Sinar Harian: EDISI - Kelantan
21 November 2024
RSS Feed : EDISI - Kelantan-
Kelantan bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM1.45 bilion
21 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.45 bilion dengan anggaran defisit sebanyak RM93.02 juta. Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, jumlah defisit tersebut berkurang sebanyak RM85.47 juta iaitu 47.88 peratus berbanding Belanjawan 2024 sebanyak RM178.49 juta. “Pengurangan defisit menunjukkan usaha kerajaan Kelantan ke arah mencapai keseimbangan belanjawan dari tahun ke tahun bagi menjamin pengukuhan aliran tunai dan rizab tunai kerajaan tanpa sedikit pun mengurangkan peruntukan program serta projek melibatkan kepentingan rakyat. “Belanjawan 2025 pula disusun secara bertumpu bagi memenuhi pelaksanaan dan penyempurnaan sebahagian daripada Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam 2023-2033 serta Halatuju Portfolio Kerajaan Negeri 2024-2028 yang mencakupi lima elemen Maqasid Syariah,” katanya. Beliau membentangkan belanjawan bertemakan Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis. Mohd Nassuruddin berkata, anggaran hasil negeri pada tahun depan dijangka sebanyak RM997.26 juta yang meliputi hasil cukai berjumlah RM230.51 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM354.93 juta dan terimaan bukan hasil bernilai RM411.82 juta. Katanya, jumlah tersebut menunjukkan kenaikan dalam hasil sebanyak RM30.01 juta iaitu 3.10 peratus berbanding anggaran hasil tahun ini sebanyak RM967.25 juta. “Hasil tanah adalah penyumbang terbesar dengan jumlah RM379.05 juta daripada keseluruhan jumlah hasil dan meningkat sebanyak RM2.04 juta iaitu sebanyak 0.54 peratus berbanding anggaran pada tahun ini sebanyak RM377 juta. "Anggaran kutipan hasil pada tahun depan diunjurkan meningkat sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan anggaran kutipan hasil tanah yang ditetapkan sebanyak 100 peratus jumlah patut pungut, menguatkuasakan kutipan bayaran terhadap tunggakan cukai tanah berjumlah melebihi RM50,000, menetapkan Petunjuk Prestasi Utama kutipan bayaran notis dan denda lewat bayar cukai tanah sebanyak 30 peratus daripada jumlah patut pungut,” katanya. Beliau memberitahu, kerajaan Kelantan juga amat memerlukan pendaya upaya bagi menarik pelaburan berpotensi ke negeri ini melibatkan infrastruktur asas seperti lebuh raya, sistem bekalan air bersih yang stabil dan mencukupi untuk keperluan industri, bekalan elektrik yang baik dan kawasan industri baharu yang dilengkapi dengan infrastruktur kemudahan asas yang lengkap. “Kerajaan negeri yakin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan yang terbina selama ini berteraskan semangat federalisma adalah isyarat yang sangat positif kepada negeri dan rakyat Kelantan,” ujar beliau.
-
Segera cari kaedah selesai isu 500 pelajar Thailand guna pangkalan haram
21 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mahu Persekutuan segera mencari mekanisme bagi menyelesaikan isu hampir 500 pelajar sekolah dari negara Thailand yang menaiki bot di pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia bagi menggelakkan pelajar berkenaan turut terkena tempias dalam usaha membanteras penyeludupan. Menurut beliau, perbincangan itu perlu melibatkan kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri Kelantan. “Sekarang ini, kami tidak mahu menganiaya pelajar-pelajar tetapi pada masa sama nak membanteras penyeludupan di kedua-dua negara. “Isu ini antaranya melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan, jadi perlu berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang tidak membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis. Beliau mengulas, menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk menjaga sempadan negara, Kelantan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberi kebaikan kepada negeri serta negara. Mohamed Fadzli memberitahu, rakyat di negeri ini juga perlu bersedia berubah daripada perkara yang sekian lama diamalkan iaitu menyeberang secara haram menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok kepada menggunakan dokumen di laluan sah. Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik setiap keputusan yang diputuskan kerajaan Pusat berhubung isu keselamatan sempadan termasuk arahan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember ini. “Sebelum ini mungkin terlalu terbuka menyebabkan rakyat rasa tidak ada keperluan untuk buat demikian. “Sekarang perlu bermula manakala semua agensi juga kena bersedia sama ada berlaku kesesakan di pintu masuk sempadan,” katanya. Sebelum ini, dilaporkan hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia. Seawal jam 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 bagi pelajar sekolah. Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
-
Tiga sungai utama Kelantan pada paras berjaga-jaga - JPS
21 November 2024KOTA BHARU - Tiga sungai utama di Kelantan dicatatkan berada melebihi paras berjaga-jaga setakat 1 tengah hari Khamis. Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai berkenaan adalah Sungai Kelantan di Kampung Sokor, Tanah Merah dengan ketinggian 18.43 meter berbanding paras berjaga-jaga 18.0 meter. Sungai Golok di Rantau Panjang juga melebihi paras berjaga-jaga (7.00 meter) iaitu 7.38 meter. Sementara itu Sungai Semerak di Pasir Puteh yang dicatatkan pada aras amaran pagi tadi susut kepada paras berjaga-jaga iaitu dengan ketinggian 2.02 meter. Selain itu, semua sungai lain direkodkan berada pada paras normal. - Bernama
-
Kelantan mohon RM500 juta untuk sistem pembetungan
21 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan memohon peruntukan RM500 juta daripada Persekutuan bagi menyediakan sistem pembetungan yang lebih sistematik dan efisien di negeri ini. Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin, berkata, permohonan itu akan dibuat melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2025. Menurut beliau, perancangan yang digariskan dalam Rancangan Struktur Negeri 2040 adalah membina sistem pembetungan berpusat di Bandar Baru Tunjong dengan kapasiti 140,000 kesetaraan penduduk (PE). “Sebelum ini, untuk merealisasikan perancangan itu, Kerajaan Negeri Kelantan memohon peruntukan sebanyak RM500 juta dari Kerajaan Pusat melalui RMK11. “Peruntukan ini diluluskan melalui Pelan Pusingan Kedua (RP2), RMK-11 sebagai pinjaman dan ditukar kepada geran pada tahun 2017, namun, kelulusan projek ditarik balik pada tahun 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-4,” katanya pada Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Norsham Sulaiman (Pas-Semerak) berhubung status terkini projek pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat oleh Indah Water Konsortium (IWK) bagi merealisasikan peralihan daripada penggunaan sistem tangki septik individu. Izani berkata, menyedari kepentingan projek tersebut untuk negeri Kelantan, kerajaan itu meneruskan permohonan peruntukan melalui RP1, RP2, dan RP4 dalam RMK12. “Walau bagaimanapun, permohonan sentiasa ditolak. “Permohonan akan diteruskan lagi dalam RMK13,” katanya. Beliau menambah setakat ini, negeri Kelantan masih belum mempunyai sistem pembetungan awam yang berpusat. “Kebanyakan penduduk di negeri ini masih bergantung kepada tangki septik individu dan sistem yang tidak standard menyebabkan air kumbahan boleh mencemari alam sekitar dan sumber air bawah tanah.
-
Sidang DUN Kelantan: Bayaran premium tertunggak lebih RM23 juta
21 November 2024KOTA BHARU - Lebih RM23 juta jumlah tunggakan bayaran premium dan lain-lain tidak dijelaskan oleh tiga agensi pembangunan tanah Persekutuan di Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, agensi terlibat ialah Felcra Berhad dengan tunggakan berjumlah RM14.75 juta, Felda (RM 1.55 juta) dan Kesedar (RM 7.13 juta). “Kerajaan Negeri mengambil langkah sepatutnya seperti mengeluarkan Notis 5A dan juga mengadakan rundingan dengan agensi-agensi terlibat. “Mana-mana kelulusan yang tidak disertai dengan bayaran kepada Notis 5A maka kelulusan itu adalah luput,” kata beliau ketika menjawab soalan pada Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Wan Rohimi Wan Daud (Pas-Melor) berkait agensi pembangunan Persekutuan seperti Felda, Kesedar dan Felcra yang mengendalikan Rancangan Pembangunan Tanah Berkelompok di bawah Akta Tanah (Kawasan Petempatan Berkelompok) 1960 (Akta GSA) dalam negeri Kelantan dan keluasan tanah-tanah rancangan gagal dibayar premium oleh agensi-agensi tersebut serta rancangan kerajaan sama ada untuk mengambil semula tanah-tanah gagal mematuhi jadual pembayaran premium tersebut. Mohd Nassuruddin berkata, bagi negeri Kelantan hanya Felda sahaja yang membangunkan tanah menggunakan Akta GSA manakala Felcra dan Kesedar tidak menggunakan Akta GSA. Kata beliau, tanah-tanah dalam kawasan GSA yang perlu dibayar premium oleh agensi berkaitan adalah terbahagi kepada dua kategori iaitu kawasan penempatan kediaman peneroka (Seksyen 6) dan kawasan yang digunakan oleh agensi untuk tujuan fasiliti pentadbiran kawasan ladang (Seksyen 5). “Permohonan pemberi milikan yang masih gagal dijelaskan premium juga antaranya ialah Felda Chiku 6 dengan keluasan 859.88 hektar dan Chiku 1 berkeluasan 2309.94 hektar. “Bagi tanah-tanah yang digunakan untuk tujuan fasiliti pentadbiran agensi sekiranya premium gagal dijelaskan kelulusan pemberi milikan itu akan luput,” ujarnya.
-
Paras air Sungai Semerak catat bacaan peringkat amaran
21 November 2024KOTA BHARU - Bacaan paras Sungai Semerak di Pasir Puteh dicatatkan berada pada paras amaran setinggi 2.47 meter sehingga 8 pagi ini, berbanding paras normal 0.40 meter. Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my Sungai Golok di Pasir Mas pula berada pada paras berjaga-jaga dengan bacaan 7.19 berbanding paras normal 5.0 meter. Sementara itu, semua sungai lain di negeri ini dicatatkan berada pada paras normal. Semalam Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dilapor meramalkan kira-kira 20 buah kampung yang berada di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok di Pasir Mas dijangka mengalami banjir bermula Jumaat ini. Menurut PRABN banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan berlaku di kawasan tersebut. - Bernama
-
Mohd Azmawi Fikri angkat sumpah sebagai ADUN Nenggiri
21 November 2024KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mengangkat sumpah jawatan pada Persidangan kali ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis. Mohd Azmawi Fikri, 38, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. “Saya dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai ahli itu dengan sedaya upaya saya bahawa saya akan bersetiawan dan akan bertaat setia dengan sebenarnya kepada negeri Kelantan dan bahawa saya akan memelihara, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan negeri Kelantan. “Adalah saya bersumpah bahawa saya akan bersetiawan dan akan bertaat setia dengan sebenarnya kepada kebawah duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan dan kepada waris-waris gantinya menurut undang-undang,” kata Mohd Azmawi Fikri yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan. Beliau daripada Barisan Nasional (BN) memperoleh 9,091 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Perikatan Nasional, Mohd Rizwadi Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri 17 Ogos lalu. Mohd Azmawi Fikri menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus membolehkan BN merampas kembali kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim (Bersatu). PRK itu diadakan selepas Mohd Azizi hilang keahlian Bersatu dan terlucut dari jawatan sebagai ADUN Nenggiri selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-
Dakwa majikan mengidam, wanita Indonesia seludup avokado, jambu batu
21 November 2024KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu rumah warga Indonesia ditahan di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) selepas didapati membawa avokado dan jambu batu dari negara itu tanpa dokumen sah serta Sijil Perakuan Pematuhan (CoC). Ketua Pintu Masuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, wanita berusia 33 tahun itu mendakwa majikannya mengidam buah berkenaan. Menurut beliau, ketika kejadian Ahad minggu lepas, wanita itu baru pulang dari Indonesia dan pemeriksaan di dalam beg pakaiannya mendapati terdapat kira-kira 8 kilogram avokado dan jambu batu. "Dua jenis buah itu antara yang dirampas ketika cubaan membawa masuk melalui pintu masuk LTSIP," katanya melalui kenyataan pada Rabu. Jelas beliau, rampasan itu dilakukan ketika pemeriksaan rutin dengan kerjasama bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Tambahnya, tindakan itu bertujuan mengawal kemasukan komoditi pertanian yang berisiko termasuk kehadiran serangga perosak dan penyakit. Mohd Ariwadi menjelaskan, jika terlepas ia boleh memberi kesan kepada industri pertanian dalam negara. “Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa CoC menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta sama,” katanya.
