 10 orang kanak-kanak yang berjaya menunaikan solat subuh berjemaah sepanjang Ramadan ini. Pengerusinya, Mohd Zahrin Saleh berkata, selain itu kesemua mereka turut menerima anugerah tokoh subuh. "Mereka terdiri daripada tiga perempuan dan tujuh lelaki yang berumur tujuh hingga 12 tahun. "Tokoh subuh ini dipilih berdasarkan komitmen dan konsisten kanak-kanak ini hadir bersolat subuh berjemaah bermula awal sehingga akhir Ramadan," katanya kepada Sinar Harian. Menurut beliau, manakala 17 kanak-kanak lain menerima hadiah saguhati. Ujarnya, harapan mereka ialah semoga anak-anak kecil ini terus istiqamah memenuhi saf solat berjemaah di masjid setiap hari walaupun di bulan-bulan lain. Mohd Zahrin melahirkan rasa bersyukur atas kesungguhan mereka yang hadir solat berjemaah subuh sepanjang Ramadan. "Kami doakan semoga mereka menjadi anak-anak yang berakhlak mulia suatu hari nanti," katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Pantau kanak-kanak beraya, elak strok haba - JKNK Kelantan
    09 April 2024
    KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) meminta golongan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak yang beraya bagi mengelakkan terkena serangan strok haba sepanjang sambutan Aidilfitri ini. Ia susulan beberapa daerah di negeri ini iaitu Gua Musang mencatatkan bacaan kepanasan tahap dua manakala tahap satu melibatkan Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang. Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, banyak aktiviti pergerakan terutama melibatkan kanak-kanak dijangka berlaku sepanjang musim perayaan. "Walaupun, setakat ini kita tidak menerima laporan kes baharu yang melibatkan strok haba namun langkah pencegahan perlu diambil. "Kita tidak mahu kes ini berulang kembali sepanjang musim perayaan," katanya kepada pemberita. Menurut beliau, golongan ibu bapa perlu bersedia dan mengambil tahu jika berlaku simptom seperti mual, demam, pening serta kelesuan dan cirit-birit berlaku kepada anak-anak. Ujarnya, JKNK sentiasa memberikan peringatan kepada orang ramai melalui kempen di media sosial, klinik kesihatan dan sebagainya. Dr Zaini memberitahu, suhu tertinggi dicatatkan di negeri ini ialah 39 darjah Celcius. Tambah beliau, selain kanak-kanak, golongan berusia serta berisiko dinasihatkan agar tidak terdedah dengan cuaca panas. Media tempatan sebelum ini melaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan terdapat satu kes kematian akibat strok haba telah berlaku. Nadma dalam satu kenyataan berkata, kematian tersebut berlaku pada 1 April lalu melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kelantan. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Kelantan terima peruntukan RM83.5 juta baik pulih jalan
    09 April 2024
    PASIR PUTEH - Kelantan menerima peruntukan berjumlah RM83.5 juta daripada Persekutuan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan Persekutuan yang rosak di negeri ini. Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata, peruntukan bagi suku tahun pertama tahun ini setakat 2 April lalu itu disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR). “Kita menerima peruntukan keseluruhan RM83.5 juta dan daripada itu sebanyak RM44 juta dikhaskan untuk kerja-kerja penyelenggaran turapan. “JKR mengenal pasti sebanyak 38 lokasi terlibat termasuk 16 yang sudah dilaksanakan di tapak manakala lima daripadanya sudah siap,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi baik pulih jalan di sempadan Kelantan-Terengganu laluan FT003 di Bukit Yong, di sini, pada Isnin. Turut hadir, Pengarah JKR Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail. Dr Izani berkata, lokasi baik pulih paling banyak melibatkan daerah Gua Musang dengan 11 lokasi dengan peruntukan RM10.7 juta diikuti Kota Bharu (RM11.9 juta) dan Jeli (RM8 juta) masing-masing tujuh manakala empat di Pasir Mas dan tiga di Pasir Puteh. Selebihnya, dua di Kuala Krai dan Tanah Merah sementara di Tumpat dan Machang, satu yang keseluruhannya dijangkakan siap sepenuhnya pada Jun ini. Dalam pada itu, tiga lokasi di laluan FT003 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dikenal pasti mengalami kerosakan permukaan jalan dan pihak JKR memohon peruntukan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) serta diluluskan sebanyak RM3.3 juta. “Lokasi terlibat FT003 Seksyen 660 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di persimpangan lampu isyarat Wakaf Linchong yang akan menelan peruntukan RM800,000. “FT003 Seksyen 658 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kampung Wakaf Raja berjumlah RM400,000 dan FT003 Seksyen 657 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhadapan Balai Polis Bukit Yong diperuntukan sebanyak RM2.1 juta,” katanya. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
  • Perantau teruja bertarawih di Masjid Imanul Fa'izin
    09 April 2024