-
Misteri kehilangan kambing betina terjawab
20 November 2024KUALA KRAI - Misteri kehilangan seekor kambing betina terjawab apabila haiwan itu ditemukan dibaham ular sawa batik sepanjang enam meter dalam kebun getah di Kampung Lata Rek, di sini pada Rabu. Kejadian itu disedari oleh anak kepada penternak, Mohd Syazwan Zafri Mohd Salleh, 17, yang terkejut melihat reptilia seberat 180 kilogram sedang asyik membaham kambing tersebut sekitar jam 10 pagi. Mohammad Salihin, 21, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi adiknya, Mohd Syazwan yang memaklumkan perkara tersebut. "Ketika itu adik ke kebun getah berhampiran untuk mencari kambing terbabit yang tidak pulang ke kandang sejak Selasa lalu. "Sampai di lokasi adik telah menjumpai seekor ular sawa sedang membelit dan makan kambing tersebut. Tanpa berlengah adik pulang ke rumah memaklumkan pada ayah kemudian kami menghubungi pihak bomba kerana ular sawa tersebut bersaiz besar," katanya ketika dihubungi. Menurut dia, ayahnya memelihara sekitar 10 ekor kambing bagi mendapatkan pendapatan sampingan selain menoreh getah. Sementara itu, Ketua Pasukan Bomba Sukarela Guchil, Hamdan Mahadi memberitahu, beliau bersama lima lagi anggota mengambil masa hampir dua jam untuk membawa reptiliar tersebut keluar dari kebun getah. "Kami turut dibantu oleh penduduk kampung kerana keadaan kebun yang berbukit serta ular sawa tersebut terlalu berat. "Ular ini akan kami serahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.
-
Banjir: Buat persiapan awal elak rugi
20 November 2024PASIR PUTEH - Pengalaman berdepan banjir besar pada 2022 menjadikan peniaga di Bandar Lama, Pasir Puteh lebih berwaspada dan membuat persiapan awal. Peniaga yang ditemui mengakui mula bimbang dengan keadaan cuaca dan membuat persiapan bagi mengatasi kerugian. Peniaga kantin sebuah agensi kerajaan di bandar ini, Che Asmayati Che Ibrahim, 54, berkata, dia kerugian hampir RM10,000 selepas kedai makannya itu ditenggelami air setinggi 0.3 meter dalam kejadian banjir dua tahun lalu. Menurut Che Asmayati, banyak perkakas elektriknya termasuk peti sejuk dan peti sejuk bekunya rosak teruk serta tidak dapat dibaiki. Che Asmayati yang dibantu suami, Azidra Talib, 53, tidak membuat persiapan khusus tetapi sudah bersedia meletakkan perkakas memasak dan peralatan perniagaan di atas rak sedia ada di kedai itu. "Sukar juga bagi kami untuk membuat persiapan awal kerana kedai makan ini menjadi tempat memasak dan menyediakan makanan kepada sukarelawan banjir," katanya ketika ditemui di kedai makannya di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu pada Rabu. Ujarnya, walaupun ramai yang meramalkan banjir lebih besar tahun ini namun peniaga itu berharap tidak berlaku bencana kerana terlalu penat menguruskan kerosakan dan baik pulih. Peniaga pakaian terpakai, Ismawani Ismail, 37, juga sudah mempunyai perancangan awal mengelak sebarang kesukaran di saat akhir. Tambahnya, banjir dua tahun lalu menjadi pengajaran kerana tidak menyangka air naik sehingga ke dalam kedai mengakibatkan pakaian yang dijual ditenggelami banjir. "Saya kerugian lebih RM2,000 selain terpaksa membasuh kedai yang dipenuhi lumpur," katanya. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan menyeluruh di kawasan pedalaman Kelantan bermula Rabu (hari ini) hingga 26 November depan. Sementara itu, peniaga air francais, Kasimahiza Mamat, 41, mengakui masih trauma dengan bencana pada 2022 kerana rumah dan tempat perniagaannya ditenggelami air. Kasimahiza yang tinggal di tepi sungai di Kampung Baru dekat sini tidak lagi mempunyai perabot di rumah kerana bimbang ditenggelami air. "Pengalaman dua tahun lalu mengajar kami sekeluarga supaya tidak membeli banyak kelengkapan rumah kerana tidak mampu mengemas dan berdepan kerugian," katanya. Katanya, bencana dua tahun lalu bukan sahaja menenggelamkan barangan rumah tetapi peralatan di kedai sehingga mencecah kerugian puluhan ribu ringgit. "Pengalaman itu cukup meletihkan kami kerana terpaksa berpindah selepas air naik hampir satu meter," katanya.
-
Individu guna pangkalan haram tetap ditahan - Ketua Polis Kelantan
20 November 2024KOTA BHARU - Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram mulai 1 Disember ini sebagaimana arahan dikeluarkan pada Isnin. Menurutnya, pihak polis tetap dengan pendirian sebagai pihak berkuasa untuk meneruskan penguatkuasaan pada tarikh berkenaan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155). "Berkenaan dengan pelajar sekolah yang menetap di Thailand tapi belajar di Kelantan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok, boleh rujuk JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan Kementerian Pendidikan. "Kenapa mereka tidak lalu sahaja jalan biasa melalui pintu ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan)," katanya ketika dihubungi pada Rabu. Menurut beliau, isu tersebut sudah sekian lama berlaku dan sepatutnya guru besar, pengetua, JPN perlu menjelaskan bagaimana pelajar terbabit boleh bersekolah di Kelantan. Ujarnya, Malaysia tidak mengiktiraf individu yang mempunyai dua kerakyatan dan ia merupakan satu kesalahan. Sinar Harian sebelum ini melaporkan ibu bapa kepada ratusan pelajar yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Kelantan mahu pihak berkuasa mewujudkan laluan khas di pangkalan haram Sungai Golok untuk kemudahan anak-anak mereka menuntut ilmu. Ia berikutan tindakan Polis Kelantan mengeluarkan arahan untuk menahan mana-mana individu yang berulang-alik ke Thailand melalui Sungai Golok mulai 1 Disember ini. Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati hampir 400 pelajar sekolah rendah, menengah dan agama menjadikan lebih enam pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berhampiran Pekan Rantau Panjang sebagai 'pintu masuk' ke sini kerana mereka tinggal di Golok, Thailand. Difahamkan, mereka mempunyai kerakyataan Malaysia hasil perkahwinan ibu atau ayah yang merupakan rakyat negara ini atau negara gajah putih.
-
Seberang Sungai Golok: Beri laluan khas untuk pelajar sekolah
20 November 2024RANTAU PANJANG - Ibu bapa kepada ratusan pelajar yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Kelantan mahu pihak berkuasa mewujudkan laluan khas di pangkalan haram Sungai Golok untuk kemudahan anak-anak mereka menuntut ilmu. Ia berikutan tindakan Polis Kelantan mengeluarkan arahan untuk menahan mana-mana individu yang berulang-alik ke Thailand melalui Sungai Golok mulai 1 Disember ini. Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati hampir 400 pelajar sekolah rendah, menengah dan agama menjadikan lebih enam pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berhampiran Pekan Rantau Panjang sebagai 'pintu masuk' ke sini kerana mereka tinggal di Golok, Thailand. Difahamkan, mereka mempunyai kerakyataan Malaysia hasil perkahwinan ibu atau ayah yang merupakan rakyat negara ini atau negara gajah putih. Sinar Harian juga difahamkan mengikut rekod Kementerian Pendidikan hanya 150 pelajar mempunyai kerakyatan Malaysia yang tinggal di Thailand bersekolah harian biasa manakala selebihnya adalah aliran agama. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Fadhli Mat Yusof berkata, ibu bapa mulai buntu memikirkan arahan terbaharu tersebut dan berharap ia dapat dilonggarkan khas untuk pelajar sekolah. "Jika hanya itu pilihan yang pihak berkuasa ada, kami mohon agar laluan khas dibuka di pangkalan haram Sungai Golok untuk pelajar sekolah yang tinggal di Thailand memasuki negara ini. "Pada masa yang sama kami juga memohon kerajaan untuk menimbangkan kembali keputusan itu (manahan) memandangkan ramai pelajar tinggal di Thailand tapi bersekolah di sini (Kelantan) . "Ia sudah menjadi tradisi zaman berzaman masyarakat di sini yang rata-ratanya berkahwin melibatkan dua negara," katanya kepada pemberita. Menurut beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, kemasukan melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang memberikan kesukaran kepada pelajar apabila terpaksa beratur panjang di kaunter. Katanya, selain itu ia dibimbangi boleh menyebabkan pelajar lewat ke sekolah kerana waktu operasi di ICQS bermula jam 7 pagi. Fadhli memberitahu, pelajar akan berdepan kesesakan di ICQS serta jarak yang lebih jauh dari sekolah jika dibandingkan melalui pangkalan haram yang tidak sampai lima minit sahaja menaiki bot berbayar RM1 dan berjalan kaki. "Apabila ada laluan khas di pangkalan haram itu nanti pihak berkuasa juga boleh meletakkan anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) untuk memantau para pelajar. "Selebihnya kami berharap arahan terbabit ditangguhkan terlebih dahulu dan buat kajian semula," katanya. Sinar Harian pada Isnin melaporkan Polis Kelantan tidak akan berkompromi dan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan haram untuk keluar masuk ke Thailand bermula 1 Disember ini. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya kini menguatkuasakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen bagi mengelakkan lebih banyak kes jenayah termasuk penyeludupan dadah atau senjata api. Menurutnya, kesemua rakyat Malaysia yang mahu ke Thailand tidak boleh lagi melalui 'lorong tikus' atau menggunakan laluan haram.
-
Anak Kelantan timbang bola hingga ke Turin, Itali
20 November 2024KOTA BHARU - Minat terhadap sukan bola sepak gaya bebas berjaya membawa pemuda dari Kampung Manal 2, Tanah Merah ke persada dunia dalam pertandingan sukan itu sejak lapan tahun lalu. Sebelum ini tiada siapa pun pernah menyangka kebolehan Zulhilmi Zuaswa, 21, menimbang bola sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa. Zulhimi baru sahaja pulang daripada menyertai kejohanan dunia bola sepak gaya bebas di Turin, Itali selama seminggu yang berakhir Sabtu lepas. "Sebelum itu saya perlu bertanding di peringkat Asia di Jakarta dan dipilih sebagai empat peserta terbaik Asia Pasifik daripada 60 peserta lain," katanya. Bercerita mengenai penglibatannya, kata Zulhilmi, segalanya bermula ketika dia berusia 13 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah agama di Tanah Merah. "Ketika itu saya hanya menonton video di platform media sosial dan mencubanya sebelum mengambil keputusan untuk fokus sepenuhnya dalam sukan ini. "Saya mula belajar menimbang bola dan memberanikan diri menimba pengalaman dengan menyertai kejohanan 'freestyle' pertama di Kuala Lumpur," katanya. Anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu, mula menyertai kejohanan dunia pada usia 15 tahun di Poland. Tidak hanya setakat itu, anak pasangan kontraktor dan pesara kerajaan ini kemudiannya tidak menoleh ke belakang selepas layak menyertai pertandingan kali kedua dan ketiga di peringkat dunia di Republic Czech. "Alhamdulillah saya sudah menyertai pertandingan peringkat dunia sebanyak empat kali termasuk termasuk di Turin, Itali," katanya. Zulhilmi juga bersyukur kerana ibu bapa dan adik-beradik sentiasa memberi sokongan terhadap minatnya walaupun pada mulanya ragu-ragu dengan pilihannya itu. "Ada juga rakan-rakan yang meluahkan kata-kata sinis dengan keputusan saya bahawa sukan ini tiada masa depan tetapi saya sudah membuktikan bahawa mereka silap," katanya. Jelasnya, bukan mudah untuk menapak sehingga berjaya kerana semuanya dilakukan sendirian tanpa sebarang penaja atau sokongan pihak luar. Menurutnya, bola sepak gaya bebas tidak memerlukan ruang khas tetapi hanya perlu fokus ketika melakukan timbangan. "Di luar negara, bola sepak gaya bebas sudah lama bertapak dan dijadikan sebagai karier selain pembinaan akademi khas untuk melatih golongan baharu," katanya. Justeru, pemuda ini berhasrat mengubah persepsi masyarakat bahawa sukan ini juga mampu berkembang jika ada perintisnya. "Insya-ALLAH saya akan berusaha untuk membina akademi dalam tempoh setahun dari sekarang dan melatih mereka yang berminat dalam sukan ini," katanya. @sinarharianonline Minat terhadap sukan bola sepak gaya bebas berjaya membawa pemuda dari Kampung Manal 2, Tanah Merah ke persada dunia dalam pertandingan sukan itu sejak lapan tahun lalu. Sebelum ini tiada siapa pun pernah menyangka kebolehan Zulhilmi Zuaswa, 21, menimbang bola sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa. Zulhimi baru sahaja pulang daripada menyertai kejohanan dunia bola sepak gaya bebas di Turin, Itali selama seminggu yang berakhir Sabtu lepas. "Sebelum itu saya perlu bertanding di peringkat Asia di Jakarta dan dipilih sebagai empat peserta terbaik Asia Pasifik daripada 60 peserta lain," katanya. #SinarHarian #SinarTerkini #VideoViral #Bola #AnakKelantan original sound - Sinar Harian
-
Ramai nelayan berhijrah, pendaratan ikan di Kelantan merosot - LKIM
20 November 2024PASIR PUTEH - Penghijrahan nelayan Kelantan ke negeri lain antara faktor berlaku kemerosotan pendaratan ikan sehingga mencecah 10,000 tan metrik setiap tahun. Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, ramai pemilik vesel C2 berhijrah setiap tahun ke beberapa negeri termasuk Terengganu, Johor dan Pahang menjadikan Kelantan berada di tangga ke-11 pengeluaran ikan negara. Beliau memberitahu, lokasi pendaratan yang cetek juga antara sebab nelayan tidak dapat meneruskan kerja-kerja tangkapan dan pendaratan. "Kuala di pusat pendaratan ikan di Tok Bali dan Kuala Besar perlu diperdalamkan bagi membolehkan bot-bot besar kembali mendarat di negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Traktor Di Bawah Program Mekanisasi Automasi 2024 Dan Penyampaian Program Industri Asas Tani pada Selasa. Muhammad Faiz memberitahu, sektor perikanan menjanjikan peluang perniagaan yang luas namun usaha perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai nelayan menyertai bot laut dalam. "Kita banyak kehilangan vesel jenis itu di Tok Bali yang memberi kesan kepada ekonomi negeri sedangkan industri perikanan sebenarnya menjanjikan pulangan yang tinggi," katanya. Justeru beliau berpendapat penyediaan prasarana lengkap dan berkesan kepada nelayan dapat mengelakkan mereka berpindah tempat. Muhammad Faiz sebelum itu menyerahkan traktor kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak, Zahari Mamatmewakili nelayan Pantai Panchakan yang bernilai RM72,080. Pada majlis sama turut diadakan penyerahan geran agroproneur muda dan penyerahan geran pemadanan 'change upgrade product' dengan nilai keseluruhan RM116,521.
-
Restoran beroperasi separuh abad dikompaun guna logo halal tidak sah
20 November 2024KOTA BHARU - Sebuah restoran di sini yang telah beroperasi sejak lebih separuh abad dikompaun kerana menggunakan logo halal tidak sah. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, tindakan itu susulan pemeriksaan pihaknya di premis berkenaan pada jam 12.30 tengah hari semalam yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Beliau berkata, premis itu yang terletak di bandar ini didapati mempamerkan logo halal tanpa sijil sah yang menyalahi Perintah 8 (a) Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. "Hasil semakan juga mendapati premis itu pernah memohon sijil halal pada 2011, namun tidak diluluskan. Selain itu, KPDN turut merampas salinan lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen pihak berkuasa tempatan serta dua unit gegantung pelekat tertera logo halal dan dua unit papan tanda kedai," katanya dalam kenyataan pada Selasa. Azman berkata, jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000. "Jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. - Bernama
-
Kudung digilis kereta api, Sulaiman gigih bekerja demi minat
19 November 2024KOTA BHARU - Kudung kedua-dua belah kaki akibat digilis kereta api 40 tahun lalu tidak menghalang seorang warga emas meneruskan kerja sebagai tukang kayu di Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka), Bachok. Sulaiman Setapa, 65, yang juga ketua tukang kayu di pusat itu menggunakan kudrat dan kebolehannya dengan memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan yang memerlukan. Mengimbas kejadian yang menimpanya, Sulaiman berkata, ketika peristiwa itu berlaku dia menaiki kereta api dari Tanah Merah untuk pulang ke kampungnya di Bertam, Gua Musang. "Saya berdiri di hadapan pintu kerana hanya beberapa saat sahaja kereta api akan berhenti di stesennya. "Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tiba-tiba terasa pening dan terjatuh berguling-guling di atas landasan sebelum kedua-dua kaki digilis kereta api yang sedang bergerak," katanya kepada pemberita. Sulaiman kemudian dimasukkan ke wad dan terpaksa menjalani pembedahan membuang bahagian bawah paras lutut yang hancur digilis. Menurutnya, usia 16 tahun dan masih muda tidak mematahkan semangatnya untuk berdikari dan meneruskan hidup. "Saya kemudian mengikut rakan-rakan bekerja di Proka Kota Bharu pada tahun 1987 sebagai tukang kayu dan Alhamdulillah kini diberi kepercayaan sebagai ketua di sini," katanya. Sulaiman mengakui tidak mudah untuk berada pada tahap yang dilalui namun bersyukur kerana usahanya berbalas dan mendapat pulangan yang baik. "Saya banyak belajar asas pertukangan di sini dan kini berkongsi ilmu bersama 42 Orang Kurang Upaya (OKU) yang lain di sini bagi menjana pendapatan mereka," katanya. Kata Sulaiman lagi, di Proka mereka membuat pelbagai jenis perabot yang ditempah pelanggan dari seluruh negara. "Kami semua mahir dalam pertukangan dan mampu membuat perabot termasuk almari, katil, rak buku, kabinet dengan menggunakan bahan berkualiti bergantung pada pilihan pelanggan," katanya.
-
MTL: Orang Asli mohon henti aktiviti sukan kenderaan lasak di laluan utama
19 November 2024GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman di daerah ini memohon supaya semua aktiviti sukan lasak melibatkan kenderaan pacuan empat roda tidak menggunakan laluan utama perkampungan mereka ketika Monsun Timur Laut (MTL) ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Balar, Hanan Anjang berkata, ketika ini laluan ke Pos Balar mengalami banyak kerosakan seperti berlubang dan berlumpur akibat hujan. Beliau berkata, aktiviti sukan kenderaan lasak atau mendaki gunung tidak sesuai diadakan ketika musim hujan kerana faktor keselamatan serta memburukkan lagi keadaan jalan perhubungan di kawasan perkampungan Orang Asli. "Penduduk di beberapa pos seperti Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim serta Pos Simpor dan Pos Gob membantah aktiviti yang merosakkan permukaan tanah dilakukan di kawasan tempat tinggal mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Balar di sini pada Isnin. Sementara itu, penduduk Ahmadi Jalil Baiyor, 42, berkata, jalan utama yang bertanah merah itu akan bertukar menjadi lumpur tebal jika dilalui banyak kenderaan dalam satu masa yang sama. "Apabila hujan tanah menjadi lembut dan mudah rosak kerana dilalui dengan tayar kenderaan lasak yang lebih besar daripada tayar kenderaan biasa. Oleh itu, hentikanlah sebarang sukan kenderaan lasak di kawasan kami,” katanya. - Bernama
-
Nelayan Vietnam ceroboh perairan negara, tak peduli musim tengkujuh
19 November 2024PASIR PUTEH - Nelayan asing warga Vietnam dikesan tegar menceroboh perairan negara di Kelantan walaupun ketika keadaan laut bergelora pada Musim Monson Timur Laut (MTL). Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, pihaknya mengesan taktik digunakan oleh nelayan-nelayan asing itu berikutan beranggapan pihak berkuasa negara ini tidak melakukan rondaan kerana ombak besar. “Mereka silap, sebab kami tetap menjalankan rutin rondaan malah dipergiatkan lagi semasa MTL kerana kami tahu mereka terus menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara. “Seperti pada musim MTL lepas sekitar Januari, kami terjumpa dua nelayan hampir lemas dan hanya bergayut pada tong ikan di tengah-tengah laut di perairan Kelantan manakala bot mereka pula karam,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali di sini pada Isnin. Menurut beliau, nelayan-nelayan itu diselamatkan oleh Maritim Kelantan dan menjadi bukti mereka memang menceroboh walaupun ketika musim tengkujuh. Erwan Shah memberitahu, selain itu, pihaknya juga menggerakkan tindakan Pencegahan Operasi Mencari dan Penyelamat juga rondaan dari Pantai Geting Tumpat ke Pantai Nusuk, Kota Bharu. “Kami ambil langkah waspada dan mendekati bot-bot nelayan tempatan yang masih menangkap ikan ketika keadaan laut bergelora serta menasihati mereka supaya mengutamakan keselamatan. “Tindakan juga melibatkan pemberitahuan kepada orang ramai yang mandi di pantai dan pengunjung-pengunjung chalet di kawasan pantai di Kelantan,” ujar beliau. Katanya, keadaan laut ketika ini berangin dengan kelajuan 30-40 kilomter sejam dan ketinggian ombak 1.5 hingga 2.5 meter menyebabkan semua pihak perlu berhati-hati. Tambah beliau, seramai 115 kekuatan anggota bertugas sempena MTL dengan aset tiga kapal berukuran 40 meter dan lima bot bersaiz 18 meter hingga 20 meter).
-
Dua lelaki dicekup cuba seludup 1,020 peket minyak masak subsidi
18 November 2024PASIR MAS - Dua lelaki dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran dicekup Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa di jalan Banggol Setol ke Mungkirim di sini pada Ahad. Dengan penangkapan dua suspek berusia 26 dan 31 tahun itu pada jam 6.30 petang, PGA berjaya menyelamatkan 1,020 peket minyak masak daripada diseleweng. Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semasa penugasan Op Taring Wawasan, sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu dalan keadaan mencurigakan telah ditahan. "Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 60 kotak minyak masak ditemukan di dalam kenderaan terbabit tanpa dokumen yang sah. "Anggaran keseluruhan rampasan ialah RM2,550 dan kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya pada Isnin. Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya. PGA tahan lelaki rampas barangan runcit, beras KOTA BHARU - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis barangan runcit serta beras dipercayai diseludup dari negara jiran dalam tiga serbuan berasing di Rantau Panjang dan Tanah Merah pada Ahad. Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semasa penugasan Op Taring Wawasan pada jam 8 pagi, PGA telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Waja tanpa pemandu yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Tepi Sungai, Tanah Merah. "Hasil pemeriksaan mendapati beberapa bungkusan beras dan beras pulut anggaran lebih 1000 kilogram (kg) dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam kenderaan terbabit tanpa dokumen sah. "Anggaran nilai rampasan bernilai RM4,500 dan kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara. Kesemua barangan rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Rantau Panjang untuk tindakan lanjut," katanya pada Isnin. Menurut beliau, pada jam 12.30 tengah hari PGA telah menahan seorang lelaki berusia 56 tahun dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Gual Pasong Hantu, Rantau Panjang. Ujarnya, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai bungkusan plastik mengandungi makanan sejuk beku bernilai RM30,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah. Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya. "Rampasan ketiga pada jam 3.30 petang apabila anggota ternampak beberapa kotak dalam keadaan mencurigakan di tepi Sungai Golok di pangkalan haram Pasir, Rantau Panjang. "Hasil pemeriksaan telah menemukan pelbagai bungkusan barangan runcit bernilai RM2,740 yang dipercayai diseludup dari Thailand," katanya. Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
-
Acuan stoking, kain terpakai hasil cendawan comel
18 November 2024TUMPAT - Minat menghias kediaman dan taman memberi idea kepada seorang suri rumah untuk membuat cendawan comel daripada simen sebagai dekorasi tambahan. Menurut Noraini Zakaria, 54, idea juga tercetus apabila dia melihat banyak cendawan untuk hiasan yang dijual melalui media sosial. Noraini kemudiannya berusaha mencipta cara mudah untuk menghasilkan hiasan itu dengan menggunakan simen bermula awal Februari tahun ini. Uniknya juga, pembuatan cendawan itu tidak menggunakan acuan khas tetapi hanya stoking terpakai untuk kaki cendawan manakala acuan kepalanya pula kain dan pakaian terpakai. "Prosesnya juga tidak sukar kerana hanya perlu mencampurkan pasir, air serta simen sebelum digaul rata dan dimasukkan dalam stoking," katanya ketika ditemui di rumahnya. Noraini memberitahu, boleh menyiapkan cendawan hiasan dalam tempoh tiga hingga empat hari termasuk mengecat dan mengering. Bagaimanapun ibu kepada lima anak berusia 15 hingga 28 tahun ini juga mengakui membuat cendawan bersaiz kecil lebih mencabar kerana kerana perlu fokus untuk membentuk selain proses mewarna yang agak lama. "Cendawan buatan tangan ini boleh dikatakan eksklusif kerana saiznya tidak akan sama dan corak 'polka dot' di kepalanya juga mungkin berbeza," katanya. Noraini gembira kerana hasil tangannya yang kreatif itu turut mendapat permintaan rakan-rakan untuk dijadikan dekorasi taman dan ruang rumah mereka. "Alhamdulillah, pada mulanya menantu memuji cendawan saya hasilkan itu cantik dan meminta kebenaran untuk menjualnya melalui media sosial miliknya. "Dalam tempoh beberapa bulan kemudian sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan saya mula menerima tempahan sehingga tidak menang tangan," katanya. Tambahnya lagi, jika sebelum ini cendawannya hanya menggunakan warna merah dan merah jambu namun kini ada permintaan pelbagai jenis warna termasuk coklat, biru dan hijau," katanya. Wanita itu juga bersyukur kerana suaminya, Wan Ramzan Wan Dahari, 56, yang berpengalaman dalam bidang landskap memberi semangat untuk dia meneruskan minatnya. Noraini yang memulakan 'tugas' membuat cendawan kira-kira jam 2 petang setiap hari dan jam 10 pagi pada hari minggu dapat menghasilkan lebih 400 cendawan hiasan dalam tempoh sebulan. "Saya juga merancang untuk menambah produk hiasan di halaman dan taman yang lain kerana ada permintaan daripada pelanggan," katanya. Selain cendawan hiasan, Noraini turut membuat tapak gajah berbentuk kepala watak kartun Mickey Mouse dan kumbang.