    KOTA BHARU - Seni bina yang menakjubkan dan suasana seolah-olah di tanah suci Makkah membuatkan anak-anak perantau begitu teruja dapat bertarawih di Masjid Imanul Fa'izin atau Masjid Andalusia di Kampung Padang Kala dekat sini. Situasi itu dapat dilihat apabila perantau turut mengambil kesempatan untuk berbuka puasa, moreh, mengambil gambar dan video bagi tujuan kenangan peribadi. Perkara itu diakui sendiri oleh perantau, Shaari Awang, 65, dari Ipoh, Perak yang menyifatkan suasana berada di masjid berkenaan sama sebagaimana dilihat menerusi video tular di laman-laman sosial TikTok selain pembacaan menerusi laporan akhbar. "Sebaik sahaja melangkah masuk ke pekarangan masjid ini, perasaan teruja saya bertukar kepada sebak disebabkan kagum dengan seni binanya yang berkonsepkan negara Timur Tengah. "Lebih meruntun perasaan saya apabila pembinaan masjid ini ditanggung sepenuhnya oleh anak tempatan. Bagi saya ia sesuatu yang wajar dijadikan contoh," katanya kepada Sinar Harian. Shaari berkata, peluang menunaikan solat Maghrib, Isyak dan bertarawih di masjid ini sudah membuatkannya gembira dan menyifatkan keterujaan balik kampung di Melor bersama isteri kali ini lebih bermakna. Bagi Azizan Hamid, 52, pula, dia sudah menyimpan impian untuk menunaikan solat di sini semasa berada di Johor. Katanya, sejurus tiba di Kelantan dia terus mengajak adiknya berkunjung ke Masjid Imanul Fa'izin dan berbuka puasa, kemudian menunaikan solat termasuklah bertarawih. "Alhamdulillah, makanan yang disediakan bukan sahaja sedap malah menyelerakan. "Selain disajikan dengan binaan masjid yang cantik, suasana di sini juga seakan-akan seperti berada di Tanah Suci membuatkan saya rasa sangat tenang," katanya. Seorang anak perantau, Wan Mohd Tasnim Wan Ismail, 25, mengakui tertarik dengan seni bina masjid berkenaan yang mempunyai banyak kubah dan berbeza dengan masjid-masjid yang ada di negeri Kelantan. "Satu lagi seni bina dari Turkiye menjadikan masjid ini lebih unik dan menarik. Jadi perasaan untuk menunaikan solat di sini cukup mengujakan," katanya yang bekerja di Melaka. Sinar Harian sebelum ini melaporkan, hasrat murni seorang lelaki membina sebuah masjid di kawasan permainannya sewaktu kecil akhirnya menjadi kenyataan selepas rumah ibadah bernilai RM7.5 juta itu telah siap dibina. Pembinaan Masjid Imanul Fa'izin atau Masjid Andalusia yang terletak di Kampung Padang Kala berjaya direalisasikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin. Reka bentuk yang berinspirasikan Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Aidilfitri: Hampir 1 juta kenderaan perantau masuk ke Kelantan
    09 April 2024
    KOTA BHARU - Hampir 1 juta kenderaan anak-anak perantau masuk ke Kelantan menerusi tiga pintu masuk utama sejak Jumaat lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Nazili Kadir berkata, situasi itu dapat dilihat menerusi tiga laluan masuk utama ke negeri ini iaitu dari Gua Musang, Terengganu ke Pasir Puteh dan Perak ke Jeli. "Jika dilihat keadaan trafik, laluan masuk dari Gua Musang paling sesak sejak Jumaat lalu sebagaimana trend biasa setiap tahun. “Berdasarkan keadaan trafik semasa, kita jangkakan hampir 1 juta kenderaan sudah masuk Kelantan sejak Jumaat lalu,” katanya ketika meninjau laluan trafik di Jalan Kuala Krai pada Isnin. Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ sudah mengesan terdapat 15 lokasi panas di Kelantan yang sering terdedah dengan kemalangan melibatkan laluan di kawasan Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah. Menurutnya, seramai 150 anggota JPJ ditempatkan di beberapa lokasi untuk memantau aliran trafik. "Saya juga mengingatkan semua pemandu serta perantau yang pulang supaya tidak terlalu ghairah merakam laluan ketika sedang melakukan pemanduan,” katanya. Tambahnya, kenderaan berat diingatkan supaya tidak berada di jalan raya bermula hari ini sehingga esok dan pada 12 hingga 13 April. “Kita akan memantau sekiranya terdapat pergerakan kenderaan berat pada tarikh berkenaan dan sekiranya ada yang masih berdegil, tindakan akan diambil," ujarnya. Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
  • Aidilfitri: Waspada cuaca panas elak strok haba
    08 April 2024
    PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan meminta rakyat termasuk perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya waspada cuaca panas bagi mengelakkan kejadian strok haba berulang. Timbalan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Abd Rahman Yunus berkata, rakyat seterusnya disaran untuk meminum lebih banyak air selain memakai pakaian yang selesa dan sesuai ketika kunjung-mengunjung pada hari raya. “Jangan sesekali alpa terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, pastikan mereka tidak bermain atau terdedah secara terus atau pun berada dalam tempoh terlalu lama di bawah cuaca panas. “Perlu meminum banyak air pada waktu siang hari semasa Aidilfitri bagi elak terkena strok haba sekali gus boleh membawa kematian,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di hadapan Balai Polis Bukit Yong, di sini, pada Isnin. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria. Menurut Abd Rahman, setakat ini, Kelantan kekal satu rekod kematian akibat strok haba yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada 1 April lalu. “Kami tidak mahu perkara sama berulang dan meminta rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang pertambahan kes. “Semoga cuaca panas ini tidak berterusan dan kami berharap akan hujan seperti di beberapa kawasan di daerah ini pagi tadi namun jumlahnya belum mencukupi untuk meredakan kepanasan,” katanya. Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga hari sebelum kematiannya, Muhamad Abil Qaiz Faizal Fazrin mengalami muntah-muntah ketika bermain di dalam kereta datuknya di Kampung Teluk, Bachok, jam 12 tengah hari sebelum tidak sedarkan diri. Anak kembar itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, dan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan. Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28