-
XPDC gagal 'beraksi' di UMK, sekretariat PESKOUMK'14 mohon maaf
18 November 2024KOTA BHARU - Sekretariat Program Jelajah Siswa (PESKOUMK'14) memohon maaf kepada semua pihak terutama peminat kepada kumpulan rock terkemuka tanah air, XPDC yang gagal membuat persembahan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok pada Jumaat malam. Sekretariat PESKOUMK'14 dalam satu kenyataan berkata, kegagalan berbuat demikian dipercayai kerana salah faham berhubung isu permit hiburan. Menurutnya, Majlis Daerah Bachok (MDB) telah meluluskan permit hiburan pada 14 November dengan kelulusan bersyarat iaitu hanya tertakluk kepada persembahan artis seni dan warisan tempatan Kelantan sahaja. "Tanpa melibatkan nyanyian artis solo dan berkumpulan dari luar Kelantan. "Berhubung isu permit hiburan yang telah ditularkan menerusi media sosial untuk program Jelajah Siswa PESKOUMK’14, kami (sekretariat) bagi pihak universiti telah menguruskan permit hiburan dengan mengemukakan permohonan kepada pihak MDB sejurus menerima pengesahan senarai nama akhir artis jemputan serta maklumat hiburan daripada pihak penaja iaitu Yaya Empire," katanya. Tambah kenyataan tersebut, hasil perbincangan semula pihak pengurusan UMK dengan pihak MDB pada Ahad jam 2.15 petang memutuskan bahawa program jualan, aktiviti pelajar dan pengisian lain yang telah dirancang sehingga 22 November ini akan diteruskan seperti dijadualkan. Ujarya, manakala persembahan pentas hanya terhad kepada artis seni dan warisan dari Kelantan sahaja sebagaimana yang dipersetujui. "Pihak Sekretariat memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama penganjuran program iaitu Yaya Empire dan Bossku Mega Expo kerana telah berjaya menarik pengunjung ke Program Jelajah Siswa PESKOUMK’14. "Kami turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan UMK kerana menyokong penuh dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Sekretariat Program Jelajah Siswa PESKOUMK’14 selaras dengan aspirasi yang dibawa di bawah inisiatif Pemerkasaan Mahasiswa," katanya. Menurut kenyataan tersebut, penganjuran Program Jelajah Siswa PESKOUMK’14 merupakan salah satu program berimpak tinggi yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa UMK. Program ini bertujuan membentuk jati diri mahasiswa unggul melalui perancangan dan pengurusan acara yang berskala besar peringkat universiti. Terdahulu tular luahan peminat di aplikasi TikTok susulan kegagalan XPDC membuat persembahan. XPDC merupakan antara kumpulan rock yang cukup sinonim dengan rakyat negara ini menerusi lagu-lagu seperti Hentian Ini, Nafisa, CT Cinta Silam, Titian Perjalan dan banyak lagi.
-
49 kawasan di Machang alami gangguan bekalan elektrik
18 November 2024KOTA BHARU - Sebanyak 49 kawasan di Machang akan mengalami gangguan bekalan elektrik pada Isnin susulan pelaksanaan kerja-kerja henti tugas berjadual di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) di daerah itu. Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui kenyataan pada Ahad memaklumkan gangguan elektrik dijangka berlaku dalam tempoh empat jam bermula 12 malam (Isnin). Kawasan yang terlibat ialah Pejabat Tanah (Majlis Daerah Machang), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Simpol Berlubang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Petronas Bypass, Sekolah Kebangsaan Machang 2, Hutan Kuin, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar, Seng Haw Sawmill dan Taman Kuin Indah. "Kawasan lain yang turut terlibat ialah Taman Medan, Ban Hin Perabot, Hutan Putih, Sekolah Kebangsaan Pangkal Makwan, Kubang Belut, Pak Gombak, Taman Seri Cempaka, Taman Desa Ilmu, Taman Machang Permai Taman Nusa Jaza dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Joh," kata kenyataan itu. TNB juga menyenaraikan BHP Sungai Mas, Rumah Kedai Machang, Kedai MDM, Kota Impiana, Sungai Hala, Pasar Baru, Hutan Rebana, PP ITM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Banggol Judah Tambahan, Dewan Kecil, Taman Madani dan Pam Penggalak Amboran. Turut terlibat, Padang Selising, Sekolah Kebangsaan Dewan Besar, Sekolah Kebangsaan Hamzah 2, Taman Bukit Ilmu, Taman Sentosa Jaya, KPDK Air Belaga, JPN Padang Selinsing, Kampung Cherodok, Nafas Baru, Taman Animas, Taman Bunga Tanjung, Taman Sri Hawa, Taman Banggol Judah Intisari Asia dan Taman Alam Bina. Justeru, TNB mencadangkan kawasan terlibat melakukan persediaan awal untuk menghadapi gangguan bekalan itu. "TNB akan mengambil setiap langkah yang perlu bagi memastikan gangguan bekalan berlaku dalam tempoh paling minimum. "Berhati-hati mengendalikan peralatan elektrik, terutama ketika berlaku gangguan kerana bekalan mungkin akan dipulihkan pada bila-bila masa," kata kenyataan itu. Sebarang pertanyaan, sila hubungi TNB CareLine di talian 15454.
-
Hasrat remaja terlantar bertemu DJ Pak Do tercapai
17 November 2024KUALA KRAI - Remaja terlantar lebih enam tahun lalu tidak lena tidur selepas mendengar pengumuman seorang penyampai radio (DJ) KELANTANfm yang sangat diminati berhasrat mengadakan lawatan ke rumahnya. Sebaik mendengar pengumuman penyampai berkenaan, Sumardi Hamat, kira-kira jam 5.30 petang Sabtu lalu, Muhammad Zaim Zharfan Zamri, 14, terus memaklumkan ibunya, Rosnah Saari, 39. Muhammad Zaim Zharfan yang memang gemar mendengar radio turut terkejut dengan pemberitahuan itu dan tidak sabar bertemu Sumardi atau lebih dikenali sebagai Pak Do. "Alhamdulillah impian saya tercapai hari ini kerana bukan hanya Pak Do yang datang, malah rakan-rakan penyampainya yang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keroh. Sinar Harian sebelum ini melaporkan remaja itu tidak dapat menikmati kehidupan sebagaimana rakan sebayanya akibat masalah tumbesaran atau Achondroplasia yang menyebabkan gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil. Lebih menyedihkan, Muhammad Zaim Zafran bergantung kepada mesin pernafasan seumur hidup selain diuruskan oleh kedua ibu bapa seperti seorang bayi. Anak sulung daripada lima beradik itu juga teruja selepas dimaklumkan akan dibawa ke konti radio KELANTANfm jika masalah kesihatannya semakin baik. "Saya mahu melihat sendiri keadaan dalam konti dan berharap dapat pergi ke sana," katanya. Sementara itu, Pak Do ketika ditemui memberitahu tidak mengambil masa lama membuat persiapan selepas dimaklumkan hasrat Muhammad Zaim Zafran itu. "Kami terharu apabila Muhammad Zaim Zafran boleh mengingati bukan sahaja semua segmen di KELANTANfm, malah nama penyampai di saluran radio ini," katanya. Pak Do yang juga Penyelia Siaran sudah lebih 15 tahun berpengalaman sebagai penyampai berita berkata, menerima banyak undangan untuk bertemu peminat dan seboleh mungkin tidak akan menghampakan permintaan itu. "Kami juga berharap Muhammad Zaim Zafran cepat sembuh dan keluarganya tabah menerima ketentuan ALLAH SWT," katanya. Sebelum itu Pak Do bersama Pengarah RTM Kelantan, Shaheezam Said menyantuni keluarga remaja berkenaan dan menyampaikan bakul makanan serta barangan keperluan peribadi termasuk lampin pakai buang. Lawatan itu juga antara program khas sempena sambutan ulang tahun ke-61 KELANTANfm selain beberapa aktiviti bersama peminat radio itu.
-
Tembok sempadan: Kos ambil alih tanah hampir RM500 juta
17 November 2024KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kelantan memerlukan RM445.748 juta untuk kos pengambilan balik tanah penduduk di kawasan sempadan Sungai Golok bagi pembinaan tembok dan zon penampan. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Mohd Daud berkata, cadangan pembinaan tembok dan zon penampan adalah amat relevan bagi tujuan keselamatan sempadan negara. “Kelantan serius untuk membanteras jenayah penyeludupan dan mengatasi masalah banjir di kawasan Sungai Golok iaitu sepanjang 99 kilometer di sempadan Malaysia-Thailand. “Cadangan pembinaan tembok dan zon penampan akan dapat mengatasi masalah tersebut dan anggaran kos sebanyak RM445.748 juta diperlukan untuk pengambilan balik tanah di kawasan yang terlibat,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini pada Ahad. Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Sebelum ini, kerajaan Thailand menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengusulkan kepada kerajaan pusat tentang pembinaan tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang kawasan sempadan Sungai Golok. Gabenor Wilayah Narathiwat Trakul Thotham dilaporkan berkata pembinaan tembok berkenaan akan menjadi langkah penting dalam menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan. Pada 5 November lalu, Kelantan mencadang pembinaan tembok sepanjang kira-kira 100 kilometer di sempadan negeri itu dengan Thailand. Kelantan sasar pertumbuhan nilai KDNK RM50 bilion KOTA BHARU - Kelantan menyasarkan pertumbuhan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM50 bilion dalam tempoh 10 tahun. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu memerlukan penumpuan khusus kepada sektor pembuatan dan industri pelancongan. “Faktor-faktor pendaya upaya dan pemboleh ubah kepada kejayaan mencapai sasaran tersebut perlu diambil tindakan sewajarnya. “Manfaat kepada inisiatif yang dirangka ini membawa kepada peluang pekerjaan yang meluas, taraf hidup rakyat meningkat dan mampu membasmi kemiskinan di negeri Kelantan,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini pada Ahad. Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin memberitahu Kelantan merekodkan peningkatan nilai KDNK kepada RM27.6 bilion pada tahun 2023 berbanding RM26.9 bilion tahun sebelumnya. “Peningkatan 2.6 peratus itu melibatkan antaranya sektor perkhidmatan yang bertumbuh 3.8 peratus dengan menyumbang sebanyak RM19.8 bilion. “Sektor pertanian bagaimanapun menguncup 0.5 peratus disebabkan kemerosotan subsektor perhutanan dan pembalakan,” katanya. Tambah beliau, sektor pembuatan Kelantan juga menyusut 2.6 peratus disebabkan oleh kemerosotan dalam produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan. “Sementara sektor pembinaan berkembang 6.7 peratus sebahagian besarnya disokong oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya.
-
Lari tinggal kain pasang, produk kosmetik seludup
17 November 2024KOTA BHARU - Penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan barangan yang dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini bagi mengelak dicekup oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua serbuan di lokasi berasingan pada Jumaat dan Sabtu. Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pada Jumaat sekitar jam 7.30 malam semasa penugasan Op Taring Wawasan Batalion 7 PGA Kuantan telah menemukan kotak mengandungi produk kosmetik yang ditinggalkan di tepi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah 2, di Pasir Mas. "Hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi produk kosmetik jenis sabun yang dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM28,800. "Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan hasil rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya pada Ahad. Menurut beliau, pada Sabtu Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menumpaskan kegiatan penyeludupan pakaian yang dikesan di Kampung Simpangan Pengkalan Kubor, Tumpat. Ujarnya, rampasan pada jam 4 petang itu dilakukan apabila menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu dalam keadaan mencurigakan. Nik Ros Azhan memberitahu, hasil pemeriksaan telah menemukan 547 helai kain pasang bermanik yang dipercayai diseludup dari Thailand. "Sementara itu suspek yang merupakan seorang lelaki telah meloloskan diri. Anggaran keseluruhan rampasan ialah RM164,100 dan kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. "Suspek dan barangan rampasan diserahkan ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya," katanya.
-
OKU kerdil, buta terima anugerah kecemerlangan UIAM
17 November 2024GOMBAK - Dua wanita kategori orang kurang upaya (OKU) kerdil dan buta membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang buatnya untuk berjaya selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Ko-Kurikulum pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-40 di sini pada Sabtu. Pada majlis itu, Nurhidayu Ishak, 24, OKU kerdil merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT), manakala Nurulhuda Khairani Taupeack Kamal lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa Arab untuk Komunikasi Antarabangsa, Kulliyyah Pelancongan Lestari dan Bahasa Kontemporari (KSCTL) UIAM Kampus Pagoh. Nurhidayu berkata, kejayaan yang dikecapi itu hasil sokongan rakan-rakan seperjuangan. "Ia menjadikan saya tidak terlalu merendah diri, sebaliknya bersemangat untuk meneruskan pengajian di sini," katanya. Anak keempat daripada lima beradik itu, merupakan seorang pelajar yang aktif melibatkan diri dalam pelbagai program bersama komuniti dan aktiviti-aktiviti kelab dan persatuan yang dianjurkan di dalam kampus. Nurhidayu merupakan salah seorang ahli kumpulan pendaki Gunung Kinabalu yang menyertai Cabaran OKU Kinabalu UIAM 2022 lalu. Sementara itu, Nurulhuda Khairani berkata, anugerah yang diterima ini menunjukkan OKU mampu berjaya seperti pelajar normal lain. "Semangat kami tetap kuat seperti orang yang sempurna dan kami boleh lakukan lebih daripada itu walaupun pergerakan sedikit terbatas," katanya. Anugerah tersebut dikurniakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj yang berkenan mencemar duli merasmikan pembukaan sidang satu majlis konvokesyen UIAM. Pada tahun ini seramai 5,041 orang graduan yang terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Majlis Konvokesyen UIAM berlangsung selama lima hari bermula Sabtu hingga Rabu.
-
Proses satu tan ubi kayu jadi debu putu halba
15 November 2024TUMPAT - Musim monson Timur Laut (MTL) di negeri Kelantan idak lengkap tanpa putu halba. Kudapan istimewa yang muncul hanya ketika musim tengkujuh itu memberi sumber pendapatan kepada ramai penduduk di negeri ini. Bagi Siti Shafikah Mohamad Suhaimin, 31, dari Kampung Teluk Jering di sini, berkata, dia memproses satu tan ubi kayu bermula jam 8.30 pagi hingga 12 malam setiap hari sewaktu musim MTL bagi menghasilkan tepung putu halba atau dipanggil debu putu. Kongsinya, kemahiran menghasilkan debu putu asli 100 peratus menggunakan ubi kayu itu diwarisi daripada arwah bapanya, Mohamad Suhaimin Mamat sejak lima tahun lalu. “Saya teruskan perniagaan warisan arwah bapa untuk membuat debu putu halba bagi menjaga keaslian ubi kayu kerana prosesnya juga rumit bermula daripada kupas, basuh kotoran yang melekat padaubi, bilas dan kemudiannya baru dimesin. “Lepas itu, ia akan dikeringkan 80 peratus sebelum diayak untuk membuang baki kulit yang masih ada sebelum dibungkus untuk dipasarkan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui pada Jumaat. Anak kelapan daripada sembilan beradik itu memberitahu, permintaan debu putu itu hanya akan diperolehi pada musim tengkujuh sahaja. “Sebab itu, saya mula memproses debu putu ini bermula hujung September dan akan berakhir pada awal Januari. “Walaupun Februari biasanya masih banjir, namun pada waktu hujung-hujung musim tengkujuh, permintaan debu putu akan menurun dan terus tiada,” katanya yang menggunakan ubi kayu putih dan kuning yang ditanam sendiri dan juga diperolehi dari pembekal di Bachok. Cerita wanita itu lagi, debu putu yang dihasilkan tidak dicampur dengan bahan asing atau pengawet selain mempunyai rasa yang lebih enak apabila dijadikan putu halba selain boleh digunakan untuk membuat kuih seperti bingka ubi. "Proses itu juga sudah tidak ramai dilakukan oleh orang sekarang kerana lebih memilih jalan mudah membeli tepung ubi kayu yang lebih komersial di pasaran. “Setiap satu tan ubi kayu yang diproses akan hilang separuh berat apabila menjadi debu putu. “Debu putu dapat bertahan sehingga setahun jika disimpan di tempat sejuk beku,” katanya yang turut memasarkan debu putu tersebut secara dalam talian melalui platform siaran langsung Facebook dan TikTok ke negeri luar Kelantan seperti Kedah.
-
Ketulan emas pertama dikeluarkan di hutan simpan kekal Sokor Taku
15 November 2024TANAH MERAH - Tanah di kawasan hutan simpan kekal Sokor Taku, Mukim Sokor Ulu Kusial di sini terbukti mempunyai mineral emas selepas ketulan emas pertama dihasilkan di kawasan berkenaan pada Khamis. Penemuan emas itu termasuk dalam kawasan seluas 547 hektar yang sudah diteroka dalam dalam tempoh kira-kira setahun. Ketua Pegawai Operasi Niche Capital Emas Holdings Berhad, Ir Tan Ken Sim berkata, kajian awal di kawasan itu mengesan 17,100 auns sumber mineral berkenaan. "Lokasi kajian hanya membabitkan lapan hektar daripada keseluruhan keluasan tanah dan kami akan menjalankan penerokaan berterusan di seluruh kawasan ini," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi perlombongan pada Khamis. Beliau memberitahu, jumlah pelaburan untuk keseluruhan penerokaan dan proses perlombongan ialah RM50 juta termasuk pembersihan kawasan, penyediaan infrastruktur dan kesemua peralatan khas di tapak itu. Katanya lagi, sepanjang kerja-kerja pencarian dipantau oleh Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan selain mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA). Justeru, Ken Sim turut memaklumkan, semua proses yang dilakukan di tapak perlombongan itu mengikut syarat yang ditetapkan bagi menjaga alam semula jadi di seluruh kawasan terbabit. "Pengeluaran emas pertama ini menampakkan usaha kami selama lebih setahun mengkaji, mencari dan memproses melalui pelbagai kaedah yang ada," katanya. Tambah beliau, walaupun emas baru sahaja ditemui di kawasan itu, pihaknya menyasarkan kira-kira enam hingga 12 kilogram ekstrak emas sebulan. "Kita juga akan meneroka dua lagi kawasan seluas 373 hektar dan 910 hektar itu yang akan menjadikan keseluruhan kawasan perlombongan di Ulu Kusial seluas 1,830 hektar dengan pajakan daripada kerajaan negeri selama 12 tahun," katanya.
-
Kerajaan Kelantan akan jumpa Perdana Menteri bincang bina tembok sempadan
15 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata, antara lain pihaknya juga akan berusaha mengutus surat rasmi kepada pemimpin itu dan kementerian yang berkaitan. “Kami akan fikirkan kaedah sama ada surat rasmi ataupun akan pergi berjumpa sendiri dengan Perdana Menteri dan kementerian yang terlibat untuk membincangkan soal keselamatan sempadan. “Langkah relevan dan sesuai akan diambil bagi cadangan-cadangan untuk mengawal penyeludupan di sempadan selain memastikan keadaan banjir terkawal,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Maahad Muhammadi Perempuan di sini, pada Khamis. Beliau sebelum itu merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-23 dan Pelancaran Dewan Terbuka maahad berkenaan. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga Pengerusi PIBG Maahad Muhammadi Perempuan. Dalam pada itu, pihak berkuasa Narathiwat, Thailand hari ini (Khamis) dilaporkan bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk membina bina tembok sempadan di Sungai Golok bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan. Mohamed Fadzli yang menerima berita itu melalui media sosial menyatakan penghargaan kepada pihak negara jiran juga Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham. “Saya sangat mengalu-alukan sokongan ini dan berterima kasih kepada pihak negara jiran. “Kelantan sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan Thailand dan Perdana Menteri sendiri dua, tiga bulan lepas berkunjung ke negara itu antara yang dibincangkan sudah semestinya masalah mengawal penyeludupan, jenayah rentas sempadan juga isu banjir,” katanya. Sebelum ini, Mohamed Fadzli mencadangan untuk membina tembok melibatkan jarak lebih 100 kilometer berbanding pagar sempadan yang sudah lama dipasang di Sungai Golok. Isi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan kerap kali dibangkitkan dan terkini susulan daripada kes enam rakyat negara ini termasuk seorang penyanyi wanita dikir barat moden Kelantan ditahan dengan penemuan 6,000 pil kuda di sebuah hotel di negara itu pada 1 November lalu.
-
Orang Asli Pos Gob mohon jambatan gantung, demi keselamatan seberangi sungai
15 November 2024GUA MUSANG - Lebih 200 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar dari tiga perkampungan di Pos Gob memohon kerajaan membina sebuah jambatan gantung bagi membolehkan mereka menyeberangi sungai Sungai Puian di kawasan itu untuk aktiviti harian dengan selamat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Adi Liman berkata, setiap hari pergerakan melintas jalan sungai itu sudah menjadi rutin penduduk kampung terlibat termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak. "Penduduk di Kampung Tembaga, Kampung Lengrang dan Kampung Bercak berulang-alik melintas Sungai Puian untuk ke Kampung Gob yang menjadi laluan utama untuk keluar ke bandar dengan jarak hampir 100 kilometer dari penempatan. "Paras Sungai Puian akan meningkat dengan cepat ketika cuaca hujan, jadi penduduk akan berenang meredah arus sejauh lebih tiga meter untuk sampai ke tebing Kampung Gob," katanya kepada pemberita, pada Khamis. Beliau berkata, penduduk terpaksa membawa motosikal dengan rakit buluh untuk melintas sungai disebabkan ketiadaan laluan bagi dilalui kenderaan, dan pembinaan jambatan gantung pasti boleh menyelesaikan pelbagai masalah. Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd Nor ketika ditemui mengesahkan pembinaan jambatan berkenaan memang sedang dirancang pihaknya, malah beliau sendiri telah turun padang dan melihat sendiri kehidupan penduduk di penempatan terbabit. - Bernama
-
Pembinaan Masjid Tahfiz Al-Ayubi perlukan dana RM13.7 juta
14 November 2024PASIR MAS - Pembinaan Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Kota Siti Mariam, Pulau Buih, Kangkong memerlukan dana keseluruhan berjumlah RM13.7 juta untuk siap sepenuhnya. Pengerusi Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Zulta Ayub Daud berkata, ia merupakan masjid tahfiz pertama yang dibina di Pulau Buih. "Pusat tahfiz berkenaan pula telah dibina pada 3 Mac 2023. "Pembinaan kompleks masjid tahfiz seluas 41,793 kaki persegi itu yang mampu memuatkan 600 jemaah pada satu-satu masa itu sudah dirancang sejak 6 Jun lalu," katanya. Beliau memberitahu, pihak pengurusan masjid tahfiz menerima dana infaq sebanyak RM1.5 juta untuk pembinaan termasuk kuaters, parkir, tanda, padang dan dataran. "Antara pembinaan lain ialah dewan makan, dewan terbuka, pendawaian elektrik, sistem pembesar suara dan tempat wuduk juga dibina," katanya. Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Masjid Tahfiz Al-Ayubi yang bernombor 03120010014936 atau menghubungi Zulta di talian 012 951 9426
-
MTL: APM tingkat rondaan pantai
14 November 2024KOTA BHARU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meningkatkan rondaan di kawasan pantai tumpuan pelancong bagi memastikan keselamatan pengunjung pada musim Monson Timur Laut (MTL) di negeri ini. Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, pantai-pantai berkenaan ialah Pantai Geting di Tumpat, Pantai Irama di Bachok, Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu dan Pantai Tok Bali, Pasir Puteh. “Setiap lokasi terdapat menara Penyelamat Pantai yang menempatkan empat anggota APM bertugas pada satu-satu masa. “Mereka akan melakukan rondaan menjelang MTL dan lebih kerap selain turut menggunakan pendekatan menghampiri pengunjung untuk memberikan peringatan supaya berjaga-jaga ketika berada di pantai semasa musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu. Menurut beliau, pengunjung juga diharap peka pada isyarat bendera merah yang akan dinaikkan berhampiran menara jika ombak tinggi dan angin kuat kerana keadaan berbahaya. “Sekarang ini, kita berwaspada dan melihat situasi ombak, jika tinggi kami akan naikkan bendera merah. “Kami juga akan merujuk ramalan teknikal melalui Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa untuk persediaan dan langkah keselamatan,” katanya. APM seterusnya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan situasi semasa ombak di pesisiran pantai lebih-lebih lagi kanak-kanak yang bermain di gigi air. “Perhatikan dan waspada jika cuaca hujan dan ribut terutama pada sebelah petang. “Ombak tinggi bahaya untuk sebarang aktiviti orang awam di pantai selain angin kuat juga boleh mengakibatkan pokok tumbang,” ujar beliau.
-
Isu Palestin: Kerajaan Kelantan nyata pendirian
14 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyatakan pendirian agar Amerika Syarikat menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendirian itu dinyatakan dalam pertemuan bersama Duta Besar Amerika Syarikat, Edgard D Kagan pada Selasa. Beliau berkata, dalam pertemuan sama, mereka turut membincangkan mengenai isu kekejaman Israel dan rakyat Kelantan yang sentiasa bersama Palestin. "Pertemuan itu memberi peluang kita menyampaikan pendapat dan tentangan rakyat terhadap kekejaman di Palestin," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco pada Rabu. Selain itu, beliau memberitahu, Kelantan menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pemimpin dunia untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Anwar pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi Isnin lalu, menyeru pemimpin dunia sepakat menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB atas tindakan Israel yang melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin. Beliau juga menyeru supaya memberi bantuan kemanusiaan dan membuka ruang kepada negara lain untuk membantu rakyat Palestin. Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli memberitahu, tiada rakyat Kelantan yang belajar atau bermastautin di Lubnan yang ketika ini turut diserang zionis. "Bagaimanapun, kita berharap semua rakyat di negara itu mendapat perhatian antarabangsa untuk menghentikan peperangan," katanya.
-
Banyak syarikat bincang urus REE di Kelantan - Timbalan MB
13 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat perlombongan untuk pengurusan industri nadir bumi (REE) di negeri ini. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bagaimanapun pihaknya akan memilih syarikat terbaik untuk tujuan berkenaan. Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga mahu semua proses nadir bumi itu dilakukan di Kelantan supaya dapat memberikan keuntungan maksimum. "Kita tidak mahu perlombongan dilaksanakan di sini tetapi terpaksa mengeksport bahan itu ke luar negara untuk proses seterusnya," katanya selepas Mesyuarat Exco pada Rabu. Mohamed Fadzli memberitahu, antara syarikat yang sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri ialah Lynas Malaysia Sdn Bhd serta beberapa syarikat besar lain yang dipercayai mampu menguruskan REE. "Setakat ini kita sedang mengenal pasti pelombong daripada syarikat yang benar-benar mampu serta dapat memberikan tawaran lebih baik," katanya. Media sebelum ini melaporkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mahu mewujudkan satu syarikat yang memonopoli pengurusan REE di negara ini. Justeru, kerajaan akan menggunakan Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Perlembagaan Persekutuan sedia ada dalam aspek berkenaan. Pada masa sama pihaknya sedang berbincang untuk menilai permintaan syarikat Lynas dari Australia untuk memanjangkan tempoh lesen pemprosesan REE di negara ini.
-
Nelayan masih turun ke laut
13 November 2024KOTA BHARU - Musim Monsun Timur Laut (MTL) membataskan nelayan untuk turun lebih jauh ke laut berikutan bimbang keadaan angin dan ombak ketika menangkap ikan. Justeru, nelayan di Kampung Pantai Baru, Melawi, Bachok mengambil keputusan menahan pukat di pesisir pantai sepanjang musim ini. Mat Hasmady Elmy Mat Hasan, 34, berkata, dia menahan pukat dua kali sehari berikutan tangkapan ikan kurang memberangsangkan. "Saya akan turun selepas Subuh kira-kira jam 6 pagi untuk meletakkan pukat dan akan pergi semula menaikkan ikan kira-kira jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui di pantai itu. Menurut Mat Hasmady, kekurangan hasil bukan halangan untuk pergi ke laut kerana itu merupakan kerja hakikinya mencari rezeki. "Kami akan tetap bekerja walaupun laut bergelora tetapi dalam keadaan berjaga-jaga. "Biasanya saya akan melihat maklumat berkaitan keadaan cuaca di portal atau laman web yang boleh dipercayai melalui telefon selain menggunakan petua orang tua yang berpandukan situasi di laut," katanya. Jelasnya lagi, mereka memperoleh ikan sehingga 60 kilogram (kg) antara Mac hingga Jun setiap kali turun ke laut. "Musim ini saya hanya dapat 30kg ikan sahaja untuk sekali tangkapan, ada juga waktunya pulang dengan tangan kosong," katanya. Nelayan, Wan Yusoff Wan Mat, 50, mengakui pendapatannya menurun sepanjang musim tengkujuh kerana mampu menangkap ikan hanya satu kilometer dari pesisir pantai berbanding musim panas sehingga 30km hingga 40km ke laut. Jelasnya, pada musim ini juga ada nelayan yang terpaksa menanggung kerugian kerana hasil tangkapan tidak mampu menampung kos diesel bot. "Saya terpaksa turun dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan selepas waktu Asar dengan harapan mendapat rezeki lebih pada musim ini," katanya. Sementara itu, tinjauan di Pantai Irama Bachok mendapati pantai lengang daripada kunjungan orang ramai. Pegawai Pertahanan Daerah Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin, berkata, keadaan di pantai kini masih terkawal kerana ombak dan angin tidak membadai. Menurut beliau, bendera merah hanya dipasang ketika angin kuat untuk mengingatkan pengunjung bahaya berada di kawasan pantai. "Setakat ini mereka masih boleh berekreasi dan belum ada halangan untuk melakukan aktiviti air namun mereka sentiasa diingatkan supaya berwaspada," katanya. MTL: Helikopter bomba tinjau dari udara KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan menjalankan tinjauan dari udara menggunakan helikopter sebaik MTL bermula di negeri ini pada bila-bila masa. Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, tindakan itu sebagai langkah keselamatan awal bagi memantau keadaan sungai dan aliran air ke kawasan berisiko tinggi banjir. “Apabila hujan bermula dan tidak berhenti, rutin setiap tahun helikopter bomba dari Subang akan melakukan penerbangan untuk memantau keadaan dari udara. “Tumpuan akan melihat kepada lokasi panas banjir terutama di penempatan penduduk berisiko di Rantau panjang dan Pasir Mas seterusnya di daerah-daerah lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu. Zainal mengulas, pihaknya turut akan memohon bantuan aset udara tersebut bagi keperluan operasi di kawasan sukar diakses seperti Gua Musang. Katanya, seperti bencana tahun-tahun lalu, bantuan helikopter diterima Kelantan bagi tujuan pemindahan mangsa banjir, penghantaran makanan dan ubatan selain penghantaran pesakit. “Helikopter tidak ada masalah, kami akan mohon dari Subang. “Kurang sejam, sudah sampai di Kelantan untuk melakukan operasi menyelamatkan mangsa,” ujar beliau. Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa peka keadaan cuaca dan patuh arahan pihak berkuasa. “MTL di Kelantan bila-bila masa sahaja boleh berlaku dari sekarang. “Sehubungan itu, semua perlu berwaspada bagi menggelakkan kejadian buruk atau meragut nyawa,” katanya.
-
Mimpi Nabi: Abdul Hadi bukan bawa ‘benda-benda’ baharu - Mohd Amar
13 November 2024KOTA BHARU - Mimpi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa bertemu Rasulullah SAW bukan membawa ‘benda-benda’ yang baharu. Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata demikian dan mempertahankan Abdul Hadi sebagai berniat untuk berkongsi pengalaman sahaja berkait mimpi itu dan bukannya riak. “Tak sepatutnya dipolitikkan dan sudah ada banyak jawapan berkait perkara ini. “Tok Guru Haji Hadi hanya menceritakan pengalaman beliau dan bukanlah untuk membanggakan diri ataupun membawa benda-benda yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Hududullah kali ke-19 Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1446H / 2024M di Panji pada Selasa. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu mengulas berhubung penjelasan diberikan ramai pihak termasuk Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Nooh Gadut dan Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudah memadai untuk isu tersebut dihentikan daripada menjadi bahan pertelingkahan atau politik. “Mengikut hukum mimpi bertemu Rasulullah SAW boleh berlaku kepada sesiapa sahaja malah disebut dalam kitab-kitab besar. “Cuma bergantung atas individu, sama ada hendak melihatnya dari sudut positif atau negatif,” ujarnya. Sebelum ini, tular pemimpin politik Pas itu mendakwa bermimpi bertemu Rasulullah di kawasan Parlimennya di Pantai Timur. Nooh kemudian menjelaskan hanya mimpi para nabi dan rasul dianggap mimpi yang benar dan boleh dijadikan sumber hukum serta hujah syarak. Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, isu mimpi bertemu Rasulullah perlu ditanggapi dengan adil, insaf dan berlandaskan prinsip selain dimanfaatkan oleh umat Islam sebagai peluang untuk menambah ilmu.
-
Kerajaan Kelantan tidak akan berundur gubal semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah
13 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak akan berundur dalam memastikan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang terbatal sebelum ini, digubal semula dan dapat dikuatkuasakan kembali. Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, adalah menjadi peranan sesebuah kerajaan bertindak sebagai ‘pengawal’ kepada agama dalam menegakkan syiar Islam. “Menjunjung amanah tersebut, kerajaan negeri Kelantan tidak pernah berundur walau setapak untuk memastikan Kanun Jenayah Syariah yang diluluskan itu dilaksanakan dan menggubal semula 16 seksyen yang dibatalkan baru-baru ini. “Usaha ke arah itu diteruskan dan perbincangan terkini berkait perkara tersebut dibuat pada bulan lepas,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Hududullah kali ke-19 Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1446H / 2024M di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, pada Selasa. Beliau berkata, penganjuran Hari Hududullah itu juga adalah medium terbaik untuk mendidik dan mengajak masyarakat agar lebih cakna kepada undang-undang syariah serta menolak budaya yang bercanggah dengan syariat Islam. “Kerajaan Kelantan serius dan tidak gentar dalam mendepani cabaran semasa untuk melaksanakan tuntutan tersebut walaupun ada ‘suara’ mendakwa kami sengaja hendak bermain politik dalam isu ini,” kata beliau. Mengulas perkara itu, Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, draf penggubalan semula 16 enakmen yang terbatal tersebut dijangka siap hujung tahun ini sebelum dapat dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri tahun depan. “Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bermesyuarat pada 30 Oktober lalu bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi mencadangkan dan menggubal semula enakmen yang dibatalkan. “Draf-draf akan digubal melalui 15 ahli jawatan kuasa terdiri daripada pakar perundangan syariah, pentadbir, agamawan dan para akademik,” katanya. Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah. Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala Kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.
-
Banjir: KPDN lantik pemborong, peruncit simpan barang kawalan lebihi kuota
13 November 2024TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 133 pemborong dan peruncit untuk menyimpan barangan kawalan melebihi kuota bagi menghadapi musim tengkujuh di negeri ini. Pengarahnya, Azman Ismail berkata, mereka dibenarkan untuk menambah dan menyimpan barang kawalan berjadual sebanyak 30 peratus selama lima bulan bermula November hingga Mac depan. "Bagi memastikan bekalan mencukupi serta mudah diperolehi semasa banjir, mereka (pemborong dan peruncit) boleh simpan stok melebihi daripada had simpanan sedia ada dengan CSA (lesen runcit barang kawalan berjadual). "Antara 21 barang kawalan itu termasuk beras, minyak masak, gula, susu, gandum dan beberapa barang keperluan lain," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa. Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke kedai pemborong sempena pengurusan bencana bagi kesiapsiagaan keberadaan bekalan barangan keperluan di Wakaf Bharu di sini. Menurut beliau, untuk persediaan lain KPDN juga merancang untuk mengadakan jualan Rahmah ketika musim banjir. Ujarnya, banjir di Kelantan mengambil masa lama untuk surut, banyak kawasan yang terkepung serta terputus hubungan. "Jika diadakan jualan Rahmah di lokasi tertentu, ramai yang tak dapat keluar kerana terkepung. "Oleh itu jualan Rahmah akan diadakan di kedai pemborong atau peruncit yang terlibat bagi memudahkan urusan orang ramai," katanya.
-
OKU Proka mampu hasilkan lebih 50 jenis perabot
12 November 2024KOTA BHARU - Kecacatan fizikal dan anggota penghuni Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka) tidak menghalang mereka untuk menghasilkan perabot berkualiti tinggi yang ditempah dari seluruh negara. Kesemua 42 peserta Proka mengalami kecacatan membabitkan kategori anggota, pendengaran dan buta. Pengurus pusat berkenaan, Nur Amirah Lukman berkata, penghuni yang berusia 17 hingga 70 tahun itu mampu menghasilkan lebih 50 jenis perabot termasuk set kerusi dan meja sekolah. "Walaupun tidak sempurna namun kudrat dan kebolehan golongan ini sangat diperlukan kerana kerja-kerja pertukangan mereka lebih kemas dan teliti," katanya ketika ditemui di pusat itu pada Selasa. Jelasnya, ada dalam kalangan penghuni tinggal di asrama dengan kemudahan lengkap disediakan bagi membolehkan mereka selesa bekerja. "Mereka akan memulakan kerja pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap Ahad hingga Khamis," katanya. Sementara itu, ketua tenaga pengajar, Mohamad Hassan, 65, berkata, OKU itu mampu mengendalikan mesin untuk memotong dan melicinkan kayu sekali gus memudahkan perabot disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Tambahnya, kebanyakan mereka yang memulakan tugas di situ tidak mempunyai asas pertukangan tetapi diberi bimbingan sehingga mampu menghasilkan perabot berkualiti. Katanya lagi, perabot di pusat itu dihasilkan daripada kayu meranti yang dibekalkan oleh beberapa kilang kayu di Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang. "Selain agensi kerajaan, ramai pelanggan kami terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan syarikat korporat," katanya. Menurutnya, harga perabot yang ditawarkan bermula pada harga RM200 namun bergantung pada material dan kaedah pembuatan. Jelas Mohamad lagi, komunikasi bersama OKU tidak menjadi masalah kerana beliau boleh menggunakan bahasa isyarat dengan baik.
-
[VIDEO] 'Siapa nak jaga anak-anak jika saya tiada' - Pesakit kanser
12 November 2024PASIR MAS - Sudah jatuh, ditimpa tangga begitulah nasib seorang ibu yang diuji dengan penyakit kanser pangkal rahim tahap empat sejak empat tahun lalu dan kini menunggu masa untuk diceraikan. Norazah Abdullah, 50, berkata, bakal bergelar ibu tunggal ketika terlantar cukup perit buatnya tambahan pula tiga anak masih kecil. "Sebelum ini saya masih sihat dan mampu membuat kuih untuk mencari rezeki. "Namun sejak awal tahun ini kesihatan saya semakin merosot dan hanya terbaring, hendak berjalan pun sukar, apatah lagi menguruskan anak-anak," katanya ketika ditemui di Kampung Belukar, Aur China di sini pada Selasa. Norazah mendakwa, lebih menyedihkan suaminya mahu menceraikannya sekali gus kesemua anak yang berusia 7 hingga 10 tahun di bawah jagaannya. Ujarnya, disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dari Muar, Johor ke Pasir Mas kerana tiada tempat untuk bergantung. Tambah dia, hanya keluarga di kampung boleh diharapkan dan kini adiknya, Abdul Aziz Abdullah, 46, yang mengambil alih menjaga keluarga. "Saya sebak bila memikirkan anak-anak terpaksa berhenti sekolah dan berpindah ke Pasir Mas. Dalam keadaan saya begini hanya doa yang mampu kuatkan semangat. "Bagaimanapun ALLAH mendengar rintihan saya apabila pihak PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) Pasir Mas telah datang ke rumah dan mereka bersedia menguruskan hal persekolahan anak-anak. Mereka dijangka mula bersekolah kembali Ahad ini," katanya. Menurut Norazah, ketiga-tiga anaknya itu merupakan hasil perkahwinan keduanya pada 10 tahun lalu. Ujar ibu tujuh orang anak itu, untuk perkahwinan pertama dia mempunyai empat orang zuriat berusia 23 hingga 31 tahun dan kesemua mereka telah membawa haluan masing-masing. Bercakap mengenai penyakitnya, wanita terbabit memberitahu, dia sudah tidak mahu meneruskan rawatan selepas menjalani radioterapi sebanyak 30 kali di Hospital Sultan Ismail, Johor. "Sekarang ini fokus saya pada anak-anak, bukan kerana berputus asa tetapi dengan keadaan sekarang siapa yang boleh diharapkan," katanya. Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Norazah sekeluarg boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 154053509544.
-
Sekatan hiburan di Kelantan bukan punca anak muda berhibur di Golok - Exco
10 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak melihat sekatan hiburan di negeri ini punca rakyat terutama golongan muda terpaksa ke Golok, Thailand untuk mencari hiburan sebagaimana yang dihebohkan. Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Asri Mat Daud berkata, pihaknya tidak menghalang aktiviti hiburan sebaliknya telah meletakkan pekeliling yang terbaik dalam mengawal hiburan di Kelantan. "Kami tidak melihat sekatan hiburan satu alasan. Bahkan ada rakyat yang menegur kami (kerajaan negeri) agar kurangkan hiburan. "Anak muda memilih untuk ke negara jiran mungkin atas faktor tarikan murah, dekat serta bebas daripada penguatkuasaan," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan anak muda Kelantan membanjiri Golok untuk berhibur. Mengulas lanjut, Asri berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan. Ujarnya, adalah mustahil untuk membuat sekatan perjalanan, namun berharap didikan melalui dasar Membangun Bersama Islam (MIB) yang telah diterapkan di negeri ini akan menjadi benteng kepada anak-anak muda untuk memilih mana baik serta buruk. "Kami yakin, yang melakukan perbuatan terlarang itu adalah bukan daripada yang dekat dengan didikan agama. "Mereka yang selalu bersama program kerajaan negeri dan bersama komuniti keagamaan tidak melakukan perkara sedemikian ketika berada di Thailand," katanya. Menurut beliau, Kelantan juga konsisten dengan aliran sekolah agama sejak dahulu dan ia bukan soal wajib tetapi menyediakan pilihan terbaik untuk anak-anak mempelajari aliran tersebut atau tahfiz disamping aliran kontemporari. Asri berkata, hari ini produk aliran agama dan tahfiz Kelantan telah berada sebagai kepimpinan utama di Putrajaya, di negeri-negeri lain apatah lagi di Kelantan sendiri. Ujarnya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah besar bajet untuk mendidik anak-anak di Kelantan melalui sekolah agama atau tahfiz. "Malah menjadi tumpuan ibu bapa dari luar Kelantan untuk menghantar anak-anak bersekolah agama di sini. "Pendidikan seawal sekolah menengah adalah hasrat menyediakan rakyat agar mampu membuat keputusan bagi diri dan keluarga masing-masing agar menjauhi tempat-tempat maksiat," katanya.
-
InsPeK bantu golongan miskin, OKU
10 November 2024KOTA BHARU - Penubuhan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya membantu mengubah kehidupan golongan miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini. Penyelidikan dan tunjuk ajar dalam perniagaan turut meningkatkan pendapatan usahawan kecil dalam tempoh beberapa tahun bersama institusi itu. Peniaga kerepek pisang, Noor Haslinda Mohd Noor, 39, berkata, kerjasama bersama UMK dua tahun lalu dapat menambah lebih 50 peratus permintaan kerepek pisangnya. "Sebelum ini pasaran kerepek saya agak terhad kerana pelanggan hanya dalam kalangan penduduk dan rakan-rakan terdekat. "Alhamdulillah, pelanggan saya kini lebih meluas dan tidak hanya kepada golongan tertentu sahaja," katanya ketika ditemui pada program InsPeK International Poverty Summit (InsPeK SUMMIT 2024) pada Ahad. Noor Haslinda yang sudah lebih 10 tahun berniaga kerepek pisang kini sentiasa berpeluang menyertai program yang dianjurkan pihak pengurusan UMK dan memperkenal produknya kepada orang ramai. Pengurus Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka), Nur Amirah Lukman juga mengakui kerjasama dengan UMK banyak membantu golongan OKU di Proka Kampung Aur, Telong, Bachok itu berdikari. Jelasnya, kerjasama dua tahun lalu juga membolehkan pusat berkenaan mempunyai pelanggan tetap yang menempah beberapa produk termasuk perabot dan ternakan ayam kampung. "Kemahiran dan cara kerja OKU di sini juga semakin sistematik melalui tunjuk ajar yang diberikan," katanya. Beliau memberitahu, mereka kini mampu menjana pendapatan lebih 90 peratus melalui kaedah yang diperkenalkan UMK. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan ketika berucap merasmikan majlis itu memberitahu, InsPeK UMK berjaya mengurangkan jurang dalam kalangan masyarakat rentan. "Sebelum ini mereka terasa disisihkan namun melalui institut berkenaan khususnya konsep pemetaan kemiskinan yang diperkenalkan mendorong kelompok berkenaan menggilap potensi diri sehingga mampu membanggakan keluarga," katanya. Bagaimanapun jelas Hassan Basri, usaha itu berhasil selepas mendapat sokongan lebih 50 pemegang taruh yang terdiri daripada agensi kerajaan, pihak korporat, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
-
Masjid Mukim Bahagia, USM bantu penduduk pedalaman rawat mulut dan gigi
10 November 2024KOTA BHARU - Isu kesihatan mulut warga emas dan golongan berpendapatan rendah terutama penduduk kampung merupakan cabaran besar kerana ada di antara mereka yang menghadapi masalah kewangan. Pengerusi Program Periodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Raja Azman Raja Awang berkata, golongan itu menghadapi kesukaran mengakses rawatan pergigian kerana lokasi terpencil termasuk kesukaran untuk ke kawasan kampung yang memerlukan perjalanan lama menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau perahu. "Akses internet juga terhad menjadikan pendidikan kesihatan hampir mustahil," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa. Justeru jelas beliau, usaha pihak pengurusan Masjid Mukim Bahagia dan Pusat Pengajian Sains Pergigian patut dipuji kerana ramai yang mendapat manfaat mendapatkan rawatan pergigian. "Paling penting penyediaan gigi palsu kepada warga emas," katanya. Beliau memberitahu, sejak program itu bermula pada 18 Jun lalu, seramai 42 warga emas dan golongan B40 menerima rawatan gigi palsu serta cabutan gigi. "Selain itu, seramai 40 kanak-kanak terlibat dalam aktiviti pendidikan pergigian bagi memastikan mereka memahami pentingnya penjagaan gigi," katanya. Masjid Mukim Bahagia yang diketuai Imamnya, Muhamad Sa'ad manakala Pusat Pengajian Sains Pergigian USM dipimpin Dr Raja Azman dengan bantuan Pakar Prostodontik, Dr Noor Huda Ismail. Selain itu, jelas beliau, pusat pengajian itu turut melibatkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang pengajian termasuk pelajar pergigian dan alumni USM. Program berkenaan dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Program KPT Prihatin dan disokong oleh Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Malaysia (MediCOM). "Sokongan masyarakat Kampung Bahagia juga memainkan peranan penting dalam kejayaan program. "Inisiatif ini tidak hanya memperbaiki kesihatan mulut penduduk tetapi juga menekankan pentingnya kerjasama dalam menangani isu kesihatan di kawasan pedalaman," katanya. Tambahnya, program berkenaan merupakan contoh bantuan dan kesedaran dapat membawa perubahan positif kepada komuniti yang memerlukan.
-
MTL: APM tugaskan 900 keanggotaan di seluruh Kelantan
10 November 2024TUMPAT - Sebanyak 900 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan akan ditugaskan sepanjang musim Monsun Timur Laut di negeri ini. Pengarah APM Kelantan, Kol Mohd Adzhar Mujab berkata, kesemua anggota ditempatkan di 10 daerah di Kelantan untuk bersiap-sedia menghadapi banjir tahun ini. "Sekarang ini, APM telah meminta pejabat APM di semua daerah untuk mengaktifkan bilik gerakan dan mempersiapkan keseluruhan logistik untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir di luar jangkaan. "Apabila bermula hujan dan ada potensi banjir, anggota kita akan melakukan rondaan untuk bertindak pantas memindah dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat banjir di sesuatu kawasan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Community Outreach and Disaster Preparedness di Kampung Pulau Besar, di sini pada Sabtu. Mohd Adzhar berkata, APM juga telah mengenal pasti sebanyak 617 kawasan 'hotspot' banjir di Kelantan bagi memudahkan pegawai dan anggota APM untuk memberi tumpuan operasi menyelamat. Beliau berkata, APM menjalani latihan setiap minggu bersama agensi lain bagi memastikan anggota bersiap siaga menghadapi banjir tahun ini. "Kita juga mengambil kira pandangan atau ramalan tradisional banjir besar akan berlaku 10 tahun sekali, kita tidak boleh pandang mudah," katanya. - Bernama
-
Tingkat kesedaran kesihatan gigi di sekolah pendidikan khas
09 November 2024PASIR MAS - Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Lati, Pasir Mas dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan inisiatif memperkasakan kesihatan oral murid berkeperluan khas (MBPK) menggunakan aplikasi Dr KGT Junior@EduChamp. Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai amalan pergigian yang betul dan efisien dalam kalangan MBPK seiring kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI). Pakar Prostodontik PPSG USM, Dr Noor Huda Ismail berkata, kesihatan oral yang baik bukan hanya menyumbang kepada kecergasan fizikal malah meningkatkan kesejahteraan mental murid. “Hasil perbincangan bersama Guru Besar SKPK Rosita Awang, sempena program 15 Ogos lalu, kami dimaklumkan, aplikasi Dr KGT Junior@EduChamp dapat membantu mengakses kandungan pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan mereka. “Aplikasi itu membolehkan golongan terbabit mudah memahami pendidikan kesihatan oral,” katanya. Jelas beliau, kehadiran maskot karakter gigi selain penyediaan buku berkaitan pergigian kanak-kanak membuatkan murid lebih teruja. Sementara itu, Pakar Periodontik pusat pengajian berkenaan, Profesor Madya Dr Raja Azman Raja Awang berkata, aplikasi itu dibiayai oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM serta dibantu pelajar pascasiswazah pergigian untuk merealisasikan aplikasi itu. “Kita turut menjalin kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas, Unit Latihan Dalam Perkhidmatan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan sokongan daripada Persatuan Orang Pekak Kelantan dan SSB Health Sdn Bhd,” katanya.
-
Redah sungai sebelum Subuh, jadi imam di Pulau Teluk Renjuna
09 November 2024TUMPAT - Seorang imam di Masjid Teluk Renjuna di sini sanggup meredah arus sungai setiap hari sejak sembilan tahun lalu untuk mengimamkan solat jemaah di masjid itu. Mohd Amin Zulkahar Saari, 35, yang tinggal di Jubakar Pantai akan memandu kereta antara 15 hingga 20 kilometer (km) untuk ke Jeti Kok Pasir sebelum menaiki bot ke Pulau Teluk Renjuna. Menurut Mohd Amin Zulkahar, setiap empat kali seminggu beliau memandu kereta pada awal pagi sebelum azan Subuh dan kemudian meredah sungai untuk ke masjid itu. "Dari jeti berkenaan saya akan memandu sendiri bot kira-kira 10 minit untuk sampai ke masjid. "Saya tidak kisah berkorban masa kerana biasanya akan pulang selepas solat Isyak berjemaah dan melakukan tugasan di bilik rehat yang disediakan di masjid," katanya yang menjawat jawatan Iman Tua di masjid berkenaan. Mohd Amin Zulkahar juga bersyukur kerana isterinya Norhafiza Zanuddin, 35, memahami tugasnya itu. Bagaimanapun katanya, setiap tiga hari dalam seminggu, beliau akan pergi ke masjid sebelum solat Zohor dan pulang pada waktu sama. Alah bisa tegal biasa, sebagai imam yang sudah lama bertugas di masjid berkenaan, Mohd Amin Zulkahar memahami situasi cuaca setiap tahun terutama pada musim tengkujuh. Jelas beliau, dalam keadaan cuaca tidak menentu biasanya beliau akan menyediakan persalinan pakaian yang diletakkan di masjid itu bagi memudahkannya menjalankan tugas dengan selesa. Selain cuaca katanya, cabaran lain yang terpaksa dihadapi ialah kerosakan bot ketika sedang bertugas namun akan diatasi sediri jika kerosakan itu kecil. Jelas beliau lagi, paling dibimbangi apabila bot ditenggelami air kerana hujan lebat yang mengakibatkan kos tinggi untuk pembaikannya. "Selalunya pada musim tengkujuh saya dan pemilik bot lain akan bersedia kerana ada ketikanya kami terpaksa turun ke jeti walaupun pada jam 2 atau 3 pagi untuk menimba air di dalam bot bagi mengelakkannya tenggelam," katanya. Beliau memberitahu, bot yang disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dua tahun lalu memudahkannya berulang-alik ke pulau itu. "Alhamdulillah, sebelum ini saya menggunakan bot sendiri dan akan menggunakan khidmat bot penambang jika memerlukan masa agak lama untuk dibaiki," katanya.
-
Lima gajah liar ceroboh kebun berjaya ditangkap
07 November 2024JELI - Populasi gajah liar yang berada di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor di sini dianggarkan lebih daripada 50 ekor. Justeru, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan operasi tangkapan lima gajah pada Rabu yang mengganggu kebun penduduk di Kampung Dendong, Batu Melintang berhampiran dengan HSK itu bukanlah penyelesaian jangka panjang. Pengarah Perhilitan Negeri Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan mengenai gangguan gajah di kampung berkenaan pada Selasa. “Jabatan ingin memaklumkan tangkapan dan pemindahan gajah liar bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan HSK Gunung Basor. “Walaupun tangkapan ini melegakan penduduk kerana dapat mengelak kerugian dari kemusnahan tanaman dan harta benda, namun populasi gajah liar yang berada di HSK itu dianggarkan lebih daripada 50 ekor,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. Sehubungan itu, Mohamad Hafid mencadangkan pekebun mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah atau Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi mengurangkan gangguan gajah. “SPEG adalah salah satu kaedah paling berkesan bagi menghalang gajah memasuki kawasan kebun dan perlu dibina dengan mengikut spesifikasi sepatutnya supaya berfungsi dengan baik. “Penduduk juga dinasihatkan agar lebih berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar selain tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa,” katanya. Operasi tangkapan gajah berkenaan melibatkan kakitangan dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah Negeri Kelantan. Proses pemindahan dan pelepasan gajah-gajah ini ke habitat yang lebih sesuai serta selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang serta Perhilitan Kelantan. Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.
-
Surat untuk PM, kembalikan semula subsidi bil elektrik RM20
07 November 2024KOTA BHARU - Seorang rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama menyerahkan surat kepada wakil rakyat kawasan itu meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengembalikan semula subsidi bil elektrik RM20 dan ke bawah kepada golongan kurang berkemampuan. Individu yang dikenali sebagai Wan itu berkata, berdasarkan kepada pengetahuannya manfaat itu hanya diberikan kepada penerima bantuan e-Kasih. "Masih ramai orang tua dan kurang upaya tidak dapat pergi ke pejabat untuk urusan e-Kasih atau bil, lagipun orang kaya tidak akan guna bil elektrik pada RM20. "Mereka (orang kaya) akan melebihi RM20. Orang kaya tidak akan mendapat manfaat," katanya dalam surat tersebut. Menurutnya, kerajaan terdahulu pernah memberikan subsidi kepada rakyat yang mempunyai bil elektrik berjumlah RM20 ke bawah. Ujarnya, ketika ini rakyat sangat gembira dan menyambut seruan itu dengan baik. Wan berkata, jika perkara itu kembali dilaksanakan lebih ramai golongan kurang berkemampuan yang tidak tersenarai dalam e-Kasih akan mendapat manfaat. Keluhan Wan itu dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim di laman Facebooknya pada Rabu. "Sebagai ADUN Kota Lama, saya berasa amat terpanggil untuk memastikan suara ini sampai kepada pihak yang berkenaan. Saya akan berusaha supaya mesej ini mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Madani. "Sokongan rakyat amat penting dalam usaha ini, dan dengan doa serta usaha kita bersama, saya yakin kita mampu membina komuniti yang lebih sejahtera, berdaya saing, dan diberkati," ujarnya.
-
Kerap sertai aktiviti di masjid, elak hiburan melampau - Imam Besar Kelantan
06 November 2024KOTA BHARU - Golongan muda disaran untuk lebih kerap menyertai aktiviti anjuran masjid termasuk solat berjemaah bagi mengelak terjerumus perkara negatif antaranya berhibur secara melampau. Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah, berkata, pengurusan masjid-masjid di negeri ini juga memainkan peranan mengadakan program-program lain yang lebih mampu menarik golongan belia seperti sukan. “Aktiviti di masjid akan dipergiatkan dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada anak-anak muda seawal kanak-kanak dan remaja. “Jika tidak ada asas dan alternatif untuk mereka, maka golongan ini akan pergi ke tempat lain (seperti berhibur kelab malam di negara seberang) dan terjebak dengan gejala dadah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah hotel di Tunjong, pada Rabu. Beliau sebelum itu menyampaikan sijil khatam pada Majlis Graduasi Kembara al-Quran Siri 2 2023/2024 Masjid Jamek Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai. Turut hadir, Imam Tua Masjid Jamek Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai, Ahmad Maher Safiain. Sebelum ini akhbar melaporkan, golongan muda negeri ini gemar ke pusay hiburan di Golok, Thailand setiap kali hujung minggu terutama pada malam Jumaat dan Sabtu. Pada Selasa, Kerajaan Kelantan pula mengakui tidak boleh menyekat rakyat negeri ini termasuk anak muda untuk ke Thailand kerana mereka mempunyai pelbagai tujuan apabila berkunjung ke negara itu antaranya melancong. Dalam pada itu, Muhammad Hana Pizi memberitahu pihaknya sentiasa merangka program-program khas kepada golongan belia antaranya Himpunan Remaja Masjid yang akan berlangsung pada 13 November ini. Katanya, Kelantan mempunyai 619 masjid mukim yang melaksanakan solat Jumaat dan boleh dihadiri oleh para belia untuk pelbagai aktiviti. “Kesemua masjid di negeri ini bergabung menjayakan porgram himpunam tersebut dan akan ada pelbagai pengisian ilmiah, ceramah dan berbentuk rekreasi seperti bersukan. “Sebelum ini, masjid-masjid di Kelantan juga menganjurkan solat Subuh berjemaah yang memfokuskan kepada golongan muda,” katanya.
-
Kelantan gazet 400 hektar tanah di Lojing untuk Rafflesia
06 November 2024KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menggazetkan 400 hektar tanah di Lojing, Gua Musang sejak 13 tahun lalu untuk tujuan pemuliharaan Rafflesia atau bunga Pakma sebagai pemangkin kepada industri ekopelancongan yang semakin berkembang di negeri ini. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, terdapat tiga spesies Rafflesia ditemui di kawasan tersebut iaitu kerri, cantleyi dan sumeiae. "Paling membanggakan apabila di sini terdapat Rafflesia kedua terbesar di dunia. "Pada tahun 2022, kerajaan negeri telah melancarkan Taman Pemuliharaan Rafflesia, yang kini menjadi tumpuan bagi penyelidikan alam sekitar dan pelancongan," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di Hotel Renai di sini. Dalam ucapan tersebut beliau turut menekankan bahawa spesies Rafflesia, seperti banyak spesies lain berisiko untuk pupus. Ujarnya, Kelantan bukan sahaja melindungi atau sekadar menjaga satu bunga, tetapi juga mengekalkan keseimbangan keseluruhan ekosistem yang mengelilinginya. Beliau berkata, seiring dengan perkembangan sektor pelancongan di Kelantan, semua pihak perlu melakukannya dengan penuh berhati-hati dan bertanggungjawab, memastikan ia tidak merosakkan apa yang ingin dilindungi. "Hal ini membawa kita kepada tema kongres ini, "Harmoni dengan Rafflesia: Menyeimbangkan Pemuliharaan dan Pelancongan di Kelantan". "Seperti kata pepatah, 'dapat dua burung dengan satu batu', kita dapat mencapai keseimbangan antara memelihara spesies yang berharga ini dan mempromosikan pelancongan untuk pembangunan ekonomi. "Tetapi untuk mencapai itu, kita perlu bekerjasama antara penyelidik, kerajaan tempatan, komuniti, dan pelancong untuk memastikan Rafflesia terus berkembang maju untuk generasi akan datang," katanya. Beliau yakin kongres ini akan menjadi platform untuk perbincangan yang bermanfaat dan perkongsian idea yang inovatif kerana telah menghimpunkan pakar-pakar dari seluruh dunia